KITA semua seronok dengan ‘usia mercutanda.’ Kita meraikan usia-usia dekad 10, 20, 30, 40 dan usia 50 itu begitu bermakna kerana ia menandakan yang kita sudah hidup setengah abad.
Bagaimana pun buat saya, usia mercutanda saya ialah di usia 75 tahun. Pada usia ini saya menulis dan menerbitkan buku pertama saya. Dan enam tahun kemudian saya sedang menulis novel ke-11 dan menyukai minat baharu ini.
Apa yang lebih bermakna ialah selama ini saya adalah seorang pemuzik. Saya adalah pelajar, guru, pemain dan juga pengarah pentas. Muzik adalah disiplin saya sejak kecil. Membaca hanyalah hobi. Dan saya tak dapat bayangkan akan menulis pada suatu hari nanti.
Saya masih ingat tarikh 6 Mei 2013 iaitu tarikh saya mula menulis. Saya baharu sahaja selesai mengarah sebuah produksi muzikal yang sukai dengan sekumpulan para remaja sebuah sekolah tinggi.
Untuk pertama kali dalam 20 tahun, saya tiada punyai produksi musim panas. Saya mengeluh kepada seorang kawan, apa yang saya nak buat bila tiada persembahan pada musim panas itu.
“Mengapa kau tak menulis, aje?” Saya pandang dia dan bergumam, “Lebih baik aku panjat Gunung Everest.” Tapi kawan saya itu menjawab, “Usah bercita-cita besar sangat. Buatlah sesuatu yang amat bermakna dengan hidup kau.”
Ibubapa seorang teman baik telah dibunuh pada suatu malam pada bulan Januari. Saya menceritakan tragedi itu pada kawan saya. “Tulislah…” katanya.
Saya pulang, buka komputer dan lima bulan kemudian lahirlah novel ‘How I Grew Up.’ Ia adalah sebuah fiksyen yang menceritakan kembali peristiwa sebenar.
Untuk julung-julung kalinya saya mencipta sesuatu yang baharu melalui imaginasi dan bakat yang saya ada.
Wow! Saya dah menulis. Pembaca beli, baca dan sukakannya. Dan saya tahu yang saya ada cerita lain ~ subplot sebuah buku, kisah seorang sahabat yang menemui seorang pemain piano yang punyai masalah jantung. Sebuah persahabatan mula terjalin. Saya terfikir, apa kata andainya persahabatan itu menjadi sesuatu yang lebih menarik? Maka tercetuslah novel kedua.
Corak pendekatan begini berterusan sehinggalah ke novel ke-10. Dan saya sedang menulis novel ke-11.
Apa yang seronok dengan penulisan? Ia adalah satu cara lain untuk berkongsi muzik yang menjadi minat saya. Kebanyakan watak-watak saya bermain muzik untuk menghadapi cabaran yang melanda mereka.
Watak-watak ciptaan saya menjadi hidup dan begitu juga pandangan pembaca-pembaca saya. Salah seorang pembaca mengatakan yang novel saya ini berkisar tentang muzik. Pandangan itu betul. Watak protagonis saya lazimnya adalah seorang pemuzik!
Pada usia 81 ini, saya amat gembira. Untuk pertama kali, saya mencipta dan melahirkan sesuatu melalui bakat dan imaginasi saya. Boleh dikatakan saya berjaya juga. Tetapi saya bukan hendak jadi kaya dan terkenal. Tetapi saya dah sampai pada suatu tahap di mana menulis samalah seperti bernafas.
Dan saya suka kepada penyelidikan dalam proses menulis ini. Saya menemui mereka yang membantu saya. Mereka seperti perunding saya.
Saya benar-benar tenggelam tatkala saya menulis. Apabila ia melalui proses editing dan hampir siap untuk penerbitan, satu lagi idea muncul dan saya menulis lagi. Kini saya sedang menulis siri jenayah ‘Augusta McKee.’
*Susan Moore Jordan menulis dan mengajar seni suara.
Novel-novelnya adalah swaterbit. Beliau bermastautin di Pergunungan Pocono,
Pennsylvania.
*Artikel adaptasi tulisan Susan Moore Jordan
*Pautan asal:
https://www.theguardian.com/commentisfree/2019/may/24/i-wrote-my-first-book-at-75-at-the-age-of-81-and-10-books-later-im-having-the-time-of-my-life