“Mempertahankan perpustakaan bukan suatu kerja yang mudah,” kata Mustafa Jahic. “Terutamanya, sewaktu perang.”

Tahun itu, tahun 1992. Serangan terhadap Sarajevo telah bermula. Mustafa pada ketika itu adalah pengarah perpustakaan awam Gazi Husrev-Beg. Dia terpaksa mengawal koleksi buku dan manuskrip yang di antaranya bertulisan tangan.
“Perpustakaan Gazi Husrev-Beg menyimpan memori generasi Bosnia sehingga 1,000 tahun. Terdapat 100,000 barangan termasuk manuskrip dan bahan bercetak,” kata Osman Lavic, penjaga manuskrip.
“Terdapat buku yang ditulis oleh orang Arab yang ditulis kembali oleh orang Turki dan kemudiannya dibeli pula oleh orang Bosnia. Jadi, jika kita menyusur galur asal usul sesebuah buku itu, kita akan nampak keindahan kepelbagaian etnik dan budaya bangsa Bosnia,” katanya.

Tetapi apabila bandaraya Sarajevo diserang oleh tentera Serbia, penjagaan manuskrip dan buku-buku bukan lagi menjadi keutamaan rakyat kerana nyawa mereka lebih penting.
Perpustakaan Kebangsaan Bosnia telah dibom dan rentung keseluruhannya dalam sebuah kebakaran.
“Api telah memusnahkan budaya, identiti, dan berkurun sejarah Bosnia,” kata ahli bomba Ismet Tucak.
Oleh kerana bimbang perpustakaan Gazi Husrev-Beg pula akan menerima nasib yang sama, kakitangan Mustafa membuat keputusan untuk memindahkan kesemua hasil kerja yang ada ke tempat yang selamat.

Sambil mengelak peluru Serbia dan keganasan di jalanan, sekumpulan peminat buku termasuk tukang cuci dan jaga memindahkan satu demi satu manuskrip untuk menyelamatkan sebuah sejarah bertulis.
“Ketika kami mengangkat kotak-kotak buku, Sarajevo sedang dihujani peluru,” kata Dzehva Dudo, seorang tukang cuci. “Kami berlari dari sebuah bangunan ke sebuah bangunan.
Mustafa masih ingat, mereka bekerja ‘dengan penuh hati-hati dan tak banyak cakap.”
Dalam satu tindakan berani, kakitangan perpustakaan menyabung nyawa untuk menyelamatkan 10,000 buku-buku berharga tatkala Perang Bosnia bersemarak di sekeliling mereka.

“Lebih baik mati dengan buku-buku daripada hidup tanpanya,” kata Abbas Lutumba Husein, jaga perpustakaan.
Dudo, si tukang cuci pula menyampuk, “Buku-buku itu sepenting manusia. Malah ia amat penting buat bandaraya seperti Sarajevo.”
Kisah keberanian para pustakawan ini telah dijadikan sebuah filem berjudul The Love of Books: The Brave Librarians of Sarajevo oleh Sam Hobkinson, Nidal Magrabi and Nicolas Kent
Saksikan video:
Pautan berita asal: https://www.aljazeera.com/programmes/aljazeeraworld/2019/06/love-books-brave-librarians-sarajevo-190624131307367.html