Kawasan perumahan Desa Impian, Kampung Merbau Sempak tidak sesibuk seperti kebanyakan kawasan perumahan yang lain. Oleh kerana ia berada di kawasan kampung, keadaannya sunyi.

Kerana minat membaca, Cikgu Ahmad jadikan van sebuah perpustakaan Library Cikgu
Kerana minat membaca, Cikgu Ahmad jadikan van sebuah perpustakaan

Yang kedengaran hanyalah bunyi mesin rumput seorang penghuni yang membersih lamannya. Rumah Haji Ahmad Sutan, 65, juga seperti rumah-rumah teres yang lain.

Bezanya, rumah dua tingkat di lot tepi itu berdekatan dengan sebuah anak sungai di seberang jalan. Di tepi sungai itulah terletaknya sebuah van yang unik.

Cikgu Ahmad Sutan, 65, Tarik kanak-kanak minat membaca
Cikgu Ahmad Sutan, 65, tarik kanak-kanak minat membaca

Unik kerana van itu dijadikan sebuah perpustakaan mini yang memuatkan lebih 1,000 naskhah buku! Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang melepak membaca di dalam van itu. Keadaannya bersih, buku-bukunya tersusun dan ada pula sebuah kipas angin untuk mengedar udara meskipun kawasan di tepi ungai itu tidaklah begitu panas.

Pelbagai jenis buku terdapat di situ termasuk novel, buku agama, komik, cerita kanak-kanak, buku kerja, buku masakan, buku teks dan juga majalah. Kesemua buku-buku itu telah diindeks. Bagaimana tercetusnya idea Cikgu Ahmad membuat perpustakaan ini?

“Idea nak buat Library Cikgu timbul pada tahun ini. Saya ke Subang Perdana pada suatu hari dan terpandang banyak van-van buruk yang tersadai. Terlintas di hati, apa kata kalau saya beli sebuah van untuk dijadikan perpustakaan?”

 Novel adalah di antara koleksi di Library Cikgu
Novel adalah di antara koleksi di Library Cikgu

“Kalau cikgu nak buat library, saya sedekah. Saya tolong buang enjin dan kerusi,” kata tuan punya salah sebuah van yang tersadai itu apabila Cikgu Ahmad menyuarakan hasratnya.

“Kebetulan pula, saya ada seorang kawan yang buka kilang perabot. Dialah yang sedekahkan rak buku dan kerusi meja. Tidak sampai dua bulan van itu telah direnovasi menjadi sebuah perpustakaan kecil.”

Cikgu Ahmad yang juga bekas guru seni keceriaan ini kenal dengan seorang peniaga buku online. “Puan Azura adalah seorang pengedar buku secara online di Bukit Damansara. Dialah yang mendermakan sebahagian besar daripada buku-buku ini.”

Sebahagian dari 1,000 koleksi buku tersusun rapi di Library Cikgu
Sebahagian dari 1,000 koleksi buku tersusun rapi

Pada setiap hari, ramai murid-murid sekolah yang berkunjung ke Library Cikgu. Kadangkala, jumlahnya menjangkau puluhan orang. Tetapi yang penting, jika dahulu kawasan di tepi sungai kecil ini dijadikan tempat budak-budak perempuan melepak dan budak-budak lelaki bermain dengan basikal lajak, kini kawasan terbiar itu kelihatan lebih ceria.

Di antara mereka yang sedang asyik membelek buku termasuklah Khairunisa, 12 yang datang dari Saujana Utama, Norasyikin, 10, dan Liana Marsya Irdina,11, dari Merbau Sempak dan juga Sofia Anisa, 7.

Berhampiran dengan perpustakaan itu disediakan kerusi dan meja untuk mereka yang ingin membaca buku. Kawasan yang dinamakan sebagai Dataran Ilmu itu cantik berhias.

Dataran Ilmu menyediakan kerusi meja untuk bersantai sambil membaca
Dataran Ilmu menyediakan kerusi meja untuk bersantai sambil membaca

Terdapat juga sebuah papan kenyataan yang dibuat untuk notis. Sebuah tempayan besar yang cantik berhias dengan tulisan ‘Iqra’ adalah ingatan betapa pentingnya membaca.

Library Cikgu menjadi satu-satunya perpustakaan di kawasan ini. Kerana itu, kewujudannya amat disenangi oleh orang kampung. Malah, ketua kampung kawasan itu memberi galakan. Tambahan pula pada tahun hadapan, akan dianjurkan Pertandingan Kampung Ceria peringkat negeri Selangor.

Tempayan Iqra’ terhias kata-kata mengenai pentingnya membaca
Tempayan Iqra’ terhias kata-kata mengenai pentingnya membaca

Pertandingan keceriaan mengambilkira penyediaan kebun komuniti, riadah dan usrah. Sudah pasti perpustakaan mini Cikgu Ahmad menjadi salah satu faktor  yang menjadi pemberat kepada markah kemenangan.

Apabila ditanya mengenai perjalanan perpustakaan itu, Cikgu Ahmad yang telah bersara sejak 1999 berkata, “Perpustakaan ini dibuka setiap hari. Kalau hari sekolah dibuka sekejap di antara jam 3.00 hingga 4.00 petang kerana tidak ramai murid-murid yang datang. Maklumlah, ada aktiviti sekolah. Tapi pada Sabtu dan Ahad, ia dibuka dari pagi sampai ke petang.”

Kebanyakan budak-budak yang berkunjung ke perpustakaan ini datang dari kawasan persekitaran termasuk dari Kampung Merbau Sempak, Taman Desa Moccis, Kampung Kubu Gajah dan juga Saujana Utama. Ada yang datang bersama dengan ibubapa mereka. Memang Cikgu Ahmad tak cukup tangan mengendalikan perpustakaan ini seorang diri.

Adik Sofia Arisa di antara pengunjung setia Library Cikgu
Adik Sofia Arisa di antara pengunjung setia Library Cikgu

“Saya akan latih empat orang murid untuk jadi pustakawan. Saya akan beri vest kepada mereka supaya mereka bersemangat sikit. Mereka akan jaga kebersihan, susunan dan pinjam meminjam buku.”


Dari sehari ke sehari, perpustakaan ini kian menjadi tempat kunjungan. Akan tiba masanya keadaan menjadi sesak apabila para pengunjung perlu beratur pula untuk memasuki perpustakaan. Apa pula rancangan Cikgu Ahmad?

“Kalau buku bertambah, saya cadang beli bas mini atau bas sekolah pula! Saya dah survei di depot MBSA. Ada banyak bas lama di situ. Bila saya beli, saya akan letak penghawa dingin pula untuk keselesaan para pengunjung. Mungkin saya akan bina bumbung berbentuk layar untuk pengunjung membaca di luar kenderaan.”

Penulis Norden Mohamed dan penulis Nash Norden turut menyumbangkan buku untuk Library Cikgu
Penulis Norden Mohamed dan penulis Nash Norden turut menyumbangkan buku untuk Library Cikgu

Cikgu Ahmad Sutan sememangnya berwawasan orangnya. Pemenang Guru Inovatif Malaysia pada tahun 2000 ini menyintai buku dan mensedekahkan masa, tenaga dan material untuk menghidupkan sebuah perpustakaan mini. Semoga niat dan usahanya berjaya dan hasratnya agar Library Cikgu ini dirasmikan pada tahun 2020 menjadi kenyataan.