1. Apakah yang pembaca lihat apabila mula menatap novel kita? Dia akan nampak tulisan hitam di atas kertas putih. Apabila dia mula membaca, tak lama kemudian, perkataan-perkataan yang dibacanya itu akan membentuk imej-imej di layar mindanya.

2. Andainya permulaan bab itu mendiskripsikan latar sesebuah tempat, mindanya akan menghantar imej-imej yang tersimpan di memorinya. Misalnya jika penulis melakar mengenai ‘sebuah rumah di tepi pantai,’ fikiran pembaca akan menghantar imej mengikut apa yang tersimpan di memorinya. Maknanya, setiap pembaca ada menyimpan imej ‘sebuah rumah di tepi pantai’ masing-masing.

3. ‘Sebuah rumah di tepi pantai’ boleh sahaja digambarkan sebagai sebuah rumah atap tradisional, sebuah rumah moden beratapkan zink ataupun sebuah banglo beratapkan genting. 

4. Bagaimana pun, bila penulis memperincikan gambaran mengenai rumah itu, pembaca mula memilih imej yang sesuai seperti yang digambarkan. Misalnya, apabila penulis menggambarkan ‘sebuah rumah di tepi pantai’ itu sebagai rumah tidak berpenghuni, atapnya ada yang sudah hilang, dikelilingi semak-samun, maka perlahan-lahan pembaca memadankan imej rumah buruk, rumah bocor atapnya di sebuah kawasan yang bersemak samun. Ketiga-tiga imej ini akan bergabung di minda pembaca apabila penulis membentuk imej ini.

5. Selain daripada imej yang dibentuk oleh otak kanan atau otak kreatif pembaca, penulis boleh mengajak pembaca untuk berfikir dengan merangsang otak kiri atau otak logiknya. Apabila penulis gambarkan rumah itu sudah berusia 100 tahun, dijadikan tempat askar Jepun tinggal tatkala perang dunia kedua dan rumah itu berharga RM3 juta, pembaca akan menambah maklumat ini untuk membentuk imej yang lebih lengkap.

6. Begitulah bagaimana novel itu membawa pembaca untuk mengimaginasi dan juga berfikir. Maknanya, kedua-dua otak kanan dan kirinya akan dirangsang. Justeru itu, adalah tidak tepat jika kita mengatakan bahawa membaca novel itu sesuatu yang mengkhayalkan semata-mata, tidak membina minda atau merosakkannya.

7. Malah, dengan membaca novel itu jugalah kita memperoleh segala maklumat baharu dan pandangan yang berbeza daripada apa yang kita ada. Sudah tentu sekali, jika kita hendak jadi bijak melalui bacaan novel, kita sendiri kenalah pandai memilih novel apa yang hendak dibaca.

8. Pada hari ini, tak sukar untuk kita mengenali novel siapakah yang hendak dibeli. Google aje. Kita akan temui novel-novel yang menjadi trendy dan popular.