BLOG

Buku: Kulit Aje Cantik, Tapi Isinya…

Buku: Kulit Aje Cantik, Tapi Isinya…

HUJUNG minggu lalu saya berkemas untuk berpindah pejabat. Sedang saya berkemas, saya terjumpa sekeping poster mini. Tertera di atasnya sebuah mutiara kata berbahasa Inggeris yang berbunyi: ‘The person who says, don’t judge a book by its cover is not a book publisher!’ Maksudnya, ‘Orang yang kata; jangan hakimi sesebuah buku dengan hanya melihat kulitnya itu bukanlah seorang penerbit buku.’ Saya cetuskan mutiara kata ini pada 1997 tatkala mula menerajui syarikat penerbit buku, Alaf 21.

Ketika itu melalui pemerhatian, saya mentafsir industri buku di Malaysia sudah ketinggalan zaman. Buku yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan hampir kesemuanya menggunakan judul-judul buku yang panjang. Malah judul yang dipilih tidak langsung menyengat minda untuk menarik pembaca bila ia dipamer di gedung buku.

Judul-judul yang dipilih bernada serius seolah-olah kumpulan sasar buku hanyalah untuk mereka di bilik-bilik kuliah semata-mata. Misalnya, judul buku ‘Krisis Identiti Remaja Dalam Mendepani Era Kemodenan,’ adalah judul yang berbaur akademik. Ia mungkin hanya menarik para guru kaunseling ataupun para pensyarah di bidang sains sosial. Ibu bapa, apatah lagi para remaja tidak mungkin memilih buku yang berjudul sebegitu untuk bahan bacaan.

Seharusnya, buku yang punyai isi yang padat dan ilmiah itu boleh sahaja memilih judul ‘Remaja, Lu Siapa?’ misalnya. Judul buku yang begini boleh menarik minat golongan remaja juga untuk memilih dan memilikinya. Kebanyakan ilustrasi kulit buku pada hujung 90an biasanya dilakar secara abstrak dan memilih warna yang kedam. Boleh dikatakan tiada yang bermotifkan pop art sebagai penarik mata bakal pembeli.

Bidalan Inggeris ‘don’t judge a book by its cover’ menjadi mantra, malah kepercayaan bahawa kulit buku tidak menentukan isinya. Keyakinan bahawa kalau buku itu bagus, kulitnya tidak wajib sebagus isinya, itulah yang melahirkan buku-buku yang tidak punyai wajah yang komersial langsung.  Akhirnya, bila buku tidak laku, dipersalahkan pula masyarakat Malaysia bahawa rakyat Malaysia malas membaca. Tapi itu dulu, dua dekad yang lalu.

Sebaliknya kini, trend mutakhir ini mementingkan kulit dan judul buku pula.  Jika dahulu, wajah sasterawan menjadi penghias kulit bukunya, kini para ustaz pun dipilih berposing dengan gaya ‘tidak ustaz’ sebagai penghias kulit buku. Judul-judul buku pun lebih santai dan berwarna-warni untuk menarik hati golongan muda.

Cuma masalah sekarang pula ialah, semakin banyak pula buku-buku yang punyai isi yang entah apa-apa, tetapi dibalut dengan kulit berwarna-warni dan menggunakan judul-judul yang menggunakan bahasa pasar dan tidak kurang juga menyelitkan bahasa Inggeris di dalam judulnya. Ia laris seperti goreng pisang cheese. Tetapi, sudah banyak buku-bukunya boleh dihabiskan dalam masa setengah hari kerana menggunakan saiz huruf yang besar dan isi yang pendek-pendek untuk setiap bab.

Pendek kata, semakin banyak buku-buku pada hari ini lebih indah kulit daripada isi. Tujuan penerbit adalah untuk mendapat pulangan besar secepat yang boleh. Para penulis yang teruja dengan pasaran yang cepat-cepat ini akhirnya turut kelabu mata dengan wang dan akhirnya mementingkan kuantiti daripada kualiti.

Apakah ertinya? Jika dahulu, banyak buku yang baik tidak diminati kerana persembahannya yang kurang baik. Kini, sebaliknya pula yang terjadi ~ buku yang diterbitkan punyai isi yang longgar dan tidak berbaloi dengan harganya ~ seperti kita memakan mi sup yang banyak kuah daripada isi.

Seharusnya, buku yang diterbitkan biarlah cantik di luar dan padat di dalam. Seperti yang kita lihat pada hari ini, banyak sekali buku-buku lama yang diterbit kembali dengan wajah baharu seperti buku sirah Rasulullah saw, The Sealed Nectar oleh Sheikh Safi-ur-Rahman al-Mubarkpuri, buku sejarah Al-Muqadimmah oleh Ibn Khaldun, mahupun buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka. Kesemuanya punyai rekebentuk kulit yang cantik dan rekaletak menarik, kelihatan seperti buku penulis baharu.

Bila direnung dari jauh, pembikin buku dahulu pentingkan isi. Pembikin buku sekarang pula mengutamakan kulit. Sepatutnya buku itu juga perlu seimbang seperti manusia ~ tidak boleh tampak hodoh luaran, asal budinya mulia. Ataupun molek di luar tetapi peribadinya jelek. Yang bagus, cantik di luar, apatah lagi di dalam.


APA KOMEN ANDA?

LAYARMINDA memaparkan berita dunia buku dan penulisan di dalam dan luar negara. Apakah artikel di atas ini menarik minat anda ataupun sebaliknya? Sila turunkan komen di petak yang disediakan untuk membantu kami memilih artikel-artikel yang terbaik buat anda.
Terima kasih daripada kami.

Rakyat Filipina juga Gila Membeli Buku

Rakyat Filipina juga Gila Membeli Buku

JIKA pada minggu lalu Layarminda memaparkan kisah kegilaan rakyat Indonesia membaca, kali ini kami melaporkan tabiat membeli buku warga Filipina pula.

Berita berkaitan: https://layarminda.com/2019/05/22/orang-indonesia-memang-gila-membaca

Sebuah gedung buku di Manila ~ foto rappler.com

BILA melihat pada ramainya pengunjung ke pesta buku saban tahun, tidak hairanlah bila mendapati warga Filipina adalah di antara mereka yang kerap membeli buku.

Picodi, sebuah portal e-niaga melaporkan secara purata, 69% daripada rakyat Filipina membeli sekurang-kurangnya sebuah buku pada tahun lalu.

Turki menduduki tangga pertama dengan 87% responden mengatakan mereka membeli sekurang-kurangnya sebuah buku pada tahun lalu. Ini diikuti dengan Russia 82%, Sepanyol 81%, Thailand 79%, Romania 78% dan Malaysia menduduki tangga ke-6 dengan 76%.

Sebuah kedai buku terpakai di Metro Manila ~ foto spot.ph

Rakyat Filipina lebih gemar membeli daripada meminjam. 54% mengatakan mereka membeli dari gedung buku, 12% meminjam dari kawan-kawan dan 7% meminjamnya daripada perpustakaan.

Menurut jantina, 74% daripada mereka yang membeli buku adalah wanita.

Yang menarik ialah, meskipun mereka rajin membeli buku, 27% daripada rakyatnya tidak banyak membaca ataupun tidak meminati buku. 38% daripada pembaca mendapatkannya secara atas talian.

Kanak-kanak di kampung Sorsogon membaca ~ foto newsinthephillipines

84% daripada pembaca meminati fiksyen. Daripada jumlah itu, 54% adalah peminat novel cinta. 33% pula meminati thriller, pengembaraan 31%, sci-fi 27% dan jenayah, 25%.

42% di kalangan mereka membeli kerana minat membaca. Tetapi 55% daripada mereka memilih jualan murah.

Penyelidikan ini dilaksanakan pada bulan Mac tahun ini yang meliputi 7,400 responden daripada 41 negara di dunia. Berita asal (rappler.com)

Hannibal Lecter: Watak Hitam yang Menyeramkan

Hannibal Lecter: Watak Hitam yang Menyeramkan

THOMAS HARRIS adalah pencipta makhluk yang paling mengerikan. Wataknya Hannibal Lecter adalah di antara watak paling gelap ciptaan penulis pada hari ini.

Watak Hannibal Lecter lakonan Anthony Hopkins ~ foto theindependent

Hannibal adalah pembunuh bersiri yang melahap organ mangsanya. Ia pernah membaham manusia hidup-hidup dengan mengunyah otak mangsanya dengan buah-buahan. Bagaimana pun, penulisnya Thomas Harris tak mengaku yang dia mencipta watak itu.

