MAAFCAKAP 27.9.2023
Dunia sedang menghadapi bencana alam. Saban hari ada sahaja bencana yang menimpa umat manusia. Di Amerika, taufan tropika yang dikenali sebagai taufan Ophelia akan menghentam Carolina Utara, Virginia dan Delaware Jumaat ini.
Di China, hujan lebat dan ribut diramal berlaku lagi setelah puting beliung melanda wilayah Jiangsu. Kesan bencana alam itu sedang mengakibatkan tanah runtuh yang berbahaya kepada mereka di kawasan itu.
Di Libya, mangsa banjir di kota Derna berdepan dengan risiko samada bertahan di bandar itu menanti bantuan, atau lari dari bandar itu tetapi berdepan dengan risiko terpaksa merentasi kawasan periuk api yang bertaburan akibat dihanyutkan banjir.
Rakyat bandar pelancongan Marrakesh di Morocco masih merana akibat tragedi gempa bumi 6.8 Richter yang menyebabkan hampir 3,000 kematian. Kawasan berbukit bukau itu tidak akan menjadi kawasan pelancongan dan ekonominya sedang menjunam.
Bencana alam turut memberi kesan buruk kepada pengeluaran hasil pertanian. India sebagai negara pengeluar beras terbesar di dunia. India telah menghadkan eksport beras. Ini memberi kesan buruk kepada dunia. Beras naik harga.
Negara Russia yang tidak mahu bekerjasama dalam penglibatan eksport gandum oleh negara Ukraine kerana peperangan, telah memberi impak global kepada bahan makanan itu. Harga gandum yang meningkat secara mendadak turut mengakibatkan kenaikan harga makanan dari bahan itu.
Kita akan menerima tempias kepada apa yang berlaku kepada dunia. Sudah kerapkali bencana ribut dari negara-negara berhampiran turut menjejas kita. Dan kini, bila harga beras dan gandum meningkat, harga sekampit beras kita samada beras tempatan atau import sedang meningkat. Dan, harga sebungkus nasi lemak dan sepinggan roti canai akan naik lagi.
Pendek kata, bencana alam di hujung dunia akan menjejaskan kita. Jika kita tidak terkena tempias fizikal bencana itu, kita akan terkesan dengan kekurangan hasil bahan makanan. Justeru itu, kita tidak boleh hidup di bawah tempurung. Malah, kita perlu keluar dari tempurung minda bahawa apa yang terjadi di luar sana tidak akan sampai ke depan pintu rumah kita.
Baharu tahun 2020 dahulu kita berdepan dengan pandemik Covid-19. Tatkala ia heboh terjadi negara China, kita masih berasa selamat. Malah, kita tidak menerima pelancong dari negara itu dengan tangan terbuka.
Apabila kejadian Covid-19 yang pertama terjadi di negara jiran Singapura, kita masih berasa selamat. Namun, setelah seorang pelancong dari China yang datang ke Malaysia melalui Singapura dijangkiti Covid-19, hidup kita jadi tunggang-langgang bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah darurat dikuatkuasakan.
Ramai yang hilang kerja, hilang pendapatan, tiada makanan dan jatuh miskin. Fenomena bendera putih dikibarkan di merata tempat oleh yang terpaksa meminta bantuan. Mereka mengenepikan rasa malu kerana inginkan sesuap nasi. Kita hidup susah kerana peperangan ~ peperangan dengan virus.
Malapetaka pernah berlaku kepada orang lain dan malapetaka itu boleh datang kepada kita. Jika Covid-19 pernah mengakibatkan ribuan kematian, maka kematian itu telah berlaku kepada mereka yang kita sayangi. Ramai di antara kita tidak terkesan dengan apa yang berlaku kerana asyik menonton video bencana di TV sambil mengunyah kerepek.
Banjir biasa kita alami di negara kita. Puting beliung mula melanda walaupun di skala yang kecil. Gempa bumi pun ada kesan kepada kita, Tetapi gempa boleh terjadi bila tiba masanya. Kajian menunjukkan bahawa negara kita tidak terkecuali dari kemungkinan itu.
Kita tidak boleh lalai. Usah asyik berjoget di media sosial, bercakap hal-hal politik yang mrepek dan meraban atau bertekak dan berpolemik tanpa kesudahan tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.
Fikir. Apakah persediaan kita? Cukupkah persediaan itu? Bila berfikir itu pun, apakah untuk diri sendiri semata-mata atau untuk keluarga yang disayangi? Jika pun kita berasa kita akan tabah kerana kita ada ALLAH, apakah ALLAH sentiasa berada di hati kita pada setiap saat? Renungilah kekhusukan solat sendiri sebagai pengukurnya.