MAAFCAKAP: 2.10.19
Tiba-tiba muncul program menganjurkan Kongres Maruah Melayu anjuran bersama Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kongres yang bakal diadakan pada Ahad ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor ini dikatakan untuk memberi jawapan kepada pihak yang cuba mencabar kedudukan Melayu.
Prof Dr. Zainal Kling selaku Ketua Eksekutif Sekretariatnya berkata, dalam kongres ini, kesemua universiti yang terlibat akan mengendalikan perbincangan mengikut kepakaran masing-masing. UM mengendalikan isu politik, UiTM pula isu ekonomi, UPSI mengenai pendidikan dan UPM pula memfokuskan isu agama dan kebudayaan.
Memandangkan kongres ini adalah anjuran empat buah universiti yang mempunyai pusat-pusat pengajian Melayu masing-masing, ia akan membentangkan hal-hal Melayu dari aspek-aspek tersebut yang mencakup ruang waktu dari sudut semalam, hari ini dan esok. Kongres ini diadakan di stadium, bukan di dewan persidangan. Nampaknya ia mengajak seluruh rakyat Melayu dari segenap lapisan untuk menghadirinya.
Barangkali kongres ini bakal memberi isi dan inti tambahan kepada apa yang telah dibicarakan pada Himpunan Penyatuan Ummah yang telah memeterai Piagam Muafakat Nasional yang diterajui dua parti besar iaitu UMNO dan Pas.
Namun yang menarik ialah, PM, Tun Mahathir akan menghadirinya. Hampir pasti Tun akan bercakap dengan nada lantang dan tegas membela orang Melayu. Nampaknya ucapan beraninya di PBB bagai warm-up kepada apa yang beliau akan sampaikan di kongres itu.
Dalam konteks ini, adalah menarik sekiranya pemimpin tertinggi UMNO dan Pas hadir, ia tidak akan menjejaskan perjalanan kongres itu. Malah, mereka yang kini sebagai big Malay and Muslim brothers akan memberi semangat dan mesej yang punyai kesan yang lama dan mendalam di mata orang lain. Dari sudut pandang politik, kehadiran mereka itu bisa mendirikan bulu roma para hadirin termasuk mereka yang memerhati dari jauh. Berdiri bulu roma mereka di situ kerana berasa semangat atau berdiri bulu roma mereka di luar kerana seriau. Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya.
Dalam pada itu terdapat satu lagi perkembangan yang menarik dari sudut ekonomi. Kempen Buy Muslim First yang berjalan ini begitu berkesan kerana ramai di kalangan orang Melayu sedar mengenainya. Ini adalah satu lagi penyatuan yang sedang berlangsung. Kempen yang tular melalui media sosial ini telah ‘memfardu-ainkan’ orang Melayu kerana mereka secara individu memikul tanggungjawab menjayakan kempen ini.
Dari sudut umum, ia adalah kempen mengutamakan produk Muslim. Dari sudut praktiknya, ia adalah kebangkitan para peniaga untuk menyusun dan memperkemas rantaian penawaran dari pihak mengeluar, pengilang, pemborong, peruncit dan akhirnya pengguna. Inilah yang sedang rancak berlaku. Khabarnya, Malakat Mall, sebuah pasaraya Muslim bakal dibuka tidak lama lagi. Ia adalah manifestasi betapa cepatnya orang Melayu boleh bertindak apabila semangat sudah membara.
Dari sudut sosial, kita sudah nampak keberanian orang Melayu untuk berpakaian tanjak yang memanifestasikan identiti Melayu. Jangan lihat ia sebagai sesuatu yang kecil sebab bebarapa tahun lalu, jiwa Melayu sudah pun kecil.
Kita tentu ingat beberapa tahun yang lalu betapa seorang pemimpin Melayu memohon maaf apabila tindakannya mencium keris telah menyinggung kaum lain. Malangnya pada ketika itu, tiada Melayu lain yang berani membela. Tidak lama kemudian apabila seorang pemimpin Melayu lain diprovok, ‘are you Malaysian first or Malay first,’ pemimpin Melayu itu teragak-agak menjawab. Dan, orang Melayu lain tidak berani membelanya.
Sejumlah besar orang Melayu telah bersatu atas dasar bangsa dan agamanya. Dari sudut ekonomi pun kesedarannya sudah merakyat dan begitu juga dari sudut sosial di mana oarng Melayu sudah selamba berjalan dengan bertanjak. Dari sudut agama, bangsa, ekonomi dan sosial, orang Melayu sudah bangkit dengan semangat baharu.
Mereka sedang mengamuk perasaan. Semangat ini sudah tidak dapat ditahan-tahan. Jangan bimbang jika menganggap ia akan memusnahkan. Sebab, mana mungkin orang Melayu akan memusnahkan satu-satunya tanah tumpah darahnya ini?