BLOG

Ekslusif Bersama: Web Sutera Sudah Tulis 30 Buku!

Ekslusif Bersama: Web Sutera Sudah Tulis 30 Buku!

Web Sutera ialah nama pena kepada Hizamnuddin bin Awang. Sebelum menceburi dalam bisnes katering sepenuh masa, beliau pernah menjawat jawatan Editor bagi subjek matematik dan komputer di salah sebuah syarikat penerbitan. Beliau pernah bertugas di MIMOS Berhad dan Jaring Communications Sdn. Bhd. Selama 11 tahun sebagai Penyelidik dan Pegawai Pemasaran yang fokus tugasnya kepada penulisan bahan-bahan pemasaran, pendidikan ICT / Internet dan branding.

Di Jaring Communications Sdn. Bhd., Web Sutera melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, editor bersekutu (associate editor) dan editor online bagi majalah Jaring Internet Magazine. Dalam waktu yang sama beliau banyak menyumbangkan hasil penulisan kepada beberapa majalah berbahasa Melayu tempatan dan juga bagi tugas rasmi untuk sisipan Komputer, Berita Harian.

Web Sutera ~ seorang penulis prolifik
Web Sutera ~ seorang penulis prolifik

Kesemua subjek penulisan Web Sutera ialah dalam bidang sains dan teknologi, ICT dan internet. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Unit bagi salah satu unit dalam Jabatan Komunikasi Korporat dan Branding syarikat Jaring Communications Sdn. Bhd.

Seterusnya beliau bergiat aktif dalam bidang penulisan makalah ICT, sains, teknologi dan peradaban manusia sejak tahun 1995 dalam pelbagai majalah bahasa Melayu di Malaysia.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Komputer dari USM,1992, Web Sutera kini menjalankan perniagaan sendiri iaitu LUSIANA CATERING sebagai managing partner, setelah bekerja makan gaji hampir 15 tahun. 

Ikuti temubual LAYARMINDA dengan beliau…

Web Sutera bersama Novelis Thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur
Bersama Novelis Thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur

Saudara pernah bertugas dalam bidang IT. Macam mana boleh berubah kepada dunia katering dan seterusnya menulis?

Dunia katering bermula dengan menjual nasi lemak secara kedai pacak, di tiga lokasi. Ia sebagai alternatif  kepada bisnes kedai langsir dan menjual baju-baju wanita yang tidak berjaya. Lalu saya bertekad sudah tiba masanya beralih arah dalam kerjaya kehidupan. Disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan – saya yakin sebagai takdir terbaik – saya berhenti kerja dalam bidang IT yang digeluti selama hampir 12 tahun.

Menulis pula sebenarnya muncul sebagai suatu perkara yang natural – suatu kesinambungan kecenderungan dan minat. Tatkala bekerja selama 12 tahun dalam bidang IT pun, antara tugas besar saya ialah menulis. Cumanya semasa itu bidang penulisan saya menjurus kepada IT dan teknologi. Manakala semenjak berhenti daripada kerjaya IT, saya meneruskan aluran natural itu dalam bentuk karya kreatif pula.

Web Sutera bersama Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim dalam satu program bual bicara di Universiti Malaya
Bersama Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim dalam satu program bual bicara di Universiti Malaya

Saudara menulis roman sejarah. Mengapa latar masa sejarah yang menjadi minat saudara? Atau untuk mencari kelainan dari ratusan penulis lain?

Minat membaca saya sejak di bangku sekolah menengah ialah sejarah, antara lainnya. Selain daripada itu, minat membaca karya-karya kreatif berbahasa Inggeris mulai menggebu semenjak memasuki universiti. Genre novel itu ialah thriller, fantasi dan sains fiksyen. Antara sub-genre pula ialah saga sejarah atau thriller/fiksyen yang digabung jalin dengan sejarah, sama ada secara betul atau diputar belit.

Daripada pembacaan itu juga, saya melihat banyak elemen sejarah diputar belit oleh para penulis Barat/Yahudi yang menanam doktrin jahat mereka dalam karya. Dan buku-buku kajian sejarah yang tebal dan berat itu (walaupun mungkin nipis) kurang digemari sebagai bacaan yang wajib atau sepatutnya dimiliki atau diambil tahu oleh majoriti masyarakat. Justeru saya bertekad untuk mulakan misi berani untuk menulis roman sejarah, walaupun dalam fiksyen thriller kontemporari. Atau dengan kata lain, memudahkan sejarah agar diambil tahu oleh masyarakat.

Maka lahirlah apa yang saya nyatakan sebagai ‘gaya Web Sutera.’ Justeru muncul pula kelainan ketara yang saya cari-cari, berbanding dengan para penulis lain. Ia natural!

Bersama para peminat dalam setelah menghadiri program bedah buku
Bersama para peminat dalam setelah menghadiri program bedah buku

Bilakah masa terbaik saudara mendapat idea?

Idea datang bila-bila masa, tiada ketika tertentu. Namun selalunya idea itu muncul daripada pembacaan buku-buku dan pemerhatian dari media elektronik.

Bagaimanakah idea itu saudara tangani? Disimpan dalam fikiran? Dicatat di buku 555 atau di dalam telefon?

Idea saya catat dalam buku kecil atau kadangkala dalam gajet. Kalau letak dalam fikiran untuk tempoh masa tertentu, misalnya sehari lebih, ia mungkin akan hilang ditelan waktu. Kemudian saya akan rujuk semula apabila tiba masa untuk dikembangkan menjadi bahan penulisan.

Apakah bentuk kepuasan yang saudara perolehi dari tulisan saudara?

Apabila mengetahui ada yang membacanya, dan mereka memberi komentar atau kritikan. Paling terkesan ialah apabila pembaca memberi komen dalam bentuk bahawa mereka dapat ilmu atau maklumat atau pengajaran baik daripada membaca setiap karya saya.

Novel terkini DI SEBALIK HIJAB
Novel terkini DI SEBALIK HIJAB

DI SEBALIK HIJAB ini pula adalah thriller sejarah. Cuma latar masanya tidaklah terlalu lampau seperti Trilogi Armagedon. Apakah saudara sudah mendekatkan pemilihan latar masa ke zaman yang lebih semasa?

Di Sebalik Hijab adalah adaptasi catatan sejarah dalam al-Quran, dan peristiwa perang dekad-dekat 90-an dan awal abad ke-21. Ia digabung elemen sejarah dalam sebuah thriller.

Manakala dalam Trilogi Armagedon, ia lebih kepada sejarah dan futuristik, jauh ke depan dalam abad-abad mendatang. Sebuah fiksyen sains yang digabung jalin dengan sejarah dan mitos serta teori konspirasi.

Makanya latar masa berbeza mengikut setiap novel itu. Ia turut dipengaruhi oleh peristiwa kontemporari yang saya dapat dari pembacaan dan menonton. Seorang penulis yang baik, saya kira, harus sentiasa peka (bukan pekak!).

Apa cita-cita dari segi penulisan yang saudara masih impikan?

Salah satunya yang sangat diharapkan ialah karya trilogi dibukukan menjadi sebuah naskhah khas berkulit keras.

Web Sutera rajin mempromosi bukunya sendiri
Web Sutera rajin mempromosi bukunya sendiri

Ada rancangan untuk memindahkan karya saudara dalam bentuk filem, telefilem atau pementasan?

Ramai juga yang memberi cadangan, khasnya untuk novel Raja Kesatria dan siri Trilogi Armagedon, agar ia dapat difilemkan. Namun… tidak mahu bercita-cita tinggi sangat. Insya-Allah, andai ada rezeki. Bahkan ada juga yang menyarankan agar novel-novel itu dijadikan komik.

Boleh berikan seringkas 5 tip untuk menjadi seorang penulis yang tak kering idea?

(i) Banyak membaca dan mencatat. Jangan sombong tak mahu baca karya kreatif penulis lain.

(ii) Peka kepada peristiwa semasa, sama ada di dalam negara atau secara global. Rajin-rajin meneliti berita dan menonton dokumentari.

(iii) Selalu berdoa. Ingat perintah Allah agar Iqra’. Teliti dan taakul. Jangan sombong dengan penerimaan baik karya oleh masyarakat.

(iv) Selalu menulis dan simpan, atau terbitkan dalam blog atau media sosial yang lain. Kita tidak mengetahui bilakah sesuatu bahan penulisan itu diperlukan untuk sebuah buku. Insya-Allah ia akan muncul kelak. Cumanya… kena rajin mencatat.

(v) Terbuka dengan pandangan pihak lain, walaupun mungkin tidak benar atau menyakitkan hati. Belajar bertabah dan bersabar. Istighfar.

Di antara novel-novel hasil karya Web Sutera
Di antara novel-novel hasil karya Web Sutera
Ada Tak Jalan Pintas Untuk Berjaya?

Ada Tak Jalan Pintas Untuk Berjaya?

MAAFCAKAP: 31.7.19

‘Tiada jalan pintas untuk berjaya!’ ‘Jalan pintas biasanya akan menemui kebuntuan dan kegagalan.’ Oleh itu jauhi jalan pintas kerana kejayaan yang diperoleh dengan cara itu tidak akan bertahan lama.’

Begitulah kata-kata yang biasa kita dengar apabila kita mahu kembara menuju kejayaan. Kerana bimbang akan kejayaan sementara akibat mencari jalan pintas, ramai di antara kita lebih selesa mencari jalan yang lebih lambat. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, sehari selembar benang, lama-lama jadi kain dan biar lambat asal selamat menjadi anutan kepada sebahagian daripada kita.

Pada hari ini, pandangan sebegitu sudah tidak begitu relevan lagi kerana banyak sekali aktiviti harian kita menjadi lebih cepat kerana penemuan jalan pintas. Dan jalan pintas yang ebih cepat itu menjanjikan pula kejayaan yang berkekalan.

Ketika memandu dalam perjalanan ke tempat kerja, jauh di hadapan kita nampak jalan sesak dengan kenderaan. Kemudian kita nampak kelibat sebuah kemalangan. Apa tindakan kita? Kita akan cari jalan pintas. Daripada jalan utama, kita akan membelok dan menyusur ke jalan kawasan perumahan yang sempit, melalui lopak dan beberapa bonggol jalan, mungkin juga jalan yang penuh semak samun sebelum kita kembali ke jalan besar. Dari situ kita boleh memecut kerana kawasan kemalangan sudah dipintas.

Di kampung, kita biasa nampak garisan rumput yang mati di kawasan tepi padang bola. Rumput-rumput itu mati kerana kerap dipijak orang yang melaluinya hingga ia terbentuk seperti jalan kecil. Itulah jalan yang orang kampung gunakan dari kawasan perumahan ke kedai runcit di seberang padang bola. Orang kampung tidak mahu gunakan jalan berbatu di tepi padang kerana ada pagar yang menghadang di tepi kedai runcit. Jadi, itulah jalan pintas yang digunakan oleh orang kampung.

Untuk mengira dalam urusan jual beli, kita akan gunakan mesin kira. Tidak perlu menconteng kertas untuk mencongak. Untuk menjimatkan masa memasak, kita gunakan sekotak cecair santan. Tidak payah membeli kelapa parut lagi. Malah, apabila ingin ke sesuatu tempat, kita gunakan GPS ataupun waze yang akan memberi kita dua-tiga laluan. Kita boleh pilih yang mana paling cepat tiba. Tidak perlu meredah jalan lalu berpatah balik kerana terambil jalan jauh.

Jalan pintas. Inilah yang perkembangan yang dibina oleh teknologi. Samada ia mengenai jarak, masa atau cara, teknologi mempercepatkan kita mencapai tujuan. Dahulu, apabila kita hendak berhubung, kita menulis surat. Surat yang siap dimasukkan ke sampul. Kemudian kita bubuh setem dan pergi ke pejabat pos untuk mengirimnya.

Pada sebelah petangnya, pihak pos akan menghantar surat itu ke pejabat pos yang berhampiran dengan matlamat dengan menggunakan van. Dari pejabat pos itu, seorang posmen akan mengirim surat itu kepada penerima. Perjalanan surat itu sendiri sudah tentu lebih lama daripada proses menulis itu sendiri.

Pada hari ini, proses menulis surat boleh sahaja dilakukan di bilik atau di pejabat dengan menggunakan komputer. Surat yang siap ditaip akan dikirm melalui e-mel dari tempat duduk. Dalam masa kurang lima saat surat itu sudah tiba kepada penerima. Barangkali, proses dari peringkat menulis hingga mengirimnya hanya mengambil masa 30 minit. Jika mengikut cara konvensional, ia mengambil masa tiga hari!

Proses menulis dan mengirim surat dahulu memerlukan beberapa langkah dan melibatkan beberapa orang manusia lain seperti posmen, pemandu van dan kakitangan lain. Kini, proses mengirim surat hanya melibatkan kita sahaja sebagai penulis dan sebagai pengirimnya. Itulah jalan pintas.

Hampir semua proses yang kita lakukan pada hari ini telah disingkatkan masanya. Proses memasak, membasuh, mengira, menulis, membeli-belah, memilih barang dapur, perjalanan, malah mengira untung rugi sudah disingkatkan. Langkah-langkah untuk menyudahkan sesuatu tindakan itu sudah dipendekkan. Oleh itu, kenapa masih berkata lagi, ‘tiada jalan pintas untuk berjaya?’

Bagaimana pun, memang ada jalan pintas yang akan menemui kegagalan dan berakhir dengan penyesalan. Misalnya, jika kita menggunakan lorong kecemasan agar cepat sampai ke matlamat, kita mungkin disaman kerana melanggar undang-undang.

Begitu juga jika ingin ijazah tanpa perlu belajar tetapi mengambil ijazah palsu. Ataupun inginkan pangkat dan darjat dengan cara membelinya, mahupun ingin cepat kaya dengan cara mengamalkan rasuah. Jalan-jalan pintas yang beginilah yang harus diketepikan langsung dari pertimbangan.

Justeru itu, kita wajib mencari apa jua jalan pintas untuk cepat sampai di tangga kejayaan asalkan ia tidak menyalahi undang-undang mahupun hukum syarak.

Wah! The Big Bad Wolf Kini di Pakistan!

Wah! The Big Bad Wolf Kini di Pakistan!

The Express Tribune, 27 Julai 2019.

The Big Bad Wolf Book Sale, anjuran syarikat dari Malaysia  yang kini terkenal sebagai pesta jualan buku yang terbesar di dunia dilancarkan di Expo Centre, Karachi, Pakistan berikutan dengan kejayaannya di Lahore, India. Pameran telah dibuka Jumaat lalu dan bakal berakhir pada 5 Ogos 2019.

Majlis perasmian The Big Bad Wolf Sale di Karachi Jumaat lalu ~ foto News Update Times
Majlis perasmian The Big Bad Wolf Sale di Karachi Jumaat lalu ~ foto News Update Times

Pesta buku itu unik kerana dibuka selama  24 jam. Ia mempamer lebih 1 juta naskhah buku dalam bahasa Inggeris bagi semua genre dengan diskaun di antara 50 – 90 %. Pameran itu dibuka percuma kepada orang ramai.

Pesta buku ini dirasmikan oleh Tehreek-e-Insaf MPA Firdous Shamim Naqvi yang diiringi oleh Ketua Konsul Malaysia, Khairul Nazran Abd Rahman dan penganjur pesta, Awais Akhtar Butt.

Wah, ramainya para pengunjung di Big Bad Wolf Karachi! -  foto dailytimes
Wah, ramainya para pengunjung! – foto dailytimes

Wakil-wakil tempatan seperti Punjab Group of Colleges, Muhammad Ali Jinnah University dan Allied Schools, Centre for Executive Learning Development and Diversity turut hadir memeriahkan majlis.

