BLOG

7 Tips Menulis Stephen King

7 Tips Menulis Stephen King

1.TULISLAH UNTUK DIRI SENDIRI

Apabila kita mula menulis, kita mula bercerita kepada diri sendiri. Tulislah apa sahaja. Tetapi, bila kita edit, kita buang apa yang bukan jalan cerita. Itu sahaja yang pembaca nak tahu.

Suasana bilik Stephen King ketika mula menulis ~ foto medium
Suasana bilik Stephen King ketika mula menulis ~ foto medium

2. BACA, BACA, BACA

Kita kena rajin membaca. Kemudian kita kena perhalusi apa yang kita tulis. Jika kita tak ada masa membaca, ertinya kita tak ada idea untuk menulis.

Stephen King, penulis thriller terkenal ~ foto variety
Stephen King, penulis thriller terkenal ~ foto variety

3. TIGA BULAN SAHAJA
 Deraf pertama walau betapa panjang pun tak boleh melebihi tiga bulan untuk dilakar.

4. JAUHI GANGGUAN
Tak boleh ada telefon berhampiran, tak boleh ada TV atau apa-apa permainan video. Kalau ada tingkap, tutup langsir!

Stephen King menandatangani buku peminat ~ foto businessinsider
Stephen King menandatangani buku peminat ~ foto businessinsider

5. REHAT SEKEJAP
Membaca buku sendiri selepas kita letak ke tepi untuk beberapa minggu adalah pengalaman yang istimewa. Kita seperti membaca karya orang lain. Pada masa inilah kita tak sukar untuk membuang apa-apa konten yang tak menarik.

6. BERPADALAH DALAM MENYELIDIK

Jika kita buat penyelidikan mengenai sesuatu yang kita tak tahu, pastikan ia hanya latar maklumat. Jangan berlebih kerana pembaca lebih nak tahu watak dan jalan cerita kita.

7. MENULIS ADALAH UNTUK MENGGEMBIRAKAN ORANG

Menulis bukannya kerana wang, jadi terkenal dan popular. Menulis adalah untuk memakmurkan kehidupan mereka yang membaca karya kita. Ia adalah untuk menggembirakan orang lain.

Pautan asal:
https://www.barnesandnoble.com/blog/stephen-kings-top-20-rules-for-writers/

Kisah Seorang Guru Pencen: Van Buruk Jadi Library Cikgu

Kisah Seorang Guru Pencen: Van Buruk Jadi Library Cikgu

Kawasan perumahan Desa Impian, Kampung Merbau Sempak tidak sesibuk seperti kebanyakan kawasan perumahan yang lain. Oleh kerana ia berada di kawasan kampung, keadaannya sunyi.

Kerana minat membaca, Cikgu Ahmad jadikan van sebuah perpustakaan Library Cikgu
Kerana minat membaca, Cikgu Ahmad jadikan van sebuah perpustakaan

Yang kedengaran hanyalah bunyi mesin rumput seorang penghuni yang membersih lamannya. Rumah Haji Ahmad Sutan, 65, juga seperti rumah-rumah teres yang lain.

Bezanya, rumah dua tingkat di lot tepi itu berdekatan dengan sebuah anak sungai di seberang jalan. Di tepi sungai itulah terletaknya sebuah van yang unik.

Cikgu Ahmad Sutan, 65, Tarik kanak-kanak minat membaca
Cikgu Ahmad Sutan, 65, tarik kanak-kanak minat membaca

Unik kerana van itu dijadikan sebuah perpustakaan mini yang memuatkan lebih 1,000 naskhah buku! Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang melepak membaca di dalam van itu. Keadaannya bersih, buku-bukunya tersusun dan ada pula sebuah kipas angin untuk mengedar udara meskipun kawasan di tepi ungai itu tidaklah begitu panas.

Pelbagai jenis buku terdapat di situ termasuk novel, buku agama, komik, cerita kanak-kanak, buku kerja, buku masakan, buku teks dan juga majalah. Kesemua buku-buku itu telah diindeks. Bagaimana tercetusnya idea Cikgu Ahmad membuat perpustakaan ini?

“Idea nak buat Library Cikgu timbul pada tahun ini. Saya ke Subang Perdana pada suatu hari dan terpandang banyak van-van buruk yang tersadai. Terlintas di hati, apa kata kalau saya beli sebuah van untuk dijadikan perpustakaan?”

