Searching for Sylvie Lee Novel Pilihan Kelab Buku!

Buku ini dinanti-nantikan oleh: New York Times – Time – Marie Claire – Elle – Buzzfeed – Huffington Post – Good Housekeeping – The Week – Goodreads – New York Post – Publishers Weekly
Sebuah kisah yang memilu dan mendebarkan mengenai hubungan antara tiga wanita – dua beradik dan ibunya. Sebuah keluarga imigran Cina kehilangan Sylvie, anak perempuan keluarga Lee yang cantik, cemerlang dan berjaya. Dia terbang ke Belanda untuk bertemu dengan neneknya. Dan dia hilang!

Amy, adik kepada Sylvie selalu memandang kakaknya, seorang pelindung yang berani dan melindunginya dengan kasih sayang.
Tetapi apa yang berlaku kepada Sylvie? Amy dan ibu bapanya terdesak untuk mencari jawapan. Selama ini, Sylvie sentiasa menjaga mereka. Sekarang, giliran Amy untuk membantu. Takut tapi dengan penuh azam, Amy menjejak pergerakan kakaknya.
Dia terbang ke tempat terakhir Sylvie. Tetapi dia tidak menemui jawapan. Sebaliknya, dia menemui sesuatu yang lebih berharga iaitu kebenaran. Rupa-rupanya Sylvie menyimpan rahsia yang menyakitkan. Dan rahsia itu mendedahkan lebih banyak mengenai keluarga Amy – dan dirinya sendiri.

APA KATA JEAN KWOK KEPADA ENTERTAINMENT WEEKLY MENGENAI NOVELNYA
Mengenai naratif:
“Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris,” kata Jean. “Tetapi dialog dalaman watak-watak utamanya menggunakan bahasa ibunda. Si ibu berfikir dalam bahasa China, Sylvie dalam bahasa Belanda dan Amy pula dalam bahasa Inggeris.” Kata Jean lagi, “Masalah akan timbul pada keluarga imigran apabila perhubungan mereka dibatasi dengan bahasa.”
Watak-watak yang tidak sempurna:
“Saya suka pada watak-watak yang tidak sempurna,” ujar Jean. “Mereka tidak sempurna bukan kerana mereka kaki minum, penagih dadah atau gila. Mereka tidak sempurna kerana mereka manusia. Watak-watak itu tidak sempurna macam kita juga!”
Novel pencetus perbincangan:
Ada pembaca yang menyentuh betapa Jean bermain dengan isu perkauman. Tetapi bagi Jean, ada juga isu-isu lain yang diketengahkan. “Ada banyak yang boleh dibicarakan seperti perbezaan sesama keluarga, skandal percintaan, rahsia keluarga yang tersorok kerana sesuatu sebab.”
Walau apa pun, novel SEARCHING FOR SYLVIE LEE adalah novel pilihan pelbagai kelab buku.
*Jean Kwok adalah penulis novel MAMBO IN CHiNATOWN dan GIRL IN TRANSLATION
BD link
Jom kita tonton video komen pembaca mengenai buku ini!
Berminat untuk mendapatkan buku ini? Boleh buat demikian di link berikut:
15 Suspek Ditahan Merompak Buku Ala Mission Impossible
28 JUN 2019 – SEJUMLAH buku bernilai €2 juta (RM9 juta) telah dirampas dan 15 suspek ditahan oleh pihak berkuasa Romania, British dan Itali. Ia adalah sebahagian penyiasatan kecurian lebih 160 naskhah buku-buku antik termasuk edisi asal karya Galileo Galilei dan Isaac Newton. Kesemua yang ditahan adalah warga Romania.

Organisasi penjenayah antarabangsa diketahui terlibat dalam siri rompakan di sekitar Eropah. Menurut Eurojust, sebuah unit kerjasama perundangan European Union, kumpulan itu mencuri buku-buku yang akan dipamerkan di pesta buku di Los Angeles, AS.
Dengan menggunakan modus operandi ala filem Mission Impossible, mereka memecah masuk ke gudang di Feltham, United Kingdom pada Januari 2017 untuk mengangkut buku-buku curi itu.

