MESKIPUN rutin pengkaryaannya agak terganggu kerana PKP, Thriller No 1 Malaysia masih menyimpan hasrat untuk memfilemkan novelnya yang terbaharu, HAURA. Dalam temubualnya secara live di FB malam tadi, Ramlee juga mempunyai beberapa rancangan untuk emmindahkan karyanya dari buku kepada movie online.

Kita ikuti temubualnya…

Apa perkembangan Ramlee sekarang. Buat apa di rumah?
Memang biasa di rumah. Cuma sejak akhir-akhir ini saya mental block. Mungkin kerana penyesuaian mental kerana nak tulis novel baru. Tak selancar mana sebab asyik kena ubah. Mungkin suasana, kot? 

Macam mana dengan kesihatan abang Ramlee?
Kadang okey, kadang tak okey. Tapi lebih kepada psychological attack sebab tak pernah menghadapi keadaan macam ni. Sebenarnya kita sihat, tapi rasa macam tak sihat. Bila lockdown, ini terasa macam dalam movie. 

Sekarang ini sedang betul-betul menghadapi situasi seperti ini. Walaupun dah masuk ke minggu ketiga, penyesuaian minda dan fizikal masih dalam proses penyesuaian lagi. Sebab biasanya bila kita menulis, kita keluar rumah juga. 

Tapi kini kita lockdown diri kita, kita patuhi kerajaan dan kita kena banyak berdoa supaya situasi ini cepat selesai, semoga ALLAH turunkan penawar dan berdoa supaya apa yang saya lakukan sekarang ini lancar sebab bila tengok dalam novel baru ni, sudah lima kali rombak di bahagian intro, prolog, chapter demi chapter saya kena rombak sebab tak ngam macam tak link.

Apakah ada plan untuk sambungan ANDING AYANGAN yang terbaru. Boleh share dengan penonton secara live ini?
Untuk ANDING AYANGAN pertama dah settle, kedua pun dah settle, Cuma yang ketiga ini, Novel ketiga ini saya melakukan beberapa research, penulisannya masih belum lagi. Saya sedang menulis novel lain yang judulnya… tunggu dululah. 

Judulnya pun, sekejap ini sekejap itu. Saya tak pernah menghadapi situasi macam ni. Ini situasi yang baru yang saya kena hadapi sendiri. Insya-ALLAH bagi ANDING AYANGAN sedang dalam research, kajian dan pengubahsuaian plot. 

Novel HAURA menjadi barang panas. Boleh share sedikit mengenai HAURA. Abang Ramlee kata tak nak sambung lagi. Tapi macam mana? Apakah ada sambungan?
Haura memang tak bersambung, tapi pembaca biasa dengan apa yang saya lakukan sebagaimana saya sambung ANDING AYANGAN dan SUNAN. Jadi kemungkinan besar mereka anggap saya akan sambung. Tapi bila saya hendak menulis HAURA, saya sudah tetapkan ia adalah single novel. 

Ia adalah sebuah novel yang santai, tidak berat dan kita sesuaikan diri kita rehat dengan 2019 dan 2020. Jadi saya nak cuba benda baru dalam konsep penceritaan. Bagaimana pun ini adalah novel yang kedua dengan konsep yang sama seperti SATU JANJI.

Boleh kongsikan sedikit mengenai HAURA?
HAURA adalah thriller love story. Kisahnya bermula di New Zealand. Keseluruhan cerita berlaku di Australia. Walaupun ia love story, ia adalah cinta kepada ALLAH, pada keluarga. Tapi dalam HAURA ini, saya nak ceritakan yang kita selalu mengejar cinta manusia. Sebab itu ada pesanan di dalam HAURA, bahawa apabila kita mencintai ALLAH, segala-galanya cukup. 

Macam mana dengan projek lain sekarang ini, seperti filem atau drama?
Sekarang ini semua lockdown. Tapi perancangan ada. Skrip masih dipolish. Cuma semua kena diamkan dulu. Semoga suasana yang kita hadapi ini akan pulih, insya-ALLAH. Bagi saya, ALLAH suruh kita rehat dan muhasabah diri. Filem memang ada. Tapi kena tangguh dulu. 

