Perang Mengubah Peta Perniagaan
MAAFCAKAP 8,11.2023
Saya terbaca sebuah pengeposan seorang motivator yang mempunyai ribuan pengikut. Dalam pengeposan itu, dia memberi pandangan agar kita berpada-pada dalam kempen boikot yang dilakukan. Menurutnya, kempen untuk memboikot restoran-restoran makanan segera dan kafe kerana syarikat induknya menyokong Israel itu akan mengakibatkan syarikat tempatan pula yang menanggung kerugian.
Tulisnya lagi, kerugian ini akan memaksa syarikat-syarikat ini membuang para pekerjanya, yang mana mereka ini adalah saudara-mara dan kawan-kawan kita juga. Mereka ini kesemuanya mempunyai tanggung jawab nafkah kepada keluarga masing-masing. Bagaimana dengan masa depan mereka?
Pengeposan beliau rata-rata mendapat tentangan. Ramai yang memperli, malah mencerca beliau. Kalangan netizen menganggap soal rezeki dan takdir adalah ketentuan dari ALLAH dan tawakkal adalah keyakinan tidak berbelah bahagi kepada-NYA.
Menurut sesetengah netizen, walaupun kita risau tentang mereka yang terpaksa diberhentikan kerja yang mana ia akan menjejaskan periuk nasi keluarga, betapa pula keadaan mangsa-mangsa perang di Palestin yang kelaparan kerana dinafikan segala bentuk bantuan? Kita hilang kerja, mereka hilang nyawa!
Suasana perang telah tempias ke mari. Media sosial mendekatkan kita dengan apa yang sedang berlaku di Gaza. Kerana itu, ramai di kalangan kita yang turut menyumbang dengan cara masing-masing bagi membantu saudara-saudara di Palestin.
Paling tidak pun mereka menyebarkan berita yang mereka terima kepada sahabat handai bagi menyatakan kemarahan atas kezaliman terhadap kemanusiaan. Ramai yang berkempen agar orang ramai memboikot pihak yang mereka tahu menyokong kezaliman Israel. Ramai lagi yang turut memberi komentar untuk menyeru rakyat di negara ini untuk terus membantah tindakan zalim Zionis.
Dari sudut agama, tiada mana-mana pihak berkuasa agama yang mengeluarkan fatwa wajib memboikot atau haram memboikot produk atau premis yang dianggap menyokong Israel. Juga, tidak ada fatwa yang melarang sesiapa yang bekerja di tempat di mana syarikat induknya menyokong kezaliman Israel.
Justeru itu, terpulang kepada kita sendiri untuk mempertimbang dan mengambil keputusan untuk memberi tentangan dengan cara yang kita fikir wajar. Dalam pada itu, mereka yang bertugas di premis perniagaan atau kilang pengeluar barangan yang mempunyai pertalian dengan pihak Israel juga boleh terus bekerja di tempat itu.
Bagaimana pun, sekiranya pihak syarikat itu mengambil tindakan pembuangan pekerja akibat kerugian, mereka terpaksa mencari kerja lain. Tetapi, mereka juga tidak boleh menyalahkan pihak yang memboikot syarikat tempat mereka bekerja hingga mereka diberhentikan kerana ini adalah perang saraf dan mereka menjadi mangsa sebagai collateral damage.
Kedegilan Perdana Menteri Israel menunjukkan bahawa dia akan meneruskan agenda menghapuskan penduduk Gaza. Malah, suara-suara mengenai penggunaan nuklear sudah mula kedengaran.
Tiada kuasa besar lain samada Amerika, Russia mahupun China yang berbuat sesuatu untuk memperlambat, apatah lagi menghentikan apa yang sedang dilakukan oleh Israel dan juga Hamas serta lain-lain yang menyokongnya. Di merata bandar-bandar besar seperti Washington, London, Paris, Berlin, Barcelona, Kaherah, Baghdad, Jakarta dan banyak lagi bandaraya, demonstrasi terus dianjurkan pada saban minggu.
