Novel Bukan untuk Orang Melayu Sahaja
- Mengapa novelis Melayu Malaysia hanya menyasarkan pasaran novelnya untuk para pembaca Melayu sahaja? Saya katakan demikian kerana hampir semua novel yang saya baca menampilkan watak-watak utama yang berbangsa Melayu. Kalau ada pun watak-watak bukan Melayu, ia hanya watak tempelan.
- Bukankah membaca novel ini juga digemari oleh bangsa Cina, India, Sikh dan lain-lain kaum di negara ini? Bukan orang Melayu sahaja yang suka baca novel. Bagi saya, novel Melayu akan lebih banyak dibaca oleh orang Cina dan India seandainya ada watak-watak dari kaum Cina dan India. Namun kita tak boleh memasukkan watak-watak itu secara tempelan.
- Formula stereotaip yang meletakkan kisah Ahmad bercinta dengan Mei Lan bagi saya ‘tidak jujur’. Ia juga tidak semudah meletakkan watak-watak Ali, Samy dan Ah Kau seperti dalam buku teks sekolah rendah untuk menguja pembaca Cina dan India membaca novel Melayu. Yang kita mahu ialah realisme dalam pengkaryaan. Malaysia bukan dihuni oleh orang Melayu sahaja.
- Sebenarnya, memasukkan watak-watak kaum lain di dalam karya adalah baik. Novelis perlu memainkan peranan sebagai penyatu rakyat, bukan mengasingkan mereka di dalam kepompong. Lagi pula, ia boleh menarik kaum lain untuk menatapnya.
- Kita boleh contohi formula Hollywood dalam menampilkan watak-watak Hong Kong, Jepun, Korea dan India kerana ia merangsang penonton daripada negara-negara itu untuk memenuhi panggung kerana ada watak yang ‘mewakili’ bangsa mereka. Watak-watak daripada bangsa lain dalam filem Hollywood kini bukan lagi tempelan atau watak jahat seperti watak Arab dalam filem Hollywood terdahulu. Malah banyak sekali watak-watak dari bangsa lain dipilih menjadi hero.
- Jackie Chan(Hong Kong-Rush Hour), Hiroyuki Sanada(Jepun-Wolverine), Roshan Seth(India-Indiana Jones), Rain(Korea-Ninja Assassin) adalah di antara para pelakon bukan Mat Saleh yang menjadi watak-watak penting dalam filem Hollywood. Lihatlah formula Hollywood yang pandai meletakkan para pelakon daripada bangsa lain untuk pasaran di negara-negara berkenaan.
- Filem-filem Melayu yang diterima oleh kaum lain pun sudah ada. Antaranya Papadom, Baik Punya Cilok, KL Gangster, Sepet, Estet dan beberapa buah filem P. Ramlee. Ia ditonton kerana watak-watak dari kaum lain diberi peranan penting, bukannya tempelan.
- Untuk novel pula, novelis mesti fikirkan hal ini dengan serius. Penerbit juga harus meuar-uarkan pendekatan cerita dan watak yang melibatkan kaum lain di Malaysia. Buat permulaan, kita kena jenamakan novel kita sebagai novel Malaysia; bukannya novel Melayu bagi menganjak paradigma fikiran kita sendiri sebagai novelis.
Gambar hiasan. Pixcredit: poskod.my
Berpindah Alam di Bulan Ramadan

DUKACITANYA dimaklumkan, Tuan Guru Ustaz Dato Ismail Kamus telah meninggal dunia sebentar tadi. Demikian dikhabarkan oleh anaknya, Ustaz Firdaus.
Allahyarham adalah seorang pendakwah yang terkenal di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Beliau pernah menyandang jawatan ADUN Gombak Setia, Selangor bertanding di atas tiket PAS.

Beliau merupakan Pengasas dan Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia. Beliau melatih ratusan perawat-perawat Islam serta menyalurkan kepakarannya untuk berkhidmat kepada masyarakat, termasuk di Brunei dan juga Singapura.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum ke Maahad Hisyamuddin, Kelang. Selepas menamatkan pengajian, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang dan UKM dan memdapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976.

