SANYA MANSOOR – 11.10.19 – time.com 

Hadiah Novel untuk kategori sastera dimenangi oleh dua orang penulis Eropah iaitu Peter Handke untuk tahun 2019 dan Olga Tokarczuk untuk tahun 2018. Peter berasal dari Austria dan Olga pula dari Poland.

Olga Tokarczuk ~ foto publicradiointernational

Olga Tokarczuk

Olga Tokarczuk penerima Hadiah Nobel untuk kategori sastera kerana imaginasi naratifnya. Olga yang berusia 57 tahun lahir di Sulechow, Poland. Beliau meminati sastera sejak kecil lagi. Kedua-dua ibubapanya adalah guru. Bapanya juga adalah seorang pustakawan. Kerana itu, Olga berpeluang ke perpustakaan ‘untuk membaca apa sahaja yang dia capai’ menurut biografi terbitan Akademi Nobel.

Novel ketiganya Primeval and Other Time mengisahkan konflik keluarga. Namun magnum opus atau karya terbaik beliau adalah  The Books of Jacob — sebuah novel sejarah yang mengisahkan seorang pemimpin pada kurun ke-18 yang dianggap sebagai nabi.

Novel itu memenangi The Nike Prize, iaitu anugerah tersohor Poland. Terjemahannya pula akan diterbitkan pada musim bunga 2021.

Flights, salah sebuah karya Olga Tokarczuk ~ foto thenewyorktimes

Olga juga bukan nama baharu di persada antarabangsa. Pada tahun lalu, beliau memenangi Man Booker International Prize melalui karyanya  Flights, yang mengisahkan kembara di kurun ke-21. Pada tahun ini juga, karyanya Drive Your Plow Over the Bones of the Dead, telah disenarai pendek untuk anugerah yang sama.

Olga begitu ‘terkesima dan hilang kata-kata’ untuk mengekspresi apa yang beliau rasa berikutan dengan kemenangan itu. Tambahnya, beliau amat gembira bila mendapat tahu pemenang yang seorang lagi juga datang dari Eropah dan ia suatu pengiktirafan terhadap demokrasi.

Bagaimana pun, Olga tidak begitu digemari oleh pihak konservatif di negaranya kerana kritiknya terhadap sejarah negara termasuk episod anti-semitik.

Olga bersama Jeniffer Croft, penterjemahnya ~ foto scroll.in

“Beliau punyai pandangan yang tajam bila melakar psikologi wataknya,” kata Jeniffer Croft, penterjemah dua daripada novelnya. Kata Jennifer lagi, Olga turut menggemari manusia yang esentrik.

Sejak dulu lagi, beliau yakin Olga akan memenangi anugerah nobel suatu hari nanti.

Peter Handke ~ foto cnn.com

Peter Handke

Peter yang memenangi Hadiah Nobel Sastera bagi tahun 2019 berikutan dengan ‘penghasilan penulisan yang berpengaruh.’ Akademi Nobel melihat karyanya mempunyai ‘semangat kembara yang nostalgik’ dalam novelnya  Repetition.

Peter, 76, lahir pada tahun 1942 di sebuah kampung di Austria bernama Griffen. Ibunya adalah dari minoriti Slovenia dan bapanya adalah seorang askar Jerman.

Peter kemudiannya belajar undang-undang di Universiti Graz tetapi berhenti belajar setelah novel pertamanya Die Hornissen, terbit pada tahun 1966.

Die Hornissen, karya pertama Peter ~ foto amazon.de

Karya Peter tidak terhad pada satu genre sastera. Beliau menulis novel, makalah dan juga lakonlayar.

Peter turut terlibat dalam politik. Beliau membantah serangan NATO ke atas Serbia tatkala peperangan di Kosovo pada tahun 1990an. Kerana itu, beliau dikecam kerana menyokong puak Serbia.

Bagaimana pun, Presiden Austria Alexander Van der Bellen mengucapkan tahniah di atas kejayaannya itu.

Peter ditemubual media berikutan kemenangannya ~ foto faz

Jom baca artikel asal di time.com:
https://time.com/5697176/handke-tokarczuk-nobel-prize/

Jom tonton video pengumuman pemenang Anugerah Nobel kategori sastera: