MAAFCAKAP 25.3.2020

Setelah Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua pada tahun (1939-1945), para pengkaji dan pengulas politik, ekonomi dan sosiologi meramalkan akan berlaku Perang Dunia Ketiga berdasarkan senario perkembangan pembinaan senjata nuklear oleh banyak negara. Senjata nuklear akan memusnah dunia.

Betapa pun, terdapat pula kebimbangan mereka pada senario malapetaka Perang Dunia Ketiga yang melibatkan senjata biologi. Kesannya lebih dahsyat. Ia tidak memusnahkan kota, jalanraya, empangan, lapangan terbang, kem tentera dan senjata. Sebaliknya Perang Dunia Ketiga yang menggunakan senjata biologi akan membunuh manusia.  

Meskipun peperangan lazimnya melibatkan pasukan tentera dari dua pihak, kesan perang dari senjata biologi akan turut mencederakan orang awam. Orang awam menduduki penempatan di seluruh negara, bukan sekadar di kem-kem tentera mahupun perbatasan dan tempat pertempuran. Ertinya, kesan perang senjata biologi melibatkan rakyat di seluruh negara. Ramai yang akan mati sementara yang hidup akan mengalami trauma, depresi dan mungkin sekali cacat seumur hidup dan tidak boleh menjaga diri sendiri.

Perang Dunia Ketiga yang melibatkan senjata nuklear akan menjejaskan banyak negara. Segala bentuk perusahaan, pembangunan dan ekonomi menjadi tidak seimbang kerana perancangan sumber manusia sesebuah negara telah hancur. Pakar-pakar di pelbagai sektor mungkin telah cedera ataupun mati. Yang penting bagi mana-mana negara ialah mencari sumber makanan untuk hidup. Siapa pula boleh menjamin bahawa senjata biologi tidak menjejaskan binatang ternakan dan tanaman pertanian?

Senario kesan perang menggunakan senjata biologi itu kini sedang berada di ambang mata. Pandemik Covid-19 ini seolah-olah kesan perang senjata biologi Perang Dunia Ketiga. Biarlah kita ketepikan teori konspirasi samada virus ini dicipta oleh Amerika ataupun China. Kita guna fakta bahawa virus ini muncul dari binatang dan berpindah kepada manusia secara alami. Tetapi dalam beberapa minggu lagi, nampaknya kita sedang menuju kepada kesengsaraan jika pandemik ini tidak dapat dikekang segera. 

Sehingga kini, lebih 166 negara di dunia yang terlibat dengan pandemik Covid-19. Maklumat terkini, hampir 400,000 manusia yang telah dijangkiti.  Minta dielakkan, tetapi angka ini boleh menjadi setengah juta umat manusia dalam seminggu dua lagi.

Sesungguhnya pandemik ini begitu mengejutkan. Hanya bulan lepas kita berkalut dalam politik dan peralihan kuasa. Kita baharu sahaja hendak berehat dan bertenang seketika dari gawat politik tetapi tiba-tiba kita diserang oleh musuh yang kita tidak nampak. 

Seolah-olah dunia diserang makhluk asing hingga ada yang menjadi zombie. Seperti kata novelis George R.R Martin yang menulis Games of Thrones, “Kadangkala bila menonton berita, saya tidak dapat elak berasa seolah-olah hidup di dalam novel sains fiksyen.”  Apa yang dibayangkan oleh sekalian ramai novelis seperti Dean Koontz yang menulis mengenai virus yang datang dari Wuhan di dalam novelnya The Eyes of Darkness 40 tahun lalu, kini benar-benar terjadi.

Kita bukannya berada di dalam mimpi lagi. Kita tidak tahu siapa yang telah dijangkiti kerana yang dijangkiti pun tidak tahu dia telah dihinggapi penyakit itu. Seolah-olah kita tidak boleh percaya kepada sesiapa sahaja di sekeliling kita meskipun dia adalah anggota keluarga kita sendiri. Jalan terbaik ialah dengan mengasingkan diri. Duduk di rumah dan bekerjalah dari rumah.

Namun, dalam pada kita berdepan dengan suasana yang merisaukan ini, ada satu perkara hilang yang kita dapat temui kembali. Masa. Itulah satu-satunya faktor yang selalu kita ketinggalan. Dalam tempoh dua minggu ini, kita tidak perlu lagi ‘mencari masa’ kerana ia sudah ada. Dengan berlakunya pandemik Covid-19 ini bilamana hampir keseluruhan aktiviti dihentikan, kita tiba-tiba diberi masa untuk melakukan apa yang kita selama ini tidak boleh lakukan.

Sesungguhnya banyak yang boleh kita lakukan apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Masaklah resepi yang kita belum sempat hendak cuba, bacalah buku yang sudah lama kita ingin habiskan, hafal sahaja doa yang kita tidak sempat ingat dan buatlah apa yang kita tak dapat buat selama ini kerana faktor kekurangan masa.

Sesungguhnya suasana seperti di dalam perang ini tidak menjadi lebih buruk. Meskipun ada yang menjangka kita akan duduk di rumah lebih lama lagi, kita kenalah jaga minda agar sentiasa positif. Jadilah cyberwarrior yang sebenar-benarnya dengan menyebarkan hal-hal yang benar dan baik. Jadilah wira siber yang sebenar.