 Novel adalah di antara koleksi di Library Cikgu
Novel adalah di antara koleksi di Library Cikgu

“Kalau cikgu nak buat library, saya sedekah. Saya tolong buang enjin dan kerusi,” kata tuan punya salah sebuah van yang tersadai itu apabila Cikgu Ahmad menyuarakan hasratnya.

“Kebetulan pula, saya ada seorang kawan yang buka kilang perabot. Dialah yang sedekahkan rak buku dan kerusi meja. Tidak sampai dua bulan van itu telah direnovasi menjadi sebuah perpustakaan kecil.”

Cikgu Ahmad yang juga bekas guru seni keceriaan ini kenal dengan seorang peniaga buku online. “Puan Azura adalah seorang pengedar buku secara online di Bukit Damansara. Dialah yang mendermakan sebahagian besar daripada buku-buku ini.”

Sebahagian dari 1,000 koleksi buku tersusun rapi di Library Cikgu
Sebahagian dari 1,000 koleksi buku tersusun rapi

Pada setiap hari, ramai murid-murid sekolah yang berkunjung ke Library Cikgu. Kadangkala, jumlahnya menjangkau puluhan orang. Tetapi yang penting, jika dahulu kawasan di tepi sungai kecil ini dijadikan tempat budak-budak perempuan melepak dan budak-budak lelaki bermain dengan basikal lajak, kini kawasan terbiar itu kelihatan lebih ceria.

Di antara mereka yang sedang asyik membelek buku termasuklah Khairunisa, 12 yang datang dari Saujana Utama, Norasyikin, 10, dan Liana Marsya Irdina,11, dari Merbau Sempak dan juga Sofia Anisa, 7.

Berhampiran dengan perpustakaan itu disediakan kerusi dan meja untuk mereka yang ingin membaca buku. Kawasan yang dinamakan sebagai Dataran Ilmu itu cantik berhias.

Dataran Ilmu menyediakan kerusi meja untuk bersantai sambil membaca
Dataran Ilmu menyediakan kerusi meja untuk bersantai sambil membaca

Terdapat juga sebuah papan kenyataan yang dibuat untuk notis. Sebuah tempayan besar yang cantik berhias dengan tulisan ‘Iqra’ adalah ingatan betapa pentingnya membaca.

Library Cikgu menjadi satu-satunya perpustakaan di kawasan ini. Kerana itu, kewujudannya amat disenangi oleh orang kampung. Malah, ketua kampung kawasan itu memberi galakan. Tambahan pula pada tahun hadapan, akan dianjurkan Pertandingan Kampung Ceria peringkat negeri Selangor.

Tempayan Iqra’ terhias kata-kata mengenai pentingnya membaca
Tempayan Iqra’ terhias kata-kata mengenai pentingnya membaca

Pertandingan keceriaan mengambilkira penyediaan kebun komuniti, riadah dan usrah. Sudah pasti perpustakaan mini Cikgu Ahmad menjadi salah satu faktor  yang menjadi pemberat kepada markah kemenangan.

Apabila ditanya mengenai perjalanan perpustakaan itu, Cikgu Ahmad yang telah bersara sejak 1999 berkata, “Perpustakaan ini dibuka setiap hari. Kalau hari sekolah dibuka sekejap di antara jam 3.00 hingga 4.00 petang kerana tidak ramai murid-murid yang datang. Maklumlah, ada aktiviti sekolah. Tapi pada Sabtu dan Ahad, ia dibuka dari pagi sampai ke petang.”

Kebanyakan budak-budak yang berkunjung ke perpustakaan ini datang dari kawasan persekitaran termasuk dari Kampung Merbau Sempak, Taman Desa Moccis, Kampung Kubu Gajah dan juga Saujana Utama. Ada yang datang bersama dengan ibubapa mereka. Memang Cikgu Ahmad tak cukup tangan mengendalikan perpustakaan ini seorang diri.

Adik Sofia Arisa di antara pengunjung setia Library Cikgu
Adik Sofia Arisa di antara pengunjung setia Library Cikgu

“Saya akan latih empat orang murid untuk jadi pustakawan. Saya akan beri vest kepada mereka supaya mereka bersemangat sikit. Mereka akan jaga kebersihan, susunan dan pinjam meminjam buku.”


Dari sehari ke sehari, perpustakaan ini kian menjadi tempat kunjungan. Akan tiba masanya keadaan menjadi sesak apabila para pengunjung perlu beratur pula untuk memasuki perpustakaan. Apa pula rancangan Cikgu Ahmad?