Anggota kumpulan itu memasuki bumbung gudang tempat simpanan buku-buku itu melalui lubang di kaca gentian sebelum menggelongsor dengan tali dari ketinggian 40 kaki. Pencerobohan mereka tidak dapat dikesan oleh alat penggera.
Empat kontena telah diumpil dan buku-buku itu diangkat ke bumbung dengan tali sebelum dimasukkan ke dalam sebuah van yang menanti.

Salah sebuah buku yang amat bernilai ialah salinan tulisan ahli astronomi Nicolaus Copernicus di mana beliau mengesahkan bumi mengelilingi matahari dan bukan sebaliknya. Buku itu dianggarkan bernilai 240,000 Euro.
Eurojust bekerjasama dengan Interpol dan juga pihak keselamatan Romania, United Kingdom dan Itali untuk membanteras penjenayah-penjenayah itu.
LAPORAN AKHBAR EVENING STANDARD PADA TAHUN 2017
SEBUAH kumpulan memecah masuk ke dalam gudang yang menyimpan buku-buku bernilai tinggi dari sebuah gudang berhampiran dengan Lapangan Terbang Heathrow. Menurut badan perisikan British Scotland Yard, mereka membawa lari lebih 160 naskhah buku-buku bernilai jutaan Euro.
Menurut laporan akhbar Evening Standard, mereka merompak di antara 29 hingga 30 Januari di mana tiga orang pencuri telah memecah masuk ke gudang dari arah bumbung dan melarikan 160 naskhah buku-buku berharga.

Kebanyakan daripada buku-buku yang dicuri adalah terbitan kurun ke-15 dan ke-16 yang akan dibawa ke sebuah pesta buku di California. Ia termasuk buku paling berharga terbitan tahun 1566 karya Nicolaus Copernicus yang memaparkan penemuan bahawa bumi mengorbit matahari dan bukan sebaliknya. Buku tulisan Isaac Newton terbitan 1777 mengenai prinsip matematik, buku tulisan Leonardo Da Vinci terbitan 1651 dan juga buku-buku galileo, Euripedes dan Aesop.
Kumpulan perompak menghabiskan beberapa jam untuk memilih buku-buku yang dikehendakki dan meninggalkan yang lain. Buku-buku itu kemudiannya diangkut naik ke bumbung dengan menggunakan beg besar yang diikat dengan tali.
Pautan asal dari EU-OCS:
https://www.standard.co.uk/news/crime/rare-antique-books-worth-2-million-stolen-in-mission-impossible-heist-in-west-london-a3464706.html
Mengapa Tauke Kedai Buku di Bangladesh Menjadi Buruh Kontrak di Singapura?
GOLONGAN pekerja binaan di Singapura adalah kelompok yang bertungkus lumus sehari suntuk dengan gaji yang sedikit. Mereka tinggal di asrama yang sesak demi membangunkan Kota Singa. Bagaimana pun, mereka tidak dipandang oleh warga kotaraya Singapura.

Kini seorang lelaki Bangladesh cuba memberi sinar kepada ribuan buruh kasar yang datang dari wilayah miskin di Asia itu.
M.D. Sharif Uddin, 40, telah menulis koleksi catatan diari dan puisi. Stranger to Myself atau Asing pada Diriku adalah karyanya yang mengisahkan suka duka hidupnya di Singapura. Ia menceritakan harapan tinggi yang dia bawa tatkala menjejakkan kakinya ke Singapura dan juga saat-saat jiwanya yang merana apabila mengharungi detik-detik merindui keluarga yang ditinggalkan.

“Orang tak akan faham apa yang kami harungi. Mereka di kampung ingat kami hidup mewah di rantau orang,” kata Sharif. “Walaupun dah 11 tahun berlalu, saya masih berjuang untuk hidup.”
Terdapat 280,000 pekerja kontrak di bandaraya yang punyai populasi 5.6 juta ini. Bandaraya Singapura telah berdekad-dekad dibangunkan dari sebuah tempat perdagangan kepada hub kewangan.

Sharif bukanlah seperti lain-lain pekerja asing. Dia punyai sebuah kedai buku di Bangladesh. Tetapi keadaan begitu sukar hingga Sharif terpaksa meninggalkan isterinya yang sedang mengandung untuk mencari kerja di Singapura.
Tetapi, dia tidak bersedia dengan kehidupan baharunya ini. Di Bangladesh, dia adalah bos kedai buku. Kini dia seorang buruh dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam membanting tulang empat kerat demi kehidupan. Dia tinggal di rumah yang menempatkan 25 orang pekerja lain sepertinya.

Dia bekerja 28 hari sebulan. Jika ada kerja lebih masa, dia tak akan dapat bercuti walaupun sehari. Gajinya dahulu RM55 sehari sebagai buruh. Kini, dengan jawatan sebagai penyelia keselamatan, gajinya mencecah RM152 sehari.
Kerana itulah, di waktu luangnya, Sharif Uddin menulis. “Kadangkala saya terasa kesunyian dalam kebisingan kumpulan pendatang. Terasa berusia meskipun saya bolehlah dikatakan masih muda.”
Sharif rajin membaca. Sudah lama dia menyimpan sebuah diari dan menulis puisi. Hasil karyanya menjadi perhatian apabila dia mengirim puisinya ke sebuah penerbitan Bengali di Singapura pada tahun 2013.
Dia mula dijemput ke majlis bacaan puisi dan bicara buku. Akhirnya puisi-puisinya diterjemah ke bahasa Inggeris dan lahirlah buku : Stranger to Myself: Diary of a Bangladeshi in Singapore.
Buku itu diterbitkan pada tahun 2017 dan terjual lebih 700 naskhah. Pada tahun 2018 ia memenangi buku terbaik bukan fiksyen di Singapore Book Awards.

Goh Erk Kheng, penerbit buku Sharif berkata, buku itu punyai ‘kupasan yang mendalam dengan perasaan yang mendalam. “Ia membuka mata kita semua,” katanya.
Sharif percaya, pengorbanan golongan buruh pendatang membantu transformasi negara itu.
“Tiada sesiapa pun yang boleh menafikan sumbangan para pekerja asing. Kesengsaraan mereka terukir di setiap batu bata yang membina Singapura,” katanya.
Pautan asal dari akhbar The Star:
https://www.thestar.com.my/news/regional/2019/06/08/award-winning-book-spotlights-singapore-migrant-struggles/#HPbge59Y5tfl6OyU.99
Apa Tujuan Kerajaan Beri RM 5,000 Sebulan Kepada Sasterawan Negara?
TUJUH SASTERAWAN NEGARA menerima Elaun Penghargaan Bulanan RM5,000 sebagai menghargai sumbangan mereka menaikkan martabat Bahasa Melayu dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

