MAAFCAKAP 13.5.2020

Adalah menarik apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya menyarankan agar kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada industri media tempatan yang terkesan teruk akibat gangguan teknologi digital dan ancaman Covid-19. Pengarah Eksekutif Sarawak Tribune Press, Dr Jeniri Amir yang menyokong saranan Chamil mengajak kerajaan melihat dari sudut tanggungjawab moral untuk mempertahankan jagawan estet keempat itu.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub seterusnya mencadangkan tiga aspek yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan. Pertama, mengenakan peraturan agar gergasi media sosial antarabangsa seperti Google dan Facebook membayar penggunaan kandungan media dan berita. Kedua, menggesa  kerajaan membeli ruang pengiklanan secara konsisten melalui media-media arus perdana. Ketiga, mewajibkan mana-mana portal media yang baharu diwujudkan untuk mendapatkan lesen penerbitan.

Bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang pula berkata, para pengiklan masih berminat untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka melalui akhbar cetak tetapi masalahnya pula akhbar-akhbar yang mengalami penurunan mendadak edarannya turut menyaksikan penurunan pendapatan iklan. 

Saranan-saranan oleh pihak pengurusan akhbar adalah berhubung dengan hal-hal yang melibatkan dasar. Dengan hubungan yang erat pihak akhbar dan pemerintah, banyak saranan akan diambil perhatian lebih-lebih lagi pada masa pihak pemerintah memerlukan sahabat untuk memerangi Covid-19 dan tidak keterluan juga untuk memerangi seteru politik.

Namun, betapa banyak pun bantuan daripada pihak kerajaan, persoalan dasar yang masih perlukan jawapan ialah bagaimanakah cara untuk meningkatkan jumlah pembeli akhbar? Pada hemat saya, syarikat-syarikat akhbar perlu menggabung segala sumber secara lebih terbuka.

Masing-masing perlu survive dan harus berpaut di antara satu sama lain untuk berkongsi sumber dan menjimatkan kos melalui beberapa pendekatan. Pertama ialah perkongsian berita yang lebih bersistematik. Pada hari ini pembaca akhbar Melayu tak tahu apa berita menarik di akhbar Tamil, China atau Inggeris dan begitulah sebaliknya. Perkongsian berita akan menjimatkan kos, malah akan menggalakkan persefahaman di antara kaum. 

Pengangkutan dan pengedar juga seboleh mungkin disatukan juga. Ini mengurangkan kos dan akan menyelaras pengedaran akhbar. Begitu juga sebuah aplikasi pengumpulan maklumat jualan yang boleh diguna oleh semua pengedar dan peruncit perlu dibina. Dengan ini, segala maklumat jualan diperoleh secara real time. 

Dalam keadaan survival ini semua penerbit akhbar harus berkongsi maklumat jualan. Biar masing-masing tahu akhbar siapakah yang paling laris pada satu-satu hari. Ia seperti perlumbaan harian yang mana masing-masing mahu menang dan ini akhirnya akan merangsang kreativiti persembahan berita yang akhirnya akan melariskan akhbar.

Menjangkau ke media elektronik, pihak akhbar dan elektronik perlu bekerjasama untuk bertukar maklumat berita sebagai satu pendekatan cross-selling. Penonton televisyen akan nampak jenama akhbar di dalam siaran berita. Tentu sekali banyak bahan-bahan di televisyen boleh dipindah ke dalam bentuk teks di dalam akhbar pula.

Untuk alam maya pula, di sinilah medan yang sesak, padat dan sendat. Strategi lautan biru sudah sukar digunakan melainkan bila sesebuah akhbar itu benar-benar ingin ke lautan biru di antartik dan hilang di mata netizen. Untuk itu, pihak akhbar harus bekerjasama atau membeli portal-portal yang terkenal. Sesebuah jenama akhbar cetak sebenarnya hanya sesuai di atas kertas. Apabila ia muncul di alam maya, maaf cakap ia seperti orang tua yang masuk ke parti orang muda. Segala solekan grafik walau betapa cantik pun sudah tidak memikat. 

Kita lihat pada hari ini, portal yang nama yang pelik-pelik dan unik mendapat tempat di hati netizen yang muda. Penggunaan jenama akhbar cetak di dalam alam maya tidak akan dapat menarik netizen untuk beralih ke akhbar cetak. Ia seperti berundur di terowong masa.

Covid-19 kian mendekatkan masyarakat dengan alam maya dan semakin jauh dari akhbar cetak. Inilah hakikat pahit yang harus diterima oleh industri akhbar cetak. Arus ini masih boleh digagahi, tetapi ia amat meletihkan.   

Gambar Utama oleh Olga Ozik dari Pixabay