Kerana itu, boikot juga akan diteruskan. Ini akan menyaksikan kerugian syarikat-syarikat produk pengguna di negara ini. Ia akan diikuti dengan langkah-langkah penjimatan kos, malah penutupan sebahagian dari perniagaan mereka. Bila perang terus berlaku, pemboikotan akan melarat dan mencakupi ke atas produk-produk lain seperti barangan IT, kenderaan, malah pelbagai jenis aplikasi.
Peperangan di Gaza akan mengubah pola perniagaan di dunia. Jenama-jenama besar di dunia tidak boleh mendabik dada bahawa mereka menguasai ekonomi dunia. Jika sebelum ini, penemuan teknologi baharu yang mengancam survival mereka, kini sebuah peperangan untuk merebut sebuah wilayah seluas 6,000 kilometer persegi bakal mengubah carta kedudukan mereka di peta bisnes dunia.
Salah Untuk Diperbetulkan
MAAFCAKAP 10.10.2023
Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Kesilapan itu pula adalah salah laku atau salah fikir terhadap sesuatu perkara yang tidak disengajakan. Tetapi jika kesilapan itu berulang buat kali kedua dan seterusnya, ia dinamakan kesalahan.
Kesalahan itu boleh terjadi jika seseorang itu tidak tahu bahawa apa yang dilakukannya itu adalah satu kesalahan. Tetapi, ia juga boleh dilakukan dengan sengaja oleh seseorang kerana ia jalan mudah melepasi sesuatu peraturan dengan melanggarnya. Sudah tentu, orang yang melakukan kesalahan itu berharap tiada sesiapa pun tahu kesalahan yang dilakukannya.
Kesalahan seseorang melanggar peraturan dunia akan menerima hukuman. Kesalahan tidak membayar parkir misalnya, akan mendapat saman dengan membayar jumlah yang lebih banyak dari caj parkir yang diperlukan. Kesalahan melanggar lampu merah pula akan menerima hukuman yang lebih besar. Dan, kesalahan melanggar orang boleh mengakibatkan hukuman penjara.
Kesalahan seseorang melanggar peraturan agamanya akan menerima hukuman di dunia atau di akhirat. Tidak ada surat saman mahkamah akan tiba pada seseorang yang melanggar peraturan agama. Nalurinya sahaja yang memberitahu dirinya bahawa kesalahan itu adalah berdosa.
Bila dia menerima kifarah di dunia, tidak ada sesiapa yang akan memberitahunya kecuali hati kecilnya berbisik lalu dia berasa dirinya sedang menerima pembalasan di atas kesalahannya itu. Seseorang itu akhirnya akan berasa menyesal di atas perbuatannya dan dia akan mohon ampun kepada Yang Mencipta dengan bertaubat.
Namun, manusia itu pelupa. Dia boleh melakukan sesuatu kesalahan berulang kali. Dia bernasib baik apabila sentiasa ingat akan kesalahan demi kesalahannya lalu memohon ampun demi ampun kepada manusia dan Tuhannya. Manusia ada had memberi keampunan, sedangkan Tuhan boleh mengampunkan apa jua kesalahan walaupun dosanya mencecah langit.
Tetapi dia adalah manusia malang apabila mangli dalam melakukan kesalahan hingga kesalahan yang dilakukannya menjadi normalisasi. Akhirnya dia tidak berasa yang dia melakukan kesalahan. Lebih-lebih lagi apabila mereka di sekelilingnya melakukan kesalahan yang sama.
Mereka yang melakukan rasuah misalnya, tidak boleh berhenti dari melakukannya. Ia terjadi, lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi amalan dan normalisasi; barangkali di seluruh jabatannya. Dalam suasana sebegitu, tiada sesiapa yang akan menegur sesiapa. Masing-masing tahu sama tahu, pandai makan pandai simpan. Seolah-olah, hingga akhir zaman pun keadaan itu tidak akan berubah menjadi baik.
