Ini dia Cara Hilangkan Gian untuk BerFacebook
LAPORAN Penggunaan Internet oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia pada 2018 menunjukkan, peratus pengguna internet kian meningkat iaitu 87.4% pada tahun 2018 berbanding dengan 76.9% pada tahun 2016. Telefon pintar adalah alat yang paling banyak digunakan. Sembilan daripada sepuluh pengguna internet (93.1%) membuat capaian melalui telefon.

Internet menjadi medium penting yang digunakan sebagai platform perhubungan. Whatsapp dan Facebook pula merupakan aplikasi yang paling popular. Kerana itu, tidak hairanlah jika Facebook kini menjadi kegilaan, malah ketagihan sebilangan besar di kalangan kita. Dan, ia turut menjejaskan minat membaca.
Sebenarnya tak salah jika kita membaca segala catatan teman-teman di Facebook. Tetapi lebih berfaedah jika kita membaca sebuah buku. Menurut David Kadavy, seorang usahawan kreatif yang menulis buku Heart to Start, terdapat cara untuk mematikan tabiat berFacebook dan menggantinya dengan membaca buku.

Caranya, kita perlu kenalpasti apakah yang membuatkan kita mahu membuka Facebook. Apakah kerana kita bosan, membaca sambil berjalan ke kenderaan ataupun berasa ingin tahu apa yang sedang berlaku pada dunia mahupun bila kita ingin menangguh dari melakukan sesuatu. Kita perlu kenalpasti apakah sebabnya.
Kemudian, beri peluang kepada diri untuk membaca secara santai. Tidak perlu membaca sebuah bab untuk menjadikan membaca sesuatu yang berbaloi. Sebaliknya, baca sahaja apa yang sempat. Tujuannya ialah untuk mematikan gian membaca Facebook.
Setiap kali perasaan kita merenyam untuk berFacebook, capai sebuah buku; bukannya telefon anda. Buat permulaan, bagus bila kita jadikan naskhah buku sebagai alat untuk memintas perasaan gian itu. Kemudian susun kembali ikon di telefon untuk membelakangkan ikon Facebook tetapi nampakkan ikon Kindle, misalnya.

Dengan cara itu, kita akan teringatkan buku dan bukannya Facebook atau apa-apa media sosial lain seperti Twitter atau Instagram. Kalau kita hendak ambil tindakan yang lebih mencabar, padamkan sahaja Facebook. Ia menjimatkan penggunaan bateri.
Gantikan apa sahaja yang kita rasa mencuri banyak masa. Kembalilah membaca. Dalam kes ini gian Facebook boleh diubati dengan membaca!
Artikel di atas kecuali perenggan pertama dan kedua diterjemahkan dari artikel tulisan Alan Henry, dari The LifeHacker, 12.4.19: https://lifehacker.com/use-your-facebook-habit-as-inspiration-to-read-more-boo-1789285132
Bolehkah Orang Islam dan Bukan Islam Selesa Tinggal Berjiran di Sebuah Bandar Islamik?
Sean Augustin, Free Malaysia Today, 10.8.19
CYBERJAYA: Barisan rumah-rumah untuk dijual yang bertemakan warna putih kelihatan seperti mana-mana kawasan pembangunan perumahan.

Bagaimana pun personaliti di belakang kawasan pembangunan ini mempunyai sasaran golongan pembeli yang khusus di mindanya.
Gegantung yang terpapar di sepanjang lebuhraya mempamerkan wajah seorang lelaki tua yang bersongkok dan seorang wanita berusia yang bertudung merah jambu.
Dan terdapat pula slogan yang menyerlah, ‘Neighbours Until Jannah’ atau ‘Berjiran Hingga ke Jannah.’
Selamat Datang ke RaudhahVille ~ nama yang diilhamkan dari salah sebuah taman di syurga. Inilah taman perumahan bertemakan komuniti Islamik yang pertama di Malaysia. Ia menyasarkan komuniti Islam dan bukan Islam untuk tinggal berjiran mengikut panduan Islam.
Mungkin ada yang beranggapan, tempat kediaman yang begitu akan memisahkan lagi rakyat Malaysia dari jalur agama dan kaum. Namun, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Fadzil Hashim berkata, sesiapa sahaja dialu-alukan mendiami kawasan perumahan ini termasuk yang bukan Islam.
“Saya mahu mengubah salah faham orang ramai terhadap Islam,” katanya.
Beliau mendakwa banyak pihak mempunyai tanggapan yang salah mengenai Islam berikutan dengan laporan media yang tidak adil serta bagaimana agama itu telah digambarkan di barat.
“RaudhahVille memaparkan pandangan yang moden terhadap Islam,” katanya.

