Bila Diam Itulah Yang Lebih Baik
MAAFCAKAP: 16.10.19
Tatkala menelusuri internet baru-baru ini, saya terjumpa sebuah mutiara kata dari novelis antarabangsa terkenal, Danielle Steele. Katanya, “Menulis adalah sebuah kembara dalam kesunyian. Namun kita bukan sendirian.”
Saya merenung seketika setelah membaca mutiara kata itu. Apa yang timbul di minda saya mengenai bersendirian selalunya dikaitkan dengan kesunyian. Kesunyian apabila bersendirian itu selalunya tidak baik untuk seseorang. Bersendirian kerap dikaitkan dengan tindakan seseorang yang ingin melayan perasaan. Biasanya dalam situasi bermuram durja.
Cuma apabila berdiam diri secara berlama-lama, ia akan menimbulkan depresi bila seseorang yang berdiam diri itu hanya bercakap dengan dirinya sendiri. Tentulah berdiam diri kerana melayani masalah tanpa menceritakan kepada seseorang yang lain itu tidak baik. Jika kita tahu ada seseorang yang berdiam diri kerana bermasalah, kita patut hampiri, pujuk dan mulakan komunikasi dengannya. Lazimnya, masalah seseorang itu menjadi ringan apabila dia menceritakan masalahnya kepada kita.
Bagaimana pun, sikap berdiam diri itu menjadi suatu pendirian yang bagus dalam perhubungan manusia sekiranya ia digunakan dengan bertujuan. Berdiam diri untuk mengendurkan keadaan menjadi bagus apabila ia menyelamatkan perhubungan sesama manusia. Malah ia baik untuk orang yang berdiam diri itu.
Berdiam diri supaya sesuatu yang menjadi bualan itu mati adalah tindakan yang baik. Kerapkali berlaku bilamana kita tahu mengenai sesuatu perkara. Tetapi barangkali perkara itu sensitif dan mengaibkan, maka lebih baik kita diam. Barangkali juga sesuatu perkara itu lebih elok disampaikan oleh si empunya diri. Bila kita buka mulut, mungkin kita boleh jadi lebih sudu dari kuah. Dalam konteks ini, frasa golongan selebriti iaitu no comment adalah respon yang bagus meskipun ia klise.
Berdiam diri juga sebenarnya membina wibawa seseorang. Orang yang tak cakap banyak biasanya akan membuat orang lain ternanti-nanti akan kata-katanya. Walaupun mereka yang berdiam diri ini diumpamakan seperti ‘ada emas di dalam mulut,’ namun sekiranya dia berdiam diri dan sedikit bercakap, dialah yang akan menguasai suasana kerana sikap diam dirinya itu membuat orang lain tertanya-tanya langsung menggugat pertimbangan mereka.
Berdiam diri dengan tindakan ‘layan tak layan’ juga berkesan dalam perbualan. Misalnya, jika topik yang dibuka oleh teman itu sesuatu yang negatif, tindakan berdiam diri dengan wajah acuh tak acuh akan melembabkan perbualan. Secara beransur-ansur topik perbualan baharu yang lebih sesuai akan dibuka sebagai tajuk bualan yang baharu.
Ada juga ketika di mana berdiam diri itu akan menyelamatkan air muka orang yang berkata. Dalam mesyuarat misalnya, bila bos memperkatakan sesuatu fakta yang silap, adalah lebih baik seandainya kesilapan itu diperbetul selepas mesyuarat. Bos akan lebih mudah menerima kerana tiada orang lain yang perasan kesilapannya. Begitu juga kesilapan fakta teman-teman di media sosial. Sekiranya kita berdiam diri dan ‘PM tepi,’ itu akan lebih dihormati teman.
Berdiam diri semata-mata kerana kita tidak mahu tumpang semangkuk untuk memperkatakan mengenai sesuatu akan membuatkan teman-teman menghormati kita. Di media sosial misalnya, sekiranya kita mencelah dalam apa jua topik, tidak kira masa dan ketika, teman-teman akan berasa letih dengan kehadiran kita. Cara yang lebih terhormat ialah memperkatakan sesuatu yang benar-benar boleh membawa manfaat.
Yang baik ialah bilamana kita biarkan orang lain bercakap kerana hendak memberi peluang dia yakin pada diri. Pekerja baharu ataupun anak kecil yang baharu pandai bercerita patut kita galakkan mereka bercakap dan kita pula mendiamkan diri.
Cuma sekiranya kita punyai wibawa, kepakaran ataupun di pihak orang yang diperkatakan, kita patut buka mulut. Sekiranya kita yang ada kebolehan ini nampak akan sesuatu keburukan, kitalah yang patut ke hadapan membetulkan keadaan. Kerapkali bila terjadi tular sesuatu yang tidak betul, kita yang tahu patut tampil untuk menyatakan yang benar. Jika kita biarkan, seluruh masyarakat menjadi tersasar dan bertindak terhadap sesuatu yang palsu.
Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” Hadis ini selalu digunakan untuk memperkatakan mengenai bagusnya berdiam diri. Sedangkan ia didahulukan dengan galakan supaya kita berkata yang baik-baik.
7 Tips Penulisan Sol Stein
Buku STEIN ~ ON WRITING karya penulis dan penerbit Sol Stein adalah di antara buku teknik menulis yang saya baca. Saya khatam buku ini lebih daripada lima kali kerana begitu teruja dengan ilmu penulisan yang disampaikan. Saya perturunkan 7 daripada inti ilmunya.