Apakah ada rancangan untuk filemkan HAURA?
Jawapannya ya. Memang ada. Bila saya sembang dengan famili, memang ada. Memang ada angan-angan kita akan shoot filem ini di Melbourne sebulan. 

Boleh kongsikan kini sedang plan novel apa?
Buku yang saya buat sekarang sudah back to normal seperti Ramlee Awang Murshid.  Saya tulis yang berat, yang jauh sekali berbanding dengan HAURA. Cerita kali ini lebih pada faktor psikologi.

Apakah posing yang saya nampak dalam instagram itu ada kena mengena dengan novel yang sedang ditulis?
Iya, insya-ALLAH. Dalam gambar di IG, ada tulisan ‘Case closed’ sebagai penterjemahan cerita. 

Boleh share sedikit berkenaan dengan BANJA MANGGALA?
Kita ada banyak mengemukakan proposal. Salah satunya ialah BANJA MANGGALA. Sepatutnya pada bulan Mac akan ada pitching untuk difilemkan. Bila berlaku lockdown, kena tunggu keadaan pulihlah. Ada juga buku-buku lain seperti MITOS yang dirancang supaya ia dijadikan online movie. 

Sekarang ini dalam peringkat usaha. Sebab kalau hendak adaptasi, ia makan tahun seperti TOMBIRUO. Filem itu ambil masa lima tahun untuk diadaptasi. Tapi untuk novel boleh dua naskhah setahun, insya-ALLAH. Tolong doakan saya supaya sihat, ilham ada dan lancar sebab ini adalah pekerjaan hakiki saya. Saya kena fokus. 

Saya dalam lockdown ini masih dalam proses penyesuaian. Tapi saya baca buku orang lain yang ada ilmu di dalamnya untuk mengisi masa. Tengok TV pun tengok berita aje. Kita mengasuh minda dan fizikal kita. Tapi percayalah, setiap kesulitan itu pasti ada kelapangan. 

Jadi kalau sesiapa membaca buku saya, enjoy the story dan ambil kebaikan. Kalau pun ada keburukan di dalamnya, itu keburukan sayalah. Dalam cerita ada pelbagai plot kebaikan dan keburukan. Sebagai cerita kita tidak boleh menceritakan 100 persen kebaikan sahaja. Kita perlu ada peralihan suasana. Contohnya kalau dulu watak itu jahat, kemudian dia akan jadi baik. Itu yang paling mudah. Kalau dulu bisnesnya kecil, sekarang bisnesnya besar. Ini adalah peralihan. 

Ia bukan kalau dulu dia maju, sekarang dia susah. No. Saya tidak buat yang abnormal. Nanti menyusahkan pembaca. 

Apa yang para peminat boleh lakukan dalam tempoh PKP ini?
Pertama sekali, baca bukulah. Kemudian mengaji al-Quran. Cuci kain. Kemas rumah. Maksudnya jangan jadi lemah sangat. Di rumah saya bantu isteri cuci pinggan. Janganlah tidur nanti jadi lembab. Ia tak baik untuk fizikal dan mental.  Bila ada waktu yang terluang, saya menulis. 

Ada kata-kata akhir sebelum kita mengakhiri live kita…
Terima kasih banyak kerana membaca buku-buku saya. Semoga ALLAh membalas jasa baik anda semua. Pastikan patuh perintah kerajaan untuk berada di rumah, kecualilah ketua rumah yang patut keluar untuk beli barang dapur. 

Jangan jadikan masa yang terluang itu sebagai masa yang tidak berguna. Baca buku dan ambil kebaikan. Jika ada kebaikan, beritahulah pada rakan-rakan. Sekurang-kurangnya kita menyebarkan pahala. Dan jangan sebarkan berita palsu. Jdi kita pilih kebaikan dan tinggalkan keburukan. Buat apa sahaja yang ALLAH suka. 

Doakan saya sihat, bahagia untuk kebaikan dunia dan akhirat. Dan saya doakan kepada semua pun untuk kebaikan dunia akhirat. Amin. Terima kasih.