10 TAHUN setelah menamatkan kisah The Hunger Games, penulisnya Suzanne Collins akan membawa para pembacanya kembali ke negara Panem. Tidak lama lagi, sebuah prekuel yang berlatarkan masa 64 tahun sebelumnya akan menemui para pembaca pada tahun hadapan.

Katniss Everdeen, watak utama siri The Hunger Games lakonan Jeniffer Lawrence ~ foto screenrant
Katniss Everdeen, watak utama siri The Hunger Games lakonan Jeniffer Lawrence ~ foto screenrant

Novel yang masih belum berjudul itu membawa ke latar masa Dark Days, yang mengisahkan  pemberontakan rakyat yang gagal. Jika kita masih ingat, Hunger Games adalah novel mengenai remaja yang dipaksa untuk berbunuhan sesama sendiri. Dan semua kejadian itu dipaparkan sebagai rancangan realiti di televisyen.

 “Dengan buku ini, saya ingin meneroka alam untuk menilai siapa kita dan apa yang perlu kita buat untuk memanjangkan hayat,” kata Suzanne. “Era pembangunan semula Panem, 10 tahun sesudah pemberontakan memberi ruang kepada watak-wataknya untuk mencari jawapan terhadap kemanusiaan.”

Suzanne Collins, novelis pencipta siri The Hunger Games ~ foto upicom
Suzanne Collins, novelis pencipta siri The Hunger Games ~ foto upicom

Ellie Berger, Presiden Scholastic Trade Publishing, iaitu syarikat penerbitan yang bakal menerbitkan novel itu berkata, “Sebagai penerbit dan juga pembaca, kami berasa teruja untuk membawa siri novel ini sebagai sebuah klasik moden.”

Michael Burns, Timbalan Pengerusi Liongate, syarikat perfileman yang menerbitkan siri-siri Hunger Games pula berkata, “Kami tak sabar menanti novel Suzanne. Kami sering berbincang  dengan beliau sewaktu dia menulis dan mengharap akan dapat bekerjasama dalam penerbitan filemnya.”

Tiga buku Hunger Games, ~ The Hunger Games, Catching Fire dan Mockingjay terjual lebih 100 juta naskhah dan telah diterjemah ke dalam 50 bahasa.

Tiga novel The Hunger Games, Catching Fire dan Mockingjay ~ foto amazon
Tiga novel The Hunger Games, Catching Fire dan Mockingjay ~ foto amazon

Suzanne tertarik untuk mengupas isu peperangan kerana bapanya adalah seorang pegawai Tentera Udara yang pernah berkhidmat di Vietnam. Dalam sebuah temubual dengan Associated Press pada tahun 2010, beliau menceritakan bagaimana dia mendapat idea dan konsep Hunger Games.

Pada suatu malam, beliau kerap menukar saluran televisyen di antara sebuah rancangan realiti dan peperangan di Iraq. Gabungan rancangan realiti dan peperangan itulah yang menghasilkan konsep Hunger Games yang menjadi kesukaan ramai itu.

Pautan asal dari Associated Press:
https://www.apnews.com/bf66ec53bf954dcea4c147fe38e93fe2