1. JANGAN BAWA PEMBACA KE JALAN YANG DIA MAHU!
Apabila kita mahu menukar dari satu babak ke babak yang lain, kita mesti tukar ke babak yang tidak dapat diagak pembaca. Ini akan membuat pembaca benar-benar terkejut. Kejutan inilah yang membuat pembaca tak mahu berhenti membaca.
2. WATAK PROTAGONIS YANG TIDAK SEMPURNA
Tiada pembaca yang sukakan watak hero yang baik-baik. Si protagonis mesti buat silap. Dia perlu ada sisi yang hodoh. Watak yang tidak sempurna akan buatkan pembaca terima dia sebagai manusia.
3. TULISLAH APA YANG PEMBACA TAK FIKIR
Jangan bimbang dengan idea-idea yang pelik-pelik. Jangan layan fikirann yang biasa-biasa. Tapi, tulislah dengan jujur. Kejujuran bukannya hal baharu, tetapi ia amat penting.

4. LETAKKAN PROTAGONIS DALAM KEADAAN TERSEPIT
Inilah situasi ditelan mati emak, diluah mati bapak. Letak protagonis dalam situasi yang dia tak boleh lari begitu sahaja. Ini akan meningkatkan situasi tegang dan inilah yang pembaca mahu.
5. SATU+ SATU = SETENGAH!
Sesuatu perkara akan hilang kekuatannya jika hal yang sama diulang-ulang, meskipun dengan menggunakan ayat yang berlainan.
6. TYPEFACE ADALAH SENJATA
Kalangan profesional menggunakan Courier 12 poin. Times New Roman memang cantik tetapi agak kecil. Tulisan yang kecil lebih lambat dibaca. Jadi ia mudah membosankan. Typeface Courier lebih mudah dibaca. Jangan ketepikan kesan psikologi ini.

7. JANGAN ALIH TUMPUAN PEMBACA
Tulisan di atas muka surat, penggunaan huruf tebal, akan menarik mata pembaca. Ini bermakna tumpuan pembaca sudah tak tertumpu pada tulisan kita. Ini akan mengganggu tumpuan pembaca pada tulisan kita. Tak perlu huru-harakan halaman dengan pelbagai gimik hinghga mengganggu tumpuan pembaca.
Yang Dinanti-Nanti: Pesta Buku Terpenting di Dunia Akan Bermula
PESTA BUKU Frankfurter Buchmesse atau yang kita kenali sebagai Pestabuku Antarabangsa Frankfurt, Jerman adalah pesta buku paling penting di dunia untuk perniagaan cetak dan digital. Pestabuku ini ini akan berlangsung dari 16 hingga 20 Oktober 2019 bertempat di Ludwig-Erhard-Anlage 1, Jerman. Selama lima hari, pakar penerbitan, penulis dan penggemar buku dari seluruh dunia berhimpun bersama-sama di Frankfurt.

