MAAFCAKAP: 16.10.19
Tatkala menelusuri internet baru-baru ini, saya terjumpa sebuah mutiara kata dari novelis antarabangsa terkenal, Danielle Steele. Katanya, “Menulis adalah sebuah kembara dalam kesunyian. Namun kita bukan sendirian.”
Saya merenung seketika setelah membaca mutiara kata itu. Apa yang timbul di minda saya mengenai bersendirian selalunya dikaitkan dengan kesunyian. Kesunyian apabila bersendirian itu selalunya tidak baik untuk seseorang. Bersendirian kerap dikaitkan dengan tindakan seseorang yang ingin melayan perasaan. Biasanya dalam situasi bermuram durja.
Cuma apabila berdiam diri secara berlama-lama, ia akan menimbulkan depresi bila seseorang yang berdiam diri itu hanya bercakap dengan dirinya sendiri. Tentulah berdiam diri kerana melayani masalah tanpa menceritakan kepada seseorang yang lain itu tidak baik. Jika kita tahu ada seseorang yang berdiam diri kerana bermasalah, kita patut hampiri, pujuk dan mulakan komunikasi dengannya. Lazimnya, masalah seseorang itu menjadi ringan apabila dia menceritakan masalahnya kepada kita.
Bagaimana pun, sikap berdiam diri itu menjadi suatu pendirian yang bagus dalam perhubungan manusia sekiranya ia digunakan dengan bertujuan. Berdiam diri untuk mengendurkan keadaan menjadi bagus apabila ia menyelamatkan perhubungan sesama manusia. Malah ia baik untuk orang yang berdiam diri itu.
Berdiam diri supaya sesuatu yang menjadi bualan itu mati adalah tindakan yang baik. Kerapkali berlaku bilamana kita tahu mengenai sesuatu perkara. Tetapi barangkali perkara itu sensitif dan mengaibkan, maka lebih baik kita diam. Barangkali juga sesuatu perkara itu lebih elok disampaikan oleh si empunya diri. Bila kita buka mulut, mungkin kita boleh jadi lebih sudu dari kuah. Dalam konteks ini, frasa golongan selebriti iaitu no comment adalah respon yang bagus meskipun ia klise.
Berdiam diri juga sebenarnya membina wibawa seseorang. Orang yang tak cakap banyak biasanya akan membuat orang lain ternanti-nanti akan kata-katanya. Walaupun mereka yang berdiam diri ini diumpamakan seperti ‘ada emas di dalam mulut,’ namun sekiranya dia berdiam diri dan sedikit bercakap, dialah yang akan menguasai suasana kerana sikap diam dirinya itu membuat orang lain tertanya-tanya langsung menggugat pertimbangan mereka.
Berdiam diri dengan tindakan ‘layan tak layan’ juga berkesan dalam perbualan. Misalnya, jika topik yang dibuka oleh teman itu sesuatu yang negatif, tindakan berdiam diri dengan wajah acuh tak acuh akan melembabkan perbualan. Secara beransur-ansur topik perbualan baharu yang lebih sesuai akan dibuka sebagai tajuk bualan yang baharu.
Ada juga ketika di mana berdiam diri itu akan menyelamatkan air muka orang yang berkata. Dalam mesyuarat misalnya, bila bos memperkatakan sesuatu fakta yang silap, adalah lebih baik seandainya kesilapan itu diperbetul selepas mesyuarat. Bos akan lebih mudah menerima kerana tiada orang lain yang perasan kesilapannya. Begitu juga kesilapan fakta teman-teman di media sosial. Sekiranya kita berdiam diri dan ‘PM tepi,’ itu akan lebih dihormati teman.
Berdiam diri semata-mata kerana kita tidak mahu tumpang semangkuk untuk memperkatakan mengenai sesuatu akan membuatkan teman-teman menghormati kita. Di media sosial misalnya, sekiranya kita mencelah dalam apa jua topik, tidak kira masa dan ketika, teman-teman akan berasa letih dengan kehadiran kita. Cara yang lebih terhormat ialah memperkatakan sesuatu yang benar-benar boleh membawa manfaat.
Yang baik ialah bilamana kita biarkan orang lain bercakap kerana hendak memberi peluang dia yakin pada diri. Pekerja baharu ataupun anak kecil yang baharu pandai bercerita patut kita galakkan mereka bercakap dan kita pula mendiamkan diri.
Cuma sekiranya kita punyai wibawa, kepakaran ataupun di pihak orang yang diperkatakan, kita patut buka mulut. Sekiranya kita yang ada kebolehan ini nampak akan sesuatu keburukan, kitalah yang patut ke hadapan membetulkan keadaan. Kerapkali bila terjadi tular sesuatu yang tidak betul, kita yang tahu patut tampil untuk menyatakan yang benar. Jika kita biarkan, seluruh masyarakat menjadi tersasar dan bertindak terhadap sesuatu yang palsu.
Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” Hadis ini selalu digunakan untuk memperkatakan mengenai bagusnya berdiam diri. Sedangkan ia didahulukan dengan galakan supaya kita berkata yang baik-baik.