BLOG

Buku Digital Kegemaran Rakyat Malaysia

Buku Digital Kegemaran Rakyat Malaysia

NEWSTRAITSTIMES.31.3.2020

CYBERJAYA: Jutaan rakyat Malaysia kini berdiam di rumah berikutan dengan PKP. Dalam pada itu, mereka mula berjinak-jinak dengan teknologi. Ramai yang kini menatap ebuku oleh kerana mereka tidak dapat ke kedai buku mahupun ke perpustakaan.

Mengikut Xentral Methods Sdn Bhd (XMSB), syarikat yang mengendalikan e-Sentral.com, permintaan kepada ebuku meningkat tinggi berikutan dengan PKP.

Menurut Pengarah Urusannya Faiz Al-Shahab, sejak permulaan PKP pada 18 Mac, trafik harian  meningkat tiga kali ganda dan jualan ebuku meningkat empat kali ganda di antara 18-29 Mac.

“Analisa data menunjukkan peningkatan penggunaan ebuku. Di sepanjang PKP, rakyat Malaysia membaca 870,000 halaman sehari.”

“Secara purata, rakyat Malaysia menggunakan 2,700 jam membaca di aplikasi e-Sentral. Kami gembira kerana budaya membaca masih hidup ketika tempoh pandemik ini.

Katanya lagi, “Kategori yang diminati adalah novel umum dan cinta. Lain-lain kategori yang menjadi pilihan adalah kategori keluarga dan kesihatan, kisah jenayah, novel remaja dan agama, khususnya Islam.”

Tren ini memang dijangka kecuali kategori keluarga dan kesihatan yang meningkat secara nyata.

E-Sentral juga berkongsi data yang diperoleh yang menunjukkan pembaca perempuan melebihi pembaca lelaki. Dari segi usia, mereka di antara 35-44 adalah golongan yang paling ramai, diikuti dengan kategori usia 18-24 tahun dan diikuti dengan kategori usia 25-34 tahun.

*eSentral adalah sebuah syarikat ebuku Malaysia untuk pasaran Asia Tenggara. Ia mula beroperasi pada Oktober 2011 oleh tiga usahawan Faiz Al-Shahab, Syed Irfan, and Iszuddin Ismail.

Pautan asal:
https://www.nst.com.my/news/nation/2020/03/579907/demand-e-books-rise-during-mco

Novel Haura akan dijadikan Filem!

Novel Haura akan dijadikan Filem!

MESKIPUN rutin pengkaryaannya agak terganggu kerana PKP, Thriller No 1 Malaysia masih menyimpan hasrat untuk memfilemkan novelnya yang terbaharu, HAURA. Dalam temubualnya secara live di FB malam tadi, Ramlee juga mempunyai beberapa rancangan untuk emmindahkan karyanya dari buku kepada movie online.

Kita ikuti temubualnya…

Apa perkembangan Ramlee sekarang. Buat apa di rumah?
Memang biasa di rumah. Cuma sejak akhir-akhir ini saya mental block. Mungkin kerana penyesuaian mental kerana nak tulis novel baru. Tak selancar mana sebab asyik kena ubah. Mungkin suasana, kot? 

Macam mana dengan kesihatan abang Ramlee?
Kadang okey, kadang tak okey. Tapi lebih kepada psychological attack sebab tak pernah menghadapi keadaan macam ni. Sebenarnya kita sihat, tapi rasa macam tak sihat. Bila lockdown, ini terasa macam dalam movie. 

Sekarang ini sedang betul-betul menghadapi situasi seperti ini. Walaupun dah masuk ke minggu ketiga, penyesuaian minda dan fizikal masih dalam proses penyesuaian lagi. Sebab biasanya bila kita menulis, kita keluar rumah juga. 

Tapi kini kita lockdown diri kita, kita patuhi kerajaan dan kita kena banyak berdoa supaya situasi ini cepat selesai, semoga ALLAH turunkan penawar dan berdoa supaya apa yang saya lakukan sekarang ini lancar sebab bila tengok dalam novel baru ni, sudah lima kali rombak di bahagian intro, prolog, chapter demi chapter saya kena rombak sebab tak ngam macam tak link.

Apakah ada plan untuk sambungan ANDING AYANGAN yang terbaru. Boleh share dengan penonton secara live ini?
Untuk ANDING AYANGAN pertama dah settle, kedua pun dah settle, Cuma yang ketiga ini, Novel ketiga ini saya melakukan beberapa research, penulisannya masih belum lagi. Saya sedang menulis novel lain yang judulnya… tunggu dululah. 

Judulnya pun, sekejap ini sekejap itu. Saya tak pernah menghadapi situasi macam ni. Ini situasi yang baru yang saya kena hadapi sendiri. Insya-ALLAH bagi ANDING AYANGAN sedang dalam research, kajian dan pengubahsuaian plot. 

Novel HAURA menjadi barang panas. Boleh share sedikit mengenai HAURA. Abang Ramlee kata tak nak sambung lagi. Tapi macam mana? Apakah ada sambungan?
Haura memang tak bersambung, tapi pembaca biasa dengan apa yang saya lakukan sebagaimana saya sambung ANDING AYANGAN dan SUNAN. Jadi kemungkinan besar mereka anggap saya akan sambung. Tapi bila saya hendak menulis HAURA, saya sudah tetapkan ia adalah single novel. 

Ia adalah sebuah novel yang santai, tidak berat dan kita sesuaikan diri kita rehat dengan 2019 dan 2020. Jadi saya nak cuba benda baru dalam konsep penceritaan. Bagaimana pun ini adalah novel yang kedua dengan konsep yang sama seperti SATU JANJI.

Boleh kongsikan sedikit mengenai HAURA?
HAURA adalah thriller love story. Kisahnya bermula di New Zealand. Keseluruhan cerita berlaku di Australia. Walaupun ia love story, ia adalah cinta kepada ALLAH, pada keluarga. Tapi dalam HAURA ini, saya nak ceritakan yang kita selalu mengejar cinta manusia. Sebab itu ada pesanan di dalam HAURA, bahawa apabila kita mencintai ALLAH, segala-galanya cukup. 

Macam mana dengan projek lain sekarang ini, seperti filem atau drama?
Sekarang ini semua lockdown. Tapi perancangan ada. Skrip masih dipolish. Cuma semua kena diamkan dulu. Semoga suasana yang kita hadapi ini akan pulih, insya-ALLAH. Bagi saya, ALLAH suruh kita rehat dan muhasabah diri. Filem memang ada. Tapi kena tangguh dulu. 

Apakah ada rancangan untuk filemkan HAURA?
Jawapannya ya. Memang ada. Bila saya sembang dengan famili, memang ada. Memang ada angan-angan kita akan shoot filem ini di Melbourne sebulan. 

Boleh kongsikan kini sedang plan novel apa?
Buku yang saya buat sekarang sudah back to normal seperti Ramlee Awang Murshid.  Saya tulis yang berat, yang jauh sekali berbanding dengan HAURA. Cerita kali ini lebih pada faktor psikologi.

Apakah posing yang saya nampak dalam instagram itu ada kena mengena dengan novel yang sedang ditulis?
Iya, insya-ALLAH. Dalam gambar di IG, ada tulisan ‘Case closed’ sebagai penterjemahan cerita. 

Boleh share sedikit berkenaan dengan BANJA MANGGALA?
Kita ada banyak mengemukakan proposal. Salah satunya ialah BANJA MANGGALA. Sepatutnya pada bulan Mac akan ada pitching untuk difilemkan. Bila berlaku lockdown, kena tunggu keadaan pulihlah. Ada juga buku-buku lain seperti MITOS yang dirancang supaya ia dijadikan online movie. 

Sekarang ini dalam peringkat usaha. Sebab kalau hendak adaptasi, ia makan tahun seperti TOMBIRUO. Filem itu ambil masa lima tahun untuk diadaptasi. Tapi untuk novel boleh dua naskhah setahun, insya-ALLAH. Tolong doakan saya supaya sihat, ilham ada dan lancar sebab ini adalah pekerjaan hakiki saya. Saya kena fokus. 

Saya dalam lockdown ini masih dalam proses penyesuaian. Tapi saya baca buku orang lain yang ada ilmu di dalamnya untuk mengisi masa. Tengok TV pun tengok berita aje. Kita mengasuh minda dan fizikal kita. Tapi percayalah, setiap kesulitan itu pasti ada kelapangan. 

Jadi kalau sesiapa membaca buku saya, enjoy the story dan ambil kebaikan. Kalau pun ada keburukan di dalamnya, itu keburukan sayalah. Dalam cerita ada pelbagai plot kebaikan dan keburukan. Sebagai cerita kita tidak boleh menceritakan 100 persen kebaikan sahaja. Kita perlu ada peralihan suasana. Contohnya kalau dulu watak itu jahat, kemudian dia akan jadi baik. Itu yang paling mudah. Kalau dulu bisnesnya kecil, sekarang bisnesnya besar. Ini adalah peralihan. 

Ia bukan kalau dulu dia maju, sekarang dia susah. No. Saya tidak buat yang abnormal. Nanti menyusahkan pembaca. 

Apa yang para peminat boleh lakukan dalam tempoh PKP ini?
Pertama sekali, baca bukulah. Kemudian mengaji al-Quran. Cuci kain. Kemas rumah. Maksudnya jangan jadi lemah sangat. Di rumah saya bantu isteri cuci pinggan. Janganlah tidur nanti jadi lembab. Ia tak baik untuk fizikal dan mental.  Bila ada waktu yang terluang, saya menulis. 

Ada kata-kata akhir sebelum kita mengakhiri live kita…
Terima kasih banyak kerana membaca buku-buku saya. Semoga ALLAh membalas jasa baik anda semua. Pastikan patuh perintah kerajaan untuk berada di rumah, kecualilah ketua rumah yang patut keluar untuk beli barang dapur. 

Jangan jadikan masa yang terluang itu sebagai masa yang tidak berguna. Baca buku dan ambil kebaikan. Jika ada kebaikan, beritahulah pada rakan-rakan. Sekurang-kurangnya kita menyebarkan pahala. Dan jangan sebarkan berita palsu. Jdi kita pilih kebaikan dan tinggalkan keburukan. Buat apa sahaja yang ALLAH suka. 

Doakan saya sihat, bahagia untuk kebaikan dunia dan akhirat. Dan saya doakan kepada semua pun untuk kebaikan dunia akhirat. Amin. Terima kasih. 

Kerana Covid-19, Buku Panduan Membasuh Tangan Jadi Laris!

Kerana Covid-19, Buku Panduan Membasuh Tangan Jadi Laris!

ALISON FLOOD.23.3.2020.THE GUARDIAN

PARA ibubapa yang punyai masalah mengajar anak-anak mereka membasuh tangan telah mendapatkan bantuan dari buku I Don’t Want to Wash My Hands!  karya Tony Ross. Sejak itu, jualan buku itu meningkat 2,000 % pada bulan lalu kerana ia mengajar cara menjaga kesihatan berikutan dengan menularnya coronavirus!

Buku yang terbit pada tahun 2001 itu mengisahkan watak Little Princess yang sentiasa disuruh membasuh tangannya setelah bermain di luar rumah dengan anjing.  

“Kenapa saya kena basuh tangan?” Dia bertanya. 

“Sebab kuman dan kotoran!” jawab pengasuhnya.

Penerbit Andersen Press berkata, mereka mula melihat permintaan luar biasa buku itu apabila jualannya meningkat 2,000 % dari bulan Februari hingga Mac 2020 menyebabkan ia terpaksa segera diulangcetak.

Kulit buku I Don’t Want to Wash My Hands. Pixcredit: Goodreads

Ross berkata, cerita di dalam buku itu sama seperti buku-buku Little Princess lain yang mengisahkan kanak-kanak yang sukakan kotoran. 

“Sebagai seorang ibu, saya menulis mengenai keadaan pada hari ini. Saya mahu anak-anak saya hidup dan tidak mati kerana virus. Saya memang sentiasa menyuruh mereka membasuh tangan. Tetapi anak-anak saya buat tak kisah.”

“Masa telah berubah,” ujar Paul Black dari Andersen Press. “Nampaknya buku dapat membantu ibubapa berkomunikasi dengan anak-anak tanpa perlu menakut-nakutkan mereka.” 

Antara isi kandungan buku. Pixcredit: The Guardian

Daripada segala panduan yang ada, membasuh tangan adalah sesuatu yang paling berkesan untuk menghentikan penularan virus. 

Ross yang kini mengasingkan dirinya di rumah berkata, “Sambutan ke atas buku yang terbit beberapa tahun yang lalu adalah sesuatu yang menyeronokkan dalam hidupnya.”

Pautan asal:

https://www.theguardian.com/books/2020/mar/23/sales-soar-for-little-princess-picture-book-on-handwashing-coronavirus-outbreak

Video:

Cover Image: Penulis Tony Ross. Pixcredit: flickr.com

Apabila Masa Terhenti

Apabila Masa Terhenti

MAAFCAKAP 1.4.2020

Hari ini kita memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Alhamdulilah, fasa pertama dari 18 Mac hingga 31 Mac telah banyak menyedarkan 97 % rakyat Malaysia untuk bekerjasama mematuhinya. Mudah-mudahan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April terus dipatuhi dan dapat flatten the curve hingga akhirnya Covid-19 dapat dinyahkan dari bumi Malaysia. Amin. 

Sebenarnya PKP ini tidak pernah dirasai oleh mereka yang lahir selepas 1969. Pada tahun itu, yang dikuatkuasakan bukannya PKP, bahkan perintah berkurung 24 jam dikenakan di beberapa kawasan di Semenanjung. Begitu juga pada zaman darurat pada 1948-1960, berlaku juga perintah berkurung di mana rakyat tidak dibenarkan sama sekali untuk keluar rumah. Jika perintah berkurung pada ketika itu adalah angkara manusia, PKP pada hari ini adalah angkara virus. 

Samada perintah berkurung mahupun PKP, pergerakan kita memang terbatas dan terhad. Ada sesuatu yang menarik apabila pergerakan terhad ini dilaksanakan. Ia merapatkan anggota keluarga apabila komunikasi sesama keluarga ditingkatkan. Mudah-mudahan kita semua mengambil kesempatan ini untuk memberi perhatian di antara satu sama lain. Jelas sekali, PKP ini adalah untuk kekeluargaan.

Namun, sedarkah kita, selain daripada PKP sekarang, terdapat suasana ‘kawalan pergerakan’ dalam situasi yang lain? Dan ‘kawalan pergerakan’ itu juga menghasilkan sesuatu yang baik. Kawalan pergerakan di musim perayaan adalah satu situasi yang biasa kita alami. Kita bercuti seminggu, balik kampung dan berhari raya. Kita hadkan hal-hal lain. Kita tidak merayau sendiri-sendiri, bahkan dengan keluarga secara berbondong-bondong. Dengan ‘PKP’ ini, kita bertemu sanak saudara, kawan sekampung dan sahabat lama untuk mengeratkan silaturrahim. 

Situasi bilamana kita menunaikan ibadah haji mahupun umrah adalah satu lagi keadaan di mana kita mengawal pergerakan. Di Mekah dan Madinah, kita hanya makan, tidur dan beribadah semata-mata. Kita hadkan pergerakan. Malah kita hanya bertanya khabar berita dari tanahair sekadar seketika. Kita tidak ambil kisah hal dunia luar melainkan mengawal pergerakan. ‘PKP’ ini adalah semata-mata untuk ibadah.

Satu lagi suasana di mana kita terpaksa mengawal pergerakan adalah ketika kita terbaring kerana sakit yang panjang. Penyakit yang mengambil masa untuk sembuh seperti demam, cedera kemalangan mahupun apabila menghidap penyakit kronik akan menyebabkan kita terpaksa mengawal pergerakan. Cuma dalam situasi sebegini, orang lain seperti saudara atau jururawat pula yang datang membantu menguruskan diri kita. ‘PKP’ ini adalah untuk diri sendiri.

Betapa pun, situasi di mana kita terpaksa mengawal pergerakan samada untuk membanteras Covid-19, bercuti raya, beribadah di tanah suci ataupun kerana sakit, persamaan untuk kesemuanya ialah bagaimana masa berhenti, walaupun hakikatnya siang dan malam masih silih berganti. Tetapi apabila sebahagian besar aktiviti harian rakyat Malaysia terhenti dengan penutupan pelbagai industri pengeluaran dan perkhidmatan, tidak boleh tidak, kita semua seolah-olah telah dikeluarkan dari garisan perlumbaan hidup.

PKP ini merehatkan kita dari kesibukan dan mengembalikan kita kepada asas kehidupan iaitu berehat untuk beribadah, makan dan tidur. Barangkali kita sedikit terkejar-kejar ke pasar mini untuk mencari Gardenia atau gelisah menanti ketibaan makanan yang dipesan.

Oleh kerana kita telah dialihkan dari kesibukan keduniaan harian dan berdepan dengan suatu suasana yang lebih santai, kita kenalah melihat PKP ini sebagai satu peluang untuk kita menyudahkan apa yang tertinggal. Selain daripada work from home yang hampir pasti hanya membereskan 50 % sahaja dari apa yang kita biasa buat di pejabat, kita ada banyak peranan yang tertinggal sebagai isteri, suami mahupun anak. 

Dan yang lebih penting kini ialah betapa masa yang terhenti ini digunakan untuk bermuhasabah dan merancang untuk pasca Covid-19. Apabila PKP ditamatkan, kita seolah-olah berada di garisan perlumbaan kembali. Percayalah, segala-galanya akan berubah.

Apakah ketika itu kita makin cergas dan lebih fokus kerana mengambil peluang PKP sebagai tempoh untuk mempersiapkan diri? Atau, apakah kita menjadi lemau kerana sentiasa melepek di sofa menonton TV, bermesej-mesej di telefon ataupun berdengkur sampai ke petang?

Pendek kata, apakah PKP ini menjadikan kita bagai larva di dalam kepompong yang kemudiannya menjelma sebagai kupu-kupu yang cantik berwarna-warni ataupun kelembak berwarna kelabu yang pucat? 

Audible menawarkan buku audio secara percuma sempena pandemik!

Audible menawarkan buku audio secara percuma sempena pandemik!

“Cerita boleh membantu. Cerita menghiburkan dan memberikan pengajaran. Cerita menjadikan minda anak-anak aktif, sedar dan menigkatkan keterlibatan” – begitulah tagline Audible yang memberikan akses secara percuma kepada pelbagai buku audio dalam enam bahasa.

Bahasa Inggeris, Bahasa Sepanyol, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Jepun dan Bahasa Itali merupakan bahasa yang disokong oleh platform yang merupakan pengeluar terbesar buku audio yang boleh dimuat-turun di dunia. Pengguna yang sebelum ini hanya boleh menikmati perkhidmatan ini dengan langganan USD 14.95 sebulan, boleh mula menggunakannya untuk menikmati buku-buku kisah kanak-kanak sekurang-kurangnya sehingga tamat pandemik Covid-19, atau arahan penutupan sekolah di Amerika Syarikat ditarik balik.

Buku-buku diletakkan dalam 6 jenis kategori: “Littlest Listener”, “Elementary”, “Tween”, “Teen”, “Literary Classics” dan “Folk and Fairy Tales for all”.

Audible yang dimiliki oleh Amazon, menawarkan bukan sahaja peluang untuk kanak-kanak terus “bermimpi, belajar dan terus menjadi kanak-kanak”, tetapi turut memberikan kelegaan kepada ibu bapa yang mencari alternatif lain selain dari menonton Netflix atau YouTube sepanjang tempoh penutupan sekolah.

“Selagi sekolah ditutup, kami akan terbuka” – tulis Audible di laman sesawangnya di sini.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]