Bagaimana pun, keadaan boleh berubah apabila seseorang atau sekumpulan manusia datang untuk menegur akan kesalahan yang dilakukan. Biasanya yang menegur pada kesilapan seseorang atau kumpulan itu bertujuan untuk menasihati agar kesalahan yang dilakukan itu dihentikan dan kembali melakukan cara yang betul.
Secara mudahnya, mereka yang menasihati itu menegur untuk memperbetulkan, bukan menegur untuk menyalahkan. Masalah akan terjadi apabila pihak yang ditegur itu berasa dia dipersalahkan. Ego manusia akan menjadikan seseorang yang melakukan kesalahan itu mempertahankannya secara bermati-matian.
Malah, orang yang ditegur itu mungkin sekali akan menuduh orang yang menegur itu mempunyai niat jahat atau sengaja hendak membina naratif buruk terhadap mereka. Jika ia adalah su’u dzon, orang berkenaan akan buat-buat tidak tahu di atas teguran itu. Namun seandainya ia lahir dalam perkataan, maka berlakulah maki hamun sebagai cara seseorang itu mempertahankan kesalahannya.
Mengapa ada orang yang bermati-matian mempertahankan sesuatu perbuatan yang jelas, salah? Sebab dia malu orang lain sudah tahu akan kesalahannya. Lalu dia juga malu pada dirinya. Tetapi memang malang kerana orang begini tidak malu Tuhan sedang memerhatinya!
Justeru, sudah menjadi tugas kita untuk terus menegur kesalahan untuk diperbetulkan. Mudah-mudahan di hari esok, ada juga orang yang menegur kita pula kerana mereka tahu kita adalah insan yang boleh ditegur.
Kecelaruan Hak dan Batil
MAAFCAKAP 25.10.2023
Kita sedang berada di era fitnah di akhir zaman. Yang benar dan batil bercampur baur hingga kita tidak mengenali mana satu yang betul. Sesuatu yang dahulu kita anggap mustahil berlaku, kini menjadi sesuatu yang normal. Orang yang jahat disanjung dan orang yang baik dikeji dan dihina.
Dengan kepandaian si pelaku memanipulasi keadaan dan kedudukan, keburukannya boleh diubah menjadi bagus dengan cara membina naratif yang hebat dan mengagumkan. Hilang segala buruk dan jahat yang dia pernah lakukan. Tidak menghairankan bilamana kita sendiri terpesona dan percaya dengan imej baik dan bersinar yang dipaparkan.
Begitu juga sebaliknya bila mana orang yang baik boleh dipalit, ditepek dan digambarkan sebagai orang yang jahat. Dia yang ingin menyeru kebaikan diberi imej sebagai pemecah belah dan perosak sehingga segala jasanya tidak diingat lagi.
Semua ini terjadi bila manusia tidak segan silu lagi berkata dan bertindak buruk. Tidak keterlaluan bila dikatakan bahawa kerana imannya sudah rosak, ditambah dengan bantuan syaitan dengan menyelimutkan kejahatan dengan tazyin, maka yang buruk dilihat baik dan begitulah sebaliknya.
Mangsa kepada semua keadaan ini adalah kita sebagai orang yang memerhati dan mengikuti sesuatu perkara untuk mencari kebenaran. Tetapi kebenaran itu pada hari ini adalah sesuatu yang sukar ditemui kerana ia sudah tertanam di bawah lapisan demi lapisan kepalsuan. Maka pencarian kita selalunya tersasar dan hilang punca.
Bagaimanakah semua ini boleh terjadi? Bukankah kita sebagai manusia di zaman ini punyai pelbagai sumber melalui rekod dokumen berupa imej foto, video, audio dan tulisan sebagai rujukan untuk tabayyun terhadap apa jua perkara yang ingin diselidiki?
Saya melihat di antara sebab yang menyumbang kepada kecelaruan maklumat ini berpunca dari keruntuhan media-media arus perdana kerana meluasnya capaian internet. Internet telah mengheret dan menghenyak industri persuratkhbaran bercetak dan industri pemberitaan elektronik.
