BLOG

Pertandingan Kongsi Video Resensi Buku dan Tulis Puisi MBKM dapat Sambutan!

Pertandingan Kongsi Video Resensi Buku dan Tulis Puisi MBKM dapat Sambutan!

Baru-baru ini Majlis Buku Kebangsaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan acara Baca&Kongsi dan Tulis Puisi Tentang Membaca untuk murid-murid Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Tinjauan di Facebook MBKM mendapati acara yang dianjurkan ini mula mendapat sambutan di kalangan murid-murid yang mula menghantar karya masing-masing ke laman Facebook.

Setakat 19 April, ada lebih 20 puisi buku dan 8 video perkongsian buku telah dikongsikan. Antara puisi-puisi yang dihasilkan berjudul Janjiku Kepada Buku (Nik Muhammad Faiz, Besut, Terengganu), Kitabullah yang Terakhir (Alifah Ilyana, Kuala Lumpur) dan Membaca (Tan Wei Lun, Simpang, Perak).

Video perkongsian buku juga turut menarik perhatian apabila ramai yang menghantar perkongsian adalah dari kalangan murid-murid Sekolah Rendah. Adik Jhaidev a/l Vicneswaran dari Pulau Pinang berkongsi mengenai buku cerita Frozen 2 – Olaf, manakala adik Afrina Dahiyah dari Johor menceritakan buku Early Readers miliknya. Buku Pocong Balik Rumah menjadi pilihan murid Sekolah Menengah, Nasrullah Hanudin untuk dikongsikan.

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang bernaung di bawah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pertandingan yang bermula 16 April diadakan sebagai satu alternatif kepada anak-anak untuk mengisi masa lapang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung.

Murid-murid yang menghasilkan karya dikehendaki memuatnaik puisi atau video yang dihasilkan ke laman Facebook bersama ‘tag’ #PuisiMembacaMBKM untuk karya puisi atau #BacaKongsiMBKM untuk karya video perkongsian buku yang dihasilkan. Ke semua peserta akan menerima sijil digital, dan puisi yang terpilih akan diterbitkan dalam antologi khas terbitan MBKM.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, layari Facebook MBKM.

Benarkah Kanak-Kanak Sudah Tidak Berminat Pada Buku Cerita?

Benarkah Kanak-Kanak Sudah Tidak Berminat Pada Buku Cerita?

ARTIKEL AFP.16.4.2020

JIKA anda tidak pasti bagaimana untuk menghiburkan anak-anak pada waktu pandemik Covid-19 ini, sebuah kajian dari Amerika mendapati kanak-kanak lebih berminat dengan buku mengenai bagaimana sesuatu hal itu terjadi. Buku-buku jenis ini lebih disukai daripada buku cerita kanak-kanak yang biasa.

Kanak-kanak lebih minat membaca bila ibubapa ada bersama (pixcredit: bahablog)

Kajian ini dilakukan di Universiti Vanderbilt ke atas kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Austin, Texas.

Sekumpulan kanak-kanak diminta untuk mendengar penceritaan dari dua buah jenis buku mengenai binatang. Buku pertama menceritakan mengapa binatang berperangai dan mempunyai ciri-ciri tertentu. Buku kedua pula hanya menceritakan mengenai rupa bentuk binatang dan perangainya.

Mereka kemudiannya ditanya, buku manakah yang lebih mereka minati.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Psychology menunjukkan kanak-kanak berminat kepada kedua-dua jenis buku. Bagaimana pun apabila mereka diminta untuk memilih, mereka kelihatan berminat dengan buku pertama yang punyai penerangan yang mempunyai pendekatan ‘mengapa.’

Team Little Learners Lab bersama Koordinatornya, Margaret Shavlik, paling hujung (Pixcredit: Univ Vanderbilt)

“Kami percaya kanak-kanak mempunyai naluri untuk belajar bagaimana sesuatu itu terjadi,” jelas koordinator projek itu, Margaret Shavlik.

