MAAFCAKAP 15.4.2020

Saya terbaca status rakan Facebook saya Aisya Ridha mengenai PKP. Menurutnya, ‘orang yang paling tidak tahan kena kurung sesungguhnya adalah generasi tua terutamanya yang masih sihat dan biasa keluar masuk rumah sebelum PKP.’ Katanya lagi,  ‘warga tua gatal kaki nak keluar sebab tak biasa dengan rutin online, delivery dan akhbar digital.

Benar seperti dikata. Generasi tua yang berusia 80an ke atas memang sukar memahami perubahan besar yang kita alami. Mereka tidak faham mengapa perlu ada Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimana angkara virus (yang mereka faham hanya kuman yang akibatkan penyakit) boleh membuatkan pergerakan mereka terhalang.

Walaupun sebahagian daripada mereka pernah mengalami perintah berkurung di zaman Jepun dan darurat atau ketika peristiwa 13 Mei 1969, mereka tidak mengerti bagaimana nyawa boleh selamat dengan duduk di rumah. 

Kasihan juga pada warga tua yang kebetulan datang ke kota melihat anak menantu. Mereka hairan mengapa tidak boleh pulang ke kampung. Kalau mereka tinggal di rumah atas tanah, dapatlah juga mereka melangut melihat alam dari laman rumah. Bagaimana jika mereka terkurung di kediaman bertingkat seperti kondominium atau rumah pangsa? 

Teman-teman ada bercerita betapa orang tua mereka berasa kecil hati kerana cucu-cucu dipisahkan daripada mereka. Cucu yang biasanya dicium dan digomol sudah tidak dibenarkan mendekati mereka oleh anak menantu. Akibatnya, ada yang merajuk hingga dah masukkan pakaian ke dalam beg dan minta dihantar balik kampung. 

Orang tua yang berusia 70an ke bawah pula peka dan tahu apa yang berlaku. Mereka bukannya tidak faham apa itu Covid-19. Tetapi mereka seperti juga anak-anak muda yang suka bersosial di luar rumah. Orang tua yang sudah bersara biasanya bersosial di masjid mahupun surau. 

Kalau ada ceramah atau bacaan Yassin di surau, mereka boleh makan dan berseloroh sesama mereka setelah majlis. Mereka bersosial lagi jika ada jemputan kenduri di rumah kariah. Esok pagi boleh lepak minum kopi di warung atau restoran setelah solat subuh.  

Mereka tahu mengenai Covid-19 melalui radio, televisyen dan akhbar. Ramai juga yang mendapat maklumat terkini melalui aplikasi Whatsapp dari kawan-kawan. Sebahagian besar daripada mereka membesar dan terdedah dengan dunia media massa dahulu yang berbentuk komunikasi satu hala seperti radio, televisyen dan akhbar. 

Justeru, mereka cenderung untuk mempercayai apa sahaja yang tiba melalui Whatsapp. Sebab itulah ramai di kalangan mereka akan terima dan hantar, apa sahaja yang mereka dapat tanpa terfikir untuk menilai kesahihan sesuatu yang mereka terima. Pada fikiran mereka, menyebarkan sesuatu yang mereka terima itu sesuatu yang baik.

Orang tua sudah tidak boleh ke surau buat masa ini. Mereka juga tidak boleh melepak di warung atau restoran. Di rumah pula mereka tidak boleh bermain dengan cucu. Mereka tidak boleh lagi ke sana ke mari. Justeru, apa yang mereka boleh buat selain bermesej? Mereka sedang bosan. 

Tetapi kebosanan mereka perlulah dilayani agar mereka tidak stres dan menjadi murung. Emosi mereka juga rapuh. Kalau mereka merajuk, susah juga kita nak pujuk. Cara yang terbaik dan praktikal ialah mengajar mereka untuk mahir komputer. 

Terdapat jutaan laman dan ilmu yang sesuai untuk warga tua. Ajari mereka untuk membuat carian di Google. Mereka boleh sahaja ke laman kesihatan untuk mengetahui cara menjaga kesihatan ataupun mendapatkan maklumat mengenai jenis pil yang mereka telan. 

Ajari mereka melayari You Tube untuk belajar senaman Melayu tua, taichi ataupun senaman ringan secara duduk di kerusi. Berikan mereka cara untuk mereka mendengar lagu-lagu nostalgia mereka di zaman muda ataupun menonton ratusan ceramah dari ustaz yang mereka minati. Ada banyak video mengenai surah-surah yang mereka boleh tonton dan ikut menghafal.

Maklumat menunjukkan kalangan mereka yang mudah tewas angkara Covid-19 majoritinya terdiri daripada mereka di kalangan warga emas, terutamanya mereka yang menghidap penyakit tiga serangkai. Sayangilah mereka di tangan mereka terletaknya syurga. Jagailah mereka kerana mereka adalah khazanah bergerak, sekurang-kurangnya buat sesebuah keluarga. Tanyailah mereka. Mungkin ada ilmu pusaka yang mereka belum ceritakan sebab tiada sesiapa di kalangan kita yang bertanya.