Media gergasi yang menjadi media arus perdana memainkan peranan untuk membina public opinion. Ia dianggotai oleh para petugas profesional dan beretika yang telah dalam banyak ketika dan waktu menyumbang kepada pembinaan fikrah warga sesebuah negara. Benar, media-media ini juga ada peranan propagandanya untuk mengawal public opinion. Tetapi jasa media-media arus perdana ini jauh lebih besar daripada menjadi lidah pemerintah.
Kini, di mana-mana dan sesiapa sahaja boleh menjadi pemain dalam industri ini. Kerana itu, akhbar dan agensi berita arus perdana terpaksa bergelut dengan ratusan ribu laman web pemberitaan yang mana banyak dikendalikan oleh kumpulan-kumpulan kecil. Malah banyak sekali penjanaan berita dicanai oleh individu-individu dari bilik tidur mereka!
Akibatnya, sesebuah public opinion itu tidak akan kekal lama. Jika dahulu, sesebuah berita individu atau kejadian itu boleh menjadi topik perbualan selama berhari-hari, kini dalam waktu kurang 24 jam, sesuatu yang hangat itu boleh sahaja jadi lemau dan terpadam bila diganti dengan berita yang baharu.
Oleh kerana sesiapa sahaja boleh mencapai sumber berita menurut pilihannya, maka dia sendirilah yang menapis bahan yang diterimanya. Malangnya, bukan semua orang ingat untuk bertabayyun apabila memperoleh sesebuah maklumat. Lebih-lebih lagi dengan ligatnya berita muncul silih berganti kepada seseorang itu, maka dia tidak sempat untuk menilai kesahihan maklumat yang diterimanya.
Fenomena ini membolehkan orang yang jahat dengan mudah mengasak ruang capaian di internet dengan bahan-bahan yang menyokongnya. Ditambah pula dengan golongan cytro atau tentera siber, maka melimpahlah cerita-cerita yang baik dan muluk-muluk tentang dirinya.
Tidak beberapa lama dahulu, orang baik boleh diaksikan berkelakuan jahat melalui aplikasi deep fake. Kini, dengan teknologi artificial intelligence fitnah dicipta melalui ‘lakonan’ orang yang ingin diburukkan.
Kita sebagai insan di akhir zaman ini telah dipenatkan dengan apa yang tiba di skrin telefon, komputer dan televisyen. Kita sedang hanyut dan tenggelam lalu tidak segar untuk menilai kebenaran. Kita terima sahaja keadaan di mana ada orang yang berani kerana salah bila kita menjadi orang yang takut kerana bnar.
Mengapa Rukun Ihsan Diabaikan?
MAAFCAKAP 4.10.2023
Selepas kerja, saya dan rakan-rakan bersembang santai di sebuah restoran. Tiba-tiba Jai yang baharu sampai, membebel seraya menunjukkan sebuah berita di skrin telefonnya. Bila menekur ke skrin saya nampak wajah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How. Beliau dikecam kerana dikatakan merujuk ayat-ayat al-Quran dalam memberikan pandangannya berhubung hal berkaitan politik.
Kami semua tidak setuju dengan tindakan Ahli Parlimen itu. Jadi, kami tidaklah berhujah panjang sambil tepuk-tepuk meja seperti selalu. Namun, perbualan kami melarat tentang agama. Jai yang suka bertanya, mula mengemukakan soalan kepda kami, ‘Apa itu Islam?’
Alhamdulilah, saya teringat buku Tadabur Hikmah Hadis 40 Imam Nawawi oleh Dr. Rozaimi Ramle.Kebetulannya saya sedang membaca buku itu. Lantas, saya pun menjawab soalan Jai. Kata saya, terdapat riwayat yang disampaikan oleh Saidina Omar r.a. Di dalam sebuah majlis bersama Rasulullah saw, malaikat Jibril muncul menyerupai manusia dan mengemukakan beberapa soalan kepada Baginda saw.
Jibril bertanya Rasulullah saw apa itu Islam? Dan Baginda menjawab dengan menyatakan apa yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji.