Frankfurter Buchmesse adalah tempat perdagangan antarabangsa yang paling penting untuk kandungan semua jenis buku – dari novel dan buku kanak-kanak hingga ke pangkalan data saintifik. Di sini, pakar dari penerbitan global menemui rakan kongsi dari industri teknologi dan industri kreatif yang berkaitan seperti filem dan permainan.
Pada masa yang sama, pesta ini adalah acara kebudayaan utama: sekitar 7 500 peserta pameran dari lebih 100 buah negara, lebih daripada 285 000 pelawat, lebih 4000 acara, sekitar 10 000 wartawan dan penulis blog membuat Frankfurter Buchmesse pameran perdagangan terbesar dunia.

Frankfurter Buchmesse telah dianjurkan oleh Frankfurter Buchmesse GmbH sejak tahun 1949 apabila 205 pameran Jerman bertemu di Paulskirche di Frankfurt untuk pameran buku pasca perang pertama. Walau bagaimanapun, sejarah Frankfurter Buchmesse kembali jauh – hingga abad ke-15. Pada masa itu Johannes Gutenberg mencipta pencetakan buku hanya beberapa kilometer dari pusat bandar Frankfurt.
Hari ini, Frankfurter Buchmesse adalah pameran buku terbesar di dunia, sebuah tanda dagangan antarabangsa dan model untuk acara kebudayaan. Syarikat ini aktif dalam penerbitan antarabangsa sepanjang tahun dan di luar hari pameran perdagangan.
Di antara penulis yang akan menyertai pesta buku ini untuk bertemu para peminat mereka adalah termasuklah penulis terkenal Jo Nesbø, Ken Follett dan Margaret Atwood.

Tahun ini, Norway akan tampil sebagai Tetamu Kehormat di Frankfurter Buchmesse 2019, bersama slogan mereka, The Dream We Carry. Frasa ini berdasarkan puisi “It Is That Dream” oleh penyair Norwegia yang dicintai Olav H. Hauge (1908-1994).
The Dream We Carry ini merupakan kisah dari Norway yang menggalakkan kegembiraan membaca dan berdiri untuk kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara merupakan bahagian penting dalam budaya politik Norway, dan ia juga akan memainkan peranan utama dalam program sastera dan kultural di Frankfurter Buchmesse.
Rasai suasana Pestabuku Antarabangsa Frankfurt melalui video di bawah!
Permaisuri Agong lancar buku ‘Ulam-ulaman Khazanah Negara dan 1001 Khasiat’
BERNAMA- 10.10.19
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan melancarkan buku ‘Ulam-ulaman Khazanah Negara dan 1001 Khasiat’ yang menghimpunkan pelbagai maklumat mengenai ulam-ulaman tempatan.
Buku itu diterbitkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hasil cetusan idea bekas Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak ketika majlis pelancaran Kempen Ulam-ulaman Peringkat Kebangsaan pada 2017.
Keberangkatan tiba Tunku Azizah diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, Pengerusi FAMA, Ishak Ismail dan Ketua Pengarah Fama, Zainal Abidin Yang Razalli.

Dalam titah perasmian, Tunku Azizah turut berkongsi pengalaman mengamalkan pemakanan ulam-ulaman ketika berpantang selepas bersalin.
“Selepas saya melahirkan dan semasa berpantang, memang saya hanya makan ulam-ulam seperti pegaga, kacang botol, pucuk betik dan pucuk ubi… itulah makanan saya dalam pantang.
“Semua masakan saya bukan sahaja ada ulam-ulaman tetapi juga sayur-sayuran tempatan,” titah baginda.

Sementara itu, Salahuddin berkata penerbitan buku ini adalah satu usaha kementerian dalam membangunkan industri pertanian dan asas tani di negara ini khususnya dalam meningkatkan pendapatan petani yang berkaitan ulam-ulaman dan sayur-sayuran.
“Ulam-ulaman tempatan berpotensi menjadi satu sumber kekayaan baharu yang boleh diteroka dan mewujudkan peluang besar untuk usahawan menceburkan diri mengkormersialkan sektor ini,” katanya.
Katanya, ia juga bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan pengambilan ulam sebagai diet makanan harian dalam kalangan masyarakat selain mengurangkan kebergantungan kepada produk pertanian import.

“Kajian daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan mendapati 94 peratus penduduk di negara ini tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memandang tinggi pandangan Tunku Azizah berkaitan khasiat daun merunggai yang bukan sahaja boleh dijadikan ulam-ulaman tetapi juga sebagai produk penting dalam bidang kesihatan selain turut berpotensi untuk dikomersialkan.
Buka setebal 284 muka surat itu mengumpulkan 657 jenis ulam-ulaman dan dijual dengan harga RM370 bagi jenis kulit nipis dan RM400 bagi jenis kulit tebal.
Jom tonton video untuk anda yang nak tahu khasiat ulam-ulaman:
Penulis Eropah Menangi Hadiah Nobel Sastera
SANYA MANSOOR – 11.10.19 – time.com
Hadiah Novel untuk kategori sastera dimenangi oleh dua orang penulis Eropah iaitu Peter Handke untuk tahun 2019 dan Olga Tokarczuk untuk tahun 2018. Peter berasal dari Austria dan Olga pula dari Poland.

Olga Tokarczuk
Olga Tokarczuk penerima Hadiah Nobel untuk kategori sastera kerana imaginasi naratifnya. Olga yang berusia 57 tahun lahir di Sulechow, Poland. Beliau meminati sastera sejak kecil lagi. Kedua-dua ibubapanya adalah guru. Bapanya juga adalah seorang pustakawan. Kerana itu, Olga berpeluang ke perpustakaan ‘untuk membaca apa sahaja yang dia capai’ menurut biografi terbitan Akademi Nobel.
Novel ketiganya Primeval and Other Time mengisahkan konflik keluarga. Namun magnum opus atau karya terbaik beliau adalah The Books of Jacob — sebuah novel sejarah yang mengisahkan seorang pemimpin pada kurun ke-18 yang dianggap sebagai nabi.
Novel itu memenangi The Nike Prize, iaitu anugerah tersohor Poland. Terjemahannya pula akan diterbitkan pada musim bunga 2021.

Olga juga bukan nama baharu di persada antarabangsa. Pada tahun lalu, beliau memenangi Man Booker International Prize melalui karyanya Flights, yang mengisahkan kembara di kurun ke-21. Pada tahun ini juga, karyanya Drive Your Plow Over the Bones of the Dead, telah disenarai pendek untuk anugerah yang sama.
Olga begitu ‘terkesima dan hilang kata-kata’ untuk mengekspresi apa yang beliau rasa berikutan dengan kemenangan itu. Tambahnya, beliau amat gembira bila mendapat tahu pemenang yang seorang lagi juga datang dari Eropah dan ia suatu pengiktirafan terhadap demokrasi.
Bagaimana pun, Olga tidak begitu digemari oleh pihak konservatif di negaranya kerana kritiknya terhadap sejarah negara termasuk episod anti-semitik.

“Beliau punyai pandangan yang tajam bila melakar psikologi wataknya,” kata Jeniffer Croft, penterjemah dua daripada novelnya. Kata Jennifer lagi, Olga turut menggemari manusia yang esentrik.
Sejak dulu lagi, beliau yakin Olga akan memenangi anugerah nobel suatu hari nanti.

Peter Handke
Peter yang memenangi Hadiah Nobel Sastera bagi tahun 2019 berikutan dengan ‘penghasilan penulisan yang berpengaruh.’ Akademi Nobel melihat karyanya mempunyai ‘semangat kembara yang nostalgik’ dalam novelnya Repetition.
Peter, 76, lahir pada tahun 1942 di sebuah kampung di Austria bernama Griffen. Ibunya adalah dari minoriti Slovenia dan bapanya adalah seorang askar Jerman.
Peter kemudiannya belajar undang-undang di Universiti Graz tetapi berhenti belajar setelah novel pertamanya Die Hornissen, terbit pada tahun 1966.

Karya Peter tidak terhad pada satu genre sastera. Beliau menulis novel, makalah dan juga lakonlayar.
Peter turut terlibat dalam politik. Beliau membantah serangan NATO ke atas Serbia tatkala peperangan di Kosovo pada tahun 1990an. Kerana itu, beliau dikecam kerana menyokong puak Serbia.
Bagaimana pun, Presiden Austria Alexander Van der Bellen mengucapkan tahniah di atas kejayaannya itu.

Jom baca artikel asal di time.com:
https://time.com/5697176/handke-tokarczuk-nobel-prize/
Jom tonton video pengumuman pemenang Anugerah Nobel kategori sastera:


