SEBAHAGIAN besar daripada para novelis yang telah menghasilkan novel pada hari ini tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang penulisan kreatif. Hanya sebilangan daripada mereka mungkin datang daripada bidang yang mempunyai kaitan dengan bidang penulisan seperti kewartawanan, pengajian bahasa mahupun daripada kalangan guru.
2. Ramai juga daripada mereka yang terdiri dari golongan yang tidak ada kena mengena langsung dengan bidang penulisan seperti kulineri, perundangan, ekonomi, akauntan, kejuruteraan, kejururawatan, sains komputer, insuran atau hiasan dalaman.
3. Kesemua mereka lahir sebagai novelis kerana minat. Rata-rata dari kalangan mereka ini mula menulis setelah membaca beberapa buah karya. Lazimnya, ia bermula kerana tidak puashati dengan jalan cerita novel yang dibacanya dan berasa mereka boleh menulis jalan cerita yang lebih baik. Bersandarkan perasaan tidak puashati itu, maka mereka mula menulis.
4. Di sepanjang jalan pengkaryaan, mereka menambah pengetahuan dan kemahiran menulis dengan merujuk kepada karya-karya penulis yang terdahulu, berbincang sesama mereka ataupun menghadiri kursus-kursus pendek penulisan yang biasanya dianjurkan oleh penulis ataupun syarikat penerbitan.
5. Pendek kata, belajar secara sendiri-sendiri. Namun, apakah cara belajar sebegini ini mencukupi buat seseorang penulis? Sudah tentu ia belum lengkap kerana mereka yang melalui pendidikan formal penulisan pun belum tentu dapat menjadi seorang novelis yang baik.
6. Baik, bukan sahaja daripada aspek teknik, penyampaian dan nilai-nilai murni di dalam tulisannya, bahkan baik dalam ertikata karyanya diterima oleh khalayak. Kerana itulah, seseorang penulis yang menghasilkan sebuah novel yang meletup, belum tentu dapat menulis novel yang baik.
7. Pada hari ini, media sosial menjadi pemangkin untuk menghebah dan melariskan sesebuah karya. Syarikat-syarikat penerbitan pun galak mengadakan pelbagai promosi karya para penulisnya.
8. Hasilnya, terdapat juga karya-karya yang kurang baik yang laku kerana kempen pemasaran yang hebat. Dengan wujudnya berpuluh-puluh karya dari penulis baharu dalam sebulan, para pembaca kerap juga terbeli sesebuah karya yang tawar.
9. Malah, sikap novelis yang hanya merujuk karya-karya tempatan sebagai sumber idea akhirnya hanya melahirkan karya-karya yang klise. Sikap ingin merebut hasil jualan yang lumayan inilah yang akhirnya bakal meruntuh genre sesebuah karya kreatif. Contohnya, novel-novel cinta semakin kurang diminati kerana dikatakan mempunyai garapan yang hampir serupa ~ ala formula filem Hindustan.
10. Kini, novel-novel seram dan thriller pula mengambil tempat di carta terlaris. Berbanding dengan nama-nama hebat novelis cinta, belum ada lagi nama besar penulis seram dan thriller kecuali novelis Ramlee Awang Murshid.
11. Novelis-novelis genre ini kelihatan sebaris dan sebaya. Belum ada pesaing bagi Ramlee. Jika tiada nama-nama yang benar-benar dikenali dalam waktu terdekat ini, adalah dikhuatiri genre ini juga bakal menjadi suam dan suram.
12. Sebenarnya, genre novel masih begitu banyak yang belum diteroka. Genre perundangan, sejarah, perubatan, sains fiksi, fantasi, purbawara, biografi, travelog malah agama masih belum benar-benar muncul dengan kluster para novelisnya.
13. Penulis perlu berani meneroka ke padang yang amat luas ini. Dengan adanya kemudahan percetakan digital dengan print-on-demand, berhubung terus dengan pembaca melalui media sosial, para penulis swaterbit perlu berani meneroka ke genre yang baharu selain daripada cinta, seram dan thriller.
*piccredit: thewritermagazine