BLOG

Novelis Turki dan Penerbit Ditahan Kerana Tulis Cerita Pedofil

Novelis Turki dan Penerbit Ditahan Kerana Tulis Cerita Pedofil

AHVAL NEWS melaporkan, seorang novelis Turki, Abdullah Sevki dan penerbitnya Alaatin Topcu dari Kurgu Cultural Center Publication telah ditahan Rabu lalu setelah fragmen novel terbaharu Abdullah dipapar di media sosial. Paparan itu menimbulkan kemarahan netizen kerana ia mengisahkan keganasan terhadap kanak-kanak.

Novelis Abdullah Sevki ditahan pihak berkuasa – foto sozcu.com

Selasa lalu, seorang netizen memaparkan fragmen dari novel Zumrut Apartment tulisan Abdullah. Penulisnya menceritakan keganasan seks terhadap seorang kanak-kanak dari kacamata seorang pedofil. Sejak itu, banyak pihak menggesa pemerintah agar penulis dan penerbitnya dihukum berat.

Zumrut Apartment yang menjadi latar novel – foto trust united

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes keganasan terhadap kanak-kanak telah meningkat di negara Turki. Pada minggu ini juga Ecrin Kurnaz, seorang kanak-kanak berusia satu setengah tahun dilaporkan telah dirogol dan dibunuh oleh saudara terdekatnya.

Pihak penerbit, dalam satu kenyataan pula mengatakan, syarikatnya dan Abdullah telah dikritik sejak beberapa hari yang lalu. Bagaimana pun,  penerbitnya menganggap Abdullah adalah di antara cendekiawan yang ulung di negaranya sambil menganggap orang ramai tidak memahami kesusasteraan.

Kandungan novel Zumrud Apartment yang dikatakan mengandungi unsur pedofil ~  foto marasbugun

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Turki dan Persatuan Peguam Turki telahpun membuat laporan terhadap novelis dan penerbitnya di Ankara. Malah, beberapa orang netizen juga telah turut membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Berikutan laporan-laporan tersebut, Pejabat Ketua Pendakwaraya di Ankara telah membuat penyiasatan dan menahan Abdullah Sevki dan penerbitnya Alaatin Topcu.

Novel Mahram karya Elif Safak yang dikatakan punyai adegan panas – foto goodreads

Setelah tercetusnya skandal novel Abdullah Sevki, kian ramai netizen mengecam novelis-novelis yang menggalakkan keganasan terhadap kanak-kanak.

Malah ada yang memaparkan fragmen novelis antarabangsa terkenal Turki, Elif Safak yang menyentuh hal-hal seksual dalam novelnya ‘Mahram.’ Novelis Ayse Kulin pun dikritik kerana adegan-adegan yang begitu di dalam novelnya ‘Suara di Malam Hari.’

Novel Gese Sesleri atau Suara di malam Hari  karya Ayse Kulin yang turut dikecam netizen – foto neoldu

Maklumat terkini melaporkan kedua-dua novelis dan penerbitnya telah dilepas tanpa dibebaskan pada hari yang sama.


Sumber:

https://ahvalnews.com/literature/turkish-author-and-publisher-detained-over-novel-including-pedophilia-story

https://bianet.org/english/human-rights/208932-publisher-and-writer-of-zumrut-apartment-book-taken-into-custody

Betul ke Novel Buat Orang Khayal?

Betul ke Novel Buat Orang Khayal?

1. Apakah yang pembaca lihat apabila mula menatap novel kita? Dia akan nampak tulisan hitam di atas kertas putih. Apabila dia mula membaca, tak lama kemudian, perkataan-perkataan yang dibacanya itu akan membentuk imej-imej di layar mindanya.

2. Andainya permulaan bab itu mendiskripsikan latar sesebuah tempat, mindanya akan menghantar imej-imej yang tersimpan di memorinya. Misalnya jika penulis melakar mengenai ‘sebuah rumah di tepi pantai,’ fikiran pembaca akan menghantar imej mengikut apa yang tersimpan di memorinya. Maknanya, setiap pembaca ada menyimpan imej ‘sebuah rumah di tepi pantai’ masing-masing.

3. ‘Sebuah rumah di tepi pantai’ boleh sahaja digambarkan sebagai sebuah rumah atap tradisional, sebuah rumah moden beratapkan zink ataupun sebuah banglo beratapkan genting. 

4. Bagaimana pun, bila penulis memperincikan gambaran mengenai rumah itu, pembaca mula memilih imej yang sesuai seperti yang digambarkan. Misalnya, apabila penulis menggambarkan ‘sebuah rumah di tepi pantai’ itu sebagai rumah tidak berpenghuni, atapnya ada yang sudah hilang, dikelilingi semak-samun, maka perlahan-lahan pembaca memadankan imej rumah buruk, rumah bocor atapnya di sebuah kawasan yang bersemak samun. Ketiga-tiga imej ini akan bergabung di minda pembaca apabila penulis membentuk imej ini.

5. Selain daripada imej yang dibentuk oleh otak kanan atau otak kreatif pembaca, penulis boleh mengajak pembaca untuk berfikir dengan merangsang otak kiri atau otak logiknya. Apabila penulis gambarkan rumah itu sudah berusia 100 tahun, dijadikan tempat askar Jepun tinggal tatkala perang dunia kedua dan rumah itu berharga RM3 juta, pembaca akan menambah maklumat ini untuk membentuk imej yang lebih lengkap.

6. Begitulah bagaimana novel itu membawa pembaca untuk mengimaginasi dan juga berfikir. Maknanya, kedua-dua otak kanan dan kirinya akan dirangsang. Justeru itu, adalah tidak tepat jika kita mengatakan bahawa membaca novel itu sesuatu yang mengkhayalkan semata-mata, tidak membina minda atau merosakkannya.

7. Malah, dengan membaca novel itu jugalah kita memperoleh segala maklumat baharu dan pandangan yang berbeza daripada apa yang kita ada. Sudah tentu sekali, jika kita hendak jadi bijak melalui bacaan novel, kita sendiri kenalah pandai memilih novel apa yang hendak dibaca.

8. Pada hari ini, tak sukar untuk kita mengenali novel siapakah yang hendak dibeli. Google aje. Kita akan temui novel-novel yang menjadi trendy dan popular.

Dia Mula Menulis di Usia 75 Tahun!

Dia Mula Menulis di Usia 75 Tahun!

KITA semua seronok dengan ‘usia mercutanda.’ Kita meraikan usia-usia dekad 10, 20, 30, 40 dan usia 50 itu begitu bermakna kerana ia menandakan yang kita sudah hidup setengah abad.

Susan Moore Jordan ~ foto self publisher showcase

Bagaimana pun buat saya, usia mercutanda saya ialah di usia 75 tahun. Pada usia ini saya menulis dan menerbitkan buku pertama saya. Dan enam tahun kemudian saya sedang menulis novel ke-11 dan menyukai minat baharu ini.

Apa yang lebih bermakna ialah selama ini saya adalah seorang pemuzik. Saya adalah pelajar, guru, pemain dan juga pengarah pentas. Muzik adalah disiplin saya sejak kecil. Membaca hanyalah hobi. Dan saya tak dapat bayangkan akan menulis pada suatu hari nanti.

Saya masih ingat tarikh 6 Mei 2013 iaitu tarikh saya mula menulis. Saya baharu sahaja selesai mengarah sebuah produksi muzikal yang sukai dengan  sekumpulan para remaja sebuah sekolah tinggi.

Novel pertama, How I Grew Up ~ foto amazon

Untuk pertama kali dalam 20 tahun, saya tiada punyai produksi musim panas. Saya mengeluh kepada seorang kawan, apa yang saya nak buat bila tiada persembahan pada musim panas itu.

“Mengapa kau tak menulis, aje?” Saya pandang dia dan bergumam, “Lebih baik aku panjat Gunung Everest.” Tapi kawan saya itu menjawab, “Usah bercita-cita besar sangat. Buatlah sesuatu yang amat bermakna dengan hidup kau.”

Ibubapa seorang teman baik telah dibunuh pada suatu malam pada bulan Januari. Saya menceritakan tragedi itu pada kawan saya. “Tulislah…” katanya.

Saya pulang, buka komputer dan lima bulan kemudian lahirlah novel  ‘How I Grew Up.’ Ia adalah sebuah fiksyen yang menceritakan kembali peristiwa sebenar.

Siri Misteri Augusta McKee ~ foto koleksi penulis

Untuk julung-julung kalinya saya mencipta sesuatu yang baharu melalui imaginasi dan bakat yang saya ada.

Wow! Saya dah menulis. Pembaca beli, baca dan sukakannya. Dan saya tahu yang saya ada cerita lain ~ subplot sebuah buku, kisah seorang sahabat yang menemui seorang pemain piano yang punyai masalah jantung. Sebuah persahabatan mula terjalin. Saya terfikir, apa kata andainya persahabatan itu menjadi sesuatu yang lebih menarik?  Maka tercetuslah novel kedua.

Corak pendekatan begini berterusan sehinggalah ke novel ke-10. Dan saya sedang menulis novel ke-11.

Susan di majlis pelancaran novelnya ~ foto self publishers showcase

Apa yang seronok dengan penulisan? Ia adalah satu cara lain untuk berkongsi muzik yang menjadi minat saya. Kebanyakan watak-watak saya bermain muzik untuk menghadapi cabaran yang melanda mereka.

Watak-watak ciptaan saya menjadi hidup dan begitu juga pandangan pembaca-pembaca saya. Salah seorang pembaca mengatakan yang novel saya ini berkisar tentang muzik. Pandangan itu betul. Watak protagonis saya lazimnya adalah seorang pemuzik!

Pada usia 81 ini, saya amat gembira. Untuk pertama kali, saya mencipta dan melahirkan sesuatu melalui bakat dan imaginasi saya. Boleh dikatakan saya berjaya juga. Tetapi saya bukan hendak jadi kaya dan terkenal. Tetapi saya dah sampai pada suatu tahap di mana menulis samalah seperti bernafas.

Dan saya suka kepada penyelidikan dalam proses menulis ini. Saya menemui mereka yang membantu saya. Mereka seperti perunding saya.

Pemandangan di Pocono Mountains, kawasan tinggal penulis ~ foto 570menu

Saya benar-benar tenggelam tatkala saya menulis. Apabila ia melalui proses editing dan hampir siap untuk penerbitan, satu lagi idea muncul dan saya menulis lagi. Kini saya sedang menulis siri jenayah ‘Augusta McKee.’

*Susan Moore Jordan menulis dan mengajar seni suara. Novel-novelnya adalah swaterbit. Beliau bermastautin di Pergunungan Pocono, Pennsylvania.

*Artikel adaptasi tulisan Susan Moore Jordan

*Pautan asal:
https://www.theguardian.com/commentisfree/2019/may/24/i-wrote-my-first-book-at-75-at-the-age-of-81-and-10-books-later-im-having-the-time-of-my-life

Melakar Latar Tempat yang Real

Melakar Latar Tempat yang Real

1. LATAR TEMPAT adalah di antara elemen awal yang memaku pembaca untuk meneruskan pembacaan novel tulisan kita. Ia pembuka tirai penceritaan.

2. Bila memulakan bab, suasana sekitar yang dilakarkan itu amat penting bagi membina minda pembaca. Ia suatu bentuk mind setting untuk merangsang rasa tenang, gembira, bimbang mahupun suspen.

3. Misalnya, apabila hendak melakar babak hero bertemu heroin buat kali pertama, latar tempat yang sesuai di antaranya ialah di taman rekreasi. Suasana dan cuaca perlulah digambarkan terang benderang untuk menzahirkan kegembiraan. Warna bunga pelbagai warna, kanak-kanak sedang memegang belon dan cahaya mentari petang akan membantu kita untuk membina rasa ceria.

4. Sebaliknya jika ingin menggambarkan babak yang menyeramkan, kita boleh jadikan kawasan lorong yang gelap, angin dingin, hujan renyai, bunyi cengkerik, katak dan burung hantu sebagai latar tempat yang meremangkan bulu roma.

5. Setelah menyediakan suasana yang dikehendaki, baharulah watak dimasukkan dan dialog dibuat untuk menggerakkan jalan cerita. Latar tempat membawa pembaca untuk melihat dan merasai mood yang cuba kita serapkan ke minda mereka.

6. Saya pernah terbaca bagaimana novelis dahulu mendapatkan latar tempat. Mereka lazimnya akan mencari bahan bacaan dan foto di perpustakaan. Novelis agung Hemingway punyai cara yang unik. Ketika melancong, beliau akan membelek brosur pelancongan sebaik sahaja check-in di sesebuah hotel.

7. Brosur pelancongan lazimnya akan memaparkan tempat-tempat menarik yang terpilih. Dengan melihat foto, dia membaca, meneliti dan berimaginasi seolah-olah watak-wataknya berada di sesebuah tempat di dalam brosur itu. Beliau tidak perlu membuang masa untuk mendapatkan latar tempat yang menarik.

8. Saya teringat, dua dekad yang lalu bagaimana novelis Ramlee Awang Murshid membeli peta Amerika kerana ingin menggambarkan lokasi di sana untuk novel ADAMnya. Peta besar yang bergulung itu akan dibuka dan ditebar di lantai untuk membina pelan cerita di latar tempat yang beliau sendiri tidak pernah tiba.

9. Kita pada hari ini amat beruntung kerana kita boleh sahaja melayari internet untuk mendapatkan latar tempat yang sesuai. Kita boleh terus bawa watak-watak kita untuk berlakon di luar negara. Pilih sahaja negara dan tempat samada di Kashmir, Turki mahupun Osaka; kita mampu bina latar tempat yang menarik dan sesuai dengan jalan cerita.

10. Melalui enjin carian, segala lokasi di ceruk dunia ada di hujung jari! Pilihlah…

Buku Sebagai Bahan Dekorasi Menarik!

Buku Sebagai Bahan Dekorasi Menarik!

SYARIKAT Ultimate Library menjual buku bukan mengikut naskhah, tetapi mengikut meter ke hotel-hotel seperti Ham Yard. Sejak ditubuhkan pada 2011, syarikat itu telah menggunakan buku sebagai alat hiasan yang kemudiannya dipaparkan di Instagram dan Pinterest sebagai #shelfie dan #bookstagram.

Perpustakaan di hotel Vintry & Mercer, London ~ foto nytimes

“Inilah yang akan mendatangkan wang untuk hotel ini,” kata Phillip Blackwell, tuanpunya syarikat itu sambil menunjukkan sebuah perpustakaan di Hotel Ham Yard Soho di London. Perpustakaan itu, telah menyusun lebih 5,000 naskhah buku di rak sebagai bahan hiasan yang cantik.

Buku punyai keindahan yang tersendiri. Tulang bukunya punyai tarikan dan unsur-unsur ceria jika disusun dengan baik.

Buku disusun mengikut warna pelangi ~ foto nytimes

“Saya suka bandingkan buku dengan lilin,” kata Phillip. “Terdapat keindahan pada lilin. Ia memberi nyawa kepada ruang. Tetapi buku pula mencipta drama.”

Phillip, 60, adalah seorang penggemar buku. Dia akan gelisah jika tiada buku di sisinya. Pada tahun 2006, beliau meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Blackwell’s Bookshop, sebuah perniagaan keluarga untuk melancong.

Ketika menginap di hotel-hotel, ada sesuatu yang membuatkan dia rimas.  Perpustakaannya tidak dijaga dengan baik dan penuh dengan buku-buku yang tidak menarik, malah nampak hodoh. “Pihak hotel sanggup berbelanja untuk hiasan dalaman, tetapi tidak menaruh perhatian kepada buku.”

Buku-buku berwarna pastel menghiasi sudut ruang ~ foto nytimes

Akhirnya Ultimate Library bertindak untuk menghidupkan perpustakaan di hotel-hotel. Syarikat itu mencari buku-buku dari lebih 40 negara di dunia yang di antaranya Filipina, Greece, Maldives dan Tanzania.

Selain daripada hotel-hotel, Ultimate Library turut membekalkan buku-buku ke restoran, apartmen, kedai dan juga ke kapal layar. Ya, ke kapal layar mewah yang mempunyai pustaka tersendiri!

Ultimate Library juga menerima tempahan khas. Sebuah restoran di Paris hanya mahukan buku-buku yang berwarna merah. Seorang lagi klien mahukan buku-buku mengenai negara China dan lumba kuda.

Buku-buku berwarna putih menjadi pilihan ~ foto nytimes

Buku sebagai objek rekabentuk bukanlah sesuatu yang baharu. Pada tahun 1820an, buku-buku yang dibalut khas menjadi popular di kalangan elit. Koleksinya dibuat khusus untuk sesebuah keluarga, siap disertakan dengan lencana ataupun rekabentuk khas.

Moleknya jika ada mana-mana syarikat di negara kita yang mahu membuat pendekatan ini di hotel-hotel. Selain daripada menjadi hiasan menarik, buku-buku itu pasti akan dipinjam oleh para pengunjung.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]