J.K. ROWLING yang terkenal dengan siri Harry Potter adalah novelis pertama yang mencapai taraf bilioner hanya melalui penulisan. Beliau menjadi penulis prolifik dalam satu dekad di antara 2000 – 2010. Banyak yang kita boleh pelajari daripada Rowling. Di sini kami kongsikan 7 tips J K Rowling dalam bidang penulisan yang menarik!

 JK Rowling, penulis bertaraf bilionar ~ foto variety
JK Rowling, penulis bertaraf bilionar ~ foto variety

1. FIKIRKAN MENULIS SEBAGAI KERJAYA

Ramai di antara kita berasakan yang menulis itu ialah suatu hobi yang kita lakukan di waktu lapang. ‘Jangan!’ katanya. Anda kena luangkan masa untuk menulis. Usah cipta alasan. Rowling sendiri pernah menulis sepenuh masa ketika dia sendiri menjaga seorang anak sebagai ibu tunggal. Belajarlah untuk menulis di mana-mana dan pada bila-bila masa.

2. SUDAHKAN APA YANG ANDA MULAKAN

Memulakan projek adalah kerja mudah. Menghabiskannya perlukan usaha. Disiplin yang terlibat untuk menyudahkan sesuatu bahan kreatif adalah sesuatu yang patut kita banggakan. Apabila kita telah berjaya menyiapkan sesuatu tulisan, kita tahu yang kita mampu melakukannya lagi.

3. LAKUKAN PERANCANGAN

Tidak semua penulis suka merancang. Ada penulis yang tidak akan mula menulis sehingga dia punyai sesuatu kerangka tulisan yang jelas. Ada penulis yang terus menulis dan membiarkan jejarinya menari di papan kekunci hingga karyanya menjadi. Rowling merancang kesemua tulisannya. Ini bermakna menggariskan kesemua watak, plot utama dan juga membina latar masa dan tempat sebelum mula menulis.

Tips J K Rowling - Menulis dan menulis lagi sampai puas hati ~ foto pinterest
Menulis dan menulis lagi sampai puas hati ~ foto pinterest

4. EDIT DAN TULIS SEMULA

Meskipun kesemua perincian plot dan tempo cerita telah diambilkira, lazimnya deraf pertama adalah sesuatu manuskrip yang belum sempurna. Ada penulis yang tidak gemar menulis kembali seolah-olah ia suatu penyiksaan. Tetapi Rowling berpendapat, menulis kembali adalah sesuatu yang penting andainya kita tidak berpuashati dengan apa yang tertulis. Dia sendiri menulis kembali bab pertama Harry Potter and the Sorcerer’s Stone sebanyak 15 kali!

5. JADILAH PENULIS YANG BERANI

Meskipun Rowling mengakui sukarnya menyudahkan cerita yang kita tulis, beliau juga tahu betapa sukarnya untuk memulakan. Rasa takut untuk gagal  inilah yang membuat ramai penulis tidak berani memulakan penulisannya. Betapa pun, katanya, takut untuk memulakan itu juga adalah suatu kegagalan.

6. JADIKAN KETEKUNAN SEBAGAI AMALAN

Ketekunan adalah sesuatu yang mesti dipupuk kerana ia amat mustahak. Sekiranya kita tidak menyukai apa yang kita tulis, kita tidak akan dapat menyudahkannya. Dan kita tidak mungkin punyai disiplin untuk menjadikan tulisan kita itu tulisan yang terbaik. Apa yang kita tulis itu akan mencerminkan diri kita. Ertinya, tulisan kita sendiri mencerminkan diri kita sebagai seorang penulis yang tekun.

Tips J K Rowling -  Rajin-rajin membaca untuk dijadikan panduan ~ foto independent
Rajin-rajin membaca untuk dijadikan panduan ~ foto independent

7. BANYAKKAN MEMBACA

Kita tidak mungkin menjadi seorang penulis yang baik jika tidak rajin membaca. Membaca membantu kita untuk mengenal apa itu buku yang baik. Kita akan tahu apa yang bagus atau sebaliknya. Mengapa kita suka membaca buku itu atau mengapa kita tidak sukakannya. Buat permulaan, kita mungkin akan terikut-ikut dengan penulis kegemaran kita. Tetapi lama kelamaan, kita akan punyai identiti sendiri.

Apa pandangan anda mengenai Tips J K Rowling ini? Adakah anda mendapat manfaat daripadanya?

Sumber artikel:
https://www.standoutbooks.com/j-k-rowling-improve-writing
https://www.jkrowling.com/opinions/on-writing/