MAAFCAKAP 10.10.2023

Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Kesilapan itu pula adalah salah laku atau salah fikir terhadap sesuatu perkara yang tidak disengajakan. Tetapi jika kesilapan itu berulang buat kali kedua dan seterusnya, ia dinamakan kesalahan.

Kesalahan itu boleh terjadi jika seseorang itu tidak tahu bahawa apa yang dilakukannya itu adalah satu kesalahan. Tetapi, ia juga boleh dilakukan dengan sengaja oleh seseorang kerana ia jalan mudah melepasi sesuatu peraturan dengan melanggarnya. Sudah tentu, orang yang melakukan kesalahan itu berharap tiada sesiapa pun tahu kesalahan yang dilakukannya.

Kesalahan seseorang melanggar peraturan dunia akan menerima hukuman. Kesalahan tidak membayar parkir misalnya, akan mendapat saman dengan membayar jumlah yang lebih banyak dari caj parkir yang diperlukan. Kesalahan melanggar lampu merah pula akan menerima hukuman yang lebih besar. Dan, kesalahan melanggar orang boleh mengakibatkan hukuman penjara.

Kesalahan seseorang melanggar peraturan agamanya akan menerima hukuman di dunia atau di akhirat. Tidak ada surat saman mahkamah akan tiba pada seseorang yang melanggar peraturan agama. Nalurinya sahaja yang memberitahu dirinya bahawa kesalahan itu adalah berdosa.

Bila dia menerima kifarah di dunia, tidak ada sesiapa yang akan memberitahunya kecuali hati kecilnya berbisik lalu dia berasa dirinya sedang menerima pembalasan di atas kesalahannya itu. Seseorang itu akhirnya akan berasa menyesal di atas perbuatannya dan dia akan mohon ampun kepada Yang Mencipta dengan bertaubat.

Namun, manusia itu pelupa. Dia boleh melakukan sesuatu kesalahan berulang kali. Dia bernasib baik apabila sentiasa ingat akan kesalahan demi kesalahannya lalu memohon ampun demi ampun kepada manusia dan Tuhannya. Manusia ada had memberi keampunan, sedangkan Tuhan boleh mengampunkan apa jua kesalahan walaupun dosanya mencecah langit.

Tetapi dia adalah manusia malang apabila mangli dalam melakukan kesalahan hingga kesalahan yang dilakukannya menjadi normalisasi. Akhirnya dia tidak berasa yang dia melakukan kesalahan. Lebih-lebih lagi apabila mereka di sekelilingnya melakukan kesalahan yang sama.

Mereka yang melakukan rasuah misalnya, tidak boleh berhenti dari melakukannya. Ia terjadi, lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi amalan dan normalisasi; barangkali di seluruh jabatannya. Dalam suasana sebegitu, tiada sesiapa yang akan menegur sesiapa. Masing-masing tahu sama tahu, pandai makan pandai simpan. Seolah-olah, hingga akhir zaman pun keadaan itu tidak akan berubah menjadi baik.

Bagaimana pun, keadaan boleh berubah apabila seseorang atau sekumpulan manusia datang untuk menegur akan kesalahan yang dilakukan. Biasanya yang menegur pada kesilapan seseorang atau kumpulan itu bertujuan untuk menasihati agar kesalahan yang dilakukan itu dihentikan dan kembali melakukan cara yang betul.

Secara mudahnya, mereka yang menasihati itu menegur untuk memperbetulkan, bukan menegur untuk menyalahkan. Masalah akan terjadi apabila pihak yang ditegur itu berasa dia dipersalahkan. Ego manusia akan menjadikan seseorang yang melakukan kesalahan itu mempertahankannya secara bermati-matian.

Malah, orang yang ditegur itu mungkin sekali akan menuduh orang yang menegur itu mempunyai niat jahat atau sengaja hendak membina naratif buruk terhadap mereka. Jika ia adalah su’u dzon, orang berkenaan akan buat-buat tidak tahu di atas teguran itu. Namun seandainya ia lahir dalam perkataan, maka berlakulah maki hamun sebagai cara seseorang itu mempertahankan kesalahannya.

Mengapa ada orang yang bermati-matian mempertahankan sesuatu perbuatan yang jelas, salah? Sebab dia malu orang lain sudah tahu akan kesalahannya. Lalu dia juga malu pada dirinya. Tetapi memang malang kerana orang begini tidak malu Tuhan sedang memerhatinya!

Justeru, sudah menjadi tugas kita untuk terus menegur kesalahan untuk diperbetulkan. Mudah-mudahan di hari esok, ada juga orang yang menegur kita pula kerana mereka tahu kita adalah insan yang boleh ditegur.