“Kalau buku bertambah, saya cadang beli bas mini atau bas sekolah pula! Saya dah survei di depot MBSA. Ada banyak bas lama di situ. Bila saya beli, saya akan letak penghawa dingin pula untuk keselesaan para pengunjung. Mungkin saya akan bina bumbung berbentuk layar untuk pengunjung membaca di luar kenderaan.”

Penulis Norden Mohamed dan penulis Nash Norden turut menyumbangkan buku untuk Library Cikgu
Penulis Norden Mohamed dan penulis Nash Norden turut menyumbangkan buku untuk Library Cikgu

Cikgu Ahmad Sutan sememangnya berwawasan orangnya. Pemenang Guru Inovatif Malaysia pada tahun 2000 ini menyintai buku dan mensedekahkan masa, tenaga dan material untuk menghidupkan sebuah perpustakaan mini. Semoga niat dan usahanya berjaya dan hasratnya agar Library Cikgu ini dirasmikan pada tahun 2020 menjadi kenyataan.

Surah Al-Kahf Dialun Sempena #QuranHour

Surah Al-Kahf Dialun Sempena #QuranHour

Tanggal 30 Ogos 2019 menjadi detik manis buat sahabat al-Quran apabila program Malaysia #QuranHour yang berlangsung semalam menyerikan lagi sambutan kemerdekaan negara hari ini.

Suasana #QuranHour di Masjid Putra, Putrajaya ~ foto Sinar Harian
Suasana #QuranHour di Masjid Putra, Putrajaya ~ foto Sinar Harian

Lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan korporat serta warga sekitar Putrajaya dan Selangor menjayakan penganjuran di Masjid Putra Putrajaya bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Penganjuran kali ini memfokuskan surah al-Kahf untuk dibaca, tadabbur dan tazakkur disesuaikan dengan pesan kemerdekaan berpandukan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah tersebut.

Pelajar sekolah juga turut hadir pada Malaysia #QuranHour ~ foto Sinar Harian
Pelajar sekolah juga turut hadir pada Malaysia #QuranHour ~ foto Sinar Harian

Penganjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Majlis dimulakan dengan bacaan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf diketuai Pembawa Panji terdiri daripada Johan Qari Antarabangsa 2014, Ahmad Tirmizi Ali dan Johan Qari Antarabangsa 2011, Amirahman Abas.

#QuranHour turut dilancar di Mekah ~ foto Utusan Malaysia
#QuranHour turut dilancar di Mekah ~ foto Utusan Malaysia

Sesi tadabbur surah pula dijayakan oleh Penolong Pengarah Jakim, Mohd Hariri Mohamad Daud dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Majlis seterusnya diisi dengan Pesan Kemerdekaan daripada wakil anak muda, Muhammad Afiq Ismail, 23, dan tokoh korporat, Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

#QuranHour juga turut diadakan secara serentak di 1,800 lokasi berdaftar di seluruh negara dan 11 lokasi di sembilan negara.

Tahun ini hebahan #QuranHour berjaya merekodkan 1.46 bilion capaian di media sosial berbanding hampir 1.4 bilion sebelum ini ketika World #QuranHour.

Logo #QuranHour yang kian terkenal ~ foto Sinar Harian
Logo #QuranHour yang kian terkenal ~ foto Sinar Harian

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 500 individu tidak melepaskan peluang mengalunkan surah al-Kahf di Masjid Negeri, Seremban semalam. #QuranHour digerakkan bersama Masjid Negeri, Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan Wanita Perkim Seremban.

Di SABAH, penganjuran kali mendapat sambutan menggalakkan apabila Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dipenuhi kira-kira 200 peserta terdiri daripada kakitangan agensi, orang ramai serta pelajar sekolah sejak jam 9 pagi.

Di SARAWAK pula, lebih 500 peserta terdiri daripada murid-murid dan pelajar di negeri itu memenuhi dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan sejak jam 8 pagi untuk mengalunkan ayat surah al-Kahf secara berjemaah.

Di PULAU PINANG, seramai 2,200 warga Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) termasuk penuntut menyertai Malaysia #QuranHour peringkat negeri semalam.

Pengarahnya, Rozaini Ahmad berkata, beliau amat berbesar hati dan bersyukur apabila KMPP dipilih sebagai lokasi penganjuran program ilmiah tersebut.

Sementara itu, Malaysia #QuranHour juga menarik minat umat Islam di seluruh dunia apabila turut melibatkan lokasi hot spot di 12 buah negara antaranya Jepun, Arab Saudi, Sepanyol, Argentina, Indonesia, Australia, Amerika Syarikat dan Jerman.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/45731/KHAS/#QuranHour/QuranHour-Al-Kahf-penyeri-kemerdekaan

Jom ke Pesta Buku Rio De Janeiro

Jom ke Pesta Buku Rio De Janeiro

Pesta Buku Antarabangsa Rio De Janeiro (Rio de Janeiro International Book Fair), Brazil akan berlangsung pada 30 Ogos hingga 8 September 2019 bertempat di Riocentro, tempat di mana acara kebangsaan dan antarabangsa utama diadakan di Brazil.

Para pengunjung mula membanjiri pesta buku ~ foto Zoom

Pesta buku ini adalah acara sastera terbesar di negara ini. Ianya merupakan sebuah perhimpunan hebat di mana peminat-peminat buku berhimpun. Pembaca akan mendapat peluang untuk mendekati penulis kegemaran merekaa dan bertemu dengan ramai yang lain. Riocentro menjadi tuan rumah festival budaya, kesusasteraan, dan pendidikan selama sepuluh hari.

Orang ramai dapat menyertai perdebatan, berbual dengan tokoh masyarakat dan penulis serta mengambil bahagian dalam kegiatan kebudayaan yang mempromosikan membaca di sektor yang ditetapkan di seluruh premis. Rio Book Biennial adalah acara yang menyeronokkan dengan kepelbagaiannya untuk seluruh keluarga!

Cafe Literario ~ perbincangan di kafe sastera ~ foto nstands

Di antara program menarik yang akan diadakan sepanjang pesta buku ini adalah #SemFiltro Arena. #SemFiltro Arena adalah tempat dalam Biennial Buku Antarabangsa di Rio de Janeiro di mana orang ramai membincangkan topik relevan seperti Budaya, Keusahawanan, Permainan, Masa Depan, Agama, Media, Fesyen, Kecantikan, dan lain-lain lagi.

Antara tetamu yang akan turut menyertai Pesta Buku Antarabangsa Rio De Janeiro termasuklah novelis kelahiran Rio De Janeiro Alberto Mussa, penulis “Mythical Compendium of Rio de Janeiro” dan juga novelis Ana Maria Machado, penulis buku kanak-kanak yang pernah menerima penganugerahan Medal Hans Christian Andersen di peringkat antarabangsa pada tahun 2000 kerana sumbangannya dalam kesusasteraan kanak-kanak.

Poster pesta buku ~ foto 1001 roteirinhos

Selain daripada buku-buku terkini, para pengunjung boleh mengikuti pelbagai aktiviti untuk para pelajar sekolah iaitu penggalakan membaca di dunia buku. Golongan wanita juga diberi penumpuan dengan bicara isu-isu kewanitaan. Terdapat juga kafe sastera di mana perbincangan mengenai sastera akan diadakan.

Brazil punyai sejumlah sasterawan. Di antaranya ialah, Ana Maria Machado, Rubem Fonseka, Ariano Suassuna, Paolo Cuelho, Bernado Carvalho,  Paulo Lins, Jose Sarney, Soccoro Arcioli, Daniel Munduruku, Adrino Aragao dan Anibal Machado.

Menulis: Untuk Seni atau Komersial?

Menulis: Untuk Seni atau Komersial?

MAAFCAKAP: 28.8.19

Mulai bulan Julai lalu, saya mula memperuntukkan masa untuk mengendalikan bengkel penulisan secara berkala. Teman-temanlah yang galakkan saya melakukannya kerana saya punyai lebih 30 tahun dalam bidang penulisan, penerbitan dan pengedaran buku, majalah dan juga akhbar. Kata mereka, tak ramai yang punyai pengalaman dalam ketiga-tiga bidang ini. Kerana itu, pengalaman dan ilmu yang ada seharusnya dikongsikan. Betul juga kata mereka. Kadang-kadang kita tak perasan apa yang kita ada kecuali apabila orang lain yang tunjukkan.

Sebenarnya setelah setahun meninggalkan dunia akhbar secara formal, saya terlibat dalam beberapa program dan projek yang ada kena mengena dengan bidang penulisan. Malah, aktiviti saya pada kali ini jauh lebih pelbagai dan boleh dikatakan lebih sibuk kerana ruang lingkup aktiviti saya dalam bidang penulisan kini, begitu luas.

