BLOG

Berlari Di Bawah Hujan Peluru untuk Selamatkan Buku!

Berlari Di Bawah Hujan Peluru untuk Selamatkan Buku!

“Mempertahankan perpustakaan bukan suatu kerja yang mudah,” kata Mustafa Jahic. “Terutamanya, sewaktu perang.”

The Love of Books, A Sarajevo Story dijadikan filem ~ foto vimeo
The Love of Books dijadikan filem ~ foto vimeo

Tahun itu, tahun 1992. Serangan terhadap Sarajevo telah bermula. Mustafa pada ketika itu adalah pengarah perpustakaan awam Gazi Husrev-Beg. Dia terpaksa mengawal koleksi buku dan manuskrip yang di antaranya bertulisan tangan.

“Perpustakaan Gazi Husrev-Beg menyimpan memori generasi Bosnia sehingga 1,000 tahun. Terdapat 100,000 barangan termasuk manuskrip dan bahan bercetak,” kata Osman Lavic, penjaga manuskrip.

“Terdapat buku yang ditulis oleh orang Arab yang ditulis kembali oleh orang Turki dan kemudiannya dibeli pula oleh orang Bosnia. Jadi, jika kita menyusur galur asal usul sesebuah buku itu, kita akan nampak keindahan kepelbagaian etnik dan budaya bangsa Bosnia,” katanya.

Mustafa Jahic, pengarah perpustakaan yang ketuai operasi selamatkan buku semasa perang Sarajevo ~ foto theguardian
Mustafa Jahic, pengarah perpustakaan yang ketuai operasi selamatkan buku ~ foto theguardian

Tetapi apabila bandaraya Sarajevo diserang oleh tentera Serbia, penjagaan manuskrip dan buku-buku bukan lagi menjadi keutamaan rakyat kerana nyawa mereka lebih penting.

Perpustakaan Kebangsaan Bosnia telah dibom dan rentung keseluruhannya dalam sebuah kebakaran.

“Api telah memusnahkan budaya, identiti, dan berkurun sejarah Bosnia,” kata ahli bomba Ismet Tucak.

Oleh kerana bimbang perpustakaan Gazi Husrev-Beg pula akan menerima nasib yang sama, kakitangan Mustafa membuat keputusan untuk memindahkan kesemua hasil kerja yang ada ke tempat yang selamat.

Para pustakawan melalui perkuburan untuk selamatkan buku semasa perang di Sarajevo ~ foto aljazeera
Para pustakawan melalui perkuburan untuk selamatkan buku ~ foto aljazeera

Sambil mengelak peluru Serbia dan keganasan di jalanan, sekumpulan peminat buku termasuk tukang cuci dan jaga memindahkan satu demi satu manuskrip untuk menyelamatkan sebuah sejarah bertulis.

“Ketika kami mengangkat kotak-kotak buku, Sarajevo sedang dihujani peluru,” kata Dzehva Dudo, seorang tukang cuci. “Kami berlari dari sebuah bangunan ke sebuah bangunan.

Mustafa masih ingat, mereka bekerja ‘dengan penuh hati-hati dan tak banyak cakap.”

Dalam satu tindakan berani, kakitangan perpustakaan menyabung nyawa untuk menyelamatkan 10,000 buku-buku berharga tatkala Perang Bosnia bersemarak di sekeliling mereka.

Ini yang tinggal... runtuhan perpustakaan awam di Sarajevo ~ foto  the europeanlibrary
Ini yang tinggal… runtuhan perpustakaan awam di Sarajevo ~ foto  the europeanlibrary

“Lebih baik mati dengan buku-buku daripada hidup tanpanya,” kata Abbas Lutumba Husein, jaga perpustakaan.

Dudo, si tukang cuci pula menyampuk, “Buku-buku itu sepenting manusia. Malah ia amat penting buat bandaraya seperti Sarajevo.”

Kisah keberanian para pustakawan ini telah dijadikan sebuah filem berjudul  The Love of Books: The Brave Librarians of Sarajevo oleh Sam Hobkinson, Nidal Magrabi and Nicolas Kent

Saksikan video:

Pautan berita asal: https://www.aljazeera.com/programmes/aljazeeraworld/2019/06/love-books-brave-librarians-sarajevo-190624131307367.html

Kendra Cedera Otak, Tapi Masih Dapat Hasilkan Novel

Kendra Cedera Otak, Tapi Masih Dapat Hasilkan Novel

1 Julai – Novel terkini Kendra Smith adalah suatu keajaiban. Sebuah kembara dalam novelnya A Year of Second Chances atau Tahun Yang Penuh Dengan Peluang Kedua, yang baharu terbit pada 20 Jun lalu adalah sebuah kisah pertemuan teman-teman di tempat yang tak disangka-sangka. Tetapi, penulisnya berjuang untuk hidup ketika menghasilkannya.

Pada 3 February 2018, Kendra sedang memandu pulang kira-kira jam 4.00 petang. Malang tak berbau. Dia terlibat dalam satu kemalangan di A287 Hindhead Road. Kendra dimasukkan ke wad selama 10 hari di Royal Surrey County Hospital. Di sana dia terpaksa menjalani pembedahan untuk mengembangkan semula paru-parunya, pembedahan di kaki dengan memasukkan kepingan logam dan skru.

Kendra Smith dimasukkan ke Royal Surrey County Hospital
Bilik bedah Royal Surrey County Hospital ~ foto hiasan/morgan law

Ketika itu dia sedang menulis novelnya. Oleh kerana tidak boleh berjalan, Kendra menggunakan Zimmer frame (tongkat yang berkaki empat) untuk berulang-alik ke komputernya apabila ingin menulis.

Kendra, ibu kepada tiga orang anak berkata, “Ada ketikanya saya hanya dapat menulis selama dua jam. Itulah waktu yang membolehkan saya fokus.”

Dua jam itu pun sudah cukup buatnya. Pada hari-hari lain apabila dia dapat menulis lebih tiga jam, dia akan menangis pada malam hari dan suaminya akan menegur, “Awak dah terlebih kerja, kan?”

A Year of Second Chances, karangan Kendra Smith ~ foto goodreads
A Year of Second Chances ~ foto goodreads

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menjaga saya dan mereka patut tahu yang saya sudah siapkan novel saya. Saya bersyukur dengan jiran saya seorang bekas paramedik yang telah muncul membantu saya pada hari kemalangan itu. Dialah orang yang pertama tiba ke tempat kemalangan kerana mujur, dia tinggal berdekatan.”

Mimpinya jadi nyata apabila setelah menghantar karyanya ke beberapa buah penerbitan, syarikat Aria Fiction/Head of Zeus menawarkan kontrak untuk menerbit 4 buah novelnya.

Kendra bukan sahaja dapat menyiapkan karyanya, tetapi dia juga mahu bergiat kembali di dalam aktiviti sukan. Kendra adalah seorang pelari dan dia akan menyertai sukan triathlon Petersfield pada bulan September akan datang. Selain berlari, dia sudah mula menjalani aktiviti berbasikal dan berenang!

Kendra Smith, menulis walaupun sakit. Tetapi ramai di antara kita yang sakit nak menulis!

Pautan berita dari Haslemere Herald:

http://www.haslemereherald.com/article.cfm?id=135952&headline=Author%27s%20novel%20written%20despite%20head-on%20crash&sectionIs=news&searchyear=2019

Mari Membaca di Kedai Gunting Rambut

Mari Membaca di Kedai Gunting Rambut

MUSIM PANAS di AS bermakna cuti sekolah pun bermula. Guru-guru tahu, cuti musim panas selalunya menjadikan murid-murid sekolah tidak ingat apa yang telah mereka pelajari di sepanjang tahun.

Austin Lopez membaca buku sambil rambutnya digunting Amir Salash ~ foto VoA

Namun, bagi Simon Vanderpool, seorang guru pendidikan khas di Lexington, Kentucky; beliau telah melakukan sesuatu untuk mengatasinya.

Dia memulakan program yang dinamakan Books and Barbers. Programnya simple. Apabila kanak-kanak ke kedai gunting rambut, dia boleh memilih sebuah buku dan membacanya secara kuat ketika rambutnya sedang didandan. Yang menariknya, kanak-kanak itu boleh bawa pulang buku yang dibacanya.

Dan ada pula bonus yang diberikan kepada kanak-kanak 5-12 tahun yang terlibat di dalam program ini: duit! Kanak-kanak akan dibayar untuk membaca.

Rak buku di Prince Cuts Barbershop. ~ foto VoA

Menurut Vanderpool, kanak-kanak berasa selesa di kedai gunting rambut.

“Apabila mereka berasa selesa, fikiran mereka akan terbuka dan mereka boleh fokus untuk belajar.”

Katanya, pada tahun lalu guru-guru di sekolahnya perasan akan perubahan besar yang terjadi kepada mereka yang mengikuti program membaca dan mereka yang tidak menyertainya.

Austin Lopez, 7, dibawa ibunya Amanda Lopez, ke Prince Cuts Barbershop di Lexington. Ketika rambutnya sedang digunting, dia membaca sebuah buku.

Tukang gunting Austin, Amir Shalash pula bukan sekadar menggunting rambut. Sebaliknya dia mendengar bacaan Austin dan memperbetulkan bacaan. Menurut Amir, semua kanak-kanak yang sedang membaca akan meminta bantuannya. Dan ini memberi peluang untuk Amir berhubung dengan mereka.

Ibubapa dicaj $16 untuk gunting rambut dan $3 diberi pula kepada kanak-kanak.

Trey Hopkins, pemain bolasepak melayani kanak-kanak membaca ~ foto Simon Vanderpool

Vanderpool kini sedang mengembangkan programnya ke Ohio. Dan dia sedang mengusahakan program untuk membawa ahli sukan profesional ke kedai-kedai gunting rambut untuk duduk sama membaca dengan kanak-kanak.

Semakin ramai para guru yang menyertai program ini dengan mendermakan buku. Mereka yang mengetahui program ini dan  International Book Project turut menyumbangkan buku-buku untuk kempen ini.

Kini konsep kempen membaca sambil menggunting rambut untuk kanak-kanak telah dilaksanakan di merata tempat di Amerika Syarikat seperti di berks County, Pennsylvania; Ypsilanti, Michigan dan juga di Dubuque, Iowa.

Apa kata program seperti ini turut diadakan di negara kita? Cuma, kita kenalah dapatkan tukang gunting daripada rakyat tempatan yang tahu membaca dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Maklumlah, ramai tukang gunting rambut di negara kita adalah pendatang. Penguasaan bahasa dari segi sebutan misalnya akan menjadi masalah kefahaman bagi kanak-kanak pula nanti.

Jom tonton video mengenai kempen ini di bawah:

Pautan dari Voice of America; Learning English:
https://learningenglish.voanews.com/a/books-and-barbers-how-a-haircut-is-helping-students-read/4976789.html

Kita Makin Gemar Beli Makanan

Kita Makin Gemar Beli Makanan

Minggu pertama selepas hari raya baru-baru ini, saya bertemu dengan Saidin, peniaga nasi lemak. Secara kebetulan, dia baharu sahaja menghantar 50 bungkus nasi lemak ke restoran di mana saya selalu bersarapan. Saya kaget bertemunya kerana pada fikiran saya, Saidin sudah tidak berniaga lagi.

Saya kenal Saidin kerana saya selalu membeli nasi lemaknya tatkala dia membuka gerai di tepi jalan dua tahun lalu. Sudah lama juga saya tidak nampak dia berniaga. Saya ingat, dia sudah berpindah atau sudah tukar perniagaan. Rupa-rupanya dia menjual nasi lemak bungkus pula. Dan, nasi lemak air tangan dialah yang selalu saya jadikan hidangan sarapan selama ini. Patutlah rasanya seperti yang Saidin buat.

Sambil bersalaman dan mengucapkan selamat hari raya, saya sempat bertanya, mengapa dia menutup gerainya. Jawab Saidin, menjual nasi lemak, mi hun,  kuih-muih dan pelbagai juadah itu agak remeh. Berniaga nasi lemak bungkus lagi mudah. Hanya satu barangan dan tak banyak kerenah. Pagi dia hantar nasi lemak, pada sebelah petang dia hanya kutip duit dan sebungkus-dua nasi yang tak laku.

Saya sempat bertanya, berapa bungkus nasi lemak yang dia edar dalam sehari? Katanya, dia menghantar tidak kurang 700 bungkus nasi lemak ke 15 buah restoran berdekatan. Nasi lemaknya berharga RM1.50 di restoran. Barangkali dia jual ke restoran dengan harga RM1.20.

Kalau begitu, Saidin memperoleh pendapatan tidak kurang RM800 sehari. Bila didarab dengan 30 hari, pendapatan kasar Saidin ialah RM24,000! Setahu saya, Saidin tidak pernah mengiklankan jualan nasi lemaknya di dalam Facebooknya atau membuat kempen di mana-mana kumpulan Whatsapp di kawasan perumahan tempat tinggal saya.  

Maknanya, Saidin berniaga tanpa menggunakan pendekatan pemasaran melalui media sosial. Barangkali, pemasaran secara langsung ke restoran-restoran sudah mencukupi bagi Saidin. Kerana itu dia tidak memerlukan media sosial untuk mencadang produknya.

Saya kira lelaki berusia 50an ini bernasib baik kerana mempunyai produk yang biasa tetapi mampu mendapat tempat di restoran-restoran. Dia tidak perlu bergelut dan berjuang dengan mana-mana penjual lain di dalam media sosial.

Saidin tidak perlu kenal dengan setiap pelanggannya sepertimana ketika dia berniaga nasi lemak di tepi jalan. Saya ingat lagi di waktu itu dia kena melayan semua pelanggan dari pelbagai bangsa. Dia mesti memaniskan wajah dan mulutnya untuk memikat hati pelanggan. Ada sahaja topik perbualan yang dia buka agar pelanggannya tidak penat menunggu ketika dia mengambil pesanan.

Pada hari ini, perniagaan di restoran pun perlukan promosi melalui media sosial untuk menarik dan mengekalkan pelanggan. Jika tidak, pelanggan akan terlupa akan kewujudan kedai makan mereka kerana ada berbelas lagi kedai makan lain di kawasan yang berdekatan.

Jika dahulu, orang Melayu biasanya akan keluar makan bersama keluarga bila dapat gaji atau pada hujung-hujung minggu, kini oleh kerana kesibukan dan kesuntukan masa, mereka lebih kerap berkunjung ke restoran ~ tidak kira masa, tidak kira hari.

Jika biasanya mereka yang tidak mahu makan di restoran akan membeli makanan secara bungkusan, kini mereka tidak perlu ke restoran pun. Sebaliknya mereka akan memesan sahaja secara online atau melalui telefon.

Jika pihak restoran tiada menyediakan perkhidmatan menghantar makanan, ada sahaja runner dari Grabfood dan Foodpanda yang sanggup menghantar makanan ke rumah. Perkhidmatan kiriman makanan ke kediaman pula menjadi saingan kepada perniagaan burger dan piza yang selama ini mendapat pelanggan melalui perkhidmatan penghantaran makanan.

Saingan bagi restoran-restoran juga adalah individu-individu yang menyediakan masakan di rumah. Melalui media sosial, mereka menjual makanan. Perkhidmatan runner makanan pun digunakan oleh individu yang menjual makanan dari rumah. Kehadiran mereka sedang menjejaskan perniagaan restoran.

Kita boleh lihat di kawasan-kawasan perumahan, daripada sepuluh restoran yang dibuka, hanya dua-tiga sahaja yang penuh dengan pelanggan sementara yang lain berjuang untuk hidup.

Apabila makanan pun lebih kerap dibeli daripada dimasak sendiri di rumah, maka sinki pun tidak penuh dengan pinggan mangkuk apabila seisi rumah makan daripada  bungkusan. Agaknya, sepuluh tahun akan datang, pinggan mangkuk tidak lagi dijadikan barang hiasan di dalam almari kerana ia sudah jadi tidak penting.

Perubahan perilaku seisi rumah dalam mendapatkan makanan secara beli sudah bukan perilaku orang bujang sahaja. Perubahan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar. Di bandar-bandar kecil pun keadaan ini sedang melanda. Internet memang menglobalkan manusia.

Perpustakaan Ini Mempunyai 1,000,000  Naskhah Buku!

Perpustakaan Ini Mempunyai 1,000,000 Naskhah Buku!

PERPUSTAKAAN NEGARA QATAR bukan seperti mana-mana perpustakaan biasa yang suram, berhabuk dan sunyi. Sebaliknya ia dihiasi lampu dan buku-buku yang mengelilingi anda. Perpustakaan ini menggunakan konsep terbuka kerana ia tidak punyai kawasan-kawasan yang ceruk.

Pemandangan Perpustakaan Negara Qatar dari Luar

Arkitekturnya begitu menarik kerana ia nampak luas kerana pencahayaannya yang baik. Para pengunjung bukan sahaja asyik membelek buku, malah mereka asyik memandang ke kawasan sekitar untuk melihat seni binanya yang begitu unik dan terancang.

Inilah perpustakaan yang punyai paling banyak buku. Terdapat satu juta naskhah buku dan 500,000 edisi digital. Ia juga menawarkan buku dan e-buku samada fiksyen dan bukan fiksyen. Buku-buku bestseller dan juga buku-buku klasik, majalah, jurnal, DVD, CD dan buku audio juga terdapat di perpustakaan ini.

Di antara 1,000,000 buku yang terdapat di perpustakaan ini ~ foto dailystar

Ia memainkan peranan melalui tiga fungsi utama. Pertama, sebagai perpustakaan negara. Kedua sebagai pusat penyelidikan universiti dan ketiga sebagai sebuah perpustakaan awam

Berpuluh-puluh orang pelajar mengunjunginya. Di perpustakaan kanak-kanaknya sahaja, kesemua buku telah habis dipinjam!

Ia dikenali sebagai sebuah perpustakaan yang bising kerana rekabentuknya seperti sebuah balai menanti sebuah lapangan terbang.

Perpustakaan di Doha Education City ini adalah yang terbesar di Timur Tengah.

Para pengunjung menghadiri acara ~ foto qnlqa

Sejak ia dibuka pada tahun 2018, ia telah menganjurkan lebih 1,000 acara yang mana kebanyakannya adalah pertemuan dengan penulis dan cendekiawan dari Eropah dan Utara Amerika.

Meskipun buku-buku di perpustakaan ini tidak melalui tapisan, namun kesemua buku-buku yang terdapat di perpustakaan ini patuh kepada beberapa piawaian.

Para pembaca dari Qatar dan juga dari luar negara menganggap perpustakaan ini sebagai syurga buku.

Terdapat sebuah Perpustakaan Warisan di bangunan ini. Ia menyimpan pelbagai maklumat mengenai Qatar dan kawasan sekitar termasuk catatan pengembara, manuskrip Arab, peta sejarah, peralatanj sains dan juga foto-foto awal.

Sejumlah 2,400 manuskrip bernilai tinggi termasuk Mushaf al-Quran, sastera Arab dan subjek seperti geografi, astronomy dan matematik. Terdapat juga bahan-bahan mengenai tamaddun Islam-Arab termasuk makalah dari Ibn Sina.

Perpustakaan Negara Qatar ini bukan biasa-biasa: mereka ada opening video sendiri! Jom tonton!

Maklumat Lanjut di Laman Web Perpustakaan: https://www.qnl.qa/en

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]