PERGINYA penulis tersohor Uighur, Nurmuhammad Tohti dalam salah sebuah kem tahanan di Xinjiang adalah suatu kehilangan yang tragis.

Allahyarham Nurmuhammad Tohti, berfoto dalam sebuah perjumpaan di Urumqi, Xinxiang, China ~ foto Abduweli Ayup

Radio Free Asia melaporkan, Nurmuhammad, 70, telah ditahan dalam salah sebuah kem tahanan dari November 2018 hingga Mac 2019. Cucu allahyarham, Zorigul yang tinggal di Kanada berkata, datuknya tidak diberi layanan perubatan untuk penyakit diabetis dan penyakit jantungnya. Sebaliknya, allahyarham dikeluarkan dari kem hanya setelah laporan perubatan menyatakan bahawa beliau sudah tidak boleh dipulihkan lagi.

Dilaporkan terdapat 1.8 juta kaum Uighur disumbat ke kem tahanan di Xinxiang ~ foto voiceofamerica

Kata Zorigul lagi, dia hanya mengetahui berita kematian datuknya setelah 11 hari ia berlaku kerana keluarganya di Xinxiang bimbang, sekiranya mereka menghebahkan kematian itu, mereka pula yang akan ditahan.

Seorang lagi cucu Nurmuhammad, Berna Ilchi memberitahu Voice of America, dia tidak tahu samada datuknya kembali ke rahmatullah ketika di dalam ataupun di luar kem kerana keluarganya bimbang, talian telefon mereka diintip. “Hakikatnya, mereka telah menahan seorang tua berusia 70 tahun yang menghidap diabetis dan jantung di dalam sebuah kem tahanan. Mereka tak boleh nafikan perbuatan keji ini,” katanya.

Babur Ilchi, cucu Nurmuhammad mendapat berita kematian dari neneknya ~ foto twitter

Cucu lelaki Nurmuhammad, Babur Ilchi mengesahkan bahawa neneknya telah mengkhabarkan berita sedih ini. Tetapi, neneknya pula menerima ugutan dari pihak pemerintah. “Setelah menelefon saya, nenek saya menerima mesej daripada kerajaan China. Mereka berkata, beliau telah menjawab sebuah panggilan antarabangsa dan ini amat berbahaya! Dia hanya menyampaikan berita yang datuk kami telah meninggal dunia. Kenapa perbuatan yang begitu pun akan diambil tindakan?”

“Allahyarham adalah seorang penulis yang dihormati. Beliau tidak ada kaitan langsung dengan keganasan seperti apa yang kerajaan China dakwa. Malah allahyarham sepatutnya mendapat layanan yang baik. Begitu juga dengan jutaan kaum Uighur yang sedang merana di kem-kem ini!”

PEN AMERICA memaparkan wajah-wajah tahanan yang terdiri daripada penulis dari kaum Uighur ~ foto chinesepen.org

PEN America, sebuah NGO yang memperjuangkan kebebasan bersuara memandang jijik terhadap tindakan kerajaan China. Pengarahnya, Summer Lopez berkata, “layanan yang tidak berperikemanusiaan di kem-kem pemulihan ini menunjukkan pencabulan kebebasan bersuara kerajaan China.

Kematian Nurmuhammad adalah kehilangan besar buat komuniti Uighur apabila kerajaan China cuba menghapuskan budaya dan kehidupan intelektual komuniti itu.”

Pautan asal berita: https://www.theguardian.com/books/2019/jun/19/uighur-author-dies-following-detention-in-chinese-re-education-camp