Bagaimana agaknya bila kita dihulur sebuah buku yang boleh dimakan? Pelik sememangnya pelik. Tetapi buku yang boleh dimakan ini wujud. Dua orang individu yang berasal dari Amerika telah menghidupkan idea buku-buku yang boleh dimakan. Malah, mereka telahpun menganjurkan pesta.
Pesta Makan Buku Antarabangsa (International Edible Book Festival) adalah acara tahunan yang berlangsung bermula pada 1 April di seluruh dunia. Acara ini menyatukan peminat buku dan pencinta makanan untuk meraikan budaya membaca dan makanan.
Acara global telah diraikan sejak tahun 2000 di pelbagai tempat di dunia di mana ‘buku yang boleh dimakan’ akan dicipta dan dipaparkan. Hasil-hasil ini akan didokumenkan dan kemudian menjadi hidangan untuk dimakan.
Edible Book adalah kolaborasi Judith A. Hoffberg dan BÈatrice Coron. Judith mendapat idea melalui ayam belanda hari kesyukuran bersama dengan seorang artis buku pada tahun 1999. BÈatrice kemudiannya mencipta laman web Books2Eat di mana setiap orang boleh menyertai acara ini di seluruh dunia. Acara pertama Pesta Makan Buku Antarabangsa adalah pada tahun 2000. BÈatrice menguruskan laman web pesta buku itu.
Menurut laman web rasmi, Books2Eat, Pesta Makan Buku Antarabangsa diadakan untuk memperingati “hari lahir Chef Perancis yang terkenal, Jean Anthelme Brillat-Savarin (1755-1826), yang terkenal dengan bukunya Physiologie du go˚t, atau meditasi ceria tentang makanan. 1 April juga merupakan April Fools, di mana hari juga dikaitkan sebagai “hari yang sempurna untuk makan kata-kata anda dan bermain dengan mereka sebagai ‘buku’ dimakan pada hari kejadian.’
Semua penyertaan untuk pesta ini mestilah bertemakan buku, iaitu, melalui penyepaduan teks, inspirasi sastera atau bentuk buku tersebut. Organisasi atau peserta individu mesti mendaftar dengan organisasi Books2Eat. Laman ini kemudiannya akan mengumpul gambar untuk diterbitkan dalam buku.
Di Malaysia, agaknya buku apa yang boleh dijadikan buku makan? Bagi penulis, ada ramai chef yang menulis buku. Seronok juga kalau Chef Wan atau Chef Norzailina Nordin membuat buku masak yang kemudiannya boleh terus dimakan!
Rasanya, Pesta Makan Buku Antarabangsa belum lagi tiba di Malaysia. Barangkali Majlis Buku Kebangsaan Malaysia boleh meneliti dan menganjurnya nanti. Kelakar tapi menarik!