Afandi yang mendengar jawapan saya pula mencelah, apa itu Iman? Dari gayanya, saya mengagak yang Afandi tahu riwayat hadis itu. Lantas saya menjawab dengan ringkas bahawa iman itu ada enam rukunnya iaitu percaya kepada ALLAH, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat serta percaya pada Qada dan Qadar.
Tanpa menanti Affandi bertanya, saya terus memperkatakan mengenai Ihsan pula. Saya berkata, ihsan itu adalah satu kondisi bila mana ketika beribadah, kita seolah-olah melihat ALLAH. Tetapi oleh kerana kita tidak boleh melihat ALLAH, kita hendaklah maklum bahawa ALLAH sentiasa melihat kita. Sudahnya, petang itu saya menjadi ustaz yang baru nak start apabila mereka minta saya mengupas mengenai ISlam, Iman dan Ihsan.
Rukun Islam, Iman dan Ihsan itu adalah keperluan fizikal, mental dan spiritual manusia. Rukun Islam itu memacu amalan Islam secara fizikal melalui perbuatan. Mengucap dua kalimah syahadah adalah lafaz, sementara solat, puasa, zakat dan haji adalah perbuatan yang melibatkan fizikal.
Rukun iman pula adalah kefahaman Islam melalui daya mental. Percaya pada ALLAH, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat serta Qada dan Qadar kesemuanya memerlukan IQ untuk memahaminya. Sementara rukun Ihsan pula adalah penghayatan kepada Yang Esa secara spiritual.
Kita banyak sekali pengetahuan mengenai rukun Islam dan rukun Iman, tetapi tidak banyak didedahkan mengenai rukun Ihsan. Jika kita buat carian di Google atau Youtube, kita akan lihat betapa sedikitnya kupasan mengenai rukun Ihsan berbanding dengan rukun Islam dan rukun Iman.
Buat saya, ini menyumbang kepada kecacatan kefahaman dan amalan umat Islam. Ramai yang mudah sahaja mempraktikkan rukun Islam, menunaikan solat wajib dan solat sunat yang pelbagai, kerap berpuasa atau berkali-kali menunaikan haji. Seperti rukun Islam, ramai yang jelas memahami rukun Iman. Namun, mereka kalah dalam menghayati rukun Ihsan.
Sebab itulah terdapat mereka yang rajin bersolat tetapi berperangai tidak senonoh, kerap berpuasa tetapi tidak punyai sifat penyabar atau setiap tahun ke Mekah tetapi tidak takut makan rasuah.
Mereka yang hanya memahami rukun Islam dan rukun Iman, masing-masing tidak berasa takut berbuat dosa kerana punyai panjang angan-angan bahawa ALLAH Maha Pengampun dan mereka pasti akan diberi masa untuk bertaubat. Sedangkan jika Rukun Ihsan kuat terpasak di dalam hati, diri akan sentiasa rasa diperhatikan. Setiap langkah, kata dan perbuatan dirasai sedang dilihat. Maka dengan itu mereka tidak berani berbuat jahat.
Golongan pendakwah harus mula memfokus dan mengupas mengenai rukun Ihsan agar kefahaman agama lebih meresapi sanubari ~ menimbulkan rasa keabdian kita sebagai hamba-NYA.
Bahaya Yang Menyelinap
MAAFCAKAP 27.9.2023
Dunia sedang menghadapi bencana alam. Saban hari ada sahaja bencana yang menimpa umat manusia. Di Amerika, taufan tropika yang dikenali sebagai taufan Ophelia akan menghentam Carolina Utara, Virginia dan Delaware Jumaat ini.
Di China, hujan lebat dan ribut diramal berlaku lagi setelah puting beliung melanda wilayah Jiangsu. Kesan bencana alam itu sedang mengakibatkan tanah runtuh yang berbahaya kepada mereka di kawasan itu.
