MAAFCAKAP: 28.8.19
Mulai bulan Julai lalu, saya mula memperuntukkan masa untuk mengendalikan bengkel penulisan secara berkala. Teman-temanlah yang galakkan saya melakukannya kerana saya punyai lebih 30 tahun dalam bidang penulisan, penerbitan dan pengedaran buku, majalah dan juga akhbar. Kata mereka, tak ramai yang punyai pengalaman dalam ketiga-tiga bidang ini. Kerana itu, pengalaman dan ilmu yang ada seharusnya dikongsikan. Betul juga kata mereka. Kadang-kadang kita tak perasan apa yang kita ada kecuali apabila orang lain yang tunjukkan.
Sebenarnya setelah setahun meninggalkan dunia akhbar secara formal, saya terlibat dalam beberapa program dan projek yang ada kena mengena dengan bidang penulisan. Malah, aktiviti saya pada kali ini jauh lebih pelbagai dan boleh dikatakan lebih sibuk kerana ruang lingkup aktiviti saya dalam bidang penulisan kini, begitu luas.
Dahulu, tatkala menerajui akhbar Sinar Harian, meskipun betapa sibuk saya bekerja, ataupun betapa besarnya isu melanda negara, deadline akhbar tetap sama waktunya. Tepat jam 10.30 malam, kesemuanya kena beres dan akhbar mesti sedia untuk dicetak. Maknanya selepas itu, saya boleh balik tidur. Tetapi aktiviti saya kini boleh santak ke jam 3.00 pagi.
Apa yang saya buat? Saya tangani hal-hal menulis dan penulisan. Tetapi jenisnya berbeza. Saya bermesyuarat, berdiskusi, membuat penyelidikan, transkripsi, terjemahan, membuat perancangan penerbitan, copywriting, ucapan, laporan, rencana, novel, kapsyen dan menjadi fasilitator bengkel penulisan. Ini belum termasuk merangka pelan pemasaran dan promosi serta pengedaran. Memang tak menang tangan, memang tak menang fikir. Tetapi begitulah luasnya dunia penulisan.
Tetapi tiba-tiba dalam salah sebuah bengkel yang dianjurkan baru-baru ini saya ditanya soalan, “Wajarkah penulis hanya menulis sahaja dan lain-lain aktiviti sepatutnya diserahkan kepada orang lain khususnya kepada penerbit?”
Pada pendapat saya, jika itulah persoalannya, maka nampaknya ada di kalangan penulis yang melihat menulis sebagai suatu aktiviti seni dan kreatif semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Mereka tidak lihat menulis sebagai suatu kerjaya atau punca pendapatan yang apa yang diistilahkan oleh orang sekarang sebagai passive income.
Senario para penulis di negara kita ini agak unik. Terdapat dua golongan. Pertama, mereka yang berbakat, mahir dan juga prolifik kebanyakannya melihat menulis sesebuah karya kreatif mahupun ilmiah sebagai suatu hobi. Mereka tidak mahu mengambil kira ia sebagai sebuah aktiviti yang mendatangkan sumber pendapatan. Malah, ramai para penulis pada hari ini boleh sahaja menulis sepenuh masa dan menjadikan ia sebagai sebuah kerjaya. Khalayak pembaca yang rugi kerana tidak dapat menatap karya-karya mereka secara konsisten kerana mereka menulis mengikut mood.
Di suatu sudut yang lain, terdapat ramai sekali penulis-penulis baharu, yang muda, yang menghasilkan karya dengan begitu prolifik sekali. Mereka bukan sahaja menghasilkan novel, novella, zine, e-buku termasuk juga audiobook. Mereka menulis dan memperoleh pendapatan daripada aktivii itu. Namun, maaf cakap… oleh kerana belum berpengalaman, ramai di kalangan mereka yang menghasilkan karya yang tak cukup lagi ramuan dan formula sebagai santapan minda yang memuaskan. Khalayak pembaca juga yang rugi kerana mereka hanya dapat menatap karya-karya yang klise.
Karya yang bagus-bagus dan tinggi estetikanya jarang-jarang dapat mereka baca dan juga temui. Sebaliknya mereka dihidangkan dengan karya-karya yang belum cukup masak. Alangkah baiknya seandainya mereka yang menghasilkan penulisan sebagai karya seni dan hanya hobi itu tampil secara berkala dan bersungguh lalu bersaing dengan karya-karya anak-anak muda yang masih belum ampuh isi dan intinya.
Benar. Ia akan mewujudkan saingan. Yang berseni dan tinggi nilai sasteranya sebaris dengan karya-karya yang komersial anak-anak muda. Karya golongan anak-anak muda juga berselang-seli dengan karya-karya penulis yang senior. Apabila ia berada di padang yang sama, sesiapa sahaja berpeluang untuk memilih.
Masyarakat yang membaca kerana nilai sasteranya akan mencapai juga karya-karya anak-anak muda yang ringan dan santai. Mereka yang membaca bahan-bahan yang ringan itu akan terpandang, terbiasa dan mencuba bahan-bahan bacaan yang canggih persembahan sasteranya. Akhirnya ia meningkatkan apresiasi seni sastera bagi penulis muda dan khalayak muda. Seronok nanti bila kita lihat yang muda membaca sastera nilai tinggi dan yang berusia cuba membaca zine kepunyaan anaknya. Akhirnya akan timbul penemuan; karya sastera juga berdaya komersial dan boleh buat duit. Apa salahnya?