BERNAMA melaporkan, mereka ialah Datuk Seri Dr A. Samad Said; Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal; dan Datuk Dr Zurinah Hassan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan, untuk RM5,000 sebulan seorang. Peruntukan tersebut diberikan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun sara hidup itu yang bermula bulan ini.
“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, memastikan kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada semua Sasterawan Negara agar terus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Penghargaan Bulanan itu kepada sasterawan berkenaan di sini.
Salah seorang penerima, A. Samad berkata mereka tidak menjangka akan diberi penghargaan kewangan yang begitu munasabah.
“Yang terpenting, tentunya kementerian sendiri mengharapkan wang ini tidak mematikan kita sebagai sasterawan malah menumbuhkan (sumbangan kepada negara),” katanya.
Elaun Penghargaan Bulanan adalah di atas inisiatif Kementerian Pendidikan sebagai usaha mengiktiraf jasa serta menjaga kebajikan karyawan itu.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata “Saya yakin sasterawan kita tidak meminta-minta jadi biarlah saya yang meminta untuk pihak sasterawan negara kerana mereka telah berjasa dan memartabatkan sastera dan juga Bahasa Kebangsaan kita,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63 di Wisma DBP baru-baru ini.
Jelas Maszlee di negara membangun lain, sasterawan merupakan individu yang begitu dijulang dan diangkat namanya disebabkan jasa mereka memartabatkan bahasa.
Beliau turut menyeru universiti awam yang melantik sasterawan negara sebagai sasterawan tamu mereka untuk diberikan elaun bulanan sebagai penghargaan.
Panjang-Pendek Ayat Menentukan Pacing
‘PACING’ (disebut dengan lidah Melayu bunyinya ‘pesing’) adalah istilah Inggeris yang bermaksud kadar kelajuan yang konsisten. Dalam konteks ini ia adalah kadar kelajuan membaca.
2. ‘Pacing’ yang sesuai adalah di antara faktor yang mampu menarik hati pembaca hingga tidak mahu menutup buku yang ditatapnya.
3. Apakah kita sedar, keselesaan membaca itu terletak pada keselesaan kita bernafas? Apabila nafas kita terasa sesak tatkala membaca, ia mengganggu keselesaan membaca. Keadaan ini mudah kita rasai ketika kita membaca al-Quran.
4. Lazimnya, bila kita membaca al-Quran dengan kuat atau perlahan, kita akan tercari-cari di manakah ‘wakaf” atau tempat yang boleh kita berhenti untuk mengambil nafas.
5. Bila kita tahu di mana wakaf (tempat berhenti) dan ibtida’ (tempat untuk memulakan semula pembacaan), baharulah bacaan kita menjadi lancar. Keadaan yang sama terjadi apabila kita membaca novel yang juga mempunyai wakaf (tempat berhenti) dan ibtida (tempat memulakan bacaan semula).
6. Dalam tulisan bahasa Melayu, lazimnya tanda titik atau noktah adalah tanda berhenti dan huruf besar selepas itu adalah permulaan pembacaan ayat seterusnya.
7. Selain daripada itu, tanda koma, tanda seru dan tanda soal itu akan memberi kesan kepada pembacaan kita walaupun ketika kita membaca di dalam hati. Kerana itu, panjang-pendek sesebuah ayat itu akan mempengaruhi panjang-pendek pernafasan kita.
8. Jika ayat yang ditulis itu panjang berjela-jela tanpa titik atau koma atau apa-apa noktah hingga lebih sepuluh baris tanpa perenggan atau dialog dengan menggunakan perkataan-perkataan yang panjang-panjang seperti ayat ini maka anda yang sedang membaca perenggan ini akan berasa pendek nafas dan mula bingung!
9. Perenggan yang saya tulis di atas itu terlalu
panjang. Akibatnya, anda hilang konsentrasi. Tetapi anda berasa lega setelah
habis membacanya. Seolah-olah anda dapat bernafas semula setelah menamatkan perenggan
itu.
10. Dalam pada itu, anda berasa lega sekarang. Sebabnya, ayat yang digunakan
adalah pendek-pendek. Kerana itu, bacaan anda lebih lebih laju dan pernafasan anda pun lebih
teratur.
11. Sekarang, anda tentu dapat sedikit gambaran peranan panjang-pendek ayat dalam menentukan pacing. Ayat yang panjang itu memperlahankan pembacaan. Ayat yang pendek pula melajukan pembacaan.
12. Kerana itu, kita kena tahu bilakah masanya
hendak menggunakan ayat-ayat yang panjang dan bilakah pula hendak menggunakan
ayat-ayat yang pendek pula. Kedua-dua bentuk ayat, iaitu yang panjang atau yang
pendek boleh mengikat emosi pembaca.
13. Bagaimanakah caranya? Kita sambung lagi nanti di LAYARMINDA…
*piccredit: Islampos


