Penulis Pada Usia 12 Tahun!
KOSMO ONLINE.29.9.19
RUTIN harian Muhammad Danial Jazmi Alfian, 12, sama seperti rakan-rakan seusianya. Menjalani rutin ke sekolah seperti biasa pada sebelah pagi dan bermain jika ada waktu lapang, tidak membezakan Muhammad Danial Jazmi Alfian dengan rakan-rakannya.
Murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Ibnu Sina, Saujana Impian, Kajang itu menjadikan hobi pada waktu lapang dengan menghabiskan masa membaca buku. Tidak hairanlah pada usia muda, Danial kini telah bergelar seorang penulis pada usia 12 tahun.
Menjadikan kisah pengalaman ketika bercuti bersama keluarga sebagai isi utama penceritaan, Danial kini boleh berbangga selepas buku pertamanya yang bertajuk Danial’s Diary: My Travel Adventures telah berjaya diterbitkan pada bulan September 2018.
“Buku ini mengandungi pelbagai kisah pelik, menarik, gembira, sedih, marah dan menakutkan sepanjang percutian sama ada di dalam mahupun luar negara,” kata pelajar yang juga gemar melukis itu.

Danial didedahkan dalam bidang penulisan seawal usia lapan tahun lagi. Dia telah didedahkan dengan buku sejak di usia awal lantaran sering mengikuti ibunya ke pameran atau pesta buku mula menunjukkan minat dalam bidang penulisan pula.
Semuanya bermula apabila dia sekeluarga sering bercuti bersama-sama. Sepanjang percutian tersebut, berlaku pelbagai kisah menarik yang dialami Danial.
Menurut Fatimah, Danial yang petah berkata-kata suka bercerita tentang apa yang berlaku sepanjang percutian mereka dan ada pengalaman yang dia lalui itu melucukan.
“Daripada situ, Danial akan menulis dan melukis setiap perkara yang berlaku supaya kenangan itu tidak dilupakan begitu sahaja,” katanya.

Lama-kelamaan, perkara tersebut telah menjadi rutin bagi Danial walaupun usianya pada ketika itu baru mencecah lapan tahun.
Buku yang dihasilkan dalam format diari itu memerlukan Danial perlu sentiasa membawa sebuah buku dan pensel bagi mencatat setiap perkara menarik yang berlaku dan mengarangnya semula apabila berada di hotel.
Untuk memastikan buku yang dihasilkan itu tidak mempunyai kesilapan, Fatimah akan bertindak sebagai pemeriksa bagi memastikan tata bahasa dan ayat yang digunakan mudah untuk difahami dan tepat memandangkan Danial’s Diary: My Travel Adventures dihasilkan dalam format bahasa Inggeris.
“Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris santai yang mudah difahami oleh pembaca cilik dan dihiasi dengan lakaran ilustrasi menarik yang dilukis sendiri oleh Danial,” kata Fatimah.

Buku Danial’s Diary: My Travel Adventures, turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan juga guru di sekolah.
Kata Danial yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang suatu hari nanti, terdapat juga guru dan rakan-rakan di sekolah yang sudi untuk membeli hasil buah tangan sulungnya itu.
“Sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan dan guru membuatkan saya lebih bersemangat untuk menulis dan menghasilkan lagi diari Danial,” ujarnya.
Ditanya sama ada Danial berasa bosan atau tidak menjadi seorang penulis buku pada usia muda, kanak-kanak itu berkata dengan semangat bahawa dia tidak akan berhenti menulis dan akan meneruskan minatnya itu.
Buktinya, Danial kini sedang dalam usaha untuk menyiapkan bukunya yang kedua dan ketika masing-masing bertajuk Danial’s Diary: My Busy Life dan Danial’s Diary: My Ramadan & Syawal Experience.
Artikel asal:
http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/jadi-penulis-pada-usia-12-tahun-1.978398
Video Danial dan bukunya:
Upin & Ipin: Filem Keris Siamang Tunggal Dijadikan Buku
KUALA LUMPUR – Selepas mencatat kutipan panggung sebanyak RM26 juta dan memenangi Filem Cetera Terbaik Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terus dijulang dengan pelancaran buku konsep seni dan visual filem animasi pertama di Malaysia.
Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, dengan usahasama Kumpulan Media Karangkraf buku tersebut dihasilkan sebagai bahan rujukan kepada tenaga pengajar dan pelajar bidang seni dan animasi.
“Buku seperti ini belum pernah dihasilkan oleh mana-mana penerbit filem animasi negara, ia boleh menjadi bahan rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang perfileman atau kepada pelukis konsep (artist).

Filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal ditayang Mac lalu ~ foto cinemaonline
“Tujuan kami lancarkan buku ini adalah untuk merakamkan hasil usaha kakitangan kami yang hampir kesemuanya rakyat Malaysia dan graduan universiti tempatan. Untuk filem ini dua pengarahnya adalah graduan UniKL (Universiti Kuala Lumpur),” katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran buku konsep seni dan visual filem animasi itu di Institut Teknologi Maklumat Malaysia, UniKL (UniKL-MIT), di sini hari ini.
Beliau berkata, untuk permulaan pihaknya mencetak sebanyak 500 naskah buku dan akan ditingkatkan mengikut permintaan, dan ketika ini buku tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli dalam talian.
Buku tersebut ditulis oleh Nur Naquyah Burhanuddin, Mohd Farquar Azman dan Aliya Nazlan, yang merupakan warga Les’ Copaque yang terlibat secara langsung dengan produksi filem tersebut dalam tempoh tiga bulan penulisan mereka.

Burhanuddin dan Dato Hussamuddin di majlis pelancaran ~ foto sinarharian
Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut dengan membuat pembelian di www.upinipinstore.com atau www.karangkrafmall.com, dengan harga RM199 untuk sebuah buku.
Filem Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal mula ditayangkan pada 21 Mac lalu dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM26 juta dalam tempoh tiga minggu ditayangkan.
Burhanuddin berkata pembikinan sebuah filem yang berkualiti tinggi seperti itu memerlukan perancangan yang rapi dan teliti dari semua aspek pembuatan filem, dan untuk filem itu sahaja pihaknya mengambil masa lima tahun.

