TREVOR ENGLISH – 28.9.19 – INTERESTINGENGINEERING.COM

BUKU adalah media yang paling tahan lama. Ia menyimpan sejarah, sastera, budaya dan ia adalah medium meluahkan perasaan yang unik. Betapa pun, buku-buku kerap dibuang begitu sahaja apabila pengetahuan di dalamnya tidak diperlukan lagi. Ini bermakna terdapat ribuan buku yang terdapat di sistem pembuangan sampah mana-mana negara.

Namun, sekumpulan pemungut sampah di Ankara, Turki sedang membuat perubahan. Mereka sama-sama telah berusaha membuka sebuah perpustakaan awam yang mengandungi buku-buku yang mereka kumpul dan sisihkan dari tempat pembuangan sampah. Mereka lakukan ini untuk menyimpan sejarah dan pengetahuan kerana ‘sampah bagi seseorang itu mungkin harta bagi seseorang yang lain.’

Kilang bata dijadikan perpustakaan ~ foto cnn.com

Para pekerja pemungut sampah mengambil masa berbulan-bulan mengumpul buku-buku dari tempat pembuangan dan juga dari tong-tong sampah di seluruh pelosok bandaraya. Sedikit demi sedikit, buku-buku mulai terkumpul, dan akhirnya cukup untuk sebuah perpustakaan.

Usaha para pekerja itu mendapat perhatian orang tempatan. Ada di antara mereka yang mendermakan buku pula untuk menambah koleksi perpustakaan.

Pada mulanya perpustakaan itu hanyalah untuk para pekerja dan keluarga mereka. Tetapi hasil pengumpulan itu menjadi lebih banyak. Lebih ramai orang mula tahu dan pada September 2018, ia dibuka untuk orang awam.

Seorang pekerja sedang membaca buku ~ foto altan

“Kami mula berbincang untuk membuat sebuah perpustakaan untuk buku-buku ini. Dan apabila semua orang menyokongmya, ia jadi kenyataan,” kata Datuk Bandar Cankaya, Alper Tasdelen. 

Projek ini mendapat sokongan komuniti. Perpustakaan itu kini mengandungi 6,000 naskhah buku bagi semua genre. Ia turut mempunyai bahagian kanak-kanak dan juga komik.

Di manakah letaknya perpustakaan itu? Para pekerja menemui sebuah bekas kilang bata berhampiran dengan jabatan pengaliran di ibukota. Binaan batu dan koridor yang panjang memang amat sesuai dijadikan perpustakaan. Setelah melalui kesemua prosedur, akhirnya perpustakaan itu menjadi kenyataan.

Visual artis bagaimana lori sampah dijadikan perpustakaan bergerak ~ foto cancayacity

Sesiapa yang berminat untuk meminjam buku, mereka boleh melakukannya untuk tempoh dua minggu.

“Guru-guru desa dari seluruh negara kini memohon buku dari sini,” kata Datuk Bandar Tasdelen. “Perpustakaan ini juga telah membuka peluang pekerjaan sepenuh masa.”

Berita kewujudan perpustakaan ini telah membolehkan ia kini meminjamkan buku-bukunya untuk sekolah-sekolah dan juga penjara. Ia kini menjadi sumber percuma untuk komuniti.

Bangunan perpustakaan itu kini bukan sahaja menjadi hab membaca dan penyelidikan. Malah ia juga menjadi tempat masyarakat bertemu. Oleh kerana saiz bangunannya yang besar, ia mempunyai juga cukup ruang untuk mereka datang mengopi.

Artikel asal:
https://interestingengineering.com/garbage-collectors-created-library-made-up-of-discarded-books

Gembiranya pemungut sampah apabila menemui buku terbuang…
https://www.youtube.com/watch?v=WblbYsehpFs