MUSIM PANAS di AS bermakna cuti sekolah pun bermula. Guru-guru tahu, cuti musim panas selalunya menjadikan murid-murid sekolah tidak ingat apa yang telah mereka pelajari di sepanjang tahun.
Namun, bagi Simon Vanderpool, seorang guru pendidikan khas di Lexington, Kentucky; beliau telah melakukan sesuatu untuk mengatasinya.
Dia memulakan program yang dinamakan Books and Barbers. Programnya simple. Apabila kanak-kanak ke kedai gunting rambut, dia boleh memilih sebuah buku dan membacanya secara kuat ketika rambutnya sedang didandan. Yang menariknya, kanak-kanak itu boleh bawa pulang buku yang dibacanya.
Dan ada pula bonus yang diberikan kepada kanak-kanak 5-12 tahun yang terlibat di dalam program ini: duit! Kanak-kanak akan dibayar untuk membaca.
Menurut Vanderpool, kanak-kanak berasa selesa di kedai gunting rambut.
“Apabila mereka berasa selesa, fikiran mereka akan terbuka dan mereka boleh fokus untuk belajar.”
Katanya, pada tahun lalu guru-guru di sekolahnya perasan akan perubahan besar yang terjadi kepada mereka yang mengikuti program membaca dan mereka yang tidak menyertainya.
Austin Lopez, 7, dibawa ibunya Amanda Lopez, ke Prince Cuts Barbershop di Lexington. Ketika rambutnya sedang digunting, dia membaca sebuah buku.
Tukang gunting Austin, Amir Shalash pula bukan sekadar menggunting rambut. Sebaliknya dia mendengar bacaan Austin dan memperbetulkan bacaan. Menurut Amir, semua kanak-kanak yang sedang membaca akan meminta bantuannya. Dan ini memberi peluang untuk Amir berhubung dengan mereka.
Ibubapa dicaj $16 untuk gunting rambut dan $3 diberi pula kepada kanak-kanak.
Vanderpool kini sedang mengembangkan programnya ke Ohio. Dan dia sedang mengusahakan program untuk membawa ahli sukan profesional ke kedai-kedai gunting rambut untuk duduk sama membaca dengan kanak-kanak.
Semakin ramai para guru yang menyertai program ini dengan mendermakan buku. Mereka yang mengetahui program ini dan International Book Project turut menyumbangkan buku-buku untuk kempen ini.
Kini konsep kempen membaca sambil menggunting rambut untuk kanak-kanak telah dilaksanakan di merata tempat di Amerika Syarikat seperti di berks County, Pennsylvania; Ypsilanti, Michigan dan juga di Dubuque, Iowa.
Apa kata program seperti ini turut diadakan di negara kita? Cuma, kita kenalah dapatkan tukang gunting daripada rakyat tempatan yang tahu membaca dalam bahasa Melayu atau Inggeris.
Maklumlah, ramai tukang gunting rambut di negara kita adalah pendatang. Penguasaan bahasa dari segi sebutan misalnya akan menjadi masalah kefahaman bagi kanak-kanak pula nanti.
Jom tonton video mengenai kempen ini di bawah:
Pautan dari Voice of America; Learning English:
https://learningenglish.voanews.com/a/books-and-barbers-how-a-haircut-is-helping-students-read/4976789.html