MAAFCAKAP 5.5.2020

Sewaktu artikel ini ditulis, masih terdapat netizen yang melepas geram kepada syarikat tekstil terkenal, Jakel. Komen-komen pedas masih terdapat di laman Facebooknya. Ia berpunca apabila salah seorang anggota keluarga Jakel, Muzaffar Jakel tersilap memuatkan jawapan yang dianggap memperkecil bangsa Melayu. Bila dikritik, beliau segera memohon maaf pada hari yang sama.

Bagaimana pun, tiba-tiba muncul seseorang bernama Nor Lizah yang memberi komen yang terlalu pedas menggunakan perkataan ‘bodoh’ dan ‘bangang’ yang ditujukan kepada bangsa Melayu. Beliau memberi komen di laman Facebook Muzaffar Jakel. Apa lagi, netizen yang membaca status itu naik berang mahu memboikot kedai tekstil itu.

Datuk Mohamed Feroz, Pengarah Urusan terpaksa muncul dalam sebuah video untuk memohon maaf di atas kesilapan adiknya, Muzaffar. Dalam pada itu, beliau juga menyatakan yang beliau tidak kenal siapakah Nor Lizah yang memberi komen yang begitu menyinggung perasaan orang Melayu.

Dalam pada itu, tuanpunya akaun Nor Lizah telah membuat aduan polis bahawa akaun beliau telah digodam. Siasatan awal netizen menunjukkan, terdapat seseorang yang telah menggunakan gambar profil Nor Lizah untuk membuat komen yang kurang ajar itu. Didapati juga akaun yang menggunakan nama Nor Lizah itu sudah ditutup. 

Banyak pihak yang telah tampil untuk menyabarkan netizen dan meminta mereka memaafkan kesilapan yang telah berlaku. Aktivis sosial Yusof Azmi, PU Azman dan juga Datuk Nadzim Johan dari PPIM pun telah merayu agar netizen Melayu bertenang. Namun, ramai netizen Melayu yang masih marah dan hendak terus memboikot. Soalnya, siapakah yang telah mengambil kesempatan menggunakan profil Nor Lizah untuk mengeluarkan kata-kata yang begitu menghina itu?

Dua minggu sebelum itu, seorang pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew dipanggil polis untuk memberi keterangan berikutan dengan aduan orang ramai. Pendakwah yang popular kerana menyantuni golongan melarat telah menimbulkan rasa dengki pihak yang tidak suka melihat Ustaz Ebit Lew berbuat baik. Soalnya, siapakah yang membuat laporan itu?

Pada bulan April lalu, apabila pihak keselamatan Malaysia telah mengusir sebuah bot membawa pendatang Rohingya masuk ke perairan Malaysia. Berikutan dengan itu beberapa buah NGO termasuk Amnesty International yang memperjuangkan hak kemanusiaan telah membidas tindakan Malaysia. Tetapi, rata-rata rakyat Malaysia menyokong penuh tindakan kerajaan. 

Pada waktu yang sama, seorang pemimpin Rohingya di Malaysia, Zafar Ahmad telah merayu agar kerajaan Malaysia tidak berbuat demikian atas dasar kemanusiaan. Rayuan beliau itu telah dipandang sinis oleh para netizen. Tiba-tiba entah dari mana, muncul sehelai kertas berbentuk memorandum yang kononnya dari Zafar Ahmad mendesak kerajaan Malaysia memberi hak samarata kepada pendatang Rohingya di Malaysia. 

Memorandum itu muncul bersama sebuah video demonstrasi kaum Rohingya di depan kedutaan Myanmar di Jalan Ampang pada tahun 2017. Kemarahan netizen Malaysia yang membara mula bernyala dan Zafar Ahmad menerima maki hamun di media sosial. Soalnya, siapakah yang mengadun imej Zafar Ahmad bersama dengan memorandum yang diubahsuai bersama dengan video demonstrasi itu?

Tidak sampai sebulan, isu Jakel, ustaz Ebit Lew dan pendatang Rohingya telah menjadi isu viral yang memanaskan laman sosial. Soalnya, tangan-tangan ghaib siapakah yang melakukannya? Apakah ia buatan mereka secara suka-suka untuk troll dan prank para netizen?  

Bagaimana pun, bila diteliti secara halus, tidak mungkinkah tangan-tangan ghaib ini dibuat dengan agenda tersembunyi orang Melayu dan umat Islam terus berpecah dan terbelah? Api yang bernyala sukar dipadam. Barangkali selepas pihak pemerintah selesai membanteras berita-berita palsu mengenai covid-19, mereka wajib tangani dan tangkap pencipta berita-berita palsu yang sebegini. 

Dalam pada itu, nampaknya masih ramai lagi orang Melayu yang terlalu sayangkan bangsa hingga mengenepikan semangat persaudaraan Islam. Bangsa perlu dipeluk, tetapi agama pula perlu dijunjung. 

Walaupun cinta itu buta, tetapi janganlah hingga membuta tuli. 

*Gambar Utama diolah dari gambar asal oleh Gerd Altmann dari Pixabay