Tanggal 30 Ogos 2019 menjadi detik manis buat sahabat al-Quran apabila program Malaysia #QuranHour yang berlangsung semalam menyerikan lagi sambutan kemerdekaan negara hari ini.

Suasana #QuranHour di Masjid Putra, Putrajaya ~ foto Sinar Harian
Suasana #QuranHour di Masjid Putra, Putrajaya ~ foto Sinar Harian

Lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan korporat serta warga sekitar Putrajaya dan Selangor menjayakan penganjuran di Masjid Putra Putrajaya bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Penganjuran kali ini memfokuskan surah al-Kahf untuk dibaca, tadabbur dan tazakkur disesuaikan dengan pesan kemerdekaan berpandukan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah tersebut.

Pelajar sekolah juga turut hadir pada Malaysia #QuranHour ~ foto Sinar Harian
Pelajar sekolah juga turut hadir pada Malaysia #QuranHour ~ foto Sinar Harian

Penganjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Majlis dimulakan dengan bacaan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf diketuai Pembawa Panji terdiri daripada Johan Qari Antarabangsa 2014, Ahmad Tirmizi Ali dan Johan Qari Antarabangsa 2011, Amirahman Abas.

#QuranHour turut dilancar di Mekah ~ foto Utusan Malaysia
#QuranHour turut dilancar di Mekah ~ foto Utusan Malaysia

Sesi tadabbur surah pula dijayakan oleh Penolong Pengarah Jakim, Mohd Hariri Mohamad Daud dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Majlis seterusnya diisi dengan Pesan Kemerdekaan daripada wakil anak muda, Muhammad Afiq Ismail, 23, dan tokoh korporat, Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

#QuranHour juga turut diadakan secara serentak di 1,800 lokasi berdaftar di seluruh negara dan 11 lokasi di sembilan negara.

Tahun ini hebahan #QuranHour berjaya merekodkan 1.46 bilion capaian di media sosial berbanding hampir 1.4 bilion sebelum ini ketika World #QuranHour.

Logo #QuranHour yang kian terkenal ~ foto Sinar Harian
Logo #QuranHour yang kian terkenal ~ foto Sinar Harian

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 500 individu tidak melepaskan peluang mengalunkan surah al-Kahf di Masjid Negeri, Seremban semalam. #QuranHour digerakkan bersama Masjid Negeri, Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan Wanita Perkim Seremban.

Di SABAH, penganjuran kali mendapat sambutan menggalakkan apabila Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dipenuhi kira-kira 200 peserta terdiri daripada kakitangan agensi, orang ramai serta pelajar sekolah sejak jam 9 pagi.

Di SARAWAK pula, lebih 500 peserta terdiri daripada murid-murid dan pelajar di negeri itu memenuhi dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan sejak jam 8 pagi untuk mengalunkan ayat surah al-Kahf secara berjemaah.

Di PULAU PINANG, seramai 2,200 warga Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) termasuk penuntut menyertai Malaysia #QuranHour peringkat negeri semalam.

Pengarahnya, Rozaini Ahmad berkata, beliau amat berbesar hati dan bersyukur apabila KMPP dipilih sebagai lokasi penganjuran program ilmiah tersebut.

Sementara itu, Malaysia #QuranHour juga menarik minat umat Islam di seluruh dunia apabila turut melibatkan lokasi hot spot di 12 buah negara antaranya Jepun, Arab Saudi, Sepanyol, Argentina, Indonesia, Australia, Amerika Syarikat dan Jerman.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/45731/KHAS/#QuranHour/QuranHour-Al-Kahf-penyeri-kemerdekaan