“Saya tak cipta watak itu. Semua watak itu wujud. Bukannya buat-buat. Kita tak perlu buat apa-apa.”

Harris, 78, masih berkata begitu setiap kali saya bertanya beliau. Jawapan itulah yang menggerunkan saya. Gerun kerana Thomas menghidupkan watak itu melalui pemerhatiannya ke atas manusia yang punyai sisi hitam dalam hidup mereka. Maknanya, manusia begitu memang wujud.

Novelis Thomas Harris – foto theindependent

Hampir 45 tahun Harris menakutkan pembaca dengan novel-novelnya yang menyeramkan. Sejumlah 50 juta naskhah telah terjual. Tetapi kita tidak berapa kenal dengan penulisnya. Dia tidak menghadiri majlis-majlis menandatangani autogeraf buku-bukunya. Dia juga tidak memberi apa-apa temubual sejak tahun 70an lagi kerana berasakan biarlah karyanya sahaja yang mewakili dirinya.

Sudah berdekad-dekad tindakannya yang menyepi diri itu menimbulkan tanda tanya siapakah insan di sebalik watak yang jahat itu. Tetapi yang peliknya, bila Thomas menulis Cari Mora setelah 13 tahun berdiam diri, Thomas senang untuk bercakap apa sahaja tentang novel baharunya.

“Kita pun boleh berubah,”kata Thomas.

Cari Mora mengisahkan seorang wanita pendatang Columbia yang bekerja sebagai pengurus jenazah di sebuah rumah yang pernah didiami oleh raja dadah Pablo Escobar.

Kulit novel Silence of The Lamb ~ foto contentserver

Dia hidup dalam ketakutan kerana pada bila-bila masa, para pegawai imigresen boleh sahaja menarik balik status sementaranya sebagai pendatang. Dan dia juga berdepan dengan dua rangkaian penjenayah yang ingin menggali harta yang tertanam di bangunan tempat kerjanya itu.

Thomas memulakan harinya sekitar jam 8.30 pagi. Dia menulis sehingga jam 2 atau 3 petang sebelum dia makan tengahari dan tidur seketika.

Pada hari-hari tertentu, dia hanya menulis satu perenggan. Kalau dia kekeringan idea, dia akan menulis dengan pena. Menurutnya, menulis adalah sebuah proses yang pasif.

Novelnya bermula dengan apa yang bermain di fikirannya. Kemudian dia akan memikirkan apa yang terjadi sebelum atau selepas itu. Watak-wataknya seolah-olah hidup.

Cari Mora; novel terkini Thomas Harris – foto amazon

“Kadang-kadang saya datang ke pejabat tetapi watak-watak saya tak tiba pun. Saya pun duduk melahu macam orang bodoh. Tetapi kadang-kadang semua watak datang dan saya mesti ada di sana.”

Thomas Harris membesar di sebuah komuniti di Mississippi. Dia mengambil pengajian bahasa Inggeris di Universiti Baylor. Kemudian beliau bertugas sebagai seorang wartawan di Waco, Texas.

Tugasannya sebagai wartawan membawanya hingga ke utara Mexico di mana dia menemui seorang doktor penjara yang menginspirasikan watak Hannibal Lecter.

Novelnya Silence of the Lambs yang mengetengahkan watak Hannibal Lecter terjual berjuta naskhah. Pada tahun 1991, ia diadaptasi kepada filem lakonan Anthony Hopkins dan Jodie Foster. Filem itu memenangi 5 Academy Awards.

Babak filem Silence of the Lambs lakonan Anthony Hopkins dan Jodie Foster ~ foto parkcircus

Kejayaan filem itu menghasilkan dua lagi novel iaitu Hannibal dan Hannibal Rising. Selepas itu para pembaca mula hilang minat pada watak itu.

Namun para wartawa masih tertanya-tanya dari manakah Thomas mendapat idea mengenai watak yang jahat itu. Malah ada yang menganggap Thomas pula yang mereng kerana dapat menghasilkan idea gila itu.

Bila ditanya wartawan mengenai watak itu lagi, Thomas Harris hanya memberi sebuah senyuman sumbing tanpa mengulas apa-apa seolah-olah memberi mesej bahawa soalan itu tidak perlu ditanya lagi.

*Adaptasi tulisan Alexander Alter, The Guardian


APA KOMEN ANDA?

LAYARMINDA memaparkan berita dunia buku dan penulisan di dalam dan luar negara. Apakah artikel di atas ini menarik minat anda ataupun sebaliknya? Sila turunkan komen di petak yang disediakan untuk membantu kami memilih artikel-artikel yang terbaik buat anda.
Terima kasih daripada kami.

Membina Dialog yang Menggetar Rasa

Membina Dialog yang Menggetar Rasa

INGAT tak pada dialog ‘I’ll be back,’ yang dilafaz aktor Arnold Schwarzenegger dalam filem The Terminator? Dialog itu menjadi catchphrase yang popular.

2. Kerana kepopularannya, sebutan robot The Terminator yang bersuara parau itu digunakan berulang lagi dalam siri-siri Terminator kemudiannya. Kekuatan dialog itu menjadikan ia dipilih oleh American Film Institute sebagai di antara 100 Movie Quotes sempena ulangtahun pertubuhan itu yang ke-100.

3. Itulah dialog. Ia membawa kesegaran kepada cerita kerana ia bersifat semasa. Apa maksud bersifat semasa? Lazimnya kita akan dapati dua bentuk pendekatan penceritaan di dalam novel.

4. Pertama, naratif iaitu penceritaan dalam bentuk keterangan. Keterangan ini boleh sahaja mengenai masa lalu, masakini mahupun mengenai masa depan.

5. Kedua, penceritaan melalui dialog. Berbeza dengan naratif atau prosa, sebaik sahaja dialog digunakan, percakapan dua watak yang bertutur akan memberi ‘suara’ kepada pembacaan. Melalui dialog, kita akan ‘mendengar’ percakapan dua watak di dalamnya.

6. Samada pertuturan itu adalah daripada dua pahlawan dahulukala, ayah dan anak yang sedang berbual pada malam tadi mahupun pertuturan dua robot pada tahun 3000, percakapan itu menjadikan penceritaan novel itu bersifat semasa kerana dua watak yang sedang berbual itu muncul di layar minda pembaca.

7. Kerana itu, dialog amat penting untuk menghidupkan novel kerana ia memberi nyawa kepada penceritaan.

8. Bagaimana pun, dialog yang ditulis perlulah menarik. Ada soalan dan jawapan, ada ya dan tidak, ada pro dan kontra. Untuk menjadi tarikan kepada pembacaan, penulis perlu elakkan klise dalam dialog.

9. Dialog seperti ‘Apa khabar?’ yang disebut oleh watak A dan dijawab ‘Khabar baik!’ oleh watak B adalah pembuka kepada kebosanan pembacaan kerana dialog sedemikian adalah kata-kata basa basi yang lazim kita gunakan bila bertemu seseorang.

10. Barangkali, soalan ‘Apa khabar?’ oleh watak A dijawab dengan memutar jawapan oleh watak B seperti ~ ‘Khabar apa yang kau nak? Khabar baik atau khabar buruk?’

11. Jawapan yang tidak klise akan membuat pembaca lebih seronok hendak membaca isi novel itu seterusnya.

12. Soalan ‘Apa khabar?’ juga boleh dijawab ~ ‘Buat apa tanya? Engkau pun tau apa yang menimpa aku!’ ‘Khabar apa-apa ajelah!’ atau ‘Khabar baik, sangat-sangat!’

13. Pendek kata, perkataan yang diguna di dalam dialog boleh memberi imbasan dan membina persepsi mengenai mood perhubungan di antara watak A dan watak B. Sebaiknya, dialog yang digunakan mestilah mengikut suasana yang ingin digambarkan.

14. Andainya dalam keadaan tenang, ayat yang diguna bolehlah panjang, panjang. Sebaliknya dalam keadaan cemas, gunakan ayat yang pendek-pendek. Orang yang cemas tak cukup nafas, sebab itu ayatnya pendek-pendek.

Novelis Turki Terancam Akibat Kritikan Netizen

Novelis Turki Terancam Akibat Kritikan Netizen

SEORANG novelis Turki yang terkenal, Elif Shafak menggesa masyarakat antarabangsa menunjukkan sokongan terhadap penulis, wartawan dan ahli-ahli akademik Turki kerana menurutnya, unsur-unsur demokrasi di negara itu sedang menghadapi kehancuran.

Elif Shafak – foto shutterstock & vulture

Gesaan beliau itu berikutan dengan penahanan novelis Abdullah Sevki yang menulis adegan keganasan seksual terhadap kanak-kanak di dalam novelnya berjudul Zumrut Apartment.

Berita berkaitan: https://layarminda.com/2019/05/31/novelis-turki-dan-penerbit-ditahan-kerana-tulis-cerita-pedofil/

Elif juga turut menerima ribuan cemuhan netizen kerana beberapa perenggan tulisannya di dalam novel The Gaze dan The Daughters fo Eve yang dikatakan panas. Seorang lagi novelis, Ayse Kulin juga telah dicemuh kerana kandungan sebuah novelnya yang berjudul Voices in the Night.

Dilaporkan satu daripada tiga perkahwinan di Turki adalah kanak-kanak ~ foto Al-Monitor

Turki adalah di antara negara yang berdepan dengan masalah keganasan rumahtangga. Di kalangan negara-negara Eropah, kadar perkahwinan kanak-kanak di Turki adalah yang tertinggi.

Keadaan ini mengundang para penulisnya untuk menyentuh masalah ini dalam bentuk kreatif. Elif berasa kecewa dengan apa yang berlaku. Katanya, “Dalam semua novel, saya memberi suara kepada yang bisu. Saya menulis mengenai kaum minoriti, golongan tersisih, yang terbiar dan yang tersingkir. Saya merakam kisah malang mereka.

Sebab itulah, saya berasa amat malang seandainya kita tidak ubah undang-undang, bina rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak serta memperbaiki keadaan mangsa. Sebaliknya masyarakat menyerang penulis fiksyen pula. Ini yang menyedihkan.”

Novel 10 Minutes, 38 Seconds in this Strange World ~ foto Penguin Books

Secara kebetulan, novel terkini Elif berjudul 10 Minutes, 38 Seconds in this Strange World memaparkan kes pembunuhan seorang pekerja seks. Berikutan itu, beliau berdepan dengan beribu-ribu troll dan kritikan.

Masyarakat Turki tiba-tiba tersentap dengan tulisan yang mengandungi unsur-unsur keganasan terhadap kanak-kanak dan jenayah pedofil berikutan dengan penemuan mayat Ecrin Kurnaz. Ecrin adalah seorang kanak-kanak berusia satu setengah tahun dilaporkan telah dirogol dan dibunuh oleh saudara terdekatnya.

Kes itu mendapat liputan secara besar-besaran dan menjadi tajuk bicara di rangkaian televisyen di negara itu. Tiba-tiba, seorang netizen mengambil fragmen novel tulisan Abdullah Sevki yang punyai unsur pedofil seperti kes Ecrin di media sosial.

Ecrin Kurnaz, kanak-kanak malang yang terbunuh – foto haberturk

Paparan itu menular hingga mengakibatkan Abdullah ditahan. Golongan netizen mula mencari karya-karya lain yang menyentuh mengenai keganasan seksual termasuklah karya Elif Shafak.

Apakah situasi yang sama akan terjadi seandainya terdapat novelis di Malaysia menyentuh hal-hal yang sensitif di dalam karya mereka? Barangkali sukar terjadi kerana di negara ini, kita sensitif kepada hal-hal politik sahaja.

Hal-hal yang lebih serius seperti masalah sosial, ekonomi, agama dan juga ras tidak disentuh oleh golongan novelis kita, barangkali kerana isu-isu tersebut kurang mendapat sambutan pembaca.

Abdullah Sevki, novelis yang terpalit akibat unsur panas di dalam novelnya – foto haber.sol

Novelis di negara kita adalah golongan yang pragmatik. Kisah cinta dan seram lebih laris. Untuk apa menulis sesuatu yang akan mendatangkan masalah di kemudian hari?

Sumber berita:
https://www.theguardian.com/world/2019/jun/02/elif-shafak-turkish-novelist-calls-for-support-writers-face-crackdown


APA KOMEN ANDA?

LAYARMINDA memaparkan berita dunia buku dan penulisan di dalam dan luar negara. Apakah artikel di atas ini menarik minat anda ataupun sebaliknya? Sila turunkan komen di petak yang disediakan untuk membantu kami memilih artikel-artikel yang terbaik buat anda.
Terima kasih daripada kami.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]