KOSMO ONLINE.29.9.19

RUTIN harian Muhammad Danial Jazmi Alfian, 12, sama seperti rakan-rakan seusianya. Menjalani rutin ke sekolah seperti biasa pada sebelah pagi dan bermain jika ada waktu lapang, tidak membezakan Muhammad Danial Jazmi Alfian dengan rakan-rakannya.

Murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Ibnu Sina, Saujana Impian, Kajang itu menjadikan hobi pada waktu lapang dengan menghabiskan masa membaca buku. Tidak hairanlah pada usia muda, Danial kini telah bergelar seorang penulis pada usia 12 tahun.

Menjadikan kisah pengalaman ketika bercuti bersama keluarga sebagai isi utama penceritaan, Danial kini boleh berbangga selepas buku pertamanya yang bertajuk Danial’s Diary: My Travel Adventures telah berjaya diterbitkan pada bulan September 2018.

“Buku ini mengandungi pelbagai kisah pelik, menarik, gembira, sedih, marah dan menakutkan sepanjang percutian sama ada di dalam mahupun luar negara,” kata pelajar yang juga gemar melukis itu.

Danial ditemubual oleh bapa saudaranya  ~ foto youtube

Danial didedahkan dalam bidang penulisan seawal usia lapan tahun lagi. Dia telah didedahkan dengan buku sejak di usia awal lantaran sering mengikuti ibunya ke pameran atau pesta buku mula menunjukkan minat dalam bidang penulisan pula.

Semuanya bermula apabila dia sekeluarga sering bercuti bersama-sama. Sepanjang percutian tersebut, berlaku pelbagai kisah menarik yang dialami Danial.

Menurut Fatimah, Danial yang petah berkata-kata suka bercerita tentang apa yang berlaku sepanjang percutian mereka dan ada pengalaman yang dia lalui itu melucukan.

 “Daripada situ, Danial akan menulis dan melukis setiap perkara yang berlaku supaya kenangan itu tidak dilupakan begitu sahaja,” katanya.

Danial memperagakan bukunya ~ foto pictame

Lama-kelamaan, perkara tersebut telah menjadi rutin bagi Danial walaupun usianya pada ketika itu baru mencecah lapan tahun.

Buku yang dihasilkan dalam format diari itu memerlukan Danial perlu sentiasa membawa sebuah buku dan pensel bagi mencatat setiap perkara menarik yang berlaku dan mengarangnya semula apabila berada di hotel.

Untuk memastikan buku yang dihasilkan itu tidak mempunyai kesilapan, Fatimah akan bertindak sebagai pemeriksa bagi memastikan tata bahasa dan ayat yang digunakan mudah untuk difahami dan tepat memandangkan Danial’s Diary: My Travel Adventures dihasilkan dalam format bahasa Inggeris.

“Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris santai yang mudah difahami oleh pembaca cilik dan dihiasi dengan lakaran ilustrasi menarik yang dilukis sendiri oleh Danial,” kata Fatimah.

Danial turut mempromosi bukunya di Festival Sastera Kanak-kanak 2019 di perpustakaan negara ~ foto FB Danial’s Diary

Buku Danial’s Diary: My Travel Adventures, turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan juga guru di sekolah.

Kata Danial yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang suatu hari nanti, terdapat juga guru dan rakan-rakan di sekolah yang sudi untuk membeli hasil buah tangan sulungnya itu.

“Sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan dan guru membuatkan saya lebih bersemangat untuk menulis dan menghasilkan lagi diari Danial,” ujarnya.

Ditanya sama ada Danial berasa bosan atau tidak menjadi seorang penulis buku pada usia muda, kanak-kanak itu berkata dengan semangat bahawa dia tidak akan berhenti menulis dan akan meneruskan minatnya itu.

Buktinya, Danial kini sedang dalam usaha untuk menyiapkan bukunya yang kedua dan ketika masing-masing bertajuk Danial’s Diary: My Busy Life dan Danial’s Diary: My Ramadan & Syawal Experience.

Artikel asal:
http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/jadi-penulis-pada-usia-12-tahun-1.978398

Video Danial dan bukunya: