Sean Augustin, Free Malaysia Today, 10.8.19

CYBERJAYA: Barisan rumah-rumah untuk dijual yang bertemakan warna putih kelihatan seperti mana-mana kawasan pembangunan perumahan.

 Bandar Islamic RaudhahVille ~ foto RaudhahVille
Bandar Islamic RaudhahVille ~ foto RaudhahVille

Bagaimana pun personaliti di belakang kawasan pembangunan ini mempunyai sasaran golongan pembeli yang khusus di mindanya.

Gegantung yang terpapar di sepanjang lebuhraya mempamerkan wajah seorang lelaki tua yang bersongkok dan seorang wanita berusia yang bertudung merah jambu.

Dan terdapat pula slogan yang menyerlah, ‘Neighbours Until Jannah’ atau ‘Berjiran Hingga ke Jannah.’

Selamat Datang ke RaudhahVille ~ nama yang diilhamkan dari salah sebuah taman di syurga. Inilah taman perumahan bertemakan komuniti Islamik yang pertama di Malaysia. Ia menyasarkan komuniti Islam dan bukan Islam untuk tinggal berjiran mengikut panduan Islam.

Mungkin ada yang beranggapan, tempat kediaman yang begitu akan memisahkan lagi rakyat Malaysia dari jalur agama dan kaum. Namun, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Fadzil Hashim berkata, sesiapa sahaja dialu-alukan mendiami kawasan perumahan ini termasuk yang bukan Islam.

“Saya mahu mengubah salah faham orang ramai terhadap Islam,” katanya.

Beliau mendakwa banyak pihak mempunyai tanggapan yang salah mengenai Islam berikutan dengan laporan media yang tidak adil serta bagaimana agama itu telah digambarkan di barat.

“RaudhahVille memaparkan pandangan yang moden terhadap Islam,” katanya.

 Fadzil Hashim, individu di sebalik RaudhahVille ~ foto koleksi
Fadzil Hashim, individu di sebalik RaudhahVille ~ foto koleksi

Ini amat penting pada saat lebih ramai rakyat Malaysia melihat apa jua isu dari kacamata bangsa dan agama. Beliau mengambil contoh mengenai isu khat sebagai salah sebuah isu yang menjadi perbalahan.

Bapa kepada lima orang anak ini melahirkan impiannya untuk membina sebuah bandar Islamik sebagai jawapan dan alternatif kepada “bandar-bandar dosa”  yang lahir dari kehendak membesarkan anak-anaknya dari gejala buruk agar mereka mempunyai amalan yang baik termasuk bersolat lima waktu.

Untuk mencapai maksud tersebut, beliau telah mencipta piagam maruah untuk mereka yang tinggal di RaudhahVille.

Para penghuni digalakkan untuk “Menyintai jiran, bersalaman, berpelukan dan menjauhi mereka yang bersikap negatif. Dilarang berbohong atau memaki hamun.”

Beliau menggalakkan para penghuni untuk berfikiran positif, beriadah secara berkala dan berpakaian tertib.

“Nilai-nilai ini kian pupus pada hari ini,” ujarnya. Beliau berharap mereka yang berperibadi baik dari pelbagai kepercayaan akan menjadi sebahagian daripada komuniti RaudhahVille.

“Saya mahu kita kembali ke zaman bila mana jiran-jiran mengambil berat di antara satu sama lain. Saya mengajak kita meningkatkan perkembangan spiritual dan emosi. Saya mahu mencipta suasana syurga di dunia.”

Pusat komuniti yang juga menjadi surau adalah nadi kepada konumiti ini. Ia adalah tempat di mana para penghuninya boleh bertemu dan berbual atau menonton bolasepak di televisyen. Terdapat sebuah perpustakaan dan jimnasium patuh syariah.

Menurut Fadzil, mereka yang bukan Islam tidak harus berfikiran bahawa kehidupan mereka akan terhad apabila mereka memilih untuk tinggal di RaudhahVille. Ini juga termasuk hal ehwal makan minum. Bandar ini tidak akan menghalang apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Islam memberi penekanan untuk memelihara hak-hak golongan minoriti,” tegasnya.

 Salah sebuah rumah yang terdapat di RaudhahVille ~ foto koleksi
Salah sebuah rumah yang terdapat di RaudhahVille ~ foto koleksi

Apakah ini bermakna anjing juga boleh dipelihara?

“Kita tidak boleh kata yang kita tidak benarkan anjing. Tetapi kita tidak akan menggalakkan untuk mengelak rasa kurang senang golongan muslim.”

Bila ditanya apakah orang bukan Islam harus bimbang dengan konsep seperti RaudhahVille, Fadzil berkata bahawa mereka harus melihatnya sebagai peluang untuk mengenali budaya orang lain.

“Dengan cara ini, mereka dapat hidup dengan harmoni. Jika orang Islam boleh menerima sekolah mubaligh, orang bukan Islam harus berpandangan terbuka dengan bandar Islamik.”

RaudhahVille adalah salah satu daripada sebahagian projek PKNS untuk membina sebuah bandar dengan nilai pembangunan RM12.3 bilion.

300 unitnya berharga di antara RM1.1 juta dan RM2 juta. Separuh daripadanya sudah dibeli oleh orang bukan Islam.

Impian Fadzil terhadap keharmonian pelbagai kepercayaan sebagai amat berani berikutan dengan suasana membahang di kalangan kaum dan agama dalam negara. Malah, ada yang berkata beliau terlalu optimistik.

Betapa pun, apabila semakin banyak rumah di RaudhahVille itu terjual, ia semakin jelas menampakkan bahawa yang bukan Islam semakin bersedia untuk menjadi “Jiran Hingga ke Jannah.”

Artikel asal:
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/08/10/can-muslims-and-non-muslims-live-happily-as-neighbours-in-an-islamic-utopia/