SYARIKAT Ultimate Library menjual buku bukan mengikut naskhah, tetapi mengikut meter ke hotel-hotel seperti Ham Yard. Sejak ditubuhkan pada 2011, syarikat itu telah menggunakan buku sebagai alat hiasan yang kemudiannya dipaparkan di Instagram dan Pinterest sebagai #shelfie dan #bookstagram.

“Inilah yang akan mendatangkan wang untuk hotel ini,” kata Phillip Blackwell, tuanpunya syarikat itu sambil menunjukkan sebuah perpustakaan di Hotel Ham Yard Soho di London. Perpustakaan itu, telah menyusun lebih 5,000 naskhah buku di rak sebagai bahan hiasan yang cantik.
Buku punyai keindahan yang tersendiri. Tulang bukunya punyai tarikan dan unsur-unsur ceria jika disusun dengan baik.

“Saya suka bandingkan buku dengan lilin,” kata Phillip. “Terdapat keindahan pada lilin. Ia memberi nyawa kepada ruang. Tetapi buku pula mencipta drama.”
Phillip, 60, adalah seorang penggemar buku. Dia akan gelisah jika tiada buku di sisinya. Pada tahun 2006, beliau meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Blackwell’s Bookshop, sebuah perniagaan keluarga untuk melancong.
Ketika menginap di hotel-hotel, ada sesuatu yang membuatkan dia rimas. Perpustakaannya tidak dijaga dengan baik dan penuh dengan buku-buku yang tidak menarik, malah nampak hodoh. “Pihak hotel sanggup berbelanja untuk hiasan dalaman, tetapi tidak menaruh perhatian kepada buku.”

Akhirnya Ultimate Library bertindak untuk menghidupkan perpustakaan di hotel-hotel. Syarikat itu mencari buku-buku dari lebih 40 negara di dunia yang di antaranya Filipina, Greece, Maldives dan Tanzania.
Selain daripada hotel-hotel, Ultimate Library turut membekalkan buku-buku ke restoran, apartmen, kedai dan juga ke kapal layar. Ya, ke kapal layar mewah yang mempunyai pustaka tersendiri!
Ultimate Library juga menerima tempahan khas. Sebuah restoran di Paris hanya mahukan buku-buku yang berwarna merah. Seorang lagi klien mahukan buku-buku mengenai negara China dan lumba kuda.

Buku sebagai objek rekabentuk bukanlah sesuatu yang baharu. Pada tahun 1820an, buku-buku yang dibalut khas menjadi popular di kalangan elit. Koleksinya dibuat khusus untuk sesebuah keluarga, siap disertakan dengan lencana ataupun rekabentuk khas.
Moleknya jika ada mana-mana syarikat di negara kita yang mahu membuat pendekatan ini di hotel-hotel. Selain daripada menjadi hiasan menarik, buku-buku itu pasti akan dipinjam oleh para pengunjung.