‘PACING’ (disebut dengan lidah Melayu bunyinya ‘pesing’) adalah istilah Inggeris yang bermaksud kadar kelajuan yang konsisten. Dalam konteks ini ia adalah kadar kelajuan membaca.
2. ‘Pacing’ yang sesuai adalah di antara faktor yang mampu menarik hati pembaca hingga tidak mahu menutup buku yang ditatapnya.
3. Apakah kita sedar, keselesaan membaca itu terletak pada keselesaan kita bernafas? Apabila nafas kita terasa sesak tatkala membaca, ia mengganggu keselesaan membaca. Keadaan ini mudah kita rasai ketika kita membaca al-Quran.
4. Lazimnya, bila kita membaca al-Quran dengan kuat atau perlahan, kita akan tercari-cari di manakah ‘wakaf” atau tempat yang boleh kita berhenti untuk mengambil nafas.
5. Bila kita tahu di mana wakaf (tempat berhenti) dan ibtida’ (tempat untuk memulakan semula pembacaan), baharulah bacaan kita menjadi lancar. Keadaan yang sama terjadi apabila kita membaca novel yang juga mempunyai wakaf (tempat berhenti) dan ibtida (tempat memulakan bacaan semula).
6. Dalam tulisan bahasa Melayu, lazimnya tanda titik atau noktah adalah tanda berhenti dan huruf besar selepas itu adalah permulaan pembacaan ayat seterusnya.
7. Selain daripada itu, tanda koma, tanda seru dan tanda soal itu akan memberi kesan kepada pembacaan kita walaupun ketika kita membaca di dalam hati. Kerana itu, panjang-pendek sesebuah ayat itu akan mempengaruhi panjang-pendek pernafasan kita.
8. Jika ayat yang ditulis itu panjang berjela-jela tanpa titik atau koma atau apa-apa noktah hingga lebih sepuluh baris tanpa perenggan atau dialog dengan menggunakan perkataan-perkataan yang panjang-panjang seperti ayat ini maka anda yang sedang membaca perenggan ini akan berasa pendek nafas dan mula bingung!
9. Perenggan yang saya tulis di atas itu terlalu
panjang. Akibatnya, anda hilang konsentrasi. Tetapi anda berasa lega setelah
habis membacanya. Seolah-olah anda dapat bernafas semula setelah menamatkan perenggan
itu.
10. Dalam pada itu, anda berasa lega sekarang. Sebabnya, ayat yang digunakan
adalah pendek-pendek. Kerana itu, bacaan anda lebih lebih laju dan pernafasan anda pun lebih
teratur.
11. Sekarang, anda tentu dapat sedikit gambaran peranan panjang-pendek ayat dalam menentukan pacing. Ayat yang panjang itu memperlahankan pembacaan. Ayat yang pendek pula melajukan pembacaan.
12. Kerana itu, kita kena tahu bilakah masanya
hendak menggunakan ayat-ayat yang panjang dan bilakah pula hendak menggunakan
ayat-ayat yang pendek pula. Kedua-dua bentuk ayat, iaitu yang panjang atau yang
pendek boleh mengikat emosi pembaca.
13. Bagaimanakah caranya? Kita sambung lagi nanti di LAYARMINDA…
*piccredit: Islampos