Dahulu, tatkala menerajui akhbar Sinar Harian, meskipun betapa sibuk saya bekerja, ataupun betapa besarnya isu melanda negara, deadline akhbar tetap sama waktunya. Tepat jam 10.30 malam, kesemuanya kena beres dan akhbar mesti sedia untuk dicetak. Maknanya selepas itu, saya boleh balik tidur. Tetapi aktiviti saya kini boleh santak ke jam 3.00 pagi.

Apa yang saya buat? Saya tangani hal-hal menulis dan penulisan. Tetapi jenisnya berbeza. Saya bermesyuarat, berdiskusi, membuat penyelidikan, transkripsi, terjemahan, membuat perancangan penerbitan, copywriting, ucapan, laporan, rencana, novel, kapsyen dan menjadi fasilitator bengkel penulisan. Ini belum termasuk merangka pelan pemasaran dan promosi serta pengedaran. Memang tak menang tangan, memang tak menang fikir. Tetapi begitulah luasnya dunia penulisan.

Tetapi tiba-tiba dalam salah sebuah bengkel yang dianjurkan baru-baru ini saya ditanya soalan, “Wajarkah penulis hanya menulis sahaja dan lain-lain aktiviti sepatutnya diserahkan kepada orang lain khususnya kepada penerbit?”

Pada pendapat saya, jika itulah persoalannya, maka nampaknya ada di kalangan penulis yang melihat menulis sebagai suatu aktiviti seni dan kreatif semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Mereka tidak lihat menulis sebagai suatu kerjaya atau punca pendapatan yang apa yang diistilahkan oleh orang sekarang sebagai passive income.

Senario para penulis di negara kita ini agak unik. Terdapat dua golongan. Pertama, mereka yang berbakat, mahir dan juga prolifik kebanyakannya melihat menulis sesebuah karya kreatif mahupun ilmiah sebagai suatu hobi. Mereka tidak mahu mengambil kira ia sebagai sebuah aktiviti yang mendatangkan sumber pendapatan. Malah, ramai para penulis pada hari ini boleh sahaja menulis sepenuh masa dan menjadikan ia sebagai sebuah kerjaya. Khalayak pembaca yang rugi kerana tidak dapat menatap karya-karya mereka secara konsisten kerana mereka menulis mengikut mood.

Di suatu sudut yang lain, terdapat ramai sekali penulis-penulis baharu, yang muda, yang menghasilkan karya dengan begitu prolifik sekali. Mereka bukan sahaja menghasilkan novel, novella, zine, e-buku termasuk juga audiobook. Mereka menulis dan memperoleh pendapatan daripada aktivii itu. Namun, maaf cakap… oleh kerana belum berpengalaman, ramai di kalangan mereka yang menghasilkan karya yang tak cukup lagi ramuan dan formula sebagai santapan minda yang memuaskan. Khalayak pembaca juga yang rugi kerana mereka hanya dapat menatap karya-karya yang klise.

Karya yang bagus-bagus dan tinggi estetikanya jarang-jarang dapat mereka baca dan juga temui. Sebaliknya mereka dihidangkan dengan karya-karya yang belum cukup masak. Alangkah baiknya seandainya mereka yang menghasilkan penulisan sebagai karya seni dan hanya hobi itu tampil secara berkala dan bersungguh lalu bersaing dengan karya-karya anak-anak muda yang masih belum ampuh isi dan intinya.

Benar. Ia akan mewujudkan saingan. Yang berseni dan tinggi nilai sasteranya sebaris dengan karya-karya yang komersial anak-anak muda. Karya golongan anak-anak muda juga berselang-seli dengan karya-karya penulis yang senior. Apabila ia berada di padang yang sama, sesiapa sahaja berpeluang untuk memilih.

Masyarakat yang membaca kerana nilai sasteranya akan mencapai juga karya-karya anak-anak muda yang ringan dan santai. Mereka yang membaca bahan-bahan yang ringan itu akan terpandang, terbiasa dan mencuba bahan-bahan bacaan yang canggih persembahan sasteranya. Akhirnya ia meningkatkan apresiasi seni sastera bagi penulis muda dan khalayak muda. Seronok nanti bila kita lihat yang muda membaca sastera nilai tinggi dan yang berusia cuba membaca zine kepunyaan anaknya. Akhirnya akan timbul penemuan; karya sastera juga berdaya komersial dan boleh buat duit. Apa salahnya?

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]