Web Sutera ialah nama pena kepada Hizamnuddin bin Awang. Sebelum menceburi dalam bisnes katering sepenuh masa, beliau pernah menjawat jawatan Editor bagi subjek matematik dan komputer di salah sebuah syarikat penerbitan. Beliau pernah bertugas di MIMOS Berhad dan Jaring Communications Sdn. Bhd. Selama 11 tahun sebagai Penyelidik dan Pegawai Pemasaran yang fokus tugasnya kepada penulisan bahan-bahan pemasaran, pendidikan ICT / Internet dan branding.

Di Jaring Communications Sdn. Bhd., Web Sutera melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, editor bersekutu (associate editor) dan editor online bagi majalah Jaring Internet Magazine. Dalam waktu yang sama beliau banyak menyumbangkan hasil penulisan kepada beberapa majalah berbahasa Melayu tempatan dan juga bagi tugas rasmi untuk sisipan Komputer, Berita Harian.

Web Sutera ~ seorang penulis prolifik
Web Sutera ~ seorang penulis prolifik

Kesemua subjek penulisan Web Sutera ialah dalam bidang sains dan teknologi, ICT dan internet. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Unit bagi salah satu unit dalam Jabatan Komunikasi Korporat dan Branding syarikat Jaring Communications Sdn. Bhd.

Seterusnya beliau bergiat aktif dalam bidang penulisan makalah ICT, sains, teknologi dan peradaban manusia sejak tahun 1995 dalam pelbagai majalah bahasa Melayu di Malaysia.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Komputer dari USM,1992, Web Sutera kini menjalankan perniagaan sendiri iaitu LUSIANA CATERING sebagai managing partner, setelah bekerja makan gaji hampir 15 tahun. 

Ikuti temubual LAYARMINDA dengan beliau…

Web Sutera bersama Novelis Thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur
Bersama Novelis Thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur

Saudara pernah bertugas dalam bidang IT. Macam mana boleh berubah kepada dunia katering dan seterusnya menulis?

Dunia katering bermula dengan menjual nasi lemak secara kedai pacak, di tiga lokasi. Ia sebagai alternatif  kepada bisnes kedai langsir dan menjual baju-baju wanita yang tidak berjaya. Lalu saya bertekad sudah tiba masanya beralih arah dalam kerjaya kehidupan. Disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan – saya yakin sebagai takdir terbaik – saya berhenti kerja dalam bidang IT yang digeluti selama hampir 12 tahun.

Menulis pula sebenarnya muncul sebagai suatu perkara yang natural – suatu kesinambungan kecenderungan dan minat. Tatkala bekerja selama 12 tahun dalam bidang IT pun, antara tugas besar saya ialah menulis. Cumanya semasa itu bidang penulisan saya menjurus kepada IT dan teknologi. Manakala semenjak berhenti daripada kerjaya IT, saya meneruskan aluran natural itu dalam bentuk karya kreatif pula.

Web Sutera bersama Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim dalam satu program bual bicara di Universiti Malaya
Bersama Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim dalam satu program bual bicara di Universiti Malaya

Saudara menulis roman sejarah. Mengapa latar masa sejarah yang menjadi minat saudara? Atau untuk mencari kelainan dari ratusan penulis lain?

Minat membaca saya sejak di bangku sekolah menengah ialah sejarah, antara lainnya. Selain daripada itu, minat membaca karya-karya kreatif berbahasa Inggeris mulai menggebu semenjak memasuki universiti. Genre novel itu ialah thriller, fantasi dan sains fiksyen. Antara sub-genre pula ialah saga sejarah atau thriller/fiksyen yang digabung jalin dengan sejarah, sama ada secara betul atau diputar belit.

Daripada pembacaan itu juga, saya melihat banyak elemen sejarah diputar belit oleh para penulis Barat/Yahudi yang menanam doktrin jahat mereka dalam karya. Dan buku-buku kajian sejarah yang tebal dan berat itu (walaupun mungkin nipis) kurang digemari sebagai bacaan yang wajib atau sepatutnya dimiliki atau diambil tahu oleh majoriti masyarakat. Justeru saya bertekad untuk mulakan misi berani untuk menulis roman sejarah, walaupun dalam fiksyen thriller kontemporari. Atau dengan kata lain, memudahkan sejarah agar diambil tahu oleh masyarakat.

Maka lahirlah apa yang saya nyatakan sebagai ‘gaya Web Sutera.’ Justeru muncul pula kelainan ketara yang saya cari-cari, berbanding dengan para penulis lain. Ia natural!

Bersama para peminat dalam setelah menghadiri program bedah buku
Bersama para peminat dalam setelah menghadiri program bedah buku

Bilakah masa terbaik saudara mendapat idea?

Idea datang bila-bila masa, tiada ketika tertentu. Namun selalunya idea itu muncul daripada pembacaan buku-buku dan pemerhatian dari media elektronik.

Bagaimanakah idea itu saudara tangani? Disimpan dalam fikiran? Dicatat di buku 555 atau di dalam telefon?

Idea saya catat dalam buku kecil atau kadangkala dalam gajet. Kalau letak dalam fikiran untuk tempoh masa tertentu, misalnya sehari lebih, ia mungkin akan hilang ditelan waktu. Kemudian saya akan rujuk semula apabila tiba masa untuk dikembangkan menjadi bahan penulisan.

Apakah bentuk kepuasan yang saudara perolehi dari tulisan saudara?

Apabila mengetahui ada yang membacanya, dan mereka memberi komentar atau kritikan. Paling terkesan ialah apabila pembaca memberi komen dalam bentuk bahawa mereka dapat ilmu atau maklumat atau pengajaran baik daripada membaca setiap karya saya.

Novel terkini DI SEBALIK HIJAB
Novel terkini DI SEBALIK HIJAB

DI SEBALIK HIJAB ini pula adalah thriller sejarah. Cuma latar masanya tidaklah terlalu lampau seperti Trilogi Armagedon. Apakah saudara sudah mendekatkan pemilihan latar masa ke zaman yang lebih semasa?

Di Sebalik Hijab adalah adaptasi catatan sejarah dalam al-Quran, dan peristiwa perang dekad-dekat 90-an dan awal abad ke-21. Ia digabung elemen sejarah dalam sebuah thriller.

Manakala dalam Trilogi Armagedon, ia lebih kepada sejarah dan futuristik, jauh ke depan dalam abad-abad mendatang. Sebuah fiksyen sains yang digabung jalin dengan sejarah dan mitos serta teori konspirasi.

Makanya latar masa berbeza mengikut setiap novel itu. Ia turut dipengaruhi oleh peristiwa kontemporari yang saya dapat dari pembacaan dan menonton. Seorang penulis yang baik, saya kira, harus sentiasa peka (bukan pekak!).

Apa cita-cita dari segi penulisan yang saudara masih impikan?

Salah satunya yang sangat diharapkan ialah karya trilogi dibukukan menjadi sebuah naskhah khas berkulit keras.

Web Sutera rajin mempromosi bukunya sendiri
Web Sutera rajin mempromosi bukunya sendiri

Ada rancangan untuk memindahkan karya saudara dalam bentuk filem, telefilem atau pementasan?

Ramai juga yang memberi cadangan, khasnya untuk novel Raja Kesatria dan siri Trilogi Armagedon, agar ia dapat difilemkan. Namun… tidak mahu bercita-cita tinggi sangat. Insya-Allah, andai ada rezeki. Bahkan ada juga yang menyarankan agar novel-novel itu dijadikan komik.

Boleh berikan seringkas 5 tip untuk menjadi seorang penulis yang tak kering idea?

(i) Banyak membaca dan mencatat. Jangan sombong tak mahu baca karya kreatif penulis lain.

(ii) Peka kepada peristiwa semasa, sama ada di dalam negara atau secara global. Rajin-rajin meneliti berita dan menonton dokumentari.

(iii) Selalu berdoa. Ingat perintah Allah agar Iqra’. Teliti dan taakul. Jangan sombong dengan penerimaan baik karya oleh masyarakat.

(iv) Selalu menulis dan simpan, atau terbitkan dalam blog atau media sosial yang lain. Kita tidak mengetahui bilakah sesuatu bahan penulisan itu diperlukan untuk sebuah buku. Insya-Allah ia akan muncul kelak. Cumanya… kena rajin mencatat.

(v) Terbuka dengan pandangan pihak lain, walaupun mungkin tidak benar atau menyakitkan hati. Belajar bertabah dan bersabar. Istighfar.

Di antara novel-novel hasil karya Web Sutera
Di antara novel-novel hasil karya Web Sutera