Di Libya, mangsa banjir di kota Derna berdepan dengan risiko samada bertahan di bandar itu menanti bantuan, atau lari dari bandar itu tetapi berdepan dengan risiko terpaksa merentasi kawasan periuk api yang bertaburan akibat dihanyutkan banjir.
Rakyat bandar pelancongan Marrakesh di Morocco masih merana akibat tragedi gempa bumi 6.8 Richter yang menyebabkan hampir 3,000 kematian. Kawasan berbukit bukau itu tidak akan menjadi kawasan pelancongan dan ekonominya sedang menjunam.
Bencana alam turut memberi kesan buruk kepada pengeluaran hasil pertanian. India sebagai negara pengeluar beras terbesar di dunia. India telah menghadkan eksport beras. Ini memberi kesan buruk kepada dunia. Beras naik harga.
Negara Russia yang tidak mahu bekerjasama dalam penglibatan eksport gandum oleh negara Ukraine kerana peperangan, telah memberi impak global kepada bahan makanan itu. Harga gandum yang meningkat secara mendadak turut mengakibatkan kenaikan harga makanan dari bahan itu.
Kita akan menerima tempias kepada apa yang berlaku kepada dunia. Sudah kerapkali bencana ribut dari negara-negara berhampiran turut menjejas kita. Dan kini, bila harga beras dan gandum meningkat, harga sekampit beras kita samada beras tempatan atau import sedang meningkat. Dan, harga sebungkus nasi lemak dan sepinggan roti canai akan naik lagi.
Pendek kata, bencana alam di hujung dunia akan menjejaskan kita. Jika kita tidak terkena tempias fizikal bencana itu, kita akan terkesan dengan kekurangan hasil bahan makanan. Justeru itu, kita tidak boleh hidup di bawah tempurung. Malah, kita perlu keluar dari tempurung minda bahawa apa yang terjadi di luar sana tidak akan sampai ke depan pintu rumah kita.
Baharu tahun 2020 dahulu kita berdepan dengan pandemik Covid-19. Tatkala ia heboh terjadi negara China, kita masih berasa selamat. Malah, kita tidak menerima pelancong dari negara itu dengan tangan terbuka.
Apabila kejadian Covid-19 yang pertama terjadi di negara jiran Singapura, kita masih berasa selamat. Namun, setelah seorang pelancong dari China yang datang ke Malaysia melalui Singapura dijangkiti Covid-19, hidup kita jadi tunggang-langgang bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah darurat dikuatkuasakan.
Ramai yang hilang kerja, hilang pendapatan, tiada makanan dan jatuh miskin. Fenomena bendera putih dikibarkan di merata tempat oleh yang terpaksa meminta bantuan. Mereka mengenepikan rasa malu kerana inginkan sesuap nasi. Kita hidup susah kerana peperangan ~ peperangan dengan virus.
Malapetaka pernah berlaku kepada orang lain dan malapetaka itu boleh datang kepada kita. Jika Covid-19 pernah mengakibatkan ribuan kematian, maka kematian itu telah berlaku kepada mereka yang kita sayangi. Ramai di antara kita tidak terkesan dengan apa yang berlaku kerana asyik menonton video bencana di TV sambil mengunyah kerepek.
Banjir biasa kita alami di negara kita. Puting beliung mula melanda walaupun di skala yang kecil. Gempa bumi pun ada kesan kepada kita, Tetapi gempa boleh terjadi bila tiba masanya. Kajian menunjukkan bahawa negara kita tidak terkecuali dari kemungkinan itu.
Kita tidak boleh lalai. Usah asyik berjoget di media sosial, bercakap hal-hal politik yang mrepek dan meraban atau bertekak dan berpolemik tanpa kesudahan tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.
Fikir. Apakah persediaan kita? Cukupkah persediaan itu? Bila berfikir itu pun, apakah untuk diri sendiri semata-mata atau untuk keluarga yang disayangi? Jika pun kita berasa kita akan tabah kerana kita ada ALLAH, apakah ALLAH sentiasa berada di hati kita pada setiap saat? Renungilah kekhusukan solat sendiri sebagai pengukurnya.


