1. LATAR TEMPAT adalah di antara elemen awal yang memaku pembaca untuk meneruskan pembacaan novel tulisan kita. Ia pembuka tirai penceritaan.

2. Bila memulakan bab, suasana sekitar yang dilakarkan itu amat penting bagi membina minda pembaca. Ia suatu bentuk mind setting untuk merangsang rasa tenang, gembira, bimbang mahupun suspen.

3. Misalnya, apabila hendak melakar babak hero bertemu heroin buat kali pertama, latar tempat yang sesuai di antaranya ialah di taman rekreasi. Suasana dan cuaca perlulah digambarkan terang benderang untuk menzahirkan kegembiraan. Warna bunga pelbagai warna, kanak-kanak sedang memegang belon dan cahaya mentari petang akan membantu kita untuk membina rasa ceria.

4. Sebaliknya jika ingin menggambarkan babak yang menyeramkan, kita boleh jadikan kawasan lorong yang gelap, angin dingin, hujan renyai, bunyi cengkerik, katak dan burung hantu sebagai latar tempat yang meremangkan bulu roma.

5. Setelah menyediakan suasana yang dikehendaki, baharulah watak dimasukkan dan dialog dibuat untuk menggerakkan jalan cerita. Latar tempat membawa pembaca untuk melihat dan merasai mood yang cuba kita serapkan ke minda mereka.

6. Saya pernah terbaca bagaimana novelis dahulu mendapatkan latar tempat. Mereka lazimnya akan mencari bahan bacaan dan foto di perpustakaan. Novelis agung Hemingway punyai cara yang unik. Ketika melancong, beliau akan membelek brosur pelancongan sebaik sahaja check-in di sesebuah hotel.

7. Brosur pelancongan lazimnya akan memaparkan tempat-tempat menarik yang terpilih. Dengan melihat foto, dia membaca, meneliti dan berimaginasi seolah-olah watak-wataknya berada di sesebuah tempat di dalam brosur itu. Beliau tidak perlu membuang masa untuk mendapatkan latar tempat yang menarik.

8. Saya teringat, dua dekad yang lalu bagaimana novelis Ramlee Awang Murshid membeli peta Amerika kerana ingin menggambarkan lokasi di sana untuk novel ADAMnya. Peta besar yang bergulung itu akan dibuka dan ditebar di lantai untuk membina pelan cerita di latar tempat yang beliau sendiri tidak pernah tiba.

9. Kita pada hari ini amat beruntung kerana kita boleh sahaja melayari internet untuk mendapatkan latar tempat yang sesuai. Kita boleh terus bawa watak-watak kita untuk berlakon di luar negara. Pilih sahaja negara dan tempat samada di Kashmir, Turki mahupun Osaka; kita mampu bina latar tempat yang menarik dan sesuai dengan jalan cerita.

10. Melalui enjin carian, segala lokasi di ceruk dunia ada di hujung jari! Pilihlah…