MAAFCAKAP 25.10.2023

Kita sedang berada di era fitnah di akhir zaman. Yang benar dan batil bercampur baur hingga kita tidak mengenali mana satu yang betul. Sesuatu yang dahulu kita anggap mustahil berlaku, kini menjadi sesuatu yang normal. Orang yang jahat disanjung dan orang yang baik dikeji dan dihina.

Dengan kepandaian si pelaku memanipulasi keadaan dan kedudukan, keburukannya boleh diubah menjadi bagus dengan cara membina naratif yang hebat dan mengagumkan. Hilang segala buruk dan jahat yang dia pernah lakukan. Tidak menghairankan bilamana kita sendiri terpesona dan percaya dengan imej baik dan bersinar yang dipaparkan.

Begitu juga sebaliknya bila mana orang yang baik boleh dipalit, ditepek dan digambarkan sebagai orang yang jahat. Dia yang ingin menyeru kebaikan diberi imej sebagai pemecah belah dan perosak sehingga segala jasanya tidak diingat lagi.

Semua ini terjadi bila manusia tidak segan silu lagi berkata dan bertindak buruk. Tidak keterlaluan bila dikatakan bahawa kerana imannya sudah rosak, ditambah dengan bantuan syaitan dengan menyelimutkan kejahatan dengan tazyin, maka yang buruk dilihat baik dan begitulah sebaliknya.

Mangsa kepada semua keadaan ini adalah kita sebagai orang yang memerhati dan mengikuti sesuatu perkara untuk mencari kebenaran. Tetapi kebenaran itu pada hari ini adalah sesuatu yang sukar ditemui kerana ia sudah tertanam di bawah lapisan demi lapisan kepalsuan. Maka pencarian kita selalunya tersasar dan hilang punca.

Bagaimanakah semua ini boleh terjadi? Bukankah kita sebagai manusia di zaman ini punyai pelbagai sumber melalui rekod dokumen berupa imej foto, video, audio dan tulisan sebagai rujukan untuk tabayyun terhadap apa jua perkara yang ingin diselidiki?

Saya melihat di antara sebab yang menyumbang kepada kecelaruan maklumat ini berpunca dari keruntuhan media-media arus perdana kerana meluasnya capaian internet.  Internet telah mengheret dan menghenyak industri persuratkhbaran bercetak dan industri pemberitaan elektronik.

Media gergasi yang menjadi media arus perdana memainkan peranan untuk membina public opinion. Ia dianggotai oleh para petugas profesional dan beretika yang telah dalam banyak ketika dan waktu menyumbang kepada pembinaan fikrah warga sesebuah negara. Benar, media-media ini juga ada peranan propagandanya untuk mengawal public opinion. Tetapi jasa media-media arus perdana ini jauh lebih besar daripada menjadi lidah pemerintah.

Kini, di mana-mana dan sesiapa sahaja boleh menjadi pemain dalam industri ini. Kerana itu, akhbar dan agensi berita arus perdana terpaksa bergelut dengan ratusan ribu laman web pemberitaan yang mana banyak dikendalikan oleh kumpulan-kumpulan kecil. Malah banyak sekali penjanaan berita dicanai oleh individu-individu dari bilik tidur mereka!

Akibatnya, sesebuah public opinion itu tidak akan kekal lama. Jika dahulu, sesebuah berita individu atau kejadian itu boleh menjadi topik perbualan selama berhari-hari, kini dalam waktu kurang 24 jam, sesuatu yang hangat itu boleh sahaja jadi lemau dan terpadam bila diganti dengan berita yang baharu.

Oleh kerana sesiapa sahaja boleh mencapai sumber berita menurut pilihannya, maka dia sendirilah yang menapis bahan yang diterimanya. Malangnya, bukan semua orang ingat untuk bertabayyun apabila memperoleh sesebuah maklumat. Lebih-lebih lagi dengan ligatnya berita muncul silih berganti kepada seseorang itu, maka dia tidak sempat untuk menilai kesahihan maklumat yang diterimanya.

Fenomena ini membolehkan orang yang jahat dengan mudah mengasak ruang capaian di internet dengan bahan-bahan yang menyokongnya. Ditambah pula dengan golongan cytro atau tentera siber, maka melimpahlah cerita-cerita yang baik dan muluk-muluk tentang dirinya.

Tidak beberapa lama dahulu, orang baik boleh diaksikan berkelakuan jahat melalui aplikasi deep fake. Kini, dengan teknologi artificial intelligence fitnah dicipta melalui ‘lakonan’ orang yang ingin diburukkan.

Kita sebagai insan di akhir zaman ini telah dipenatkan dengan apa yang tiba di skrin telefon, komputer dan televisyen. Kita sedang hanyut dan tenggelam lalu tidak segar untuk menilai kebenaran. Kita terima sahaja keadaan di mana ada orang yang berani kerana salah bila kita menjadi orang yang takut kerana bnar.