Bagai Dalam Perang Dunia Ketiga
MAAFCAKAP 25.3.2020
Setelah Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua pada tahun (1939-1945), para pengkaji dan pengulas politik, ekonomi dan sosiologi meramalkan akan berlaku Perang Dunia Ketiga berdasarkan senario perkembangan pembinaan senjata nuklear oleh banyak negara. Senjata nuklear akan memusnah dunia.
Betapa pun, terdapat pula kebimbangan mereka pada senario malapetaka Perang Dunia Ketiga yang melibatkan senjata biologi. Kesannya lebih dahsyat. Ia tidak memusnahkan kota, jalanraya, empangan, lapangan terbang, kem tentera dan senjata. Sebaliknya Perang Dunia Ketiga yang menggunakan senjata biologi akan membunuh manusia.
Meskipun peperangan lazimnya melibatkan pasukan tentera dari dua pihak, kesan perang dari senjata biologi akan turut mencederakan orang awam. Orang awam menduduki penempatan di seluruh negara, bukan sekadar di kem-kem tentera mahupun perbatasan dan tempat pertempuran. Ertinya, kesan perang senjata biologi melibatkan rakyat di seluruh negara. Ramai yang akan mati sementara yang hidup akan mengalami trauma, depresi dan mungkin sekali cacat seumur hidup dan tidak boleh menjaga diri sendiri.
Perang Dunia Ketiga yang melibatkan senjata nuklear akan menjejaskan banyak negara. Segala bentuk perusahaan, pembangunan dan ekonomi menjadi tidak seimbang kerana perancangan sumber manusia sesebuah negara telah hancur. Pakar-pakar di pelbagai sektor mungkin telah cedera ataupun mati. Yang penting bagi mana-mana negara ialah mencari sumber makanan untuk hidup. Siapa pula boleh menjamin bahawa senjata biologi tidak menjejaskan binatang ternakan dan tanaman pertanian?
Senario kesan perang menggunakan senjata biologi itu kini sedang berada di ambang mata. Pandemik Covid-19 ini seolah-olah kesan perang senjata biologi Perang Dunia Ketiga. Biarlah kita ketepikan teori konspirasi samada virus ini dicipta oleh Amerika ataupun China. Kita guna fakta bahawa virus ini muncul dari binatang dan berpindah kepada manusia secara alami. Tetapi dalam beberapa minggu lagi, nampaknya kita sedang menuju kepada kesengsaraan jika pandemik ini tidak dapat dikekang segera.
Sehingga kini, lebih 166 negara di dunia yang terlibat dengan pandemik Covid-19. Maklumat terkini, hampir 400,000 manusia yang telah dijangkiti. Minta dielakkan, tetapi angka ini boleh menjadi setengah juta umat manusia dalam seminggu dua lagi.
Sesungguhnya pandemik ini begitu mengejutkan. Hanya bulan lepas kita berkalut dalam politik dan peralihan kuasa. Kita baharu sahaja hendak berehat dan bertenang seketika dari gawat politik tetapi tiba-tiba kita diserang oleh musuh yang kita tidak nampak.
Seolah-olah dunia diserang makhluk asing hingga ada yang menjadi zombie. Seperti kata novelis George R.R Martin yang menulis Games of Thrones, “Kadangkala bila menonton berita, saya tidak dapat elak berasa seolah-olah hidup di dalam novel sains fiksyen.” Apa yang dibayangkan oleh sekalian ramai novelis seperti Dean Koontz yang menulis mengenai virus yang datang dari Wuhan di dalam novelnya The Eyes of Darkness 40 tahun lalu, kini benar-benar terjadi.
Kita bukannya berada di dalam mimpi lagi. Kita tidak tahu siapa yang telah dijangkiti kerana yang dijangkiti pun tidak tahu dia telah dihinggapi penyakit itu. Seolah-olah kita tidak boleh percaya kepada sesiapa sahaja di sekeliling kita meskipun dia adalah anggota keluarga kita sendiri. Jalan terbaik ialah dengan mengasingkan diri. Duduk di rumah dan bekerjalah dari rumah.
Namun, dalam pada kita berdepan dengan suasana yang merisaukan ini, ada satu perkara hilang yang kita dapat temui kembali. Masa. Itulah satu-satunya faktor yang selalu kita ketinggalan. Dalam tempoh dua minggu ini, kita tidak perlu lagi ‘mencari masa’ kerana ia sudah ada. Dengan berlakunya pandemik Covid-19 ini bilamana hampir keseluruhan aktiviti dihentikan, kita tiba-tiba diberi masa untuk melakukan apa yang kita selama ini tidak boleh lakukan.
Sesungguhnya banyak yang boleh kita lakukan apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Masaklah resepi yang kita belum sempat hendak cuba, bacalah buku yang sudah lama kita ingin habiskan, hafal sahaja doa yang kita tidak sempat ingat dan buatlah apa yang kita tak dapat buat selama ini kerana faktor kekurangan masa.
Sesungguhnya suasana seperti di dalam perang ini tidak menjadi lebih buruk. Meskipun ada yang menjangka kita akan duduk di rumah lebih lama lagi, kita kenalah jaga minda agar sentiasa positif. Jadilah cyberwarrior yang sebenar-benarnya dengan menyebarkan hal-hal yang benar dan baik. Jadilah wira siber yang sebenar.
COVID-19: Kedai Buku Giat Niaga Secara Online
TERENCE TOH.THE STAR. 21.3.2020
KEDAI-KEDAI buku tempatan dan kumpulan sastera diramalkan terjejas teruk berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan pada 16 Mac lalu. Apabila perniagaan mereka diarahkan tutup buat sementara, ramai yang bimbangkan masa depan mereka. Ada juga di antara mereka yang mengubah kaedah operasi agar tetap bertahan.
Menurut Elaine Lau, rakan kongsi kedai buku Lit Books di Petaling Jaya, Perintah Kawalan Pergerakan itu telah memaksanya menutup kedai dan menangguhkan dua acara dalaman. Beliau, suami dan rakan kongsi Min Hun tidak menjangka keadaan ini begitu cepat berlaku sehingga membataskan pergerakan mereka.
“Kami merancang untuk mewujudkan sebuah laman ecommerce tidak lama lagi kerana ia bukan sahaja memerlukan modal untuk mewujudkan portal itu, tetapi juga untuk menambah stok buku. Min Hun sedang menyiapkan pangkalan data di blog kami supaya para pelanggan dapat membuat pesanan,” kata Lau.
Pengasas Kedaibuku Tintabudi Nazir Harith Fadzilah, di Kuala Lumpur pula mencadangkan skim subsidi untuk perniagaan kecil dapat membantu mereka.

“Perniagaan mula lembab apabila berita virus ini diumumkan di peringkat awal lagi. Orang ramai tidak mahu ke kedai dan jualan pun terjejas. Saya harap, akan ada ubat untuk penyakit ini. Andai kata Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, kita tiada pilihan melainkan menunggu sehingga keadaan pulih.”
Bagi Amir Muhammad, penerbit dan tuan punya Kedai Buku Fixi, perniagaannya boleh dikatakan baik kerana lokasinya di Sunway Putra Mall. Bagaimana pun, penutupan perniagaan selama dua minggu itu menghilangkan pendapatan sedangkan kakitangannya akan mendapat gaji penuh.
Beliau dijangka memperoleh pendapatan kasar sekitar RM500,000 jika Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini tidak ditangguh.
“Kami terpaksa menangguhkan cetakan enam buku-buku terbaharu. Sebaliknya hanya menjual melalui ebuku.”

Rumah Attap Library and Collective di Kuala Lumpur mungkin ditutup. Namun ia masih bersemangat dalam melayani peminat buku melalui media Facebook. Ini termasuk mempromosikan buku-buku mengenai penyakit seperti The Plague tulisan Albert Camus dan Ilness As Metaphor karya Susan Sontag.
Kedai Buku Gerakbudaya di Petaling Jaya pula telah melancarkan promosi #StayHome&ReadBooks di portalnya dengan buku-buku berharga serendah RM10.
“Perintah Kawalan Pergerakan memang mengejutkan kami. Tetapi kami akan beroperasi seperti biasa bila keadaan pulih nanti.” Demikian menurut status terkini di laman Facebooknya.
Pautan asal:
COVID-19: Eratkan Hubungan Keluarga
MUHAMMAD YUSRI MUZAMIR.BERITA HARIAN.20.3.2020
KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran melakukan aktiviti dan beriadah bersama keluarga di kediaman masing-masing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Ia bagi mewujudkan persekitaran lebih positif yang antara lain mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, selain dapat mengurangkan tahap kebosanan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Aminah Bee Mohd Kassim, berkata setiap aktiviti yang dirangka itu perlu menitiberatkan aspek kesihatan fizikal, mental dan sosial.
Katanya, setiap keluarga perlu merancang dan membuat senarai aktiviti yang mahu dilakukan setiap hari, mengikut keutamaan dengan ia perlu dipelbagaikan mengikut kreativiti dan kesesuaian.
Beliau berkata, setiap aktiviti berkenaan perlu membabitkan pergerakkan badan dan pemakanan sihat bagi menggalakkan kesihatan fizikal, sosial, komunikasi, mental dan spiritual.
Mana-mana pasangan suami dan isteri yang bermasalah juga boleh menggunakan tempoh berkenaan untuk bermuhasabah dan menjalankan motivasi diri, sekali gus memperbaiki hubungan masing-masing.
“Bagi menjaga kesihatan fizikal, anda digalakkan melakukan aktiviti cergas selama 30 minit sehari bersama ahli keluarga di dalam rumah seperti senaman regangan, senam robik atau yoga.
“Aktiviti mengemas bahagian dalam dan luar rumah juga boleh dijalankan bersama-sama. Malah, berkebun di halaman rumah juga boleh dijadikan sebagai antara aktiviti meningkatkan kecergasan.
“Aktiviti fizikal berstruktur kanak-kanak juga boleh dilakukan, selain ibu bapa disaran memastikan pemakanan harian sekeluarga mencukupi mengikut diet seimbang,” katanya kepada BH, hari ini.

Mengenai usaha menggalakkan kesihatan sosial dan komunikasi, Dr Aminah Bee berkata, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama ahli keluarga, selain menjadikan setiap aktiviti sebagai topik untuk berbual, sekali gus meningkatkan kemampuan berkomunikasi.
“Gunakan peluang untuk berbincang dengan anak berkaitan cerita yang ditonton atau mencuba resipi masakan baharu. Selain itu, bermainlah dengan anak anda di dalam rumah.
“Aktiviti ‘satu buku sehari’ juga disyorkan membabitkan buku ilmiah atau E-book. Carilah bahan bacaan sesuai dengan usia anak yang boleh dimuat turun secara percuma. Ia juga muncul sebagai peluang meneliti progres anak masing-masing.
Ibu bapa boleh memenuhi masa anak dengan aktiviti di meja seperti mewarna, mengecat dan sebagainya. Apa pun jenis permainan yang anda lakukan pastikan anda berseronok bermain dengan anak anda,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap keluarga perlu melakukan aktiviti keagamaan secara bersama, mengikut pegangan masing-masing.
“Bagi umat Islam, anda digalakkan untuk solat berjemaah, mengaji, berzikir serta menonton dan membaca bahan ilmuan berkaitan agama, selain membuat sesi ‘10 minit bercerita’ bersama ahli keluarga yang lain,” katanya.
Artikel asal: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/667236/covid-19-perintah-kawalan-pergerakan-masa-eratkan-hubungan
Novelis Games of Thrones Sedang Tulis Novel Baru!
CHLOE KOK.STRAITS TIMES. 19.3.2020
George R.R. Martin, novelis Amerika yang popular dengan novel A Game Of Thrones, kini sedang menghabiskan masa di bumi Westeros ciptaannya daripada di alam nyata.

“Kini saya menulis setiap hari dari sebuah lokasi terpencil. Keadaan semakin suram di Seven Kingdoms. Tetapi, tidaklah segetir keadaan di dunia nyata,” ulas novelis berusia 71 tahun itu mengenai pandemik coronavirus di blognya Not My Blog, Selasa lalu.
Katanya lagi, usianya meletak beliau dalam populasi yang punyai risiko tinggi. Namun, beliau berada dalam keadaan baik dan tidak bercadang untuk turun ke bandar dan bertemu dengan sesiapa.
“Kita perlu ambil langkah-langkah sesuai demi keselamatan,” katanya.
Martin sedang giat menulis novel yang dinanti-nantikan, The Winds Of Winter atau Angin Musim Salji, iaitu segmen siri novel fantasi A Song of Ice and Fire. Novel itu tidak disambung sejak lapan tahun lalu.

Siri buku itu diadaptasi menjadi siri Game of Thrones yang berjaya (2011 – 2019) di rangkaian televisyen HBO di mana Martin menjadi penerbit eksekutif untuk siri itu.
Pada masa yang sama, Martin berkata, dia akan menutup yayasan Stagecoach Foundation untuk sementara waktu dan juga menangguhkan bengkel filem dan televisyen untuk kanak-kanak.
Mengulas mengenai covid-19, katanya “Kadangkala apabila menonton TV saya tak dapat elak untuk terasa seolah-olah kita semua hidup dalam sebuah fiksyen sains. Marilah berdoa agar kita semua selamat. Jaga diri kawan-kawanku. Adalah lebih baik selamat dari menyesal.”
Pautan asal:
https://www.straitstimes.com/lifestyle/entertainment/game-of-thrones-author-writing-in-isolation
COVID-19: Novelis Peru Dibelasah Kerajaan China
MATTHEW STRONG.TAIWANNEWS.17.3.2020
TAIPEI — Pemenang hadiah Nobel, Mario Vargas Llosa telah menimbulkan kemarahan kerajaan China apabila menyalahkan sistem komunis yang mengakibatkan penularan Covid-10.
Pendapat beliau itu diterbitkan oleh akhbar, El Pais di bawah tajuk, “Return to the Middle Ages?” atau ‘Kembali ke Zaman Kuno?’ baru-baru ini. Penulis kelahiran Peru itu berkata, penularan virus itu terjadi kerana kerajaan China menyembunyikan penularan penyakit itu.
“Semuanya tidak akan terjadi pada dunia ini jika China adalah sebuah negara demokrasi yang bebas, bukan kerajaan diktator,” kata Vargas Lhosa.
Katanya, “Sekurang-kurangnya seorang doktor terhormat, dan mungkin beberapa orang lagi telah lama mengesan virus ini. Sepatutnya kerajaan China mengambil langkah-langkah perlu. Namun sebaliknya kerajaan China cuba menyembunyikan maklumat dan menutup mulut mereka dan mengekang maklumat. Inilah yang dilakukan oleh semua kerajaan diktator.”

Beliau menyamakan betapa terbuangnya masa kerajaan China menangani virus itu sama seperti mala petaka nuklear Chernobyl oleh kerajaan Russia.
Kedutaan China di Peru menuduh Vargas Llosa, 83, sebagai orang yang menyebar ‘komen jahat yang penuh dengan prejudis.’
Berikutan dengan komennya itu, buku-buku tulisannya telah ghaib dari portal jualan atas talian di negara China. Namanya turut ghaib dari portal carian negara itu!
SIAPA MARIO VARGAS LHOSA?
Mario Vargas Lhosa adalah seorang penulis, ahli politik, wartawan dan profesor kolej Peru. Beliau juga ialah salah seorang novelis dan penulis esei yang paling penting di Amerika Latin. Beberapa pengkritik menganggapnya di antara penulis yang hebat.

Beliau mula terkenal di peringkat antarabangsa pada tahun 60an setelah menghasilkan novel The Time of the Hero, The Green House dan Conversation in the Cathedral.
Pada 2010 beliau memenangi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan. “untuk kartografi struktur kuasa dan imejnya yang menonjol tentang ketahanan, pemberontakan dan kekalahan individu.”
Seperti mana-mana penulis Amerika Latin, beliau aktif dalam politik. Beliau pernah menyokong kerajaan revolusi Fidel Castro, tetapi mula menentangnya apabila seorang sasterawan Heberto Padilla dipenjarakan pada 1971.
Beliau pernah bertanding untuk jawatan Presiden Peru pada tahun 1990. Namun beliau tewas di tangan Alberto Fujimori.
Pautan asal:
https://www.taiwannews.com.tw/en/news/3898733


