Aidilfitri di Musim PKPB: Novelis Kita Buat Apa?
AKIBAT Covid-19, sebahagian besar daripada kita tak dapat balik kampung. Begitulah juga para novelis kita. Mereka hanya membuat persediaan hari raya di kediaman masing-masing.
Bagi novelis AISYA SOFEA yang tinggal di Bandar Tun Hussein Onn, Selangor, persiapan hari raya pada kali ini sudah tentu sekali berbeza. Katanya, “Memandangkan raya tahun ni kami sambut di KL sahaja dan masih dlm PKPB, persiapan raya tahun ni lebih ringkas dan sederhana.
Apabila ditanya mengenai kuih-muih, Aisya menyatakan ada sedikit perbezaan pada musim PKPB ini,
“Terasa perbezaan bila kali ni kuih muih kena masak sendiri. Kebiasaannya saya dan suami beli sahaja. Bila anak-anak perempuan dah mula meningkat remaja, mereka yang seronok dengan persiapan juadah manisan untuk berbuka dan moreh.”
Untuk Aidilfitri ini, AISYA SOFEA yang sedang naik kembali ratingnya kerana novel SUMPAH SETIA dan terkini KAU UNTUKKU 2020 ingin menyampaikan ucapannya:
“Saya ingin mengucapkan pada semua sahabat handai dan keluarga tidak kira dekat dan jauh, yang mengenali saya secara peribadi dan dunia maya ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam PKP bersyarat. Jangan lupa amalkan gaya hidup sihat. Jaga penjarakkan sosial, jaga diri. Insya-ALLAH segala kepayahan pasti ada kesenangan yang menanti.”

RAMLEE AWANG MURSHID yang baharu sahaja menghasilkan novel HAURA nampaknya sudah dapat membiasakan diri dengan suasana PKPB ini. Ibadah puasanya dapat dilaksanakan secara biasa. Cuma persediaan hari raya Ramlee dan famili yang tinggal di Bandar Baru Bangi, Selangor agak biasa-biasa sahaja pada tahun ini.
“Persediaan raya memang tak ada langsung tahun ni. Cuma isteri saya beli biskut raya buat makan sendiri. Aura raya tahun ni pun berbeza disebabkan wabak covid-19. Jadinya… kita sesuai diri saja dan bersangka baik pada ALLAH swt.”
Untuk Aidilfitri, RAMLEE AWANG MURSHID sempat mengirimkan ucapan:
“Ya, Salam Aidilfitri buat ayah saya sekeluarga. Juga kepada adik-adik saya dengan keluarga masing-masing, seluruh keluarga di Papar, Bongawan dan Ranau. Juga buat sahabat handai dan rakan taulan. Yang paling penting, semua pembaca saya dan frontliners. Terima kasih atas jasa baik kalian. Semoga ALLAH swt membalas jauh lebih baik daripada apa yang kalian berikan. Ameen ya Rabbi.

Novelis LYNN DAYANA yang baru sahaja memasarkan ebukunya BILA AKU JADI SETAN di bawah penerbit Porengkertas pula dapat menunaikan ibadah berpuasa dengan lancar meskipun dalam keadaan PKPB ini. Katanya, “Ramadan setiap tahun memang disambut secara sederhana sahaja. PKP beri kesan dari segi tidak boleh keluar membeli kuih muih atau makanan tradisi yang diidam. Secara keseluruhan, tidak ada kesan sangat pada saya sebab memang selalu masak sendiri makanan mengikut diet yang doktor tetapkan.”
Meskipun secara ala-kadar, nampaknya, Lynn yang menetap di Bandar Puchong Jaya, masih membuat persiapan Aidilfitri. “Sebab tak boleh balik kampung, kuih raya memang tidak dibeli. Baju raya awal-awal dahulu ada yang dibeli dan masih belum pakai. Guna yang itu sajalah. Sekadar mendapat sunat memakai sesuatu yang baru di hari kemenangan.
LYNN DAYANA juga ingin menyampaikan ucapan Selamat Hari raya Aidilfitri:
“Salam Ramadan. Moga berpuasa dalam PKP menjadikan kita manusia yang lebih bersyukur. Selamat Hari Raya. Maaf jika ada salah dan silap. Walaupun di mana kita berada, terpisah kerana tidak boleh merentas… dalam doa kita bertemu juga. InsyaALLAH.

Seorang lagi novelis prolifik, WEB SUTERA turut melalui Ramadan seperti seadanya. “Puasa baik-baik sahaja, Alhamdulillah. Tiada masalah dengan puasa, berjalan seperti biasa. Cumanya ada bahagian belanja kena pantau.”
Untuk persediaan Aidilfitri juga, Pak Web Sutera yang menghasilkan novelnya yang terkini DI SEBALIK HIJAB turut berqanaah. “Nampak gaya tahun ini tiada persediaan hari raya daripada segi membeli pakaian baharu. Kuih muih pun tak nampak kelibat lagi, dan tidak bersedia untuk menerima tetamu luar. Ia bukan setakat disebabkan pandemik virus Covid-19, malah ia juga justeru kewangan yang terjejas.”
“Bagi saya, Hari Raya Aidilfitri itu memang akan disambut. Cuma apa yang utama ialah melaksanakan ibadah puasa dan amal-amal lainnya pada sepanjang bulan Ramadhan. Itu juga yang sering saya nyatakan dan nasihatkan kepada keluarga dan anak-anak.
Walau apapun, raya tetap diraikan insya-Allah, meskipun pada hemat saya, tahun ini akan sangat berbeza.”
Betapa pun Pak WEB SUTERA yang kini menetap di Mantin, Negeri Sembilan tidak lupa untuk menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada anda semua: “Untuk sanak saudara, teman-teman dan para pembaca karya saya, mohon kemaafan atas khilaf saya. Sambutlah Hari Raya Aidilfitri di rumah masing-masing, dan kita bersama-sama putuskan rantaian Covid-19.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin. Semoga Allah melindungi kita dan Malaysia tetap selamat dalam mengharungi cubaan ini.”

Novelis HEZZY AZRA yang tinggal di Kota Damansara turut berasakan perbezaan pada Ramadan ini. Menurutnya, “Ramadan masa PKP ini sangat berbeza. Biasanya setiap hujung minggu saya akan ke rumah mak saya dan berbuka bersama beliau dan adik-beradik yang lain. Kalau sebelum ini saya antara pengunjung tetap ke bazaar Ramadan tetapi kali ini saya membiasakan diri untuk masak setiap hari dan bertukar menu dengan kakak-kakak ipar yang tinggal tak jauh dari rumah saya.”
Untuk persediaan baju raya, Hezzy tidak menyediakan baju baharu kecuali untuk anaknya. “Dari segi baju raya, saya cuma sediakan untuk anak saya seorang sahaja dan semuanya dibeli secara online. Kami suami isteri pakai sahaja apa yang ada. Dari segi kuih/biskut raya pula, saya tetap akan buat dua atau tiga jenis biskut dan kek.”
Hezzy Azra rupanya ada bisnes kuih raya. Masa PKPB ini, dia masih menerima tempahan. “Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya tetap menerima tempahan biskut kelapa dan chocolate chip cookies di musim PKP ini. Tapi terhad kepada pelanggan tetap dan kuantitinya tidak sebanyak biasa kerana saya cuba kurangkan pergerakan dan penghantaran seperti yang biasa saya lakukan.”
HEZZY AZRA yang baharu juga menerbitkan enovel SAMPING UNGU bersama penerbit PORENGKERTAS turut ingin menyampaikan ucapan Salam Aidilfitri buat semua:

“Saya ambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua peminat, pembaca, rakan-rakan serta sanak saudara untuk segala salah dan silap. Selamat Hari Raya kepada semua. Walaupun kita tak dapat bertemu untuk meraikannya tetapi kita tetap boleh beraya di alam maya. Stay home. Stay safe.”
Kredit gambar utama: theinspirasi.my
Raya Yang Meriah Tetapi Sunyi
MAAFCAKAP 20.5.2020
Pada tahun ini, mesyuarat suami isteri yang tidak akan diadakan di hujung Ramadan ialah mesyuarat penggiliran ke kampung siapakah mereka hendak pulang. Tahun ini, tiada masam-masam muka atau berkecil hati di antara suami isteri kerana mereka tidak boleh balik ke kampung. Malah di pejabat pun, masing-masing tidak perlu kecoh-kecoh hendak rebut hari cuti sebab semuanya akan beraya di kawasan tempat tinggal.Insya-ALLAH, pada tahun ini kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri samada pada hari Sabtu atau Ahad apabila anak bulan Syawal dicerap dari 15 buah lokasi di seluruh negara pada petang Jumaat 22 Mei 2020. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan harinya pada malam itu melalui radio dan televisyen.
Berbeza dengan tahun-tahun yang lalu, kali ini pengisytiharan itu akan ditonton dengan hati yang separuh teruja. Si isteri bagi sesebuah keluarga tidak perlu tergopoh-gapah menyediakan pakaian seminggu ke dalam beg suami dan anak-anak. Tidak perlu menyediakan selimut, bantal, lembek, seterika, berbalang-balang biskut dan kek untuk dibawa pulang ke kampung. Si suami pula tidak perlu tergopoh-gapah menghantar kereta untuk diservis. Tidak perlu juga menggagau menukar wang ringgit di bank sebagai duit raya.
Begitu juga bagi yang menggunakan kenderaan awam untuk pulang ke kampung; tiada perlu lagi beratur untuk mencari tiket keretapi atau bas. Tiada juga berita syarikat-syarikat bas mengumumkan bas tambahan untuk balik kampung. Akhbar pula tiada berita mengenai pemeriksaan para pegawai JPJ ke atas ulat-ulat tiket. Yang hampir pasti, pada tahun ini jumlah kemalangan jalanraya dan kematian akan turun kepada dua angka. Kalau ada pun barangkali kemalangan motorsikal terbabas masuk sawah. Tahun ini memang kita dapat flatten the curve kematian di jalan raya!
Persediaan hari raya pada tahun ini akan dibuat ala kadar sahaja. Mungkin tiada langsir baharu. Yang ada pun mungkin menukar alas meja dan pengesat kaki. Pakaian untuk budak-budak hanya ditempah secara online untuk mengelak bersesak di pasaraya.
Tiba hari raya, persiapan tidak perlu tergesa-gesa. Pakaian raya tak perlu lengkap bersamping dan bersongkok kerana solat raya pun akan dibuat di ruang tamu rumah sahaja. Ayah pun tidak kisah kalau anak isteri lewat bersiap untuk solat berjemaah aidilfitri kerana dia sendiri sedang terkumat kamit beraptai menjadi khatib khutbah raya.
Yang akan sama di tahun ini berbanding dengan tahun-tahun yang lalu adalah budaya bermaaf-maafan. Ia bergantung pula kepada budibicara ketua keluarga samada bermaaf-maafan sekadar meletak tangan ke dada ataupun siap peluk cium dengan linangan air mata. Yang penting, kesyahduan aidilfitri disambut dengan tangisan menjadi tradisi keluarga.
Ketupat, lemang, rendang dan lodeh itulah makanan yang memberi makna berhari raya. Si isteri akan cuba mempertahankan tradisi ini untuk keseronokan anak-anak. Pakaian keluarga barangkali sedondon meskipun dengan pakaian tahun-tahun lalu. Sambil makan, masing-masing akan menayang juadah dan bergurau senda dengan anggota famili yang lain melalui aplikasi Zoom ataupun Google Meet. Bagaimana nanti agaknya anak-anak merengek meminta duit raya dari pakcik dan makcik melalui video. Memang pendapatan duit raya bagi kanak-kanak akan merosot di tahun ini.
Meskipun rancangan hiburan merupakan santapan iringan di televisyen, namun yang akan dinanti-nanti juga ialah Perutusan Khas Aidilfitri dari ‘Abah PM kita’ Tan Sri Muhyiddin Yassin. Masing-masing juga akan menanti apakah pakaian yang akan dikenakan oleh Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan dan Keselamatan. Sekiranya pakaian batik hariannya sudah happening, tentu baju rayanya lebih wow! Dan yang akan ditonton secara wajib pada hari raya ialah sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. Laporannya boleh menentukan mood gembira atau resah kita di hari raya.
Jauh di desa yang sunyi, emak dan ayah akan lalui hari raya seperti mana hari-hari raya lain. Selepas solat aidilfitri di rumah, mereka duduk berdua memamah apa yang ada. Tiada riuh hilai tawa anak-anak atau keributan cucu-cucu. Kalau ada pun sedikit gembira mereka hanyalah mendengar suara panggilan anak-anak sahaja kerana mereka tidak pandai untuk login untuk melihat wajah anak cucu melalui Zoom. Ayah pun tak nampak mata emak yang sudah masuk habuk sejak pagi lagi.
Yang pasti, hari raya di tahun ini akan meninggalkan makna yang mendalam buat kita semua.
Penjarakkan sosial akibat covid-19 benar-benar telah memenjarakan sosial kita.
Gambar oleh Meutia Chaerani, Wikipedia.org CC BY 2.5
Cikgu Khairul Hasilkan Buku Kanak-Kanak Mengenai Covid-19
COVID-19 membawa kita memahami apa itu pandemik. Langkah pihak pemerintah mengenakan PKP kepada rakyat Malaysia memberi kita pengetahuan, malah pengalaman yang sukar kita lupakan di sepanjang hayat.
Covid-19 juga menyaksikan perangai sebenar rakyat Malaysia. Sebahagian yang besar menjadi warganegara yang baik kerana mentaati pemerintah dalam keadaan yang genting ini. Sebahagian lagi para petugas barisan hadapan yang telah menunjukkan sikap peri kemanusiaan yang amat tinggi dengan berkorban masa dan tenaga untuk menjaga kita semua.
Ini juga yang menjadi bahan renungan, idea dan inspirasi seorang guru yang juga seorang pelukis dan penulis, Mohd Khairul Azman Ismail, 45. Beliau juga adalah seorang guru agama yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Hons) Bahasa Arab dan Kesusasteraannya, dari Al Al-Bayt University, Jordan.

Dalam masa dua minggu, Cikgu Khairul merakam senario Covid-19 di Malaysia melalui sebuah cerita.Kita ikuti temubual ringkas dengan penulis dan pelukisnya:
Bagaimana timbul ilham untuk Cikgu Khairul menulis dan melukis buku Pergi Covid-19?
Bila mana wabak mula menular di dunia dan dalam negara khususnya, sebagai penulis dan pelukis buku kanak-kanak, saya rasa perlu ada bahan bacaan untuk anak-anak kecil mengenai pandemik ini.
Terfikir setiap orang ada sumbangan terutamanya pimpinan negara dan team barisan hadapan dalam menangani Covid-19. Lalu saya terus cari idea apa cerita yang nak diketengahkan.
Boleh Cikgu ceritakan sedikit tentang buku tu?
Buku tersebut saya ketengahkan fakta dalam cerita. Ceritanya ada plot, klimaks dan ending… Fakta dan info tentang wabak saya dapati dari portal KKM. Ada watak yang menghidupkan cerita. Watak utamanya ialah Afiq dan Super Dr.H. (Dr Noor Hisham)

Dalam masa yang sama ilustrasi perlu seimbang. Komposisi dan sudut perlu pelbagai. Penggunaan warna air juga dibuat dengan teliti. Saya juga ada merujuk buku-buku bergambar negara lain tentang Covid-19 sebelum saya buat cerita berdasarkan latarbelakang negara kita.
Buku ini juga adalah manifestasi kepada perjuangan para frontliners, mengingati mereka yang terkorban dan menyemai rasa cinta kepada negara.
Berapa lama Cikgu sudahkan kesemuanya?
Kerja melukis dan menyediakan teks cerita memakan masa lebih kurang dua minggu.
Dalam keadaan PKP ni, bagaimana Cikgu hubungi hingga mendapat persetujuan Grup Buku Karangkraf menerbitkan buku ini?

Sebenarnya, bila teks dan ilustrasi dah siap, saya saja cuba nasib kalau-kalau GBK nak terbitkan. Lalu saya hubungi Puan Firdaus yang juga kawan FB saya dan menyatakan hasrat. Kemudian saya emelkan manuskrip kepada beliau. Hasil mesyuarat akhirnya beliau setuju menjadikan Pergi Covid-19 ini sebagai penerbitan khas dan eksklusif.
Buku Covid-19 Dijangka Laris
SEJAK buku Cerita Kanak-kanak PERGI COVID-19 diumumkan oleh penerbitnya Grup Buku Karangkraf, ramai ibubapa yang berminat untuk mendapatkannya untuk bacaan anak masing-masing. Tidak kurang juga yang mahu jadikan buku itu sebagai koleksi kenangan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin, “Bila kita umumkan fasal buku PERGI COVID-19, dalam masa dua hari sahaja kami menerima tempahan 200 naskhah. Ramai ibubapa dan guru sekolah yang teruja untuk mendapatkannya. Mungkin kerana penangan Superhero Dr. H yang diinspirasikan dari Ketua Pengarah KKM Dato Seri Noor Hisham Abdullah.”

“Ramai juga yang katakan yang buku PERGI COVID-19 ini menarik dan terbit tepat pada masanya. Ia bagus untuk kanak-kanak kerana ia buku itu mengandungi maklumat mengenai Covid-19.”
Orang ramai yang mahu membuat pra-tempahan boleh ke pautan https://www.karangkrafmall.com/pergi-covid-19-jangan-datang-lagi. Tempahan juga boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp di pautan http://www.wasap.my/+60192297227.
Pix utama: Cover muka depan buku
Bagaimana Lariskan Surat Khabar?
MAAFCAKAP 13.5.2020
Adalah menarik apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya menyarankan agar kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada industri media tempatan yang terkesan teruk akibat gangguan teknologi digital dan ancaman Covid-19. Pengarah Eksekutif Sarawak Tribune Press, Dr Jeniri Amir yang menyokong saranan Chamil mengajak kerajaan melihat dari sudut tanggungjawab moral untuk mempertahankan jagawan estet keempat itu.
Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub seterusnya mencadangkan tiga aspek yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan. Pertama, mengenakan peraturan agar gergasi media sosial antarabangsa seperti Google dan Facebook membayar penggunaan kandungan media dan berita. Kedua, menggesa kerajaan membeli ruang pengiklanan secara konsisten melalui media-media arus perdana. Ketiga, mewajibkan mana-mana portal media yang baharu diwujudkan untuk mendapatkan lesen penerbitan.
Bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang pula berkata, para pengiklan masih berminat untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka melalui akhbar cetak tetapi masalahnya pula akhbar-akhbar yang mengalami penurunan mendadak edarannya turut menyaksikan penurunan pendapatan iklan.
Saranan-saranan oleh pihak pengurusan akhbar adalah berhubung dengan hal-hal yang melibatkan dasar. Dengan hubungan yang erat pihak akhbar dan pemerintah, banyak saranan akan diambil perhatian lebih-lebih lagi pada masa pihak pemerintah memerlukan sahabat untuk memerangi Covid-19 dan tidak keterluan juga untuk memerangi seteru politik.
Namun, betapa banyak pun bantuan daripada pihak kerajaan, persoalan dasar yang masih perlukan jawapan ialah bagaimanakah cara untuk meningkatkan jumlah pembeli akhbar? Pada hemat saya, syarikat-syarikat akhbar perlu menggabung segala sumber secara lebih terbuka.
Masing-masing perlu survive dan harus berpaut di antara satu sama lain untuk berkongsi sumber dan menjimatkan kos melalui beberapa pendekatan. Pertama ialah perkongsian berita yang lebih bersistematik. Pada hari ini pembaca akhbar Melayu tak tahu apa berita menarik di akhbar Tamil, China atau Inggeris dan begitulah sebaliknya. Perkongsian berita akan menjimatkan kos, malah akan menggalakkan persefahaman di antara kaum.
Pengangkutan dan pengedar juga seboleh mungkin disatukan juga. Ini mengurangkan kos dan akan menyelaras pengedaran akhbar. Begitu juga sebuah aplikasi pengumpulan maklumat jualan yang boleh diguna oleh semua pengedar dan peruncit perlu dibina. Dengan ini, segala maklumat jualan diperoleh secara real time.
Dalam keadaan survival ini semua penerbit akhbar harus berkongsi maklumat jualan. Biar masing-masing tahu akhbar siapakah yang paling laris pada satu-satu hari. Ia seperti perlumbaan harian yang mana masing-masing mahu menang dan ini akhirnya akan merangsang kreativiti persembahan berita yang akhirnya akan melariskan akhbar.
Menjangkau ke media elektronik, pihak akhbar dan elektronik perlu bekerjasama untuk bertukar maklumat berita sebagai satu pendekatan cross-selling. Penonton televisyen akan nampak jenama akhbar di dalam siaran berita. Tentu sekali banyak bahan-bahan di televisyen boleh dipindah ke dalam bentuk teks di dalam akhbar pula.
Untuk alam maya pula, di sinilah medan yang sesak, padat dan sendat. Strategi lautan biru sudah sukar digunakan melainkan bila sesebuah akhbar itu benar-benar ingin ke lautan biru di antartik dan hilang di mata netizen. Untuk itu, pihak akhbar harus bekerjasama atau membeli portal-portal yang terkenal. Sesebuah jenama akhbar cetak sebenarnya hanya sesuai di atas kertas. Apabila ia muncul di alam maya, maaf cakap ia seperti orang tua yang masuk ke parti orang muda. Segala solekan grafik walau betapa cantik pun sudah tidak memikat.
Kita lihat pada hari ini, portal yang nama yang pelik-pelik dan unik mendapat tempat di hati netizen yang muda. Penggunaan jenama akhbar cetak di dalam alam maya tidak akan dapat menarik netizen untuk beralih ke akhbar cetak. Ia seperti berundur di terowong masa.
Covid-19 kian mendekatkan masyarakat dengan alam maya dan semakin jauh dari akhbar cetak. Inilah hakikat pahit yang harus diterima oleh industri akhbar cetak. Arus ini masih boleh digagahi, tetapi ia amat meletihkan.
‘Pergi Covid-19! Jangan Datang Lagi’
SHAH ALAM – Ibu bapa yang tercari-cari bahan bacaan sesuai untuk anak-anak mereka ketika situasi pandemik koronavirus sekarang boleh menempah buku cerita bergambar, Pergi Covid-19! Jangan Datang Lagi! terbitan Kids Prima, Grup Buku Karangkraf.
Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, buku berkonsep ‘edutainment’ adiwira itu akan membantu kanak-kanak belajar mengenai bahaya Covid-19 dan langkah-langkah mencegah wabak itu.
Katanya, buku itu diinspirasikan daripada figura yang memberi sumbangan penting kepada negara ketika menghadapi krisis Covid-19 iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
“Buku ini diterbitkan sebagai momento kepada kanak-kanak dan pada masa sama banyak ilmu dapat dipelajari daripada buku ini.
“Apa yang istimewa, buku ini kita hasilkan dalam masa sehari dan ia mengandungi sebanyak 32 muka surat berilustrasi, lukisannya menarik dan berwarna-warni, bahasa mudah difahami serta padat dengan informasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Firdaus berkata, penghasilan buku itu juga sebagai satu penghormatan kepada frontliners yang bekerja keras bagi mempertahankan negara ketika ini.
Menurutnya, buku berkenaan dijual pada harga RM16 sebuah di mana pra-tempahannya dibuka mulai semalam.
Katanya, dengan setiap pembelian buku cerita itu juga, RM1 daripadanya akan disalurkan ke Tabung Bantuan Covid-19.
“Kita akan mulakan cetakan buku ini pada Selasa depan. Jadi, orang ramai di luar sana jangan lepaskan peluang untuk buat pra-tempahan mulai sekarang,” katanya.
Sementara itu, penulis dan ilustrator buku itu, Mohd Khairul Azman Ismail berkata, buku cerita bergambar itu yang disasarkan kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun diselitkan dengan pelbagai info berkaitan Covid-19 secara terperinci.
“Wabak Covid-19 adalah isu global, jadi semua tahap umur perlu memahaminya.
“Menerusi buku ini, ilustrasi yang dihasilkan dapat membantu kanak-kanak untuk memahami kandungan teks. Laras bahasanya juga direndahkan untuk mudahkan kanak-kanak memahami tentang wabak ini,” katanya.
Katanya, watak utama buku cerita itu ialah seorang kanak-kanak berusia 9 tahun bernama Afiq yang juga anak kepada seorang jururawat.
Menurut Mohd Khairul Azman, Afiq juga mempunyai patung mainan Superman yang digelar Super Dr H yang diinspirasikan daripada peranan Dr Noor Hisham.
“Untuk ketahui jalan cerita buku ini, ibu bapa perlu rebut peluang untuk tempah buku ini segera kerana didikan mengenai Covid-19 ini juga dapat diterapkan kepada anak-anak,” katanya.
Orang ramai yang mahu membuat pra-tempahan boleh pergi ke pautan https://www.karangkrafmall.com/pergi-covid-19-jangan-datang-lagi. Tempahan juga boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp di pautan http://www.wasap.my/+60192297227.
Pautan asal:
https://www.sinarharian.com.my/article/82819/BERITA/Nasional/Pergi-Covid-19!-Jangan-Datang-Lagi