Pesta buku ini dianjurkan di beberapa buah negara tetapi inilah kali pertama ia diadakan di Karachi. “Jualan ini memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki buku dengan harga mampu. Kita amat gembira bila ia diadakan di Karachi,” kata Awais yang mewakili pihak penganjur. “Membaca itu membina fikiran. Buku-buku menjana imaginasi dan menjadikan kita pemikir yang baik.”

Usahawan Big Bad Wolf, Andrew Yap ditemubual di tapak pesta Big Bad Wolf Karachi~ foto dawn
Usahawan Big Bad Wolf, Andrew Yap ditemubual di tapak pesta ~ foto dawn

Buku-buku yang terpamer termasuk dalam bidang seni, arkitektur, sejarah, sains, puisi, fantasi dan juga buku kanak-kanak. Untuk golongan kanak-kanak, mereka berpeluang mendapatkan buku-buku magis iaitu buku-buku yang disisip augmented reality yang mana imej-imejnya menjadi hidup untuk menarik golongan itu.

Terdapat 12 judul buku-buku magis yang terpamer termasuk kisah pari-pari, kisah kanak-kanak dan edisi pendidikan. “Bandaraya ini telah menghasilkan ramai bijak pandai untuk negara ini dan kita ingin mengekalkannya dengan memberi bahan bacaan dengan harga yang berpatutan,” ujar Awais.



Melalui program Red Readerhood, sebuah program untuk mendermakan buku-buku baharu kepada mereka yang emmerlukan, pihak penganjur akan menghadiahkan 500 buku kepada  Rotary Pakistan Literacy Mission.

Para pengunjung yang ingin menderma untuk program ini boleh membeli buku di reruai Red Readerhood Corner yang terdapat di tapak pesta buku Big Bad Wolf Karachi ini.

Sumber asal berita:
https://tribune.com.pk/story/2022331/1-big-bad-wolf-comes-town/

Kenapa J.K. Rowling Guna Nama Pena Jantan Pulak?

Kenapa J.K. Rowling Guna Nama Pena Jantan Pulak?

NATALIE ZAMORA, MENTALFLOSS.COM,  JULY 26, 2019

PARA PEMINAT siri Harry Potter semuanya kenal siapakah J.K Rowling. Tetapi tidak ramai yang tahu siapakah dia Robert Gailbraith. Inilah nama jantan yang Rowling gunakan untuk karya yang tidak kurang hebatnya.

Novelis J.K Rowling ~ foto mirror

Meskipun pada mulanya Rowling mahu merahsiakan nama Robert Gailbraith, dia terpaksa juga mengaku yang nama itu adalah dirinya setelah beberapa bulan novel The Cuckoo’s Calling berada di pasaran pada tahun 2013. Tapi, buat apa Rowling guna nama lain?

Dalam satu temubual pada tahun 2015 dengan National Public Radio, beliau berkata dia terpaksa menggunakan nama itu kerana dia terlalu popular dengan siri Harry Potter. Para peminatnya mengenali beliau dengan nama J.K Rowling. “Perhubungan saya dengan para peminat terlalu bermakna buat saya.”

Novel-novel J.K Rowlings yang menggunakan nama pena Robert Gailbraith ~ foto  vox

“Sebagai penulis Harry Potter, saya merasai tekanan kerana popular. Anda tentu tahu macam mana perasaannya bila saya buat sesuatu yang berbeza. Nama pena saya mungkin berdiri tegak atau berkecai musnah.”

Rowling turut memberitahu mengapa beliau memilih nama ‘Robert.’ Katanya, dia menganggap salah seorang Presiden Amerika, Robert F. Kennedy sebagai heronya. Ketika meningkat remaja, beliau pernah punyai angan-angan untuk menggunakan nama Ella Gailbraith.

“Ketika kanak-kanak, saya benar-benar mahu dipanggil Ella Gailbraith. Tak tahulah, kenapa. Tetapi nama itu begitu menarik.”

Setelah novel The Cuckoo’s Calling, beliau menulis The Silkworm (2014),Career of Evil (2015) dan Lethal White (2018) dalam siri Cormoran Strike.

Rowling berkata, nama Robert itu bukannya satu strategi pemasaran. Tetapi penerbit dan agen penerbitannya bersetuju dengan penggunaan nama samaran itu. “Jika jualan menjadi sasaran saya, tentulah saya lebih suka menggunakan nama J.K Rowling.”

Apabila novel yang menggunakan nama pena Robert Gailbraith iaitu The Cuckoo’s Calling berada di pasaran, keadaan menjadi agak rumit. Jualan novel itu nampaknya jadi akan setanding dari segi tempoh jualan dengan novel pertama J.K Rowling.  

Novel Harry Potter and the Philosopher’s Stone yang difilemkan ~ foto wikipedia

“Jualan The Cuckoo’s Calling pada tiga bulan pertama novel itu hampir setanding dengan jualan novel Harry Potter and the Philosopher’s Stone.

Di negara kita, tentu ada penulis yang menggunakan lebih daripada satu nama pena. Tapi siapa yang kenal siapakah mereka. Boleh kita share?

Jom tonton Video Channel4: reaksi pembaca bila mengetahui Robert Gailbraith adalah JK Rowlings:

Jualan Gudang: Harga Buku Serendah RM 1.00!

Jualan Gudang: Harga Buku Serendah RM 1.00!

SHAH ALAM – Bagi peminat buku, Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf selama 10 hari mulai Jumaat 26 Julai hingga 4 Ogos. Ini peluang baik untuk berkunjung ke sini bagi mendapatkan buku yang diperlukan dengan harga jauh lebih murah dengan pelbagai tawaran menarik.

Penolong Pengurus Besar Jualan Kumpulan Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, selain tawaran diskaun sehingga 70 peratus, pelbagai aktiviti menarik sepanjang jualan gudang berlangsung setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam.

Pengunjung yang pernah datang pastinya tahu kemudahan yang kami sediakan sepanjang acara ini di mana ruang pameran yang berhawa dingin pastinya memberi keselesaan kepada mereka yang hadir bersama keluarga atau rakan-rakan.

Percaya atau tidak, dengan hanya RM1 anda boleh dapat buku kegemaran tanpa perlu berfikir panjang dan boleh membeli hingga berbakul-bakul!

Anda sudah boleh rancang perjalanan dan pilih hari yang bersesuaian untuk datang nanti.

Anda di luar Lembah Klang pun mesti boleh datang. Sebarkan berita ini kepada kawan-kawan, keluarga, jiran dan saudara mara.

Poster harga diskaun menarik Jualan Gudang Karangkraf
Poster harga diskaun menarik Jualan Gudang Karangkraf

SPECIAL TAK INGAT DUNIA

Kalau Burger Special daging ia dibalut dengan telur dan anda kena tambah harga. Kalau Roti John Special pun roti dibalut dengan telur dan kena tambah harga. Beli Apam Balik Special tambah jagung dengan kacang pun kena tambah 50 sen.

Tetapi di Jualan Gudang Karangkraf, makin special, makin dipotong harganya!

Buku condition Mira Filzah, yang berharga puluhan di pasaran kami jual dengan harga serendah RM5 dan RM1.

Ini peluang baik untuk anda!

Novelis-novelis yang bakal hadir menemui para peminat di Jualan Gudang
Novelis-novelis yang bakal hadir menemui para peminat

BARISAN NOVELIS MERIAHKAN SUASANA JUALAN GUDANG

Ramai novelis Grup Buku Karangkraf dijangka hadir untuk beramah mesra dengan para peminat. Pada hari Jumaat 26 Julai, novelis Zan Zuraida dan Murni Aqila akan menemui para peminat. Pada Sabtu 27 Julai pulam Batiah hadi, Kamsiah Abu, Mastura Abdullah, Zan Zarida, Murni Aqila, Liza Nur, Nurul Syahida dan Eshal Nuranis akan hadir. Pada 3 Ogos pula, Eija Khadeeja, Amuliey Haizani, Kamsiah Abu dan Murni Aqila dan pada 4 Ogos, Eija Khadeeja, Kamsiah Abu dan Amyliey Haizani akan meraikan anda.

Video Jualan Gudang:

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]