Karektor Upin & Ipin yang popular ~ foto denaihati
“Dari segi pembangunan cerita, syarikat kami melakukan penyelidikan dan pencarian bahan yang berteraskan budaya kerana ia merupakan simbolik kepada kekuatan bangsa Melayu.
“Keris merupakan senjata keramat telah dipilih sebagai bahan utama penceritaan dan watak-watak yang dipilih diceritakan dalam buku ini. Keris sebagai bahan utama dalam penceritaan ini kerana melambangkan kekuatan orang Melayu. Kami mengambil inspirasi daripada keris kebesaran Selangor iaitu keris Berok Berayun,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.
Sementara itu, Burhanuddin berkata, karnival tahunan Upin & Ipin selama tiga hari yang berlangsung sejak 2014 akan diteruskan tahun ini.
“Karnival Upin dan Ipin tahun ini akan diadakan di MITC Melaka pada 29 November hingga 1 Disember ini yang melibatkan hampir semua petugas saya dengan bertemakan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/50450/BERITA/Nasional/Upin-amp-Ipin-Keris-Siamang-Tunggal-hasil-buku-filem-animasi-pertama
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Bila Melayu Mengamuk Perasaan
MAAFCAKAP: 2.10.19
Tiba-tiba muncul program menganjurkan Kongres Maruah Melayu anjuran bersama Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kongres yang bakal diadakan pada Ahad ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor ini dikatakan untuk memberi jawapan kepada pihak yang cuba mencabar kedudukan Melayu.
Prof Dr. Zainal Kling selaku Ketua Eksekutif Sekretariatnya berkata, dalam kongres ini, kesemua universiti yang terlibat akan mengendalikan perbincangan mengikut kepakaran masing-masing. UM mengendalikan isu politik, UiTM pula isu ekonomi, UPSI mengenai pendidikan dan UPM pula memfokuskan isu agama dan kebudayaan.
Memandangkan kongres ini adalah anjuran empat buah universiti yang mempunyai pusat-pusat pengajian Melayu masing-masing, ia akan membentangkan hal-hal Melayu dari aspek-aspek tersebut yang mencakup ruang waktu dari sudut semalam, hari ini dan esok. Kongres ini diadakan di stadium, bukan di dewan persidangan. Nampaknya ia mengajak seluruh rakyat Melayu dari segenap lapisan untuk menghadirinya.
Barangkali kongres ini bakal memberi isi dan inti tambahan kepada apa yang telah dibicarakan pada Himpunan Penyatuan Ummah yang telah memeterai Piagam Muafakat Nasional yang diterajui dua parti besar iaitu UMNO dan Pas.
Namun yang menarik ialah, PM, Tun Mahathir akan menghadirinya. Hampir pasti Tun akan bercakap dengan nada lantang dan tegas membela orang Melayu. Nampaknya ucapan beraninya di PBB bagai warm-up kepada apa yang beliau akan sampaikan di kongres itu.
Dalam konteks ini, adalah menarik sekiranya pemimpin tertinggi UMNO dan Pas hadir, ia tidak akan menjejaskan perjalanan kongres itu. Malah, mereka yang kini sebagai big Malay and Muslim brothers akan memberi semangat dan mesej yang punyai kesan yang lama dan mendalam di mata orang lain. Dari sudut pandang politik, kehadiran mereka itu bisa mendirikan bulu roma para hadirin termasuk mereka yang memerhati dari jauh. Berdiri bulu roma mereka di situ kerana berasa semangat atau berdiri bulu roma mereka di luar kerana seriau. Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya.
Dalam pada itu terdapat satu lagi perkembangan yang menarik dari sudut ekonomi. Kempen Buy Muslim First yang berjalan ini begitu berkesan kerana ramai di kalangan orang Melayu sedar mengenainya. Ini adalah satu lagi penyatuan yang sedang berlangsung. Kempen yang tular melalui media sosial ini telah ‘memfardu-ainkan’ orang Melayu kerana mereka secara individu memikul tanggungjawab menjayakan kempen ini.
Dari sudut umum, ia adalah kempen mengutamakan produk Muslim. Dari sudut praktiknya, ia adalah kebangkitan para peniaga untuk menyusun dan memperkemas rantaian penawaran dari pihak mengeluar, pengilang, pemborong, peruncit dan akhirnya pengguna. Inilah yang sedang rancak berlaku. Khabarnya, Malakat Mall, sebuah pasaraya Muslim bakal dibuka tidak lama lagi. Ia adalah manifestasi betapa cepatnya orang Melayu boleh bertindak apabila semangat sudah membara.
Dari sudut sosial, kita sudah nampak keberanian orang Melayu untuk berpakaian tanjak yang memanifestasikan identiti Melayu. Jangan lihat ia sebagai sesuatu yang kecil sebab bebarapa tahun lalu, jiwa Melayu sudah pun kecil.
Kita tentu ingat beberapa tahun yang lalu betapa seorang pemimpin Melayu memohon maaf apabila tindakannya mencium keris telah menyinggung kaum lain. Malangnya pada ketika itu, tiada Melayu lain yang berani membela. Tidak lama kemudian apabila seorang pemimpin Melayu lain diprovok, ‘are you Malaysian first or Malay first,’ pemimpin Melayu itu teragak-agak menjawab. Dan, orang Melayu lain tidak berani membelanya.
Sejumlah besar orang Melayu telah bersatu atas dasar bangsa dan agamanya. Dari sudut ekonomi pun kesedarannya sudah merakyat dan begitu juga dari sudut sosial di mana oarng Melayu sudah selamba berjalan dengan bertanjak. Dari sudut agama, bangsa, ekonomi dan sosial, orang Melayu sudah bangkit dengan semangat baharu.
Mereka sedang mengamuk perasaan. Semangat ini sudah tidak dapat ditahan-tahan. Jangan bimbang jika menganggap ia akan memusnahkan. Sebab, mana mungkin orang Melayu akan memusnahkan satu-satunya tanah tumpah darahnya ini?
Pemungut Sampah Bina Perpustakaan dari Buku-Buku Buangan
TREVOR ENGLISH – 28.9.19 – INTERESTINGENGINEERING.COM
BUKU adalah media yang paling tahan lama. Ia menyimpan sejarah, sastera, budaya dan ia adalah medium meluahkan perasaan yang unik. Betapa pun, buku-buku kerap dibuang begitu sahaja apabila pengetahuan di dalamnya tidak diperlukan lagi. Ini bermakna terdapat ribuan buku yang terdapat di sistem pembuangan sampah mana-mana negara.
Namun, sekumpulan pemungut sampah di Ankara, Turki sedang membuat perubahan. Mereka sama-sama telah berusaha membuka sebuah perpustakaan awam yang mengandungi buku-buku yang mereka kumpul dan sisihkan dari tempat pembuangan sampah. Mereka lakukan ini untuk menyimpan sejarah dan pengetahuan kerana ‘sampah bagi seseorang itu mungkin harta bagi seseorang yang lain.’

Para pekerja pemungut sampah mengambil masa berbulan-bulan mengumpul buku-buku dari tempat pembuangan dan juga dari tong-tong sampah di seluruh pelosok bandaraya. Sedikit demi sedikit, buku-buku mulai terkumpul, dan akhirnya cukup untuk sebuah perpustakaan.
Usaha para pekerja itu mendapat perhatian orang tempatan. Ada di antara mereka yang mendermakan buku pula untuk menambah koleksi perpustakaan.
Pada mulanya perpustakaan itu hanyalah untuk para pekerja dan keluarga mereka. Tetapi hasil pengumpulan itu menjadi lebih banyak. Lebih ramai orang mula tahu dan pada September 2018, ia dibuka untuk orang awam.

