MAAFCAKAP 8,11.2023

Saya terbaca sebuah pengeposan seorang motivator yang mempunyai ribuan pengikut. Dalam pengeposan itu, dia memberi pandangan agar kita berpada-pada dalam kempen boikot yang dilakukan. Menurutnya, kempen untuk memboikot restoran-restoran makanan segera dan kafe kerana syarikat induknya menyokong Israel itu akan mengakibatkan syarikat tempatan pula yang menanggung kerugian.

Tulisnya lagi, kerugian ini akan memaksa syarikat-syarikat ini membuang para pekerjanya, yang mana mereka ini adalah saudara-mara dan kawan-kawan kita juga. Mereka ini kesemuanya mempunyai tanggung jawab nafkah kepada keluarga masing-masing. Bagaimana dengan masa depan mereka?

Pengeposan beliau rata-rata mendapat tentangan. Ramai yang memperli, malah mencerca beliau. Kalangan netizen menganggap soal rezeki dan takdir adalah ketentuan dari ALLAH dan tawakkal adalah keyakinan tidak berbelah bahagi kepada-NYA.

Menurut sesetengah netizen, walaupun kita risau tentang mereka yang terpaksa diberhentikan kerja yang mana ia akan menjejaskan periuk nasi keluarga, betapa pula keadaan mangsa-mangsa perang di Palestin yang kelaparan kerana dinafikan segala bentuk bantuan? Kita hilang kerja, mereka hilang nyawa!

Suasana perang telah tempias ke mari. Media sosial mendekatkan kita dengan apa yang sedang berlaku di Gaza. Kerana itu, ramai di kalangan kita yang turut menyumbang dengan cara masing-masing bagi membantu saudara-saudara di Palestin.

Paling tidak pun mereka menyebarkan berita yang mereka terima kepada sahabat handai bagi menyatakan kemarahan atas kezaliman terhadap kemanusiaan. Ramai yang berkempen agar orang ramai memboikot pihak yang mereka tahu menyokong kezaliman Israel. Ramai lagi yang turut memberi komentar untuk menyeru rakyat di negara ini untuk terus membantah tindakan zalim Zionis.

Dari sudut agama, tiada mana-mana pihak berkuasa agama yang mengeluarkan fatwa wajib memboikot atau haram memboikot produk atau premis yang dianggap menyokong Israel. Juga, tidak ada fatwa yang melarang sesiapa yang bekerja di tempat di mana syarikat induknya menyokong kezaliman Israel.

Justeru itu, terpulang kepada kita sendiri untuk mempertimbang dan mengambil keputusan untuk memberi tentangan dengan cara yang kita fikir wajar. Dalam pada itu, mereka yang bertugas di premis perniagaan atau kilang pengeluar barangan yang mempunyai pertalian dengan pihak Israel juga boleh terus bekerja di tempat itu.

Bagaimana pun, sekiranya pihak syarikat itu mengambil tindakan pembuangan pekerja akibat kerugian, mereka terpaksa mencari kerja lain. Tetapi, mereka juga tidak boleh menyalahkan pihak yang memboikot syarikat tempat mereka bekerja hingga mereka diberhentikan kerana ini adalah perang saraf dan mereka menjadi mangsa sebagai collateral damage.

Kedegilan Perdana Menteri Israel menunjukkan bahawa dia akan meneruskan agenda menghapuskan penduduk Gaza. Malah, suara-suara mengenai penggunaan nuklear sudah mula kedengaran.

Tiada kuasa besar lain samada Amerika, Russia mahupun China yang berbuat sesuatu untuk memperlambat, apatah lagi menghentikan apa yang sedang dilakukan oleh Israel dan juga Hamas serta lain-lain yang menyokongnya. Di merata bandar-bandar besar seperti Washington,  London, Paris, Berlin, Barcelona, Kaherah, Baghdad, Jakarta dan banyak lagi bandaraya, demonstrasi terus dianjurkan pada saban minggu.

Kerana itu, boikot juga akan diteruskan. Ini akan menyaksikan kerugian syarikat-syarikat produk pengguna di negara ini. Ia akan diikuti dengan langkah-langkah penjimatan kos, malah penutupan sebahagian dari perniagaan mereka. Bila perang terus berlaku, pemboikotan akan melarat dan mencakupi ke atas produk-produk lain seperti barangan IT, kenderaan, malah pelbagai jenis aplikasi.

Peperangan di Gaza akan mengubah pola perniagaan di dunia. Jenama-jenama besar di dunia tidak boleh mendabik dada bahawa mereka menguasai ekonomi dunia. Jika sebelum ini, penemuan teknologi baharu yang mengancam survival mereka, kini sebuah peperangan untuk merebut sebuah wilayah seluas 6,000 kilometer persegi bakal mengubah carta kedudukan mereka di peta bisnes dunia.