Penyelidik itu berkata, penemuan ini akan membantu para ibubapa meningkatkan minat anak-anak mereka untuk belajar dan membaca. Ini akan meningkatkan pula kemahiran membaca dan kemahiran berbahasa kanak-kanak.

Ini suatu penemuan yang menarik. Kanak-kanak di Malaysia sukakan buku yang bagaimana? Apakah buku cerita Sang Kancil dan Buaya atau buku bermaklumat tentang mengapa gajah tidak boleh terbang?

Pautan asal:
https://www.thejakartapost.com/life/2020/04/16/children-prefer-books-which-explain-how-the-world-works-says-new-study.html

Jual Buku Sara Hidup di Waktu PKP

Jual Buku Sara Hidup di Waktu PKP

SUDIRMAN MOHD TAHIR.HARIAN METRO.14.4.2020

IBU pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi iaitu Norashikin Mohd Aziz bersyukur apabila buku puisi 38 Poems of Puteri Balqis masih terjual sekali gus dapat menampung kehidupan mereka dua beranak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Puteri Balqis dan ibunya Norashikin Abdul Aziz. Pixcredit: portal iluminasi.com 

Norashikin berkata, dia tidak menjangka buku puisi itu masih mendapat sambutan.

“Kami bersyukur buku masih terjual macam biasa. Tidak jangka juga ada yang terus membeli. Seperti biasa, saya akan hantarkan kecuali jika ia membabitkan kawasan zon merah Covid-19.

“Sekarang pun Balqis sedang menyiapkan buku puisi versi bahasa Melayu pula. Doakan semoga usaha ini permudahkan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keperluan harian, Norashikin berkata, dia mengamalkan sikap berjimat cermat.

“Syukur, semua cukup. Makan apa yang ada dan berjimat,” katanya.

Norashikin berkata, hasil penjualan buku itu membolehkan dia menyewa satu lagi unit rumah pangsa bagi menempatkan gelandangan.

“Ada enam orang termasuk seorang mualaf. Saya sewakan sementara sebab semua tidak ada tempat. Mereka itu gelandangan yang kami memang kenal. Itu saja cara kami nak balas jasa peminat Aqish (Balqis). Ini pun rasa tak terbalas rasanya,” katanya.

Pautan asal:
https://www.hmetro.com.my/rap/2020/04/566393/cukup-tapi-kena-jimat-cermat-%E2%80%93-ibu-puteri-balqis

PELAKON cilik terkenal, Puteri Balqis, 13, mengakui pernah tidak makan tiga hari bersama ibunya, akibat kepayahan hidup dilalui. Mereka menyara kehidupan melalui jualan buku puisi hasil karyanya di sekitar Masjid jamek, Masjid India, Pasar Seni dan Jalan Petaling di Kuala Lumpur. 

Gadis yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Skrin 2014 pernah berkongsi cerita sedih itu pada program Bersamamu yang ditayangkan di TV3, pada Januari lalu.

 “Kami pernah terputus makan dalam dua ke tiga hari. Tapi, tak pernah sampai seminggu. Masih dapat makan walaupun sedikit untuk kami isi perut. Kalau terputus, kami ikat perut. Kami kena berjalan juga jual buku. Apabila sudah cukup dan dapat jual buku, dapatlah kami buat makan,” katanya.

Meskipun hidup dengan dugaan getir, Puteri Balqis masih gigih menjual buku puisinya. Pixcredit: kulihatlangitbir

Ibu bapa Puteri Balqis sudah bercerai sejak empat tahun lalu. Puteri Balqis memilih tinggal bersama ibunya dan melalui kehidupan susah senang bersama.

Marilah kita mendoakan kesihatan Puteri Balqis dan ibunya. Mudah-mudahan jika terserempak di ibukota, marilah kita bersedekah sambil mendapatkan buku puisi tulisan Puteri Balqis.

*Sebahagian besar daripada berita ini diambil dari Harian Metro. Terdapat struktur ayat yang disemasakan untuk tujuan keselesaan pembacaan.  – Editor

Golongan Tua Dan Wabak Covid-19

Golongan Tua Dan Wabak Covid-19

MAAFCAKAP 15.4.2020

Saya terbaca status rakan Facebook saya Aisya Ridha mengenai PKP. Menurutnya, ‘orang yang paling tidak tahan kena kurung sesungguhnya adalah generasi tua terutamanya yang masih sihat dan biasa keluar masuk rumah sebelum PKP.’ Katanya lagi,  ‘warga tua gatal kaki nak keluar sebab tak biasa dengan rutin online, delivery dan akhbar digital.

Benar seperti dikata. Generasi tua yang berusia 80an ke atas memang sukar memahami perubahan besar yang kita alami. Mereka tidak faham mengapa perlu ada Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimana angkara virus (yang mereka faham hanya kuman yang akibatkan penyakit) boleh membuatkan pergerakan mereka terhalang.

Walaupun sebahagian daripada mereka pernah mengalami perintah berkurung di zaman Jepun dan darurat atau ketika peristiwa 13 Mei 1969, mereka tidak mengerti bagaimana nyawa boleh selamat dengan duduk di rumah. 

Kasihan juga pada warga tua yang kebetulan datang ke kota melihat anak menantu. Mereka hairan mengapa tidak boleh pulang ke kampung. Kalau mereka tinggal di rumah atas tanah, dapatlah juga mereka melangut melihat alam dari laman rumah. Bagaimana jika mereka terkurung di kediaman bertingkat seperti kondominium atau rumah pangsa? 

Teman-teman ada bercerita betapa orang tua mereka berasa kecil hati kerana cucu-cucu dipisahkan daripada mereka. Cucu yang biasanya dicium dan digomol sudah tidak dibenarkan mendekati mereka oleh anak menantu. Akibatnya, ada yang merajuk hingga dah masukkan pakaian ke dalam beg dan minta dihantar balik kampung. 

Orang tua yang berusia 70an ke bawah pula peka dan tahu apa yang berlaku. Mereka bukannya tidak faham apa itu Covid-19. Tetapi mereka seperti juga anak-anak muda yang suka bersosial di luar rumah. Orang tua yang sudah bersara biasanya bersosial di masjid mahupun surau. 

Kalau ada ceramah atau bacaan Yassin di surau, mereka boleh makan dan berseloroh sesama mereka setelah majlis. Mereka bersosial lagi jika ada jemputan kenduri di rumah kariah. Esok pagi boleh lepak minum kopi di warung atau restoran setelah solat subuh.  

Mereka tahu mengenai Covid-19 melalui radio, televisyen dan akhbar. Ramai juga yang mendapat maklumat terkini melalui aplikasi Whatsapp dari kawan-kawan. Sebahagian besar daripada mereka membesar dan terdedah dengan dunia media massa dahulu yang berbentuk komunikasi satu hala seperti radio, televisyen dan akhbar. 

Justeru, mereka cenderung untuk mempercayai apa sahaja yang tiba melalui Whatsapp. Sebab itulah ramai di kalangan mereka akan terima dan hantar, apa sahaja yang mereka dapat tanpa terfikir untuk menilai kesahihan sesuatu yang mereka terima. Pada fikiran mereka, menyebarkan sesuatu yang mereka terima itu sesuatu yang baik.

Orang tua sudah tidak boleh ke surau buat masa ini. Mereka juga tidak boleh melepak di warung atau restoran. Di rumah pula mereka tidak boleh bermain dengan cucu. Mereka tidak boleh lagi ke sana ke mari. Justeru, apa yang mereka boleh buat selain bermesej? Mereka sedang bosan. 

Tetapi kebosanan mereka perlulah dilayani agar mereka tidak stres dan menjadi murung. Emosi mereka juga rapuh. Kalau mereka merajuk, susah juga kita nak pujuk. Cara yang terbaik dan praktikal ialah mengajar mereka untuk mahir komputer. 

Terdapat jutaan laman dan ilmu yang sesuai untuk warga tua. Ajari mereka untuk membuat carian di Google. Mereka boleh sahaja ke laman kesihatan untuk mengetahui cara menjaga kesihatan ataupun mendapatkan maklumat mengenai jenis pil yang mereka telan. 

Ajari mereka melayari You Tube untuk belajar senaman Melayu tua, taichi ataupun senaman ringan secara duduk di kerusi. Berikan mereka cara untuk mereka mendengar lagu-lagu nostalgia mereka di zaman muda ataupun menonton ratusan ceramah dari ustaz yang mereka minati. Ada banyak video mengenai surah-surah yang mereka boleh tonton dan ikut menghafal.

Maklumat menunjukkan kalangan mereka yang mudah tewas angkara Covid-19 majoritinya terdiri daripada mereka di kalangan warga emas, terutamanya mereka yang menghidap penyakit tiga serangkai. Sayangilah mereka di tangan mereka terletaknya syurga. Jagailah mereka kerana mereka adalah khazanah bergerak, sekurang-kurangnya buat sesebuah keluarga. Tanyailah mereka. Mungkin ada ilmu pusaka yang mereka belum ceritakan sebab tiada sesiapa di kalangan kita yang bertanya. 

Covid-19: Penulis China Dicemuh Kerana Mengkritik Pemerintah

Covid-19: Penulis China Dicemuh Kerana Mengkritik Pemerintah

Pei Lin Wu.The Guardian.10.4.2020

FANG FANG, seorang penulis Cina yang mencatat diari di media sosial Weibo dikritik hebat oleh netizen kerana dituduh menyumbang tulisan negatif terhadap negaranya kerana mempersoalkan cara pemerintahnya menangani pandemik Covid-19.

Buku Wuhan Diary (pixcredit: harperscollins)

Sebuah poster di Weibo memaparkan kata-kata, “Diari Wuhan adalah pisau yang diserahkan kepada pihak asing.”

Sebuah posting lain pula mencatat, “Wanita itu hanya menulis artikel di blognya. Dia bukannya tahu keadaan keseluruhan di negara kita. Dia tak mengaku tidak patriotik. Dia ingat kita ekstrim, tetapi sebaliknya dialah wanita tua yang bodoh.”

Penulis yang popular di Wuhan itu mula menulis dan mengkritik pihak pemerintah pada akhir Januari.

“Berapa ramai yang dah mati di Wuhan dan berapa banyak keluarga yang dah musnah?” tulisnya pada 31 Januari. “Setakat ini tiada sesiapa pun yang memohon maaf atau mengambil tanggungjawab.”

Posting Fang Fang telah dikongsi secara meluas di media sosial dan kesemuanya juga telah dipadam oleh pihak pemerintah, menurut majalah Diplomat.

Akaun Weibonya (media sosial di China)  yang mempunyai 3.8 juta pengikut telah ditutup pada bulan Fabruari. Namun, ia telah dibuka kembali.

Bandaraya Wuhan yang lengang tatkala perintah berkurung (pixcredit:cnn.com)

Tetapi tulisan-tulisannya telah dijadikan buku yang akan diterbitkan oleh Harper Collins pada Jun hadapan dalam bahasa Inggeris dan Jerman.

Terjemahan tulisannya dalam bahasa asing itu mengundang tuduhan bahawa Fang Fang membantu pihak luar menyerang China.

Negara China sedang bekerja keras di media barat dengan diplomasi lembut untuk memulihkan reputasinya dalam menangani virus apabila didakwa menyembunyikan statistik.

Fang Fang Diary di Weibo telah menarik 360 juta pembaca, 94,000 perbincangan. Di Twitter, #wuhandiary menunjukkan ratusan pos kritikan.

“Seram bila lihat serangan terhadap Fang Fang yang begitu keras dan penuh kebencian,” kata Li Yuan, seorang kolumnis New York Times. 

Rabu lalu akhbar berbahasa Inggeris di China berkata, adalah memalukan apabila Fang Fang dipuji oleh media barat yang dah tentu memburukkan China dalam hal pandemik ini.

https://www.theguardian.com/world/2020/apr/10/chinese-writer-fang-fang-faces-online-backlash-wuhan-lockdown-diary

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]