“Kami mula berbincang untuk membuat sebuah perpustakaan untuk buku-buku ini. Dan apabila semua orang menyokongmya, ia jadi kenyataan,” kata Datuk Bandar Cankaya, Alper Tasdelen.
Projek ini mendapat sokongan komuniti. Perpustakaan itu kini mengandungi 6,000 naskhah buku bagi semua genre. Ia turut mempunyai bahagian kanak-kanak dan juga komik.
Di manakah letaknya perpustakaan itu? Para pekerja menemui sebuah bekas kilang bata berhampiran dengan jabatan pengaliran di ibukota. Binaan batu dan koridor yang panjang memang amat sesuai dijadikan perpustakaan. Setelah melalui kesemua prosedur, akhirnya perpustakaan itu menjadi kenyataan.

Sesiapa yang berminat untuk meminjam buku, mereka boleh melakukannya untuk tempoh dua minggu.
“Guru-guru desa dari seluruh negara kini memohon buku dari sini,” kata Datuk Bandar Tasdelen. “Perpustakaan ini juga telah membuka peluang pekerjaan sepenuh masa.”
Berita kewujudan perpustakaan ini telah membolehkan ia kini meminjamkan buku-bukunya untuk sekolah-sekolah dan juga penjara. Ia kini menjadi sumber percuma untuk komuniti.
Bangunan perpustakaan itu kini bukan sahaja menjadi hab membaca dan penyelidikan. Malah ia juga menjadi tempat masyarakat bertemu. Oleh kerana saiz bangunannya yang besar, ia mempunyai juga cukup ruang untuk mereka datang mengopi.
Artikel asal:
https://interestingengineering.com/garbage-collectors-created-library-made-up-of-discarded-books
Gembiranya pemungut sampah apabila menemui
buku terbuang…
https://www.youtube.com/watch?v=WblbYsehpFs
Ini Dia Pesta Buku Kedua Terbesar di Eropah Selepas Pesta Buku Frankfurt
PESTA BUKU GOTHENBURG adalah acara tahunan yang diadakan di bandaraya Gothenburg, Sweden sejak 1985. Dimulakan sebagai pesta dagangan untuk pustakawan dan guru-guru, kini ia adalah pesta buku yang kedua terbesar di Eropah selepas Pesta Buku Frankfurt.

Pesta buku yang berlangsung mulai 26 hingga 29 September ini diadakan di Pusat Pameran & Pameran Sweden yang terletak di tengah-tengah bandar Göteborg. Gothia Towers, hotel terbesar di rantau Nordic, juga terletak di Pusat Pameran. Para pengunjung akan menemui kedai, teater, spa, restoran dan dewan pameran – semua di bawah satu bumbung.
Pesta Buku Göteborg adalah acara paling penting untuk orang-orang dalam perniagaan buku dan sastera di Scandinavia. Ia juga merupakan manifestasi seni dan budaya, perayaan sastera selama empat hari, penghormatan terhadap kebebasan bersuara dan tempat untuk pembaca dan penulis untuk bertemu. Pesta buku yang hanya dikunjungi kira-kira 5,000 pelawat pada kali pertama itu kini mengumpulkan sekitar 95,000 guru, pustakawan dan pencinta buku setiap tahun.

Buku-buku terkini adalah fokus pada pesta buku ini. Namun ia bukan hanya pesta kesusasteraan. Sebaliknya ia juga merupakan tempat perdebatan. Banyak tema antarabangsa dan isu-isu politik kepentingan dunia mencari platform di sini, dengan beberapa intelektual terkemuka di dunia membincang, membahas dan menyuarakan pendapat masing-masing. Sebagai contoh, menteri Kerajaan Sweden dan ahli-ahli Parlimen Sweden sering mengemukakan cadangan-cadangan baru kepada masyarakat yang lebih luas di pameran ini.
Banyak organisasi mengambil kesempatan untuk membentangkan aktiviti mereka. Di sini mereka bertemu dengan penonton yang bermaklumat dan aktif. Ini juga merupakan refleksi para penulis. Para peminat buku juga berpeluang untuk menemui mereka.
Program Seminar Gothic Book Fair tahun 2019 akan memperlihatkan tiga tema: Korea Selatan, Kesaksamaan Gender serta Media dan Literasi Maklumat (MIL).

Korea Selatan pula merupakan Tetamu Kehormat
dan negara tema untuk pesta buku ini. Sastera, penerbitan dan budaya negara
Korea Selatan akan disampaikan melalui beberapa pengarang Korea Selatan yang
paling utama. Tambahan pula, tahun depan Korea Selatan dan Sweden akan meraikan
ulang hubungan diplomatik yang ke-60.
Video Pesta Buku Gothenburg 2018:
https://www.youtube.com/watch?v=-_3YIIuvdK4