Ini amat penting pada saat lebih ramai rakyat Malaysia melihat apa jua isu dari kacamata bangsa dan agama. Beliau mengambil contoh mengenai isu khat sebagai salah sebuah isu yang menjadi perbalahan.
Bapa kepada lima orang anak ini melahirkan impiannya untuk membina sebuah bandar Islamik sebagai jawapan dan alternatif kepada “bandar-bandar dosa” yang lahir dari kehendak membesarkan anak-anaknya dari gejala buruk agar mereka mempunyai amalan yang baik termasuk bersolat lima waktu.
Untuk mencapai maksud tersebut, beliau telah mencipta piagam maruah untuk mereka yang tinggal di RaudhahVille.
Para penghuni digalakkan untuk “Menyintai jiran, bersalaman, berpelukan dan menjauhi mereka yang bersikap negatif. Dilarang berbohong atau memaki hamun.”
Beliau menggalakkan para penghuni untuk berfikiran positif, beriadah secara berkala dan berpakaian tertib.
“Nilai-nilai ini kian pupus pada hari ini,” ujarnya. Beliau berharap mereka yang berperibadi baik dari pelbagai kepercayaan akan menjadi sebahagian daripada komuniti RaudhahVille.
“Saya mahu kita kembali ke zaman bila mana jiran-jiran mengambil berat di antara satu sama lain. Saya mengajak kita meningkatkan perkembangan spiritual dan emosi. Saya mahu mencipta suasana syurga di dunia.”
Pusat komuniti yang juga menjadi surau adalah nadi kepada konumiti ini. Ia adalah tempat di mana para penghuninya boleh bertemu dan berbual atau menonton bolasepak di televisyen. Terdapat sebuah perpustakaan dan jimnasium patuh syariah.
Menurut Fadzil, mereka yang bukan Islam tidak harus berfikiran bahawa kehidupan mereka akan terhad apabila mereka memilih untuk tinggal di RaudhahVille. Ini juga termasuk hal ehwal makan minum. Bandar ini tidak akan menghalang apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Islam memberi penekanan untuk memelihara hak-hak golongan minoriti,” tegasnya.

Apakah ini bermakna anjing juga boleh dipelihara?
“Kita tidak boleh kata yang kita tidak benarkan anjing. Tetapi kita tidak akan menggalakkan untuk mengelak rasa kurang senang golongan muslim.”
Bila ditanya apakah orang bukan Islam harus bimbang dengan konsep seperti RaudhahVille, Fadzil berkata bahawa mereka harus melihatnya sebagai peluang untuk mengenali budaya orang lain.
“Dengan cara ini, mereka dapat hidup dengan harmoni. Jika orang Islam boleh menerima sekolah mubaligh, orang bukan Islam harus berpandangan terbuka dengan bandar Islamik.”
RaudhahVille adalah salah satu daripada sebahagian projek PKNS untuk membina sebuah bandar dengan nilai pembangunan RM12.3 bilion.
300 unitnya berharga di antara RM1.1 juta dan RM2 juta. Separuh daripadanya sudah dibeli oleh orang bukan Islam.
Impian Fadzil terhadap keharmonian pelbagai kepercayaan sebagai amat berani berikutan dengan suasana membahang di kalangan kaum dan agama dalam negara. Malah, ada yang berkata beliau terlalu optimistik.
Betapa pun, apabila semakin banyak rumah di RaudhahVille itu terjual, ia semakin jelas menampakkan bahawa yang bukan Islam semakin bersedia untuk menjadi “Jiran Hingga ke Jannah.”
Toni Morrison: Perginya Sasterawan yang Tersohor
MYA NUNNALLY, BOOKRIOT, 6.8.19
Penulis Toni Morrison telah meninggal dunia pada Isnin lalu. Penerbitnya, Alfred A. Knopf mengumumkan, ‘Toni Morrison telah meninggal dunia pada usia 88 tahun. Dia meninggal di Montefiore Medical Center di New York.”

Keluarga mendiang juga telah mengeluarkan kenyataan, “Dengan rasa sedih kami ingin memberitahu, berikutan dengan sakit yang seketika, ibu dan nenek yang disayangi, Toni Morrison telah meninggal dunia dalam keadaan tenang dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan.
Penulis yang sempurna itu adalah kehilangan yang besar. Kami bersyukur yang beliau telah mengalami kehidupan yang baik dan lama. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang kenal dan menyayangi dia samada secara peribadi mahupun melalui tulisan-tulisannya.

Terima kasih jua di atas sokongan semua dan memohon suasana yang peribadi di kala kami menanggung kesedihan ini. Kami akan maklumkan kepada semua pada waktu terdekat mengenai bagaimana kami akan mengenang kehidupan Toni kelak.”
Pemergian Toni adalah satu kehilangan besar di dunia sastera. Beliau adalah black woman yang pertama memenangi Anugerah Nobel untuk Kesusteraan dan Pulitzer Prize pada tahun 1988.
Dengan kehadiran beliau, Toni telah merobah wajah sastera Afrika Amerika. Tanpa sumbangan beliau, barangkali tiada yang berbeza dengan bidang itu.
Toni mula menulis fiksyen tatkala bersama kumpulan pemuisi dan penulis di Universiti Howard. Novel pertamanya The Bluest Eyes mengisahkan bagaimana seorang kanak-kanak kulit hitam mengidamkan mata berwarna biru.

Novel pertamanya ini tidak mendapat sambutan sehinggalah City University of New York menyenarai novel ini sebagai bahan bacaan untuk Jabatan Black Studies.
Beberapa universiti lain put turut sama dan novel itu menarik perhatian Random House, sebuah penerbitan yang terkenal.
Novel keduanya Sula (1973) mengenai persahabatan dua wanita kulit hitam memperoleh National Book Award. Song of Solomon (1977), pula memenangi National Book Critics Circle Award. Beliau juga adalah satu-satunya wanita Afrika Amerika yang dianugerahkan dengan Pingat Kebebasan Presiden yang dianugerahkan sendiri oleh Presiden Amerika Barrack Obama dan menjadi contoh seorang yang bijak sastera dan juga seorang aktivis.
Artikel asal:
https://bookriot.com/2019/08/06/toni-morrison-died/
7 Tips Penulisan J.K. Rowling
J.K. ROWLING yang terkenal dengan siri Harry Potter adalah novelis pertama yang mencapai taraf bilioner hanya melalui penulisan. Beliau menjadi penulis prolifik dalam satu dekad di antara 2000 – 2010. Banyak yang kita boleh pelajari daripada Rowling. Di sini kami kongsikan 7 tips J K Rowling dalam bidang penulisan yang menarik!

1. FIKIRKAN MENULIS SEBAGAI KERJAYA
Ramai di antara kita berasakan yang menulis itu ialah suatu hobi yang kita lakukan di waktu lapang. ‘Jangan!’ katanya. Anda kena luangkan masa untuk menulis. Usah cipta alasan. Rowling sendiri pernah menulis sepenuh masa ketika dia sendiri menjaga seorang anak sebagai ibu tunggal. Belajarlah untuk menulis di mana-mana dan pada bila-bila masa.
2. SUDAHKAN APA YANG ANDA MULAKAN
Memulakan projek adalah kerja mudah. Menghabiskannya perlukan usaha. Disiplin yang terlibat untuk menyudahkan sesuatu bahan kreatif adalah sesuatu yang patut kita banggakan. Apabila kita telah berjaya menyiapkan sesuatu tulisan, kita tahu yang kita mampu melakukannya lagi.
3. LAKUKAN PERANCANGAN
Tidak semua penulis suka merancang. Ada penulis yang tidak akan mula menulis sehingga dia punyai sesuatu kerangka tulisan yang jelas. Ada penulis yang terus menulis dan membiarkan jejarinya menari di papan kekunci hingga karyanya menjadi. Rowling merancang kesemua tulisannya. Ini bermakna menggariskan kesemua watak, plot utama dan juga membina latar masa dan tempat sebelum mula menulis.

4. EDIT DAN TULIS SEMULA
Meskipun kesemua perincian plot dan tempo cerita telah diambilkira, lazimnya deraf pertama adalah sesuatu manuskrip yang belum sempurna. Ada penulis yang tidak gemar menulis kembali seolah-olah ia suatu penyiksaan. Tetapi Rowling berpendapat, menulis kembali adalah sesuatu yang penting andainya kita tidak berpuashati dengan apa yang tertulis. Dia sendiri menulis kembali bab pertama Harry Potter and the Sorcerer’s Stone sebanyak 15 kali!
5. JADILAH PENULIS YANG BERANI
Meskipun Rowling mengakui sukarnya menyudahkan cerita yang kita tulis, beliau juga tahu betapa sukarnya untuk memulakan. Rasa takut untuk gagal inilah yang membuat ramai penulis tidak berani memulakan penulisannya. Betapa pun, katanya, takut untuk memulakan itu juga adalah suatu kegagalan.
6. JADIKAN KETEKUNAN SEBAGAI AMALAN
Ketekunan adalah sesuatu yang mesti dipupuk kerana ia amat mustahak. Sekiranya kita tidak menyukai apa yang kita tulis, kita tidak akan dapat menyudahkannya. Dan kita tidak mungkin punyai disiplin untuk menjadikan tulisan kita itu tulisan yang terbaik. Apa yang kita tulis itu akan mencerminkan diri kita. Ertinya, tulisan kita sendiri mencerminkan diri kita sebagai seorang penulis yang tekun.

7. BANYAKKAN MEMBACA
Kita tidak mungkin menjadi seorang penulis yang baik jika tidak rajin membaca. Membaca membantu kita untuk mengenal apa itu buku yang baik. Kita akan tahu apa yang bagus atau sebaliknya. Mengapa kita suka membaca buku itu atau mengapa kita tidak sukakannya. Buat permulaan, kita mungkin akan terikut-ikut dengan penulis kegemaran kita. Tetapi lama kelamaan, kita akan punyai identiti sendiri.
Apa pandangan anda mengenai Tips J K Rowling ini? Adakah anda mendapat manfaat daripadanya?
Sumber artikel:
https://www.standoutbooks.com/j-k-rowling-improve-writing
https://www.jkrowling.com/opinions/on-writing/
Mengejar Gunung Yang Tak Lari
MAAFCAKAP: 7.8.19
Dalam sebulan, pasti akan timbul spekulasi mengenai apakah Tun Mahathir akan meletakkan jawatan Perdana Menteri dan menyerahkan tugasnya itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dan, apabila persoalan ini kian hangat diperkatakan, Tun M akan diasak para wartawan dengan soalan yang membawa maksud, ‘bila lagi?’
Berulang kali jugalah beliau menjawab yang dia sudah berjanji untuk melepaskan jawatannya dan menyerahkan kepada DS Anwar. Baharu sahaja jawapan itu memuaskan hati semua pihak, pembawang politik menghangatkan keadaan semula dengan soalan yang serupa buat ke sekian kalinya.
Seolah-olah jawapan Tun Mahathir itu mempunyai tarikh luput. Setelah sebulan, jawapan yang Tun M berikan itu sudah lemau dan perlu jawapan yang baharu, meskipun intinya serupa. Paling terkini, Tun M terpaksa berkata, beliau tidak akan menyerahkan jawatan itu seandainya ‘ada seseorang yang mengacu pistol ke kepalanya’ untuk memuaskan hati mereka yang bertanya.
Kadangkala, kita ini berfikiran dangkal walaupun kita ini orang yang bijak. Tun Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia. Hanya beliau seorang yang menjadi Perdana Menteri. Semua orang akan nampak dia sebaik sahaja dia meninggalkan kediamannya. Di mana-mana sahaja berduyun-duyun orang mengekorinya. Kamera dan video sentiasa tersasar ke batang tubuhnya. Beliau seolah-olah menjadi seorang watak siri televisyen realiti.
Jadi, hampir mustahil beliau akan melakukan sesuatu yang di luar kata-katanya sendiri. Tambahan pula, sudah banyak juga foto beliau bersama dengan DS Anwar yang bersalaman diiringi kapsyen yang membawa maksud, Tun M tidak akan mungkiri janji. Justeru itu, apa lagi yang hendak diragukan?
Jika kita duduk diam-diam, saat itu akan tiba dan kita akan saksikan pengisytiharan Tun M sendiri untuk melepaskan jawatannya dan menyerahkannya pula kepada DS Anwar Ibrahim. Masa tidak akan berputar kembali. Ia akan datang juga nanti.
Tapi, jika timbul kata-kata bahawa Tun M sedang menyiapkan Datuk Azmin Ali untuk menggantikannya ataupun Tun M patut memimpin sehingga habis penggal, siapakah yang boleh memberi bukti bahawa Tun M akan bertindak begitu? Setakat ini, para penganalisis politik pun hanya berani berspekulasi, bukannya teori bersama bukti bahawa Tun M sememangnya tidak mahu DS Anwar menggantikannya.
Namun sebenarnya, cerita ini hanya berkisar di kalangan para peminat politik sahaja. Di luar gelanggang itu, orang ramai tidak kisah. Dalam apa jua aktiviti manusia, hanya mereka yang meminati bidang itu sahaja yang makan-tidur bergelumang dengan apa yang diminatinya itu.
Samalah juga seperti permainan bolasepak. Yang meminati bolasepak akan menonton dengan penuh khusyuk. Setiap gerak dan gelecek sudah menimbulkan bayang seolah-olah bola di kaki pasti akan melayang menembusi gawang lawan, meskipun si pemain baharu sahaja mendapat bola daripada si penjaga gol pasukannya.
Untuk mereka yang tidak meminati bolasepak, mereka tidak ke stadium pun. Malah, seandainya satu keluarga menonton bolasepak di ruang tamu, dia hanya menoleh ke kaca televisyen apabila kedengaran sorakan jaringan gol. Malah, yang tidak meminati bolasepak itu hanya akan menonton klip video jaringan gol di akhir siaran berita di TV.
Perasan atau tidak perangai si peminat kereta menanti lampu trafik bertukar dari merah kepada hijau? Enjin dideramkan setiap kali dia perasan kereta di sebelahnya bergerak walau sedikit. Tunggu sahajalah. Lampu merah tetap akan bertukar hijau bila sampai masanya.
Yang kelakarnya kita mungkin pernah alami momen-momen menanti kekasih. Sekejap-sekejap menekur melihat jam. Sekejap-sekejap meneliti telefon samada ada mesej baharu dari si kekasih. Setiap penumpang yang keluar dari tren akan diperhati. Mana tahu, barangkali si kekasih hati akan tiba sejam lebih awal daripada yang dijanjikan? Orang tua kata, bersabarlah. Takkan lari gunung dikejar.
Benarlah, hidup ini suatu penantian. Tetapi penantian akan menjadi siksa jika kita terus ingat untuk menanti. Seandainya kita melupakan mode fikiran untuk menanti, dan sebaliknya membenarkan masa bergerak mengikut temponya, kita tidak akan stres.
Maaf cakap… kita semua tidak mempunyai cukup masa untuk digunakan. Jadi, tidak perlulah kita sempitkan masa yang ada dengan memaksa kejadian masa depan untuk terjadi pada saat ini. Bukankah segala-galanya telah ditentukan kerana ia adalah hal qada dan qadar?
Takkan lari gunung dikejar.


