1. Mengapa novelis Melayu Malaysia hanya menyasarkan pasaran novelnya untuk para pembaca Melayu sahaja? Saya katakan demikian kerana hampir semua novel yang saya baca menampilkan watak-watak utama yang berbangsa Melayu. Kalau ada pun watak-watak bukan Melayu, ia hanya watak tempelan.
  2. Bukankah membaca novel ini juga digemari oleh bangsa Cina, India, Sikh dan lain-lain kaum di negara ini? Bukan orang Melayu sahaja yang suka baca novel. Bagi saya, novel Melayu akan lebih banyak dibaca oleh orang Cina dan India seandainya ada watak-watak dari kaum Cina dan India. Namun kita tak boleh memasukkan watak-watak itu secara tempelan. 
  3. Formula stereotaip yang meletakkan kisah Ahmad bercinta dengan Mei Lan bagi saya ‘tidak jujur’. Ia juga tidak semudah meletakkan watak-watak Ali, Samy dan Ah Kau seperti dalam buku teks sekolah rendah untuk menguja pembaca Cina dan India membaca novel Melayu. Yang kita mahu ialah realisme dalam pengkaryaan. Malaysia bukan dihuni oleh orang Melayu sahaja. 
  4. Sebenarnya, memasukkan watak-watak kaum lain di dalam karya adalah baik. Novelis perlu memainkan peranan sebagai penyatu rakyat, bukan mengasingkan mereka di dalam kepompong. Lagi pula, ia boleh menarik kaum lain untuk menatapnya.
  5. Kita boleh contohi formula Hollywood dalam menampilkan watak-watak Hong Kong, Jepun, Korea dan India kerana ia merangsang penonton daripada negara-negara itu untuk memenuhi panggung kerana ada watak yang ‘mewakili’ bangsa mereka. Watak-watak daripada bangsa lain dalam filem Hollywood kini bukan lagi tempelan atau watak jahat seperti watak Arab dalam filem Hollywood terdahulu. Malah banyak sekali watak-watak dari bangsa lain dipilih menjadi hero.
  6. Jackie Chan(Hong Kong-Rush Hour), Hiroyuki Sanada(Jepun-Wolverine), Roshan Seth(India-Indiana Jones), Rain(Korea-Ninja Assassin) adalah di antara para pelakon bukan Mat Saleh yang menjadi watak-watak penting dalam filem Hollywood. Lihatlah formula Hollywood yang pandai meletakkan para pelakon daripada bangsa lain untuk pasaran di negara-negara berkenaan.
  7. Filem-filem Melayu yang diterima oleh kaum lain pun sudah ada. Antaranya Papadom, Baik Punya Cilok, KL Gangster, Sepet, Estet  dan beberapa buah filem P. Ramlee. Ia ditonton kerana watak-watak dari kaum lain diberi peranan penting, bukannya tempelan.
  8. Untuk novel pula, novelis mesti fikirkan hal ini dengan serius. Penerbit juga harus meuar-uarkan pendekatan cerita dan watak yang melibatkan kaum lain di Malaysia. Buat permulaan, kita kena jenamakan novel kita sebagai novel Malaysia; bukannya novel Melayu bagi menganjak paradigma fikiran kita sendiri sebagai novelis. 

Gambar hiasan. Pixcredit: poskod.my