AHVAL NEWS melaporkan, seorang novelis Turki, Abdullah Sevki dan penerbitnya Alaatin Topcu dari Kurgu Cultural Center Publication telah ditahan Rabu lalu setelah fragmen novel terbaharu Abdullah dipapar di media sosial. Paparan itu menimbulkan kemarahan netizen kerana ia mengisahkan keganasan terhadap kanak-kanak.

Selasa lalu, seorang netizen memaparkan fragmen dari novel Zumrut Apartment tulisan Abdullah. Penulisnya menceritakan keganasan seks terhadap seorang kanak-kanak dari kacamata seorang pedofil. Sejak itu, banyak pihak menggesa pemerintah agar penulis dan penerbitnya dihukum berat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes keganasan terhadap kanak-kanak telah meningkat di negara Turki. Pada minggu ini juga Ecrin Kurnaz, seorang kanak-kanak berusia satu setengah tahun dilaporkan telah dirogol dan dibunuh oleh saudara terdekatnya.
Pihak penerbit, dalam satu kenyataan pula mengatakan, syarikatnya dan Abdullah telah dikritik sejak beberapa hari yang lalu. Bagaimana pun, penerbitnya menganggap Abdullah adalah di antara cendekiawan yang ulung di negaranya sambil menganggap orang ramai tidak memahami kesusasteraan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Turki dan Persatuan Peguam Turki telahpun membuat laporan terhadap novelis dan penerbitnya di Ankara. Malah, beberapa orang netizen juga telah turut membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Berikutan laporan-laporan tersebut, Pejabat Ketua Pendakwaraya di Ankara telah membuat penyiasatan dan menahan Abdullah Sevki dan penerbitnya Alaatin Topcu.

Setelah tercetusnya skandal novel Abdullah Sevki, kian ramai netizen mengecam novelis-novelis yang menggalakkan keganasan terhadap kanak-kanak.
Malah ada yang memaparkan fragmen novelis antarabangsa terkenal Turki, Elif Safak yang menyentuh hal-hal seksual dalam novelnya ‘Mahram.’ Novelis Ayse Kulin pun dikritik kerana adegan-adegan yang begitu di dalam novelnya ‘Suara di Malam Hari.’

Maklumat terkini melaporkan kedua-dua novelis dan penerbitnya telah dilepas tanpa dibebaskan pada hari yang sama.
Sumber: