Siri The Hunger Games Disambung Lagi!
10 TAHUN setelah menamatkan kisah The Hunger Games, penulisnya Suzanne Collins akan membawa para pembacanya kembali ke negara Panem. Tidak lama lagi, sebuah prekuel yang berlatarkan masa 64 tahun sebelumnya akan menemui para pembaca pada tahun hadapan.

Novel yang masih belum berjudul itu membawa ke latar masa Dark Days, yang mengisahkan pemberontakan rakyat yang gagal. Jika kita masih ingat, Hunger Games adalah novel mengenai remaja yang dipaksa untuk berbunuhan sesama sendiri. Dan semua kejadian itu dipaparkan sebagai rancangan realiti di televisyen.
“Dengan buku ini, saya ingin meneroka alam untuk menilai siapa kita dan apa yang perlu kita buat untuk memanjangkan hayat,” kata Suzanne. “Era pembangunan semula Panem, 10 tahun sesudah pemberontakan memberi ruang kepada watak-wataknya untuk mencari jawapan terhadap kemanusiaan.”

Ellie Berger, Presiden Scholastic Trade Publishing, iaitu syarikat penerbitan yang bakal menerbitkan novel itu berkata, “Sebagai penerbit dan juga pembaca, kami berasa teruja untuk membawa siri novel ini sebagai sebuah klasik moden.”
Michael Burns, Timbalan Pengerusi Liongate, syarikat perfileman yang menerbitkan siri-siri Hunger Games pula berkata, “Kami tak sabar menanti novel Suzanne. Kami sering berbincang dengan beliau sewaktu dia menulis dan mengharap akan dapat bekerjasama dalam penerbitan filemnya.”
Tiga buku Hunger Games, ~ The Hunger Games, Catching Fire dan Mockingjay terjual lebih 100 juta naskhah dan telah diterjemah ke dalam 50 bahasa.

Suzanne tertarik untuk mengupas isu peperangan kerana bapanya adalah seorang pegawai Tentera Udara yang pernah berkhidmat di Vietnam. Dalam sebuah temubual dengan Associated Press pada tahun 2010, beliau menceritakan bagaimana dia mendapat idea dan konsep Hunger Games.
Pada suatu malam, beliau kerap menukar saluran televisyen di antara sebuah rancangan realiti dan peperangan di Iraq. Gabungan rancangan realiti dan peperangan itulah yang menghasilkan konsep Hunger Games yang menjadi kesukaan ramai itu.
Pautan asal dari Associated Press:
https://www.apnews.com/bf66ec53bf954dcea4c147fe38e93fe2
Penulis Uighur Mati di Kem Tahanan
PERGINYA penulis tersohor Uighur, Nurmuhammad Tohti dalam salah sebuah kem tahanan di Xinjiang adalah suatu kehilangan yang tragis.

Radio Free Asia melaporkan, Nurmuhammad, 70, telah ditahan dalam salah sebuah kem tahanan dari November 2018 hingga Mac 2019. Cucu allahyarham, Zorigul yang tinggal di Kanada berkata, datuknya tidak diberi layanan perubatan untuk penyakit diabetis dan penyakit jantungnya. Sebaliknya, allahyarham dikeluarkan dari kem hanya setelah laporan perubatan menyatakan bahawa beliau sudah tidak boleh dipulihkan lagi.

Kata Zorigul lagi, dia hanya mengetahui berita kematian datuknya setelah 11 hari ia berlaku kerana keluarganya di Xinxiang bimbang, sekiranya mereka menghebahkan kematian itu, mereka pula yang akan ditahan.
Seorang lagi cucu Nurmuhammad, Berna Ilchi memberitahu Voice of America, dia tidak tahu samada datuknya kembali ke rahmatullah ketika di dalam ataupun di luar kem kerana keluarganya bimbang, talian telefon mereka diintip. “Hakikatnya, mereka telah menahan seorang tua berusia 70 tahun yang menghidap diabetis dan jantung di dalam sebuah kem tahanan. Mereka tak boleh nafikan perbuatan keji ini,” katanya.

Cucu lelaki Nurmuhammad, Babur Ilchi mengesahkan bahawa neneknya telah mengkhabarkan berita sedih ini. Tetapi, neneknya pula menerima ugutan dari pihak pemerintah. “Setelah menelefon saya, nenek saya menerima mesej daripada kerajaan China. Mereka berkata, beliau telah menjawab sebuah panggilan antarabangsa dan ini amat berbahaya! Dia hanya menyampaikan berita yang datuk kami telah meninggal dunia. Kenapa perbuatan yang begitu pun akan diambil tindakan?”
“Allahyarham adalah seorang penulis yang dihormati. Beliau tidak ada kaitan langsung dengan keganasan seperti apa yang kerajaan China dakwa. Malah allahyarham sepatutnya mendapat layanan yang baik. Begitu juga dengan jutaan kaum Uighur yang sedang merana di kem-kem ini!”

PEN America, sebuah NGO yang memperjuangkan kebebasan bersuara memandang jijik terhadap tindakan kerajaan China. Pengarahnya, Summer Lopez berkata, “layanan yang tidak berperikemanusiaan di kem-kem pemulihan ini menunjukkan pencabulan kebebasan bersuara kerajaan China.
Kematian Nurmuhammad adalah kehilangan besar buat komuniti Uighur apabila kerajaan China cuba menghapuskan budaya dan kehidupan intelektual komuniti itu.”
Pautan asal berita: https://www.theguardian.com/books/2019/jun/19/uighur-author-dies-following-detention-in-chinese-re-education-camp
Kenapa Kedai Buku Makin Sunyi?
HUJUNG minggu lalu saya ke gedung buku yang dah lama saya tidak kunjungi. Premisnya yang terletak di sebuah kompleks membeli belah itu kelihatan cantik berseri kerana terang dengan lampu-lampunya. Pencahayaan yang terang adalah di antara elemen penarik para pelanggan, sesuai sebagai sebuah kedai buku.
Ia berbeza dengan penataan cahaya kafe yang sedikit suram agar pelanggan dapat merehatkan mata dan fikiran atau pencahayaan di disko yang gelap tetapi disimbahi lampu-lampu yang berkelip-kelipan untuk merangsang naluri semi-fantasi. Yang pasti, pencahayaan di panggung wayang seharusnya gelap gelita di waktu tayangan filemnya.
Saya perhati ke sekeliling sebaik sahaja melangkah masuk. Terdapat rak buku-buku baharu. Di dinding berhampiran pintu masuk juga terdapat carta buku terlaris dan naskhah-naskhah buku yang terpilih. Kemudian terdapat rak demi rak yang dipenuhi buku kategori undang-undang, ekonomi, bisnes, pengurusan, motivasi, biografi, novel, buku-buku teks dan komik.
Saya juga nampak kedai buku itu kini dipenuhi dengan alat-tulis. Pen, pensil, pensil warna, kertas, klip dan apa sahaja nampaknya sudah menakluki sepertiga ruang di kedai buku itu. Saya terpandang dua petugas sedang menyusun fail-fail dan aksesori meja. Wah, nampaknya barang-barang alat tulis akan mengambil lebih ruang dalam seminggu dua lagi.
Saya ke rak buku-buku pemasaran. Mencari sebuah buku berjudul ‘Positioning: The Battle for Your Mind’ kerana buku yang saya ada dah hilang dari simpanan. Saya berdiri, meneleng, membongkok dan mencangkung mencari buku itu. Tapi tak jumpa. Saya pandang ke sekeliling mencari bantuan petugas.
Ada tiga orang petugas di luar kaunter. Mereka kesemuanya sedang sibuk menyusun alat tulis di rak, mengalih buku dan menyusun buku-buku dari kotak. Saya gamit salah seorang dari mereka. Sambil tersenyum, gadis itu datang menghampiri. Saya jelaskan hasrat saya.
Agaknya beban buku yang ditatangnya itu berat. Sambil menggunakan bibirnya untuk mengunjuk arah, dia berkata kesemua buku-buku pemasaran hanya terdapat di rak di sebelah saya. Katanya lagi, jika tak terdapat buku yang dikehendaki itu di situ, bermakna di kedai buku itu tiada judul buku yang dimaksudkan.
Baharu sahaja saya hendak membuka mulut bertanya mengenai sebuah judul buku yang lain, gadis itu sudah pun berlalu. ‘Oh, dia sibuk,’ kata saya di dalam hati seraya mengeluh. Memang saya dah anggap situasi ini akan terjadi di kedai buku. Malah sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan kedai buku.
Hingga saya punyai tanggapan, apabila kita ke kedai buku, bersedialah untuk mencari buku sendiri, membelek, membayar dan kemudiannya nyah dari situ. Dari saat kita masuk ke kedai dan keluar setelah membayar atau jika tidak jadi membeli pun, jangan hairan seandainya kita tidak disapa langsung oleh promoter buku.
Situasinya berbeza apabila kita pergi ke kedai mekap, kedai kasut, kedai komputer, kedai perabot, kedai jamu, kedai farmasi dan kedai pakaian. Ada premis perniagaan yang menyuruh para petugasnya memberi ucapan ‘selamat datang’ secara serentak sebaik sahaja kita melangkah masuk ke kedai mereka. Mat Bangla di stesen minyak pun menyapa kita meskipun kita gerenti membeli minyak apabila ke stesen.
Pantang apabila melihat kita berkeliaran atau melilau… pasti salah seorang promoter di mana-mana kedai pun akan menghampiri untuk membantu. Namun, apabila kita ke kedai buku situasinya… hmm.
Sebenarnya, sikap tuanpunya perniagaan yang tidak melatih para promoternya untuk mempelajari product knowledge itulah yang menjadikan para petugas mereka tidak petah dan ramah melayani para pelanggan di kedai buku. Seandainya melayani para pelanggan dijadikan prosedur standard operasi, pasti lebih ramai dari para pelanggan yang datang ke kedai buku akan keluar dengan pembelian.
Kedai buku merupakan point of sales. Bagaimana sesebuah buku yang dikarang selama berbulan-bulan, dicetak beribu naskhah, dipromosi di pelbagai media ataupun diperkenalkan secara tular sesama peminat buku di media social itu tidak memperoleh keistimewaan yang sepatutnya apabila ia terpamer di kedai-kedai buku?
Sikap endah tak endah terhadap buku-buku itu sendiri merupakan suatu ketidakadilan kepada industri buku itu sendiri. Ia menggambarkan parahnya mereka di dalam hiliran industri kerana tidak bersungguh-sungguh menjual buku. Kerana itu, jangan mengeluh seandainya jualan buku merudum.
Jika aspek mempromosi buku secara one-to-one ini tidak ditangani segera, apa nak hairan jika rakyat Malaysia kembali untuk membaca hanya dua halaman setahun seperti laporan tabiat membaca oleh UKM pada tahun 1997 atau lebih buruk lagi hanya membaca satu halaman setahun seperti kajian UPM pada tahun 1983.
Apabila itu terjadi, kita mengundur lebih 30 tahun ke belakang dalam usaha menjadikan membaca suatu budaya.
Siswa Dilarang Sertai Perasmian Pesta Buku
UNIVERSITI KASHMIR telah melarang para pelajarnya menghadiri majlis perasmian pesta buku yang diadakan di Auditorium Ibn Khaldun.
Sejak pagi hari majlis perasmian, pihak polis telah menutup jalan masuk ke auditorium itu dengan trak dan padat dengan anggota yang berkawal.

Tolak menolak telah berlaku apabila sekumpulan para pelajar cuba masuk ke auditorium.
“Seluruh kampus sudah menjadi seperti kem militari untuk memberi laluan kepada Dr. Farooq Abdullah. Ada di antara para pelajar yang cuba masuk ke auditorium tetapi telah diusir keluar oleh pihak polis!” kata para pelajar.

Para pelajar berkata, mereka bukannya menentang pesta buku, tetapi menentang pestabuku yang dipolitikkan.
Siapakah Dr. Farooq Abdullah? Penyelidikan LAYARMINDA mendapati, beliau dikatakan menyokong perjuangan pemisahan wilayah Kashmir, meskipun beliau adalah Ahli Parlimen India. Gerakan pemisahan pula dikatakan mendapat sokongan kerajaan Pakistan.

Pendirian beliau itu mendapat tentangan sehingga satu petisyen siasatan terhadapnya dikemukakan oleh para pengkritiknya di change.org

Pesta buku itu bermula hari ini dan berakhir 23 Jun.
Pautan berita:
https://kashmirreader.com/2019/06/15/ku-students-barred-to-attend-book-fair-inauguration-program-held-inside-campus/
Pesta Buku Untuk Para Seniman – Singapore Art Book Fair
Sebuah pesta buku untuk para seniman bakal diadakan di Singapura tidak lama lagi. The Singapore Art Book Fair (SGABF) bakal berlangsung dari 28 – 30 Jun di NTU CCA Exhibition Hall. Pesta yang telah dianjurkan sejak 2013 ini akan mengetengahkan lebih 80 pempamer tempatan dan antarabangsa.

Selain daripada buku-buku seni, katalog, monogeraf dan zine akan dipamerkan untuk orang ramai. Pada tahun ini pesta ini akan dianjurkan oleh NTU Centre for Contemporary Art Singapore.
Di antara acaranya adalah:
Persembahan muzik secara live dari Bani Haykal & Ferry. Pemuzik Kin Leonn juga akan mengadakan persembahan.

The Bookshow pula adalah pameran buku foto yang dihasilkan oleh 10 artis dan jurufoto antarabangsa.
Menariknya untuk kali ini, Singapore Art Book Fair bakal mengadakan perkongsian bersama dengan Facebook Art Depatment mengenai progam Facebook Artist in Residence (AIR). Program yang bermula di San Fransisco Bay Area ini merupakan program budaya alternatif yang di-integrasikan dengan budaya penggodam (hacker culture) syarikat Facebook! Artis AIR tempatan akan turut berkongsi bagaimana menghidupkan seni analog dalam dunia digital di dalam sesi tersebut.
Kita belum ada lagi pesta buku seniman di Malaysia. Barangkali, pesta seni grafik Rantai Art Festival boleh diangkat ke tahap yang lebih tinggi dan antarabangsa. Cuma ia perlu menambah peratusan buku-buku pula sebagai bahan pameran.
Satu lagi pesta buku yang perlu ada di Malaysia semestinya Pesta Makan Buku!
APA KOMEN ANDA?
LAYARMINDA memaparkan berita dunia buku dan penulisan di dalam dan luar negara. Apakah artikel di atas ini menarik minat anda ataupun sebaliknya? Sila turunkan komen di petak yang disediakan untuk membantu kami memilih artikel-artikel yang terbaik buat anda.
Terima kasih daripada kami.


