MUHAMMAD YUSRI MUZAMIR.BERITA HARIAN.20.3.2020
KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran melakukan aktiviti dan beriadah bersama keluarga di kediaman masing-masing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Ia bagi mewujudkan persekitaran lebih positif yang antara lain mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, selain dapat mengurangkan tahap kebosanan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Aminah Bee Mohd Kassim, berkata setiap aktiviti yang dirangka itu perlu menitiberatkan aspek kesihatan fizikal, mental dan sosial.
Katanya, setiap keluarga perlu merancang dan membuat senarai aktiviti yang mahu dilakukan setiap hari, mengikut keutamaan dengan ia perlu dipelbagaikan mengikut kreativiti dan kesesuaian.
Beliau berkata, setiap aktiviti berkenaan perlu membabitkan pergerakkan badan dan pemakanan sihat bagi menggalakkan kesihatan fizikal, sosial, komunikasi, mental dan spiritual.
Mana-mana pasangan suami dan isteri yang bermasalah juga boleh menggunakan tempoh berkenaan untuk bermuhasabah dan menjalankan motivasi diri, sekali gus memperbaiki hubungan masing-masing.
“Bagi menjaga kesihatan fizikal, anda digalakkan melakukan aktiviti cergas selama 30 minit sehari bersama ahli keluarga di dalam rumah seperti senaman regangan, senam robik atau yoga.
“Aktiviti mengemas bahagian dalam dan luar rumah juga boleh dijalankan bersama-sama. Malah, berkebun di halaman rumah juga boleh dijadikan sebagai antara aktiviti meningkatkan kecergasan.
“Aktiviti fizikal berstruktur kanak-kanak juga boleh dilakukan, selain ibu bapa disaran memastikan pemakanan harian sekeluarga mencukupi mengikut diet seimbang,” katanya kepada BH, hari ini.
Mengenai usaha menggalakkan kesihatan sosial dan komunikasi, Dr Aminah Bee berkata, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama ahli keluarga, selain menjadikan setiap aktiviti sebagai topik untuk berbual, sekali gus meningkatkan kemampuan berkomunikasi.
“Gunakan peluang untuk berbincang dengan anak berkaitan cerita yang ditonton atau mencuba resipi masakan baharu. Selain itu, bermainlah dengan anak anda di dalam rumah.
“Aktiviti ‘satu buku sehari’ juga disyorkan membabitkan buku ilmiah atau E-book. Carilah bahan bacaan sesuai dengan usia anak yang boleh dimuat turun secara percuma. Ia juga muncul sebagai peluang meneliti progres anak masing-masing.
Ibu bapa boleh memenuhi masa anak dengan aktiviti di meja seperti mewarna, mengecat dan sebagainya. Apa pun jenis permainan yang anda lakukan pastikan anda berseronok bermain dengan anak anda,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap keluarga perlu melakukan aktiviti keagamaan secara bersama, mengikut pegangan masing-masing.
“Bagi umat Islam, anda digalakkan untuk solat berjemaah, mengaji, berzikir serta menonton dan membaca bahan ilmuan berkaitan agama, selain membuat sesi ‘10 minit bercerita’ bersama ahli keluarga yang lain,” katanya.
Artikel asal: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/667236/covid-19-perintah-kawalan-pergerakan-masa-eratkan-hubungan