Allahyarham pernah menimba pengalaman sebagai guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah di JAWI, INTAN dan Pusat Islam. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai pakar rujuk Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Pada 2011, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor.
Figura ini seangkatan dengan Almarhum Datuk Dr. Haron Din, Almarhum Pak Yazid Jaafar, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Almarhum Kiai Zainuddin MZ dalam dekad 1980an dan 1990an. Saat itu zaman tali kaset seterusnya CD yang dijual di pasar-pasar malam dan juga tapak ceramah.

Zaman itu aura Ustaz Ismail Kamus dengan lawak khasnya menjadikan kuliah-kuliah agama tumpuan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila RTM menganjurkan program Forum Perdana Hal Ehwal Islam di TV RTM pada tahun-tahun 90an, allahyarham adalah di antara panel forum yang dinanti-nantikan oleh penonton.

Selain kaset dan CD, Almarhum juga menulis buku. Tidak kurang 10 buah buku beliau telah diterbitkan oleh pelbgai penerbitan tanah air. Di antaranya ialah, Amalan Harian Sepanjang Zaman, Indahnya Hidup Bersyariat dan Mereka Yang dijamin Syurga dan Neraka.
Pengurusan jenazah dilaksanakan Masjid as sobirin AU5 Lembah Keramat jam 9.00 pagi. Pengebumian Insya-ALLAH di Tanah Perkuburan AU4 berhampiran. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

Anakku Menangis Siapa Yang Peduli?
Di tengah malam, kita terjaga dari tidur di saat terdengar tangisan anak yang kelaparan. Kita bangun dan bergegas untuk siapkan susu. Setelah itu kita menarik selimut untuk menyambung tidur.
Namun, bukan semua nasib anak-anak ini sama. Di kala kita masih mampu suapkan anak kita susu seperti biasa, ada orang lain yang gelisah kerana susu sudah tiada lagi. Duit juga sudah tiada. Sudah lama pula mereka tidak bekerja kerana PKP yang sedang dilaksanakan. Kerana terpaksa, si anak yang kelaparan itu disuap sahaja dengan air teh kosong.
Ramai di kalangan mereka yang terjejas adalah golongan B40 yang punca pendapatan mereka diperoleh melalui gaji hari. Inilah golongan yang paling terjejas berikutan dengan perlaksanaan PKP.
Sebelum ini pihak kami melalui Program Zero Hunger hanya memberi bantuan berupa makanan asas kepada keluarga yang kepayahan. Namun setiap kali kami singgah untuk penghantaran ke rumah, ramai di kalangan mereka bertanya akan bantuan berupa susu anak.
Sayunya hati kami bila terpandang mata layu si ibu yang kehampaan apabila kami tidak memasukkan bekalan susu untuk anak mereka.
Atas asbab inilah dan mengambil barakah di hari Jumaat dalam bulan Ramadan ini kami di Yayasan Brainy Bunch, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui program Zero Hunger ingin melancarkan kempen sumbangan bekalan susu untuk golongan B40 ini.
Kami merayu kepada anda yang membaca mesej ini untuk turut sama menyumbang kepada kempen “Tangisan Anak B40”. Semua sumbangan anda boleh dilakukan di:
👉 https://sadaqahmarket.com/pro…/bantuan-susu-kanak-kanak-b40/
Bantuan anda sangat bermakna agar tangisan si anak kecil yang terputus bekalan susu ini dapat dihentikan. Ayuh kongsikan kempen ini juga dengan ahli keluarga dan teman-teman anda.
ALLAH swt jua yang akan membalas amal jariah anda sekalian.
👉 https://sadaqahmarket.com/pro…/bantuan-susu-kanak-kanak-b40/
#ZeroHunger
#MalakatMall
#PPIM
#BrainyBunch
#KoPPIM
#RaudhahGrocer
Tangan Ghaib Siapakah Ini?
MAAFCAKAP 5.5.2020
Sewaktu artikel ini ditulis, masih terdapat netizen yang melepas geram kepada syarikat tekstil terkenal, Jakel. Komen-komen pedas masih terdapat di laman Facebooknya. Ia berpunca apabila salah seorang anggota keluarga Jakel, Muzaffar Jakel tersilap memuatkan jawapan yang dianggap memperkecil bangsa Melayu. Bila dikritik, beliau segera memohon maaf pada hari yang sama.
Bagaimana pun, tiba-tiba muncul seseorang bernama Nor Lizah yang memberi komen yang terlalu pedas menggunakan perkataan ‘bodoh’ dan ‘bangang’ yang ditujukan kepada bangsa Melayu. Beliau memberi komen di laman Facebook Muzaffar Jakel. Apa lagi, netizen yang membaca status itu naik berang mahu memboikot kedai tekstil itu.
Datuk Mohamed Feroz, Pengarah Urusan terpaksa muncul dalam sebuah video untuk memohon maaf di atas kesilapan adiknya, Muzaffar. Dalam pada itu, beliau juga menyatakan yang beliau tidak kenal siapakah Nor Lizah yang memberi komen yang begitu menyinggung perasaan orang Melayu.
Dalam pada itu, tuanpunya akaun Nor Lizah telah membuat aduan polis bahawa akaun beliau telah digodam. Siasatan awal netizen menunjukkan, terdapat seseorang yang telah menggunakan gambar profil Nor Lizah untuk membuat komen yang kurang ajar itu. Didapati juga akaun yang menggunakan nama Nor Lizah itu sudah ditutup.
Banyak pihak yang telah tampil untuk menyabarkan netizen dan meminta mereka memaafkan kesilapan yang telah berlaku. Aktivis sosial Yusof Azmi, PU Azman dan juga Datuk Nadzim Johan dari PPIM pun telah merayu agar netizen Melayu bertenang. Namun, ramai netizen Melayu yang masih marah dan hendak terus memboikot. Soalnya, siapakah yang telah mengambil kesempatan menggunakan profil Nor Lizah untuk mengeluarkan kata-kata yang begitu menghina itu?
Dua minggu sebelum itu, seorang pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew dipanggil polis untuk memberi keterangan berikutan dengan aduan orang ramai. Pendakwah yang popular kerana menyantuni golongan melarat telah menimbulkan rasa dengki pihak yang tidak suka melihat Ustaz Ebit Lew berbuat baik. Soalnya, siapakah yang membuat laporan itu?
Pada bulan April lalu, apabila pihak keselamatan Malaysia telah mengusir sebuah bot membawa pendatang Rohingya masuk ke perairan Malaysia. Berikutan dengan itu beberapa buah NGO termasuk Amnesty International yang memperjuangkan hak kemanusiaan telah membidas tindakan Malaysia. Tetapi, rata-rata rakyat Malaysia menyokong penuh tindakan kerajaan.
Pada waktu yang sama, seorang pemimpin Rohingya di Malaysia, Zafar Ahmad telah merayu agar kerajaan Malaysia tidak berbuat demikian atas dasar kemanusiaan. Rayuan beliau itu telah dipandang sinis oleh para netizen. Tiba-tiba entah dari mana, muncul sehelai kertas berbentuk memorandum yang kononnya dari Zafar Ahmad mendesak kerajaan Malaysia memberi hak samarata kepada pendatang Rohingya di Malaysia.
Memorandum itu muncul bersama sebuah video demonstrasi kaum Rohingya di depan kedutaan Myanmar di Jalan Ampang pada tahun 2017. Kemarahan netizen Malaysia yang membara mula bernyala dan Zafar Ahmad menerima maki hamun di media sosial. Soalnya, siapakah yang mengadun imej Zafar Ahmad bersama dengan memorandum yang diubahsuai bersama dengan video demonstrasi itu?
Tidak sampai sebulan, isu Jakel, ustaz Ebit Lew dan pendatang Rohingya telah menjadi isu viral yang memanaskan laman sosial. Soalnya, tangan-tangan ghaib siapakah yang melakukannya? Apakah ia buatan mereka secara suka-suka untuk troll dan prank para netizen?
Bagaimana pun, bila diteliti secara halus, tidak mungkinkah tangan-tangan ghaib ini dibuat dengan agenda tersembunyi orang Melayu dan umat Islam terus berpecah dan terbelah? Api yang bernyala sukar dipadam. Barangkali selepas pihak pemerintah selesai membanteras berita-berita palsu mengenai covid-19, mereka wajib tangani dan tangkap pencipta berita-berita palsu yang sebegini.
Dalam pada itu, nampaknya masih ramai lagi orang Melayu yang terlalu sayangkan bangsa hingga mengenepikan semangat persaudaraan Islam. Bangsa perlu dipeluk, tetapi agama pula perlu dijunjung.
Walaupun cinta itu buta, tetapi janganlah hingga membuta tuli.
*Gambar Utama diolah dari gambar asal oleh Gerd Altmann dari Pixabay
Duduk Rumah, Baca Buku: Pinjaman Buku Digital Melonjak 250%
SINAR HARIAN.2.5.2020
KUALA LUMPUR – Pinjaman buku digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) meningkat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.
Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani berkata, pada Mac, hampir 40,000 buku digital perpustakaan itu dipinjam berbanding purata kira-kira 15,000 pada bulan-bulan biasa.
Menurutnya, pendaftaran keahlian baharu untuk u-Pustaka dan pengunjung portal perpustakaan itu pula meningkat mendadak sepanjang PKP.
“Statistik pendaftaran keahlian dan pengunjung portal menunjukkan peningkatan semasa PKP ini. Sehingga 21 April 2020, jumlah kumulatif ahli u-Pustaka adalah seramai 501,295.
“Semasa PKP sahaja, pendaftaran keahlian mencecah 22,982 ahli. Pendaftaran keahlian tertinggi adalah semasa permulaan PKP iaitu mencecah 6,069 pendaftaran dalam masa satu hari (19 Mac),” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Aidatul Hasnida berkata, pilihan bahan bacaan masyarakat adalah pelbagai, bergantung kepada minat dan keperluan maklumat yang diperlukan namun ketika PKP, pinjaman buku digital adalah lebih kepada bahan bacaan berbentuk fiksyen.
“PNM dari semasa ke semasa sentiasa cuba memperbanyakkan bahan bacaan digital untuk diakses oleh rakyat Malaysia. Antara inisitif yang dilaksanakan adalah dengan menambah bilangan bahan bacaan digital setiap tahun.
“Di samping itu, PNM melalui projek u-Pustaka sebagai hab maklumat negara telah berjaya mendigitalkan sebanyak 1.7 juta muka surat bahan bacaan tempatan seperti manuskrip Melayu, buku nadir serta koleksi negara yang boleh diakses melalui portal u-Pustaka,” katanya.
Beliau berkata, PNM berharap dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan melalui u-Pustaka.
“Bagi mencapai hasrat ini, kami amat mengalu-alukan keterlibatan perpustakaan di Malaysia untuk turut sama menggalakkan penggunaan perkhidmatan u-Pustaka dalam kalangan masyarakat.
“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia menyasarkan pembangunan ekonomi berstruktur semula berlandaskan ilmu yang bernilai tinggi di semua peringkat masyarakat. Melalui u-Pustaka, kami menyediakan pelbagai maklumat yang sesuai untuk semua peringkat umur dan dalam pelbagai subjek serta boleh diakses di mana-mana sahaja oleh rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama
Pautan asal:
https://www.sinarharian.com.my/article/80789/BERITA/Nasional/Pinjaman-buku-digital-